Sosok MB yang cukup sederhana

Mohd Asri Mat Daud | .

YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob dilahirkan di Kampung Berangan, Tumpat, Kelantan pada 1 Februari 1950. Ayahanda beliau, Tuan Guru Haji Yakob Ishak atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Kob, adalah pengasas Pondok Berangan yang dikenali juga sebagai Madrasah Yaakubiah. Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah yang diperolehi pada tahun 1978, beliau mula berkecimpung dalam kerjayanya sebagai guru. Beliau juga mempunyai Diploma Pendidikan di Universiti ‘Ain Syams, Kaherah dalam bidang Bahasa Arab pada tahun 1979.

Dalam bidang politik, beliau telah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Tumpat bermula tahun 1997 hingga 1999. Pada tahun 1999, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob dipilih sebagai Naib Yang Dipertua PAS. Selepas Ustaz Wan Mohd Jamil Wan Mahmood kembali ke rahmatullah pada 1 Mac 2009, YAB Ustaz Dato’ Ahmad Yakob telah dipilih menjadi Yang Dipertua PAS Tumpat sehingga sekarang.

Di peringkat negeri, semasa usia pemudanya, beliau terlibat sebagai

anggota usrah Dewan Pemuda PAS Negeri. Beliau kemudiannya menjadi salah seorang anggota Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya dan Pengerusi Lajnah Tarbiah dan Kepimpinan serta Ahli Lajnah Politik dan Pilihan raya PAS Negeri Kelantan. Sementara di peringkat PAS Pusat pula, beliau telah dipilih sebagai Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat mulai tahun 2011. Setelah Tuan Guru Dato’ Harun  Taib, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat kembali ke rahmatullah pada bulan Februari 2014, YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob mula memangku jawatan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat sehingga tahun 2015.

Kerjaya beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri Kelantan pula bermula pada 17 Mei 1997 apabila Almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah bersetuju melantik beliau sebagai salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Beliau memegang Portfolio Pengerusi Jawatankuasa Industri, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia mengambil tugas daripada YB Hj Rozali Ishak, Adun Dabong dari Parti Semangat 46 yang keluar APU menyertai Umno.

Pada Pilihan Raya Umum 1999, beliau kekal bertanding di Dun Pasir Pekan dan berjaya mengekalkan kerusi tersebut. Selepas pilihan raya tersebut, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Sains Teknologi dan Alam Sekitar. Seterusnya beliau mengekalkan kemenangan di Dun yang sama bagi kali ketiga pada Pilihan Raya Umum ke-11 tahun 2004. Pada 23 Mac 2004, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar menggantikan Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman yang bertanding di Parlimen Pengkalan Chepa.

Pada Pilihan raya Umum ke-13 tahun 2013, sekali lagi beliau dipilih bertanding di Dun Pasir Pekan dan memperolehi kemenangan dengan majoriti 2,734 undi. Sehari selepas pilihan raya tersebut iaitu pada 6 Mei 2013, beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan dengan cadangan daripada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan melalui persetujuan YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Walaupun YAB Ustaz Dato’ Ahmad Yakob telah menjadi Adun dan Exco sejak tahun 1995 dan kemudiannya sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan bermula tahun 2004 hingga 2013, namun beliau suka dengan penampilannya yang sederhana. Beliau tidak pernah memburu jawatan, tidak suka menonjol di khalayak dan bersederhana dalam semua perkara. Beliau mengekalkan tradisi Almarhum Tok Guru dengan mengekalkan status Kediaman Rasmi Menteri Besar sebagai rumah untuk urusan mesyuarat dan menerima kunjungan hormat tetamu.

Beliau lebih gemar menginap di rumahnya yang sederhana di Kg Alor Pasir, Pasir Pekan. Menjadi amalan rutinnya, disebelah pagi beliau akan mengunjungi kedai-kedai kopi untuk bersama rakyat, mendengar dan menyantuni keadaan kehidupan mereka. Beliau sangat jarang mengambil cuti bahkan banyak masa dihabiskan di pejabat dan bersama rakyat. Ada ketikanya beliau datang semula ke pejabat di sebelah malam bagi menyelesaikan kerja-kerja yang masih belum disempurnakan pada siang hari.

Beliau kerap dijumpai berkeseorangan dikedai runcit, pasaraya dan kedai-kedai makan untuk membeli sendiri keperluan keluarganya bahkan memandu sendiri ke tempat-tempat program di Dun beliau. Beliau suka menjalani kehidupan seperti insan yang lain, walaupun sudah bergelar Menteri Besar dan Timbalan Mursyidul Am PAS. Rutinnya ke masjid berbasikal adalah menjadi perkara biasa disamping menghadiri majlis-majlis kesyukuran dan aktiviti dengan bermotosikal. Boleh dikatakan beliau adalah fotostat arwah Tok Guru yang suka bersederhana dan kuat bekerja demi rakyat walaupun sudah menjadi lumrah manusia tidak akan sama dari sudut kebolehan dan perilaku. Semoga Kelantan Darul Naim terus membangun dengan dasar Islamnya di bawah Kepimpinan Ulama yang ikhlas.

Allahu Akbar!

Penulis ialah Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan.