Apabila syariah dipisahkan daripada siasah

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

NABI, sahabat dan para ulama terdahulu walaupun tidak mengenali parti-parti politik, tetapi mereka tidak memisahkan unsur politik (siasah) dalam mempraktikkan syariat. Mereka memahami bahawa politik sendiri adalah intipati syariat dan ekspresi kepada fiqh.

Syariah secara umumnya bermatlamatkan kepada menjaga 5 maslahah yang dikenali dalam ilmu maqasid syariah sebagai doruriyat al-khams. Siasah pula adalah tindakan-tindakan mempengaruhi manusia atas maslahah tertentu. Apabila digabungkan, maka siasah syariyyah secara umumnya bermaksud menguruskan manusia untuk mencapai maslahah syarie.

Nabi SAW tahu bahawa Allah itu sifatnya tidak bertempat seperti makhluk. Tetapi dalam mengenalpasti keimanan seorang budak, baginda mengiktiraf pengakuan seorang budak yang menunjukkan ke arah langit apabila ditanyakan dimanakah Allah. Ini kerana sebagai budak yang baru berjinak untuk mentauhidkan Allah, cukup dengan memastikan bahawa beliau tidak mengiktiraf makhluk zahir seperti berhala sebagai tuhan.

Umar al-Khattab memahami dari sudut syariat, bahawa tidak ada larangan untuk solat di dalam gereja. Tetapi kerana bimbang gereja itu dirobohkan umat Islam kemudian hari, maka beliau keluar dari gereja dan mendirikan solat di luar sahaja apabila masuk waktu solat .

Imam Syafie adalah pengasas mazhab fiqh. Pendapatnya dalam bab qunut Subuh adalah sunat ab'adh yang sangat dituntut. Tetapi ketika menziarahi pusara Imam Hanafi, beliau solat Subuh tanpa qunut dan tidak sujud sahwi kerana hormat terhadap Imam Hanafi meraikan masyarakat sekeliling yang mengikuti mazhabnya.

Terbaru, Imam Haramain yang dikenali bermazhab Hanbali/Salafi ketika menziarahi Indonesia, beliau mengimamkan Solat Subuh dengan membaca qunut walaupun mazhabnya berpendapat ia tidak disunatkan pada waktu demikian. Ini kerana, orang Indonesia adalah pengikut mazhab Syafie.

Secara akademik, mereka telah menyalahi prinsip kepercayaan yang dipegang. Tetapi apabila diadun dengan kesedaran siasah dan maslahah dakwah, mereka menjadikan Islam sangat indah. Tanpa menyalahi syarak, mereka telah berjaya menguruskan manusia ke arah yang lebih harmoni sebagaimana tuntutan utama maqasid syarak. Inilah siasah dakwah!

Justeru, memahami siasah syariah perlu kepada kemahiran yang lebih luas. Tidak hanya menghafal teori-teori daripada kitab-kitab dan google sahaja, tetapi perlu memahami sikap masyarakat dan sensitiviti mereka.

Malangnya ada pihak yang terlanjur menguasai siasah sehingga terpesong dari syariah. Dikira asalkan nampak maslahah, semua jadi halal walaupun nas jelas mengharamkannya. Contohnya riba, apabila akalnya menilai riba itu memajukan maka mereka terus menghalalkan walau al-Quran mengharamkan.

Ada juga pihak terlampau rigid dengan fiqhnya sehingga mengabaikan faktor siasah. Kalau dia rasa satu pendapat paling betul, terus dipegangnya tanpa peduli kesan terhadap masyarakat. Pernah seorang ustaz PhD Hadis menyindir jemaah sebuah masjid dalam kuliahnya, apabila kebanyakan umat Islam bermazhab Syafie di masjid tersebut mempertikaikan tindakannya mengimami solat dengan tidak membaca Bismillah dalam fatihah.

Sangat bermasalah apabila golongan akademik tidak mahu menceburi siasah. Turut bermasalah apabila ahli siasah tidak mempelajari syariah.

Sesiapa yang mempelajari syariah tetapi tidak mempelajari bab siasah akan mengelirukan. Sesiapa yang mempelajari siasah tetapi tidak mempelajari syariah pula akan menyesatkan. – HARAKAHDAILY 29/3/2016