Abg Zol... pejuang tanpa nama, al-Fatihah

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

BERDERAI airmata... Mesej daripada Ustaz Roslan MD Esa mengetuk segala kesedihan, tatkala baharu sahaja berbalas mesej dengan Abang Zol atau nama penuhnya Zulkifli Abu Osman (Gambar: Kiri sekali berbaju merah), mengenai berita berita penoreh getah di Baling.

Abg Zol pergi selamanya meninggalkan dunia ini. Tiada lagi mesej bertalu dari allahyarham, tiada lagi foto-foto menarik yang sentiasa dirakamnya buat tatapan penulis untuk dimuatkan di Harakah.

Foto-foto yang dirakam kemas sentiasa mendapat tempat dalam Harakah cetak. Tiap kali bahan bahan berunsur berita ringkas di hantar, akan diolah untuk tatapan pembaca. Pembaca tegar Harakah sejak dahulu ini adalah Penolong Setiausaha PAS Kawasan Baling.

Allahyarham juga Ahli Jawatankuasa Lajnah Tanah, Peneroka Bandar Dan Orang Asal PAS Pusat. Ke mana sahaja lajnah ini beraksi, kelibat Abg Zol pasti akan ada kecuali beliau tidak sihat.

Sahabat karibnya Abang Saarin antara yang sering bersamanya. Ke Sarawak, ke Sabah, kemana sahaja kelibatnya wajib ada.

Tanpa Abang Zol, kadang kadang perjalanan tidak berapa indah, hilai tawanya, senyum mesranya, kisah kisah pengalaman selaku otai-otai dalam Lajnah Tanah, Peneroka Bandar dan Orang Asal PAS Pusat.

Suatu masa lalu tahun 2012 kami bersama ke Sarawak. Ketika itu ada program Himpunan Tanah Adat Sarawak di Benting Maro.

Abang Zol tidak lelah, tidak pernah kenal penat. Sampai di Sarawak khasnya di Beting Maro, beliau akan terus melaksana tugas, dari yang kecil seperti membantu sahabat mengangkat barang hingga ke dapur membantu memasak.

Kelibat Abang Zol tak pernah mengecewakan.

"Wan bila bila free anta kena mai  Baling, ana jamu anta Durian, bila time durian luruh. Mai lah, Abang Zol tunggu anta," pesanan yang tidak tertunai penulis sejak bersahabat dengan insan istimewa dalam hidup penulis.

Pelapor berita yang tidak pernah mahu apa-apa sahaja balasan, cukup sekadar bahan atau foto yang dikirim kepada penulis masuk ke Harakah.

"Tahniah Wan jadi Ketua Pengarang, Abg Zol akan terus hantar berita dan gambaq kepada Wan," mesejnya semasa mula penulis menerajui Jabatan Pengarang Disember lalu tersimpan kemas di ruang telefon ini.

Hakikatnya memang Abg Zol seorang yang istiqamah, terus membantu walau namanya jarang didendang.

Bicara akhir 5 April bersamanya sebelum menghembus nafas terakhir, sempat lagi beliau memberi beberapa laporan dan foto mengenai edaran beras kepada penoreh getah di Kuala Ketil.

Hanya selang beberapa minit, mesej diterima membuatkan airmata ini bercucuran, tidak tertahan kesedihan.

Insan bernama Zulkifli Abu Osman bukan sosok pemimpin, tetapi jiwanya hidupnya dihambakan sepenuhnya buat perjuangan. Dia insan istiqamah hingga ke akhir hayatnya.

Dia istuqamah...Dia Membenarkan Janjinya pada Allah...benarlah firman Allah;

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya), supaya Allah memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu karena kebenarannya, dan menyiksa orang munafik jika dikehendaki-Nya, atau menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Ya Allah saksikanlah bahawa sahabat kami ini, istiqamah didalam perjuangan menegakkan kalimah-Mu Ya Allah,beliau telah membenarkan janjinya Ya Allah. Kurniakanlah kebaikan buatnya, rahmatilah rohnya, kuatkanlah kesabaran buat ahli keluarganya, Engkau lebih tahu apa yang terbaik buatnya dan keluarganya.

Dia adalah pejuang tanpa nama. Ya Allah kurniakan tempat Zulkifli Abu Osman dalam kalangan soleh. Ampunkan dosanya, tempatkan di Jannah Mu Ya Allah. Al-Faatihah. – HARAKAHDAILY 6/4/2016