Tahukah anda tentang hibah, wasiat dan wakaf?

SALKUKHAIRI ABD SUKOR | .

FAKTA PENTING YANG ANDA WAJIB TAHU TENTANG UNDANG-UNDANG BERKAITAN HIBAH, WASIAT DAN WAKAF DI MALAYSIA

MASYARAKAT Muslim di Malaysia masih lagi keliru dengan konsep dan perlaksanaan sebenar undang- undang berkaitan Hibah, Wasiat dan Wakaf.

Di sini saya senaraikan beberapa prinsip dan kaedah ringkas berkaitan hibah,  wasiat dan wakaf sebagai panduan kepada kita bersama.

1.  Seseorang boleh menghibahkan hartanya kepada sesiapa sahaja yang beliau kehendaki semasa beliau masih hidup, sama ada hibah tersebut dibuat kepada waris atau bukan waris beliau.

2. Hibah hanya boleh dilakukan untuk hartanah yang telah bebas daripada bebanan sepenuhnya, misalnya hartanah yang tidak lagi digadai kepada bank dan telah didaftarkan atas nama pemberi hibah.

3. Hibah bersyarat atau hibah amanah adalah tidak sah dari segi mazhab syafie dan ia tidak boleh dikuatkuasakan di Mahkamah Syariah. Walau bagaimanapun, keputusan Mahkamah Syariah berkenaan perkara tersebut tidak mengikat antara satu sama lain.

4. Pemberi hibah hendaklah memfailkan pengesahan hibah di Mahkamah Syariah untuk mengesahkan hibah tersebut. Pengesahan hibah adalah satu pengesahan oleh Mahkamah yang mengesahkan bahawa sesuatu harta itu telah dihibahkan kepada penerima hibah.

5. Seseorang hanya boleh mewasiatkan tidak lebih 1/3 daripada hartanya kepada bukan waris. Selebihnya hendaklah dibahagi-bahagikan kepada waris mengikut pembahagian pusaka selepas beliau meninggal dunia kelak.

6. Wasiat tidak boleh dibuat kepada waris yang sah dan berhak menerima harta pusaka. Melainkan selepas kematian beliau semua waris bersetuju untuk harta tersebut diberikan kepada mana-mana waris tertentu. Jika tidak, pembahagian harta pusaka hendaklah mengikut faraid.

6. Wasiat boleh diubah dari semasa ke semasa. Tetapi wasiat yang terakhir sebelum seseorang itu meninggal dunia adalah wasiat yang akan dikuatkuasakan dan mengikat semua pihak yang berkenaan.

7. Dari segi undang-undang, wakaf hanya boleh dibuat kepada Majlis Agama Islam Negeri, dimana mereka adalah pemegang amanah tunggal terhadap hartanah wakaf di Malaysia. Walau bagaimanapun wakaf yang dibuat secara persendirian tetap sah sari segi hukum syarak tetapi ia mungkin tidak dapat dikuatkuasakan jika ia dicabar oleh Majlis Agama Islam Negeri.

8. Untuk merekodkan nama pemberi wakaf dan penerima wakaf dalam geran hartanah,  pemberi wakaf boleh memfailkan borang di bawah Section 416C Kanun Tanah Negera di pejabat tanah yang berkenaan.

9. Dengan adanya permohonan tersebut pendaftar hak milik di pejabat tanah akan mengendorskan nama pemberi wakaf dan penerima sebagai pemegang hartanah wakaf dalam geran hartanah. Dan rekod tersebut akan kekal sampai bila-bila. Dengan cara itu, hak dan kepentingan pemberi wakaf akan dilindungi dan tidak boleh dipertikaikan lagi.

10. Hartanah yang telah di wakaf tidak boleh ditarik balik status wakafnya.

Moga dengan pencerahan ini dapat memberi kefahaman asas kepada masyarakat tentang hibah, wasiat dan wakaf. – HARAKAHDAILY 9/5/2016

Penulis ialah Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)