Dr Najiha pilihan terbaik buat Kuala Kangsar

IZWAN ABDUL HALIM | .

MEMENUHI keperluan atau hajat masyarakat terutama golongan asnaf dan mustad'afin sememangnya rutin yang sebati dengan calon PAS P.067 Kuala Kangsar, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Setidak-tidaknya bertemu wajah, mendengar khabar dan saling mengingati, serta lebih lagi sekiranya dapat menitipkan kata-kata semangat atau nasihat.

Keterampilan itulah menjadi sebahagian identiti kepimpinan diri beliau, bahkan sanggup mengorbankan kerjayanya demi untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Berbeza dengan kebanyakan orang politik yang asyik mengelak bergelumang dalam keramaian awam atau bertemu rakyat bawahan, kecuali sekadar meraih kepentingan.

Tetapi Dr Najiha adalah sebenar-benar dirinya yang menghambakan profesionalisma dan kemampuan dimiliki beliau untuk diserahkan kepada umat.

Semestinya tawaduk diri beliau itu selari dengan peranan yang disebut Rasulullah SAW bahawa pemimpin itu adalah khadam ummah.

Kerana taklif kepimpinan adalah untuk memberi kepada masyarakatnya, bukan menjadi kesempatan atau mengaut sesuatu, apatah lagi menekan rakyat.

Malah, bukan calang manusia layak dijadikan pemimpin yang sinonim dengan kaum lelaki, maka apabila seorang muslimah diangkat, tentulah beliau memiliki keupayaan luar biasa.

Buktinya, kepimpinan seorang muslimah tidak bersandar pada jawatan, tetapi beliau juga adalah suri rumah, isteri, ibu dan anak yang tidak memisahkan tanggung jawab itu walau di mana takhtanya.

Ditambah pengalaman luas lebih 20 tahun Dr Najiha dalam politik, selayaknya beliau dinobatkan pada kedudukan yang akan membolehkan beliau berfungsi dengan lebih jitu dan luas.

Maka, penduduk Kuala Kangsar sedang diberikan satu pilihan yang dipercayakan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk beliau dimenangkan sebagai Ahli Parlimen.

Bukan sahaja mewakili penduduk Bandar DiRaja yang penuh bersejarah, tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia bagi sebuah pembelaan hak, serta menyambung perjuangan Islam pusaka Rasulullah SAW. – HARAKAHDAILY 7/6/2016