DAP 'di belakang' serangan ke atas PAS?

IZWAN ABDUL HALIM | .

PELBAGAI penghinaan dan fitnah dilayangkan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk merendah serta memburukkan imej ulama itu.

Ternyata semua itu tidak berkesan, sebaliknya sokongan kepada Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia itu kian meningkat dan popular.

Perkara itu dapat dilihat dengan keahlian PAS yang semakin bertambah, menjadi perbincangan ahli politik, akademik dan warga media, manakala Tuan Guru sentiasa terlihat ceria dan bertenaga.

Sebaliknya, mereka yang pernah meresah dan mengganggu serta menentang beliau akhirnya 'terpelanting' keluar daripada PAS.

Bahkan menubuhkan wadah baharu menentang beliau dan PAS, serta bersekutu dengan pihak yang cuba menyekat kemaraan PAS menegakkan Islam dan syariat Allah.

Selama ini kononnya kritikan, dakwaan dan kontroversi diperkatakan bekas pimpinan PAS dan rakan Pakatan Rakyat; PKR dan DAP terhadap TG Abdul Hadi adalah saraf fitnah ciptaan musuh.

Tetapi dengan tertubuhnya PAN mengesahkan bahawa merekalah orangnya, bahkan dengan sengaja cuba menjejaskan kewibawaan Ahli Parlimen Marang itu.

Bahkan mungkin tidak tertahan lagi membendung tuduhan yang dikelabukan umpama 'baling batu sembunyi tangan', Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendedahkan rupa sebenar wajahnya.

Hasad dengki, busuk hati, kesumat dendam maestro DAP itu dapat diikuti dari kenyataan terbukanya sepanjang tempoh PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar:

13 Jun 2016: Menuduh Presiden PAS menutup mata terhadap salah laku Perdana Menteri dengan membutakan skandal berkaitan 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

13 Jun 2016: Mendakwa Presiden PAS itu berangan menjadi Perdana Menteri menjelang PRU2013 lalu.

12 Jun 2016: Mendakwa pindaan RUU Akta 355 adalah ciptaan TG Abdul Hadi dan EKJSII Kelantan adalah Undang-undang PAS ciptaan manusia; bukan hukum Allah.

8 Jun 2016: Mengkritik TG Abdul Hadi 'seperti Tuhan' apabila Presiden PAS itu memperihalkan mengenai kritikan dan kesetiaan dengan dosa pahala.

8 Jun 2016: Menyatakan bahawa PAS bukan lagi parti politik Islam yang terbuka sejak dipimpin TG Abdul Hadi.

6 Jun 2016: Menggesa propaganda tohmahan ke atas DAP berupa karikatur Kit Siang menjadikan TG Abdul Hadi dan Mahathir boneka dihentikan yang kononnya dibuat PAS dengan keterlibatan Presiden PAS itu.

Demikian sebahagian 'peluru' yang disasarkan langsung kepada Presiden PAS tanpa berselindung lagi.

Ini tidak termasuk pelbagai manipulasi dilakukan anaknya, Lim Guan Eng yang antara terakhir sebelum PRK ini beriya-iya meminta Tuan Guru menafikan rekayasa 'lembu Umno dan babi DAP'.

Sekarang yang terlihat adalah sebaliknya, DAP adalah pihak paling dicurigai dan menghampiri perkaitan semua gelojak dan cetusan huru hara dalam arena politik kebelakangan ini. – HARAKAHDAILY 15/6/2016