Merasai Ramadhan di Baitul Maqdis

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

MENEMPUH sempadan Jordan dan Tebing Barat Palestin yang dikuasai Israel, penuh dengan ketidakpastian. Ketika bergerak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia Jordan dan ke imigresen Jordan bersempadan Tebing Barat, kami cuba mendamaikan diri dengan menikmati lanskap sepanjang perjalanan. Dari jauh dapat dilihat Laut Mati dan bandar Jericho, Palestin.

Delegasi Mapim bergerak ke Baitul Maqdis untuk mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak dari 6 Jun (1 Ramadhan 1437 H) hingga 13 Jun (7 Ramadhan 1437 H) dalam rangka rencana melancarkan Wakaf Al-Aqsa.

Sebaik sahaja sampai ke sempadan Tebing Barat, bas dihentikan oleh polis Israel. Kami melalui 4 pemeriksaan di imigresen Tebing Barat semuanya oleh pegawai dan pengawal Israel. Hati berdebar kerana pasport delegasi Mapim terdapat cop pelbagai negara yang dikunjungi sebelum ini. Tidak ada pegawai Israel yang mesra ketika menyemak beg dan pasport kami, melainkan memberi renungan penuh kecurigaan .

Satu pemerhatian yang jelas dibumi Palestin ini; walaupun mempunyai pihak berkuasa Palestin, ternyata yang benar-benar berkuasa ialah Israel. Setiap lorong, disetiap bandar dan di setiap penempatan Palestin, tentera dan polis Israel berkawal disetiap sudut.

Beberapa orang Palestin diketemui menyatakan, antara Barat dan Timur Jurusalem bagaikan syurga dan neraka. Di sebelah Jurusalem timur, penempatan kaum Yahudi mendominasi semua kawasan.  Kemudahan awam yang lengkap dan rumah kediaman Yahudi kelihatan mewah. Manakala disebelah Jurusalem timur rakyat Palestin hidup dengan pemantau polis dan askar Israel.

Berpuasa di Baitul Maqdis punya kenikmatan yang tersendiri. Dikala ribuan rakyat Palestin sendiri disekat untuk datang ke Masjid Al-Aqsa , melawat ke Masjid Al-Aqsa menjadi idaman semua Muslimin. Keberkatan Al-Aqsa As-Syarif yang disebut-sebut disamping perjuangan mempertahankannya

Beberapa organisasi dari dalam dan luar Baitul Maqdis seperti Turki, Australia, UK dan Qatar sering kelihatan menyediakan ribuan pek makanan untuk iftar kepada jamaah di dalam Masjid Al Aqsa. Pihak sekuriti Israel sengaja menyulitkan kemasukan makanan ke dalam masjid.

Di sekitar perkarangan Masjid Al-Aqsa ribuan orang beriftar bersama ahli keluarga. Ruang di sekitar Qubah Al-Sakhra (Dome of the Rock) dipenuhi jamaah untuk beriftar. Manakala di taman-taman di sekitar masjid juga kelihatan khemah-khemah dan payung yang menyediakan makanan untuk para jamaah .

Semua ahli jamaah mempunyai satu tujuan,  berada dekat dengan Masjid Al-Aqsa agar tidak terlepas peluang bersolat maghrib dan isya serta terawih di masjid tersebut.

Jika ada jamaah dari luar Baitul Maqdis seperti dari Hebron, Nablus, Jenin, Jericho dan Ramallah yang dapat bolos masuk ke Masjid Al-Aqsa, mereka cuba beriktikaf  didalam Masjid Al-Aqsa sehingga ke waktu subuh. Di ruang sepert di Masjid Marwan dan Masjid Qadim yang berada di bawah Masjid Qibliti (Masjid Al Aqsa yang sdia ada sekarang) dipenuhi para jamaah yang beriktikaf dan membaca Al-Quran .

Ketika menemui Imam utama Masjid Al-Aqsa Syeikh Yusof Abu Sunainah , beliau mengeluh "tahun lepas Ramadhan Masjid Al-Aqsa menarik tidak kurang 200,000 orang untuk berterawih dan lebih 50,000 orang untuk solat subuh. Tahun ini akibat sekatan dan halangan Israel, bilangannya berkurangan. Hanya sekitar 10,000 ketika solat Terawih dan sekitar 2,000 - 3,000 ketika solat subuh".


Berpuasa di Baitul Maqdis bercampur perasaan antara ingin menikmati keberkatan dan ganjaran berlipatkali ganda dari Allah SWT, namun juga untuk merasakan suasana perjuangan mempertahankan kesuciaan Al-Aqsa itu sendiri.

Berjalan dilorong-lorong rumah dan kuarters kediaman dalam Bandar Tua (Old City) untuk menuju ke Masjid Aqsa sangat menarik. Suasana meriah sempena Ramadhan dapat dilihat dengan kedai-kedai menjual aneka barangan serta makanan di lorong-lorong didalam Bandar Tua itu.

Lorong-lorong itu dipenuhi pengunjung dari sekitar Tebing Barat Palestin. Akan tetapi rasa diintimidasi oleh kehadiran polis dan tentera Israel yang lengkap bersenjata menjadikan keadaan kurang selesa. Malah ketika hendak masuk ke pintu Al-Aqsa adakala disekat dan diinterogasi .

Kehadiran pengunjung di bulan Ramadhan dari luar Palestin sangat dialu-alukan oleh penduduk Palestin tempatan . Mereka ingin mengkisahkan kesempitan yang mereka alami oleh karenah pihak Israel yang mempunyai agandda besar untuk mengyahudikan seluruh Baitul Maqdis.

Ketika berbuka puasa bersama mereka di sekitar Masjid Al-Aqsa, penduduk Palestin meluahkan pelbagai kisah mereka berdepan dengan tentera dan polis Israel. Delegasi Mapim mengesan betapa kedatangan orang luar untuk bersama di Masjid Al-Aqsa sangat mereka alau-alukan.

"Kami mahu kaum Muslimin di seluruh dunia tahu apa yang kami sedang lalui. Mereka perlu melihat isu Masjid Al-Aqsa sebagai isu aqidah umat, bukan hanya isu pembebasan Palestin." kata seorang aktivis Murobitun yang berusha melanjutkan intifadhah mempertahankan Masjid Al-Aqsa.

Di dalam Masjid Al-Aqsa hampir semua jemaah sibuk bersendirian menatapi Al-Quran . Ruang solat di dalam Masjid dipenuhi warga emas dan anak muda, masing-masing bertumpu membaca Kitabullah. Terdapat kelompok halaqah ilmu di beberapa sudut masjid yang dilengkungi oleh mereka yang mahu mendengar tazkirah dari ilmuan dan ulama, sementara menunggu solat isyak dan teraweih.

Sememangnya berpuasa di Masjid Al-Aqsa sangat istimewa. Keghairahan untuk beribadah sangat tinggi sementara kewaspadaan terhadap ancaman Yahudi yang mahu menghancurkan masjid itu menyebabkan rasa ingin melibatkan diri dalam perjuangan pembebasan Palestin sangat segar. – HARAKAHDAILY 24/6/2016