Kejayaan PAS dalam isu Selena Gomez

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

WALAUPUN tidak berjaya membatalkan konsert Selena Gomez, setidak-tidaknya dia datang dengan pakaian yang lebih sopan daripada sebilangan artis tempatan.

Jika dibanding penampilannya di pentas-pentas konsert negara lain, nampaknya dia memberi penghormatan kepada Malaysia dengan pakaiannya semalam. Satu tamparan hebat buat artis Melayu muslim di Malaysia.

Saya kira ini satu kejayaan buat Dewan Pemuda PAS yang membantah. Saya yakin penampilan Selena Gomez adalah setelah tekanan dan desakan dibuat terhadap pihak penganjur dan pimpinan negara.

Walaupun matlamat asal iaitu membatalkan terus tidak tercapai, setidaknya ia memberi kesan kepada keadaan penganjuran konsert tersebut.

Ini membuktikan PAS telah memainkan peranan yang betul sebagai pengimbang kepada kerajaan. Itulah peranan parti pembangkang dalam sistem demokrasi.

Bukan sekadar memikirkan untung rugi mereka dalam pilihan raya akan datang sahaja, tetapi turut menegur dan memperbaiki urustadbir kerajaan di luar musim pilihan raya.

Walaupun tindakan ini hanya memberi imej baik kepada penganjur dan kerajaan, tetapi bantahan dan teguran tetap perlu dilakukan.

PAS tidak boleh hanya fikir keuntungan dari sudut undi sahaja, tetapi lebih penting dari itu adalah mengawal negara semampu mungkin dengan manhaj syariat dan kebijaksanaan dari terbabas dalam bidang kuasa yang ada. PAS juga adalah gerakan dakwah dan tarbiyah selai dari siasah.

Ramai tidak sedar, keberadaan PAS di persada politik sentiasa memberi kesan kepada transformasi kepimpinan negara ke arah yang lebih baik. Sejak merdeka, sudah berapa banyak manifesto yang PAS kemukakan ditiru oleh kerajaan.

Sudah berapa banyak corak pentadbiran Kelantan ditiru oleh kerajaan. Sudah berapa banyak demonstrasi dan isu yang PAS suarakan menyebabkan kerajaan terpaksa memperbaiki tindakan mereka.

Justeru janganlah hanya mengukur kejayaan PAS melalui undi yang diperolehi atau bilangan kerusi di dewan sahaja. Angka bukanlah penanda aras paling tepat dalam dunia sains sosial.

Ukuran sebenar perlu dibaca dengan membelek lembaran sejarah sejak penubuhan PAS dan semua pengaruhnya terhadap isu-isu yang berlaku. Andaian apa yang akan berlaku jika PAS tidak berperanan itulah kayu ukur yang lebih relevan.

Adakah ini bermakna memadai untuk PAS kekal sebagai pembangkang selama-lamanya? Itu terpulang kepada kepercayaan yang rakyat berikan.

Matlamat PAS adalah supaya negara tercinta dapat keluar dari semua belenggu masalah agama, politik, ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, keselamatan dan sebagainya sebagaimana yang ditunjukkan Islam.

Jika sudah ada pihak yang berjaya melaksanakannya, bermakna matlamat perjuangan PAS telah tercapai. Maka sebagaimana yang disebut oleh Tok Guru Nik Aziz, boleh jadi PAS akan dibubarkan!

Inilah salah satu bentuk Budaya Politik Matang dan Sejahtera! – HARAKAHDAILY 27/6/2016