Golongan profesional bersama PAS?

IZWAN ABDUL HALIM | .

PASCA pemilihan Muktamar Tahunan PAS yang lalu, berlegar dakwaan bahawa tiada tempat untuk golongan profesional di dalam PAS. Ia dikatakan mengakhiri dikotomi yang kononnya wujud sejak sekian lama antara profesional dengan ulama.

Ledakan yang sengaja dipersepsi dan diapi-apikan, sedang ia bermotif mensekularkan PAS dan agenda penguasaan strategik pihak-pihak berangkara. Hakikatnya, dari awal penubuhan tahun 1951 lagi PAS telah menarik penglibatan aktif golongan profesional untuk bersama dalam perjuangan Islam.

Kini, dalam dengungan hiruk pikuk politik dan masalah negara, PAS tetap menjadi sandaran dan harapan golongan profesional. Ikuti liputan khas Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM yang mendapatkan sisi pandangan semasa golongan profesional terhadap PAS.

Pandangan Terhadap PAS

Pensyarah Unisel, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata, secara umumnya dilihat golongan profesional agak skeptikal terhadap PAS sekarang ini, namun semakin ramai yang terlibat aktif dalam gerak kerja PAS.

“Cuma mereka tidak mahu menonjolkan diri. Saya mengenali puluhan jika pun tidak ratusan sama ada memegang jawatan ketiga dalam PAS Negeri atau Kawasan, atau jawatan-jawatan lain. Juga ramai yang menganggotai Lajnah atau Jawatankuasa yang PAS tubuhkan.

“Golongan profesional akan terus ke depan dengan momentum yang ada. Saya yakin, beberapa orang lagi akan ditonjolkan dalam muktamar akan datang untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa PAS memangnya menghargai mereka,” ujar beliau.

Bagi jurutera awam, Ir Hamdzah Abdul Rahman, golongan profesional Islam seharusnya bersama membantu PAS untuk menyumbang kepakaran mengikut bidang masing-masing sesuai PAS sebagai wadah politik Islam.

Menurut beliau yang juga Presiden Persatuan Anak Kelantan Perantauan (Perakan) Malaysia, pengalaman di Kelantan menunjukkan PAS mempunyai masa depan yang baik.

“Selepas 25 tahun, dapat mentadbir secara gandingan mantap antara agamawan dengan profesional. Maka masa depannya baik untuk rakyat,” katanya yang pakar dalam bidang struktur.

Manakala Pakar Perunding Perubatan Bius, Datuk Dr Suhaini Kadiman menyifatkan PAS sebagai parti yang mempunyai integriti dan perlu menggerakkan pimpinan serta jenteranya untuk menguasai isu-isu nasional hingga dekat dengan jiwa rakyat majoriti, di mana mungkin ada isu-isu dibangkitkan tetapi tidak sampai kepada rakyat.

“Golongan profesional percaya dengan integriti kepimpinan sedia ada dan yakin dengan potensi PAS yang perlu digilap supaya dilihat menjuarai isu nasional dan antarabangsa. Prinsip perjuangan PAS yang jelas perlu diharmonikan dengan pendekatan yang membina dan menyeluruh ke setiap lapisan masyarakat,” ujarnya melontar pandangan.

Kini katanya, para asatizah dalam PAS lebih mudah menerima pandangan daripada golongan profesional berbanding sebelum krisis dalam parti itu.

Namun nasihatnya, perlu lebih banyak diskusi untuk meningkatkan persefahaman serta melakukan pengurusan sumber manusia mengikut bidang-bidang kepakaran yang dilihat masih lemah.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) melihat PAS banyak melaksanakan agenda tapi promosi masih lemah, seperti mengadakan projek bersifat ‘one-off’ dan tidak berterusan, contohnya kempen anti polisterin.

Bagaimanapun katanya, PAS berpotensi besar untuk memimpin negara, maka pengurusan bidang profesional sangat penting.

Turut berkongsi pandangan ialah Ahli Majlis Industri Pertahanan Negara, Ahmad Amzad Hashim di mana menurutnya, PAS sejak ditubuhkan dilihat mengumpulkan pengaruh dari kalangan masyarakat kampung di luar bandar dan digerakkan oleh para ulama atau guru agama, tetapi kini menjadi parti yang menjadi pilihan lebih ramai profesional Muslim.

“Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pun pernah sebut pada 2013 bahawa lebih ramai kalangan doktor, peguam, jurutera memilih menyertai PAS berbanding Umno. Begitu juga Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa memangku Sultan Perak tahun 2013 pernah menitahkan pandangan mengenai PAS.

“Dalam Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, baginda menyebut PAS adalah parti yang terdiri dari ulama, profesional, teknokrat dan pelbagai kategori masyarakat yang setanding Umno, malah punya kelebihan ketinggian peribadi.

“Kongres Profesional Muslim pada 18 April 2015 di Auditorium MPAJ, Ampang yang disertai lebih 300 profesional pelbagai bidang telah membuat resolusi penting berkait halatuju dalam proses pembinaan negara yang maju, adil, aman dan harmoni, mesti menjadikan Islam sebagai asasnya,” ulas beliau yang juga Pengarah Urusan MSET Shipbuilding Corporation Sdn Bhd.

Maklumnya, lebih banyak forum profesional menyatakan dokongan terbuka kepada PAS selain sambutan positif para NGO kepada pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera diperkenalkan PAS.

Secara umum ujar Amzad, profesional hilang keyakinan kepada Umno dan lebih yakin kepada PAS untuk menjaga amanah kepimpinan negara pada masa hadapan.

Sementara Ketua Pegawai Eksekutif Sightech Sdn Bhd, Prof Dr Mohamad Khazani Abdullah menyatakan bahawa golongan profesional melihat kepada kemampuan PAS.

PAS menurutnya, dilihat sebagai badan yang mampu menggalas cabaran dan membawa perubahan negara di masa depan atas kosistensi dan ketegasan menjadikan Islam sebagai dasar.

Jelasnya, perbezaan pertimbangan fundamental antara PAS dengan parti lain merupakan elemen penting keyakinan profesional Islam terhadap PAS.

Perkara itu jelasnya, dapat dilihat pada integriti pentadbiran kerajaan diketuai PAS tidak terjadi kes salah laku berbanding parti lain yang terpalitskandal dan keraguan luar biasa. – HARAKAHDAILY 4/8/2016

#Rencana penuh dalam harakah cetak. Dapatkannya di pasaran