Bukan Bangsa Malaysia

MOHAMMAD SYAZWANNUDDIN SHAHARUDDIN | .

FESTIVAL Filem Malaysia yang ke-28, salah sebuah festival filem terbesar Malaysia mengumumkan pencalonan untuk setiap kategori yang dipertandinglan.

Isu yang paling hangat diperkatakan adalah beberapa kategori utama dipecahkan kepada 2 iaitu Bahasa Malaysia dan Bukan Bahasa Malaysia. Kategori tersebut adalah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Ia mengejutkan kerana sebelum ini hanya ada satu kategori khas iaitu Filem Terbaik Bukan Dalam Bahasa Melayu. Kategori itupun ramai yang mempertikaikan dan sepatutnya setiap filem Malaysia, dalam bahasa apa pun patut diletakkan dalam satu kategori.

Sejak dari dahulu lagi Festival Filem Malaysia dikritik kerana meminggirkan filem yang tidak menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya. Penganjur festival beralasan bahawa filem Malaysia mestilah menggunakan Bahasa Melayu namun pengkritik berhujah pula bahawa filem yang baik tidak tertakluk dengan bahasa yang digunakan.

Yang paling penting adalah kualiti penceritaan dan lakonan. Pada tahun ini sahaja terdapat 2 filem Malaysia yang sangat baik tanpa menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya iaitu Jagat, sebuah filem yang mengisahkan tentang kehidupan masyarakat Tamil di pinggiran serta The Kid from the Big Apple, sebuah filem yang mengisahkan tentang hubungan antara datuk dan cucu anak yang sudah lama tidak balik ke tanah air dan berlatarbelakangkan masyarakat Cina di bandar.

Ada yang berpendapat bahawa pemecahan tersebut adalah agenda syarikat penerbitan filem yang berbahasa Melayu untuk memastikan filem-filem mereka tercalon. Mereka tahu sekiranya mereka bersaing dalam kategori yang sama dengan filem yang bukan berbahasa Melayu, pastilah filem mereka susah untuk menang atau langsung tidak tercalon.

Pada pandangan penulis, filem-filem Melayu dalam beberapa tahun ini sudah tidak mendapat sambutan dalam kalangan peminat tempatan. Ada yang betul-betul popular seperti Polis Evo dan Boboiboy The Movie.

Ola Bola juga mendapat sambutan yang hangat walaupun menggunakan gabungan Bahasa Melayu dan Inggeris. Namun begitu, tidak dinafikan berlaku pengurangan filem Malaysia yang ditayangkan sejak tahun lepas sehingga sekarang, baik yang berbahasa Melayu atau selainnya.

Ada sesetengah filem yang sangat tidak laku sehingga pihak pawagam menarik balik tayangan hanya selepas seminggu sahaja di pawagam. Antara kisah filem yang paling menyedihkan adalah Redha, di mana filem ini sangat berkualiti tinggi dan dilakonkan dengan baik oleh Nam Ron.

Namun ia hanya bertahan 2 minggu sahaja di pawagam. Penulis teringat sebulan selepas Redha ditayangkan, ada seorang kawan yang mengatakan mahu menonton filem tersebut namun malangnya beliau tidak tahu bahawa filem tersebut telah tiada di pawagam.

Beliau sama seperti rakyat Malaysia lain yang menyangka bahawa setiap filem akan berkekalan di pawagam  dalam jangka masa yang panjang. Namun filem yang lama ditayangkan di pawagam hanyalah filem Hollywood yang popular seperti Captain America: Civil War dan Batman v Superman.

Manakala kebanyakan filem Malaysia sekiranya minggu pertama pun sudah tidak laku, pastilah pawagam merasakan kerugian bagi pihak mereka dan menarik balik filem tersebut. Penulis sendiri yang mahu menonton filem Dukun Dr Dani arahan Sabri Yunus berkemungkinan terlepas filem tersebut kerana khabarnya filem itu telah banyak ditarik balik.

Yang bagusnya filem Jagat pula berjaya berkekalan di pawagam hampir 2 bulan kerana promosi media sosial dan cakap-cakap orang. Penulis sendiri hanya menonton Jagat sebulan selepas ditayangkan selepas terbaca tentang filem tersebut di media sosial.

Mungkin ada orang lain yang lebih berkelayakan untuk menulis tentang kondisi filem Malaysia pada masa kini. Namun dalam tulisan ini, penulis mahu memfokuskan tentang pemisahan bahasa yang dibuat dalam Festival Filem Malaysia yang terbaru kali ini.

Pertama adalah mengenai istilah “Bukan Bahasa Malaysia.” Apa contoh bahasa yang bukan Bahasa Malaysia? Adakah selain daripada Bahasa Melayu? Penulis berfikir bahawa istilah Bahasa Malaysia juga salah kerana istilah tersebut boleh juga dimasukkan sekali bahasa-bahasa lain yang digunakan oleh rakyat Malaysia seperti Bahasa Tamil dan Bahasa Mandarin.

Malah penggunaan istilah Bahasa Malaysia juga memisahkan kita dengan sejarah filem Melayu yang bermula daripada Singapura. Sebab itu lebih baik menggunakan istilah “Filem Melayu” kerana ia lebih luas dan mempunyai sejarah yang panjang.

Tetapi kemudian istilah Filem Melayu juga tidak tepat pada masa sekarang kerana banyak filem-filem Malaysia kini juga dalam bahasa yang lain. Sebab itu ramai yang menggunakan istilah “industri Filem Malaysia” untuk meluaskan makna skop perfileman di Malaysia.

Kontroversi yang berlaku baru-baru ini menunjukkan rakyat Malaysia masih dalam proses mencari identiti sebenar budaya dan kesenian kita.

Penulis teringat dalam sebuah syarahan bertajuk Pembinaan Bangsa Malaysia: Aspirasi dan Realiti oleh Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil, Professor Adjung Universiti Selangor (UNISEL). Beliau banyak menyentuh tentang betapa rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu tidak serius dalam membina bangsa Malaysia.

Ia hanyalah istilah yang timbul apabila hendak meraih sokongan politik. Hatta dalam gagasan Wawasan 2020 juga disebut tentang agenda Bangsa Malaysia namun apabila berlaku konflik, rakyat Malaysia kembali dalam kepompong kaum masing-masing.

Beliau juga mengkritik orang Melayu yang terlampau selesa dengan segala bantuan walaupun ada sesetengah orang Melayu yang berjaya dalam bidang masing-masing tanpa keistimewaan.

Sehinggakan beliau pernah bermimpi bahawa pada masa depan, orang Melayu sendiri akan menolak keistimewaan tersebut demi kemajuan bangsa sendiri. Beliau tahu bahawa selagi orang Melayu ditongkat dengan keistimewaan, orang Melayu tidak akan berubah.

Memang persoalan tentang Bangsa Malaysia memerlukan kefahaman rakyat bawahan serta kemahuan orang politik. Ia bukan sekadar perkara yang kita raikan semasa bulan kemerdekaan atau pada waktu-waktu perayaan untuk menunjukkan yang negara kita mempunyai pelbagai kaum dan agama.

Namun unsur penting dalam pembinaan Bangsa Malaysia adalah penerimaan dan meraikan kepelbagaian tersebut dalam segala bidang, bukan mengikut tempat yang kita hendak sahaja. Ia akan dilihat tidak adil oleh orang lain apabila orang Melayu diletak dalam satu kelompok, orang bukan Melayu pula dalam satu kelompok.

Malah tindakan inilah yang akan merenggangkan hubungan antara kaum, bukan sangat menjamin kedudukan istimewa orang Melayu. Mengenai perjuangan Bahasa Melayu pula, adakah filem yang bukan berbahasa Melayu itu meminggirkan Bahasa Melayu?

Memanglah mereka akan berbahasa Tamil atau Mandarin dalam kalangan keluarga dan rakan mereka. Namun apabila mereka berinteraksi dengan kaum lain, mereka akan berbahasa Melayu atau Inggeris.

Perkara ini boleh dilihat dalam filem Jagat dan Ola Bola. Ini menunjukkn Bahasa Melayu telah diterima oleh semua kaum di Malaysia sebagai bahasa komunikasi yang penting.

Akhirnya soal meningkatkan kualiti filem di Malaysia adalah tugas semua kaum. Dan ia akan dibikin dalam pelbagai bahasa kerana filem itu menunjukkan wajah masyarakat di sesebuah tempat dan mengikut zaman. – HARAKAHDAILY 7/8/2016