Ke arah negara mesra OKU

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

SAYA merakamkan setinggi terima kasih kepada pihak Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Kebajikan Masyarakat KPWKM yang telah melancarkan Pelan Tindakan OKU Kebangsaan 2016-2022 pada 9 Ogos 2016.

Yang ketara, pelan jangka sederhana yang dilancarkan ini adalah bertitiktolak daripada komitmen-komitmen kerajaan di peringkat antarabangsa umumnya dan serantau, khususnya dalam menandatangani Incheon Strategy.

Antara teras dalam Incheon Strategy bagi menjadikan hak-hak kepada OKU suatu realiti termasuklah penyertaan OKU dalam proses membuat keputusan dan politik. Saya penuh yakin, Pelan jangka sederhana ini telah mengambilkira hal-hal tersebut.

Apa yang perlu diberi perhatian, sejauhmanakah seluruh pihak sama ada kerajaan, badan-badan siasah, badan-badan bukan kerajaan dan seluruh Masyarakat bersedia memenuhi tanggungjawab dalam pelan yang dirangka ini?

Dalam memenuhi aspirasi yang termaktub dalam pelan jangka sederhana ini, peranan kerajaan selaku pemudahcara dan pencetus kepada perencanaan jangka sederhana tersebut amatlah diperlukan bagi memastikan pelan yang dirangka benar-benar berkesan.

Justeru, saya mencadangkan hal-hal berikut diambilkira:

i.Memperkasa fungsi dan kewujudan Majlis Kebangsaan OKU yang ditubuhkan di bawah Akta OKU 2008.
ii.Memastikan Majlis Kebangsaan OKU benar-benar mewakili suara OKU pelbagai kategori.
iii.Menzahirkan peranan yang lebih berkesan yang boleh dimainkan oleh Senator OKU agar dapat menjadi penghubung berkesan antara komuniti OKU dan pihak berkuasa.
iv.Mengadakan jalinan hubungan yang lebih akrab dengan badan-badan siasah agar kefahaman berkaitan isu-isu OKU itu lebih menyeluruh dan tersebar.
v.Mengadakan sidang NGO OKU agar kepelbagaian NGO OKU yang ada dapat diselaras dan disepadukan.

Dengan pelancaran Pelan Tindakan OKU Kebangsaan 2016-2022, amatlah saya berharap agar penggerak-penggerak OKU lebih bersedia untuk menggarap suatu usaha yang berpadu ke arah suatu perubahan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara “Mesra OKU”. – HARAKAHDAILY 11/8/2016