Olimpik, pingat dan rukun bai'ah

MUHTAR SUHAILI | .

HARI ini antara topik hangat dibincangkan ialah Sukan Olimpik Rio 2016. Tahniah kepada atlit yang telah mengharumkan nama negara dan berjaya mendapat pingat: Gandingan Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang mendapat Perak dalam acara terjun 10 meter platform seirama wanita, Azizulhasni Awang yang mendapat Gangsa dalam acara berbasikal keirin lelaki serta pasangan Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang mendapat Perak dalam acara badminton beregu campuran.

Kita juga mengucapkan selamat berjaya kepada prospek Pingat Emas Malaysia: Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton perseorangan lelaki, pasangan Tan Wee Kiong dan Goh V Shem dalam acara badminton beregu lelaki serta Pandelela Rinong dalam acara terjun 10 meter platform wanita.

Antara yang menarik bila melihat temubual bersama kebanyakan atlit yang berjaya di Rio ini ialah tentang rahsia kejayaan mereka. Di sebalik tangisan kerana kegembiraan atau senyuman yang terpancar di wajah mereka, salah satu perkara yang sinonim yang disebut ialah mereka telah melakukan pengorbanan dan membuat persiapan yang terbaik untuk sampai ke tahap hari ini.

Ada yang berlatih bersungguh-sungguh tanpa mengira penat dan lelah, ada yang terpaksa berjauhan dengan keluarga tercinta, ada yang menangguhkan pengajian untuk fokus kepada persiapan menuju Olimpik, ada yang berkorban wang ringgit untuk berlatih di luar negara untuk mendapatkan latihan bertaraf dunia dan fasiliti terbaik serta pelbagai lagi bentuk pengorbanan menuju kejayaan.

Demikian jualah dengan perjuangan Islam, bahkan ia harusnya lebih daripada itu. Rukun Bai'ah kita ada sepuluh, hafalkanlah: Fahm (pemahaman), Ikhlas, Amal (aktiviti), Jihad, Tadhiyah (pengorbanan), Taat (kepatuhan), Tsabat (keteguhan), Tajarrud (kemurnian), Ukhuwwah dan Tsiqah (kepercayaan). Maka, dalam kita beristiqamah menuju kemenangan, salah satu elemen penting yang membawa kepada kejayaan Islam sejak zaman-berzaman ialah adalah tadhiyah iaitu pengorbanan.

Imam Hassan Al-Banna dalam memperincikan makna Tadhiyah menyatakan:

“Yang saya maksudkan dengan tadhiyah (pengorbanan) adalah pengorbanan jiwa, harta, waktu, kehidupan dan segala sesuatu yang dipunyai oleh seseorang untuk meraih tujuan. Tidak ada perjuangan di dunia ini kecuali harus disertai dengan pengorbanan. Demi fikrah kita, janganlah engkau mempersempit pengorbanan, kerana sungguh ia memiliki balasan yang agung dan pahala yang indah.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam Kitab Suci Al-Qur’an:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (Surah At Taubah, ayat 111)

“Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” (Surah At-Taubah, ayat 24)

Dengan demikian engkau mengetahui makna slogan abadimu: “Al-mautu fi sabilillah asma amanina”, “Gugur syahid di jalan Allah adalah setinggi-tinggi cita-cita kami”.

Berikut ini adalah prinsip-prinsip yang sentiasa dipegang teguh oleh Imam Hassan Al-Banna dalam dakwahnya:

Saya meyakini: “Sesungguhnya segala urusan bagi Allah. Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam junjungan kita, penutup para Rasul yang diutus untuk seluruh umat manusia. Sesungguhnya hari pembalasan itu haq (akan datang). Al-Qur’an itu Kitabullah. Islam itu perundang-undangan yang lengkap untuk mengatur kehidupan dunia Akhirat.”

Saya berjanji: “Akan mengarahkan diri saya sesuai dengan Al-Qur’an dan berpegang teguh dengan Sunnah suci. Saya akan mempelajari Sirah Nabi dan para sahabat yang mulia.”

Saya meyakini: “Sesungguhnya istiqamah, kemuliaan dan ilmu itu sebahagian dari sendi Islam.”

Saya berjanji: “Akan menjadi orang yang istiqamah yang menunaikan ibadah serta menjauhi segala kemungkaran. Menghiasi diri dengan akhlak-akhlak mulia dan meninggalkan akhlak-akhlak yang buruk. Memilih dan membiasakan diri dengan kebiasaan-kebiasaan Islami semampu saya. Mengutamakan kekeluargaan dan kasih sayang dalam berhukum dan di pengadilan. Tidak akan pergi ke pengadilan kecuali jika terpaksa, akan selalu mengumandangkan syiar-syiar Islam dan bahasanya. Berusaha menyebarkan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk seluruh lapisan umat ini.”

Saya meyakini: “Seorang Muslim dituntut untuk bekerja dan mencari nafkah, di dalam hartanya yang diusahakan itu ada haq dan wajib dikeluarkan untuk orang yang memerlukan dan orang yang tidak berkemampuan.”

Saya berjanji: “Akan berusaha untuk keperluan kehidupan saya dan sentiasa berhemat untuk masa depan saya. Akan menunaikan zakat harta dan menyisihkan sebahagian dari usaha itu untuk kegiatan-kegiatan kebajikan. Akan menyokong semua projek ekonomi yang Islami, dan bermanfaat serta mengutamakan hasil-hasil produk dalam negeri dan negara Islam lainnya. Tidak akan melakukan transaksi riba dalam semua urusan dan tidak melibatkan diri dalam kemewahan yang di luar kemampuan saya.”

Saya meyakini: “Seorang Muslim bertanggungjawab terhadap keluarganya, di antara kewajibannya menjaga kesihatan, aqidah dan akhlak mereka.”

Saya berjanji: “Akan bekerja untuk hal tersebut dengan segala upaya. Akan menghidupkan syiar ajaran-ajaran Islam pada seluruh keluarga saya, dengan pelajaran-pelajaran Islami. Tidak akan memasukkan anak-anak saya ke sekolah yang tidak dapat menjaga aqidah dan akhlak mereka. Akan menolak seluruh media massa, buletin-buletin dan buku-buku serta tidak berhubungan dengan perkumpulan-perkumpulan yang tidak berorientasi kepada ajaran Islam.”

Saya meyakini: “Di antara kewajiban seorang Muslim ialah menghidupkan kembali kejayaan Islam dengan membangkitkan bangsanya dan mengembalikan syariatnya, panji-panji Islam harus menjadi ikutan umat manusia. Tugas seorang Muslim mendidik masyarakat dunia menurut prinsip-prinsip Islam.”

Saya berjanji: “Akan bersungguh-sungguh dalam menjalankan risalah ini selama hidupku dan mengorbankan segala yang saya miliki demi terlaksananya misi (risalah) tersebut.”

Saya meyakini: “Bahawa kaum Muslimin adalah umat yang satu, yang diikat dalam satu aqidah Islam, bahawa Islam yang memerintahkan pemelukya untuk berbuat baik (ihsan) kepada seluruh manusia.”

Saya berjanji: “Akan mengerahkan segenap upaya untuk menguatkan ikatan persaudaraan antara kaum Muslimin dan mengikis perpecahan dan sengketa di antara golongan-golongan mereka.”

Saya meyakini: “Sesungguhnya punca kemunduran umat Islam ialah kerana jauhnya mereka dari “ad-din” (agama) mereka, dan hal yang mendasar dari pembaikan itu adalah kembali kepada ajaran Islam dan hukum-hukumnya, itu semua hanya mungkin dilaksanakan apabila setiap kaum Muslimin bekerja ke arah cita-cita tersebut.”

Demikianlah sewajarnya kita memahami tadhiyah (pengorbanan) sebagai abna’ul harakah. Semoga kita semua beroleh taufiq dan hidayah dalam melaksanakan serta melunaskan tuntutan perjuangan. – HARAKAHDAILY 18/8/2016