OKU, dukungan masyarakat amat kami perlukan

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

TEPAT jam 7:25 pagi, 15 Ogos lalu, pesawat Malaysia Airline yang saya naiki mula meninggalkan Lapangan Terbang Kuala Lumpur KLIA menuju Tawau. Pemergian saya ke Tawau kali ini  adalah khusus bagi meneruskan program pengajian AlQuran Braille bagi tenaga sukarelawan kami di Bandar Timur Sabah itu.

Sebaik tiba di Tawau, program kami terus dimulakan dengan sesi pertama pada 2:30 petang, hari yang sama. Apa yang ingin saya nukilkan kali ini adalah penglaman istimewa yang Allah SWT kurniakan pada keesokan hari harinya.

Sebaik dimulakan sesi pagi sekitar jam 8:30, kami telah didatangi seorang anak OKU penglihatan yang menjadi salah seorang pelajar di pusat pengajian Kafa yang kami jalankan.

Sebaik anak kecil ini duduk di sebelah saya, tiba-tiba saya rasa cukup terharu. Pelbagai rasa mula menyelubungi perasaan di waktu itu.

Anak perempuan yang Allah kurniakan mata yang tidak melihat itu pada awalnya begitu sipu bila bersama kami. “Mungkin malu kat kamu tu…”. Nyata seorang sukarelawan yang merupakan bakal tenaga pengajar kami kepada saya.

Pergerakan anak perempuan ini yang selayaknya sebagai seorang yang tidak berpenglihatan tiba-tiba amat menyentuh hati saya. “Ya Allah, kau kurniakan aku anak yang pada sisi manusia sempurna, tiada kecacatan. Tidak seperti anak ini, dan tidak seperti diriku sendiri.”.

Pada tika itulah, saya terfikir dan terlintas perasaan ibu bapa saya pada ketika saat-saat mereka tahu bahawa mereka dikurniakan Allah anak yang buta sebagai membuktikan kekuasaan-Nya. Kian bercampur perasaan saya ketika itu. Betapa berat tanggungan perasaan seorang ibu bapa yang Allah uji dengan anak yang ditakirkan cacat.

Perasaan saya diberatkan lagi bila anak kecil itu begitu menunjukkan minat dan impiannya untuk bersekolah. Luluh hati saya sebaik ia bermalam bersama para sukarelawan dan ingin terus bersama kami sebaik tiba waktu pulang.

“Alia tak mahu pulang. Alia nak belajar lagi di sini”. Rintih Alia. “Alia balik dulu ya. Esok datang lagi. Kita beljar banyak lagi,” pujuk sukarelawan kami.

Setelah reda, anak kecil ini meninggalkan kami dengan membawa semangat yang tidak pernah luntur. Apa yang saya rasai dan impian yang membara pada Alia bukanlah asing pada keluarga OKU.

Itulah yang ingin saya sampaikan kepada sekalian pembaca. Sememangnya ibu bapa yang dikurniakan anak-anak OKU amat memerlukan sokongan masyarakat sekeliling bagi membantu mereka membesarkan anak tersebut bersama potensi yang ada dalam diri.

Apa yang amat mendukacitakan, masih ramai ibu bapa yang dikurniakan Allah anak-anak OKU begitu bersendiri dalam menempuh ujian yang berat ini. Rata-ratanya mereka tidak ketahuan ke mana mahu dituju apabila dikurniakan anak OKU.

Ia diberatkan lagi apabila masyarakat di sekeliling banyak tidak membantu meringankan apa yang ditanggung oleh ibu bapa anak-anak OKU. Lebih malang, hal sebegini jarang sekali diambil perhatian oleh pimpinan masyarakat setempat.

Kelazimannya ibu bapa inilah yang terpaksa mencari ke sana ke mari berkaitan maklumat yang diperlukan bagi membantu anak-anak OKU mereka. Menyedari kekosongan inilah, melalui gabungan usaha pelbagai pihak, program pembangunan OKU kami usahakan.

Dalam kesempatan inilah, saya merakamkan setinggi rasaa syukur dengan adanya kumpulan sukarelawan yang begitu kuat iltizamnya di Tawau. Lebih menarik, antara penggerak utama kumpulan sukarelawan ini adalah pimpinan utama Parti Islam Se-Malaysia PAS kawasan Tawau.

Apa yang dilakukan oleh pimpinan PAS Tawau wajar menjadi ikutan dan contoh kepada kawasan-kawasan dan pihak-pihak lain.

Bahkan kecaknaan kepada keperluan pembangunan OKU ini wajar disertai oleh setiap parti siasah di Malaysia. Setidak-tidaknya sebagai pimpinan politik kalian akan lebih memahami keperluan dan cabaran yang didepani oleh individu OKU dan keluarga mereka.

Kecaknaan itulah kelak akan menjadi perangsang utama ke arah perencanaan dan perlaksanaan dasar yang lebih menyeluruh bagi memenuhi keperluan OKU yang pelbagai kategori.

Kepada seluruh masyarakat, kebersamaan anda amatlah kami dambakan. Selain sokongan berupa kewangan, anda boleh juga bersama kami dengan menyumbangkan kepakaran dan tenaga untuk memperhebatkan lagi program yang kami jalankan.

Kepada yang ingin bersama, teruslah hubungi saya melalui talian tangan 0129376539 atau email ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. . – HARAKAHDAILY 22/8/2016