Zika: Antara 400 miskin tegar dan RM650 juta taman tugu

M AZWANI ABD RANI | .

KHAZANAH Nasional adalah merupakan institusi dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia, peranan yang hampir sama dimainkan 1MDB. Baru-baru ini, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) telah mengeluarkan laporan keadaan isi rumah berkaitan pendapatan isi rumah, tenaga kerja, pemilikan hartanah dan lain lain yang berkaitan.
 
Antara perkara yang terdapat dalam laporan ini adalah pendapatan isi rumah Malaysia bagi tahun 2014 meningkat sebanyak RM1,141 kepada RM6,141 sebulan berbanding RM 5,000 pada 2012, hasil peningkatan sumbangan pemindahan tunai seperti pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta hartanah dan pelaburan.

Mengikut Laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bertajuk Keadaan Isi Rumah II, kadar peningkatan kelompok kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah adalah yang paling pantas. Lebih menakjubkan lagi jumlah isi rumah yang tergolong dari kelompok miskin tegar hanyalah 400. Ya, 400 sahaja!!!
 
Jumlah ini agak berbeza berbanding dengan jumlah miskin tegar, sebagaimana dilapor oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah, di Sarawak sahaja jumlah miskin tegar adalah seramai 110,292 isi rumah (pada 2014). Malahan kerajaan Perak sendiri mempersoalkan angka dalam laporan ini, yang meletakkan negeri itu kedua termiskin dengan pendapatan 81% adalah dibawah RM6K.
 
 Rujukan:
http://www.hmetro.com.my/node/162771 ( Harian Metro-Hanya 400 masih miskin tegar)
http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/utara/perak-negeri-kedua-termiskin-laporan-kri-tidak-logik-1.559252
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20140929/wb_03/110292-isi-rumah-miskin-tegar-di-Sarawak---Fatimah
http://www.utusansarawakonline.com/news/35573/2500-miskin-tegar-miskin/
 
Tatkala kredibiliti laporan KRI dipersoal, rakyat dikejutkan pula dengan laporan projek Taman Tugu bernilai RM650 juta, hasil sumbangan sosial korporat Khazanah. Maka persoalan bermain diminda rakyat, adakah laporan Khazanah melalui KRI telah digunapakai sebagai justifikasi untuk pelaburan Tama Tugu ini?
 
Adalah lebih elok, dalam keadaan ekonomi kian buruk ini, jumlah pelaburan projek ini digunakan untuk membantu rakyat miskin dalam negara. Bayangkan jika 400 isi rumah ini diberi RM1 juta (400 x RM1 juta), secara automatik jumlah miskin tegar negara, kalau mengikut data KRI, akan menjadi sifar. 400 isi rumah ini akan terus berdiri sebaris dengan jutawan sukan negara yang berjaya di Olimpik lalu.

Di Sarawak, tatkala UPSR baru bermula, sebuah sekolah SK Bario hangus dijilat api. Kalaulah peruntukan CSR Khazanah sebanyak 2 juta mampu disalurkan, pasti fasiliti baru bakal dinikmati penduduk di sana.
 
Khazanah Nasional perlulah melihat sekali lagi keperluan pelaburan Taman Tugu ini dan projek ini harus dibatalkan serta merta dan kewangan ini disalur ke arah membantu keperluan rakyat Malaysia yang memerlukan.

Jangan nanti, hanya mengenyangkan kontraktor-kontraktor yang dekat dengan Umno/BN, menyapu bersih dari tender pembinaan dan tender membekal buruh PATI 1.5 juta yang dibekalkan agen lantikan kroni, tatkala rakyat dihimpit masalah ekonomi yang amat mendesak.
 
Jangan nanti disaat rakyat bimbang dengan virus Zika, rakyat kebanyakan menganggap pula, pemimpin dalam Khazanah Nasional kini sudah hilang akal dan iman. Sesuai diberi nama virus “ZIKHA” - ZERO IMAN/INTELLIGENCE KHAZANAH. – HARAKAHDAILY 6/9/2016
 
Penulis ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak dan Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Sarawak