Pemergian 'Sang Murabbi' undang kesedihan ummah

USTAZ MOHAMMAD IBRAHIM | .

TANGGAL 16 September, tatkala seluruh Malaysia meraikan Ulang Tahun Hari Malaysia, negara dikejutkan dengan pemergian insan yang digelar sebagai 'Murabbi Ummah' dan 'Mutiara Ummah', Tuan Guru Datuk Dr Haron Din Al-Hafiz.

Pemergian insan hebat ini disambut dengan tangisan oleh seluruh pejuang Islam di bumi Malaysia dan mereka yang cukup mengenali keperibadian dan ketokohan Almarhum Tuan Guru Dr Haron Din.

Tautan Rahmat melahirkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum khususnya kepada isteri dan anak-anak almarhum yang sesungguhnya sedang bersedih dengan kehilangan insan yang juga menjadi 'bapa ummah' ini.

Tautan Rahmat merasai kehilangan ini, apatah lagi Almarhum Tuan Guru Dr Haron Din adalah insan yang pertama merestui dan merasmikan pertubuhan ini pada September 2014 di Surau An Nur, Bandar Baharu Bangi.

Dua tahun lalu, Tautan Rahmat secara rasminya bergelar pertubuhan dan melalui tangan insan yang bergelar Murabbi Ummah itulah Tautan Rahmat mencipa rentak meredah onak badai melayarkan perjuangan membawa sinar dakwah di muka bumi Malaysia.

Sesungguhnya kami warga Tautan Rahmat akan terus merindui dirimu wahai Murabbi Ummah. Bersemadilah dirimu wahai mutiara ummah, kami akan meneruskan gemilang jalan dakwahmu yang dibina sekian lama. Alfaatihah. – HARAKAHDAILY 17/9/2016

Penulis adalah Presiden Tautan Rahmat