Politik baru yang telah usang

MOHD ZUHDI MARSUKI | .

SETELAH berlalu empat kali Pilihan Raya Umum (PRU) sejak PRU ke-10 pada tahun 1999, ramai politikus dan ilmuwan mula berwacana tentang teori kemunculan politik baru di Malaysia. Wacana tentang politik baru ini bermula dengan debat-debat politik dan forum-forum ilmiah, kemudian disusuli dengan rencana-rencana akademik oleh para politikus dan ilmuwan.

Beberapa nama besar dalam arena politik dan subjek Sains Politik terlibat menonjolkan teori tentang kemunculan politik baru ini seperti Mohd Yusof Kasim, Francis Loh Kok Wah, Johan Saravanamuttu, Marzuki Mohamad, Saifuddin Abdullah, Azly Rahman dan lain-lain. Meskipun mempunyai sedikit kepelbagaian pandangan tentang teori itu, kesemua mereka kelihatan sepakat tentang kewujudan sebenar politik baru tersebut.

Kemunculan politik baru di Malaysia dikatakan bermula sejurus selepas berlakunya Gerakan Reformasi 1998 yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim. Bagaimanapun, menurut Mohd Yusof Kasim, faktor utama yang menyebabkan berlakunya kemunculan politik baru ini ialah kesan daripada pengaruh modenisasi dan globalisasi terhadap masyarakat Malaysia yang berlaku lebih awal.

Dampak kedua-dua faktor ini menyebabkan berlakunya keputusan yang mengejutkan pada PRU ke-10 tahun 1999, bila mana nilai sejagat seperti keadilan, ketelusan dan kepentingan umum menjadi penentu, bukan lagi isu perkauman, kewilayahan dan pengkelasan masyarakat. Penekanan kepada nilai sejagat dan penolakan kepada perkauman yang sempit dikatakan menjadi identiti baru kepada politik Malaysia.

Pandangan ini turut dikongsi oleh Francis Loh Kok Wah dan Johan Saravanamuttu dalam buku yang disunting mereka “New Politics in Malaysia”. Mereka melihat kemunculan politik baru ini ditunjukkan oleh kewujudan budaya berpolitik baru sejak awal 1990-an, yang kemudiannya disusuli oleh perubahan institusi politik dan penyertaan masyarakat sivil.

Faktor utama yang mencorakkan kemunculan budaya politik baru ini ialah perubahan pembangunan yang pesat atau developmentalism sehingga menjadikan masyarakat Malaysia lebih celik sebagai pengundi dan pengguna. Mereka lebih mengutamakan kelestarian pembangunan dan kestabilan politik menjamin kelestarian tersebut. Perubahan ini juga menjadi titik akhir kepada politik lama yang diwarnai oleh faktor kaum dan perbekalan prasarana asas.

Teori tentang kemunculan politik baru ini mulai goyah apabila Barisan Nasional (BN) memperolehi kemenangan besar dalam PRU ke-11 tahun 2004. Sebelum daripada itu telah berlaku beberapa situasi anti-tesis kepada teori kemunculan politik baru ini iaitu penarikan diri DAP dari Barisan Alternatif (BA), kemunculan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) yang dikaitkan dengan PAS dan pemberontakan kumpulan al-Maunah.

Senario politik Malaysia juga turut terkesan dengan peristiwa pengeboman World Trade Centre (WTC) pada 11 September 2001 yang kemudiannya membawa kepada Perang Teluk Kedua. Melihat kepada situasi yang berlaku sebelum PRU ke-11 ini, Francis Loh dalam Aliran Monthly menyatakan kemunculan politik baru di Malaysia ini masih dihambat dan disaingi oleh budaya politik lama.

Bagaimanapun, keputusan PRU ke-12 tahun 2008 seperti menjadi satu keputusan bahawa politik baru telah menang mengatasi politik lama di Malaysia. Dalam mengulas perkara ini, Marzuki Mohamad dalam sebuah artikelnya bertajuk “Menyelami Makna Politik Baru”, telah cuba memperkukuhkan teori ini dengan membuat unjuran perkembangan politik baru tersebut sejak awal 1990-an.

Beliau berusaha untuk membuktikan fenomena pengundian merentasi kaum telah wujud di Malaysia khususnya selepas keputusan PRU ke-12. Kewujudan dua gabungan politik utama yang merentasi kaum juga menjadi satu petunjuk tentang kemunculan politik baru tersebut. Namun begitu, beliau tidak meyakini faktor kaum dan lain-lain elemen politik lama akan lenyap begitu sahaja dalam politik Malaysia.

Wacana tentang teori kemunculan politik baru ini disegarkan lagi oleh Saifuddin Abdullah dalam bukunya “Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia”. Ketika beliau menulis buku ini, beliau adalah seorang ahli parlimen BN dan berada dalam Kerajaan Malaysia. Teori politik baru yang dikemukakan oleh beliau lebih ke hadapan dengan memberikan apakah idealism dan identiti politik yang perlu dicapai sebagai melengkapkan perubahan daripada politik lama kepada politik baru.

Beliau menekankan pencapaian kematangan demokrasi melalui politik berasaskan ilmu, urus tadbir berintegriti, keterlibatan semua pihak dalam membuat keputusan dan lain-lain. Idealisme dan identiti yang cuba diketengahkan sememangnya unggul, tetapi situasi sebenar yang berlaku dalam politik Malaysia sebenarnya masih jauh.

Realiti sebenar yang berlaku dalam politik Malaysia cuba digambarkan oleh Azly Rahman dalam bukunya “Controlled Chaos: Essays on Malaysia’s New Politics Beyond Mahathirism and the Multimedia Super Corridor”. Beliau telah membangkitkan beberapa isu yang menghambat kemunculan politik baru di Malaysia seperti isu Hudud, penginstitusian Islam, dasar-dasar moral dan lain-lain.

Isu-isu yang dibangkitkan ini selain daripada melibatkan parti-parti politik, turut melibatkan golongan masyarakat sivil yang semakin memainkan peranan besar dalam politik Malaysia sebagaimana disebut oleh Meredith L. Weiss dalam artikelnya “Edging Toward New Politics in Malaysia”. Persoalan yang pasti timbul di sini, adakah politik baru yang cuba diketengahkan ialah politik yang mencabut susur-galur sejarah dan akar-umbi budaya yang membentuk negara Malaysia?

Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan perbezaan agama telah menjadi contoh sebuah negara yang harmoni dan damai. Kestabilan politik yang wujud di negara ini telah menjadikan ekonomi kita terus makmur dan membangun. Masyarakat yang majmuk pula terus hidup aman dan berjatidiri.

Dengan tidak menafikan berlaku kebejatan dalam berpolitik, kepincangan dalam pengurusan ekonomi dan juga kemerosotan dalam kehidupan bermoral, kestabilan tetap menjadi keutamaan yang tidak boleh ditukar ganti. Politik baru yang didambakan oleh masyarakat Malaysia bukanlah politik yang akan mencetuskan ketidakstabilan, seterusnya menghuru-harakan kehidupan masyarakat dan menjerumuskan negara dalam kancah persengketaan.

Sekiranya politik baru yang muncul itu dengan mengorbankan kestabilan, maka politik itu sebenarnya kembali kepada zaman 1940-an, 1950-an dan 1960-an. Ia tidak selayaknya dinamakan politik baru tetapi lebih sesuai dinamakan politik usang. Politik baru yang didambakan ialah wajah segar politik Malaysia yang menjamin kestabilan seterusnya mewujudkan keharmonian, ketelusan dan keadilan. Politik seperti ini perlu dicari, bukannya ia muncul secara tidak disedari.

Politik ini mestilah berjatidiri Malaysia, bukannya diimport dari dunia Barat yang asing. Dengan penegasan yang lebih jelas, politik baru di Malaysia adalah pengukuhan dan penyegaran kepada susur-galur sejarah dan akar-umbi budaya yang telah membentuk Malaysia dan masyarakatnya. – HARAKAHDAILY 15/12/2016