Ujian mengangkat kedudukan hamba di sisi Allah

IZWAN ABDUL HALIM | .

BANJIR besar yang melanda merupakan ujian daripada Allah Taala dan ia tidak boleh dijadikan satu kesempatan untuk membezakan antara satu sama lain.

Dalam ayat 155 surah al-Baqarah, ujian ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, nyawa dan hasil tanaman adalah daripada Allah, yakni ia menjadi berita gembira kepada orang yang sabar dan berserah diri pada Allah dan mereka itu mendapat rahmat serta petunjuk-Nya.

Menunjukkan bahawa, ujian Allah Taala kena pada semua, tak kira orang baik, orang jahat. Kita tidak boleh mengganggap apabila Nabi Nuh AS tidak berjaya mengislamkan anak-anaknya, ditenggelamkan; Nabi Nuh gagal dalam dakwah. Tak boleh kata (begitu).

Kemudian Nabi Ibrahim, tak boleh nak mengislamkan ayah dia, kita tak boleh kata Nabi Ibrahim gagal. Nabi Ayub AS ditimpa penyakit, anak-anak dia mati, (kata) ini Nabi Ayub tak betul. Tak boleh (kata begitu), ini salah.

Kejadian banjir tersebut adalah peraturan alam yang Allah jadikan untuk menguji dan mencuba manusia.

Orang yang ditimpa bencana perlu bersabar dan yang tidak ditimpa bencana wajib bersyukur dan kedua-duanya mendapat pahala.

Yang tidak ditimpa bencana, membantu mereka yang mengalami bencana. Inilah yang diatur oleh Allah SWT untuk menambah pahala dan fadilat kepada manusia. Dan kita terima hakikat ini.

Pernah berlaku kemarau pada zaman Khalifah Umar al-Khattab RA hingga menyebabkan harga barang-barang naik, berlaku inflasi, hasil pertanian dan penternakan yang menjadi sumber pendapatan negara berkurangan.

Saiyidina Umar sangat sedih padahal dia telah memerintah dengan sangat adil dan bermuhasabah terhadap kesilapannya.

Malah, Umar pada masa itu, tidak makan minyak sapi kerana bersimpati terhadap rakyat dan merasai susah bersama-sama.

Dia (Umar RA) tak senang walaupun dia pemimpin. Dan dia memikul bebanan bersama rakyat dan dia tangani ujian itu dengan baik. Di antaranya dia berjaya menurunkan harga gandum di Madinah. Dia membatalkan cukai gandum.

Apabila batal cukai gandum, bermakna peniaga-peniaga banyak bawa gandum ke Madinah dengan tujuan untuk untung apabila tak ada cukai. Akhirnya gandum berlonggok di Madinah, harga turun. Ini adalah usaha Umar menangani masalah ekonomi di negaranya.

Saya bersyukur kerana ramai pihak telah menunjukkan kerjasama yang sangat baik dan rakyat Kelantan pula menerima dengan sabar ujian banjir tersebut.

Nabi SAW pernah menyebut bahawa apabila Allah SWT sayangkan hamba-Nya, maka semakin diuji hamba itu.

Apabila kena uji banyak, menandakan Allah sayang pada kita. Allah sayang dan Allah kasih pada kita untuk menambah fadilat kepada kita. Ada juga orang apabila ditimpa bala, bertambah dosanya, ada orang macam itu. Terpulanglah pada masing-masing. – HARAKAHDAILY 8/1/2014

(dicatat oleh Izwan Abdul Halim semasa Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan Kuliah Sirah Perjuangan di Kolej Universiti Islam Selangor, Bangi baru-baru ini)

Share on Myspace