Inilah bahtera PAS

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

Inilah bahtera PAS. Kita dalam Pakatan Rakyat bukanlah dalam bahtera yang sama. PKR bahtera lain, DAP bahtera lain, kena faham. Jika ada yang merasakan bahtera ini bergerak perlahan, ada kekurangan, jangan bocor dan rosakkan bahtera ini. PasMa ni ibarat mereka yang menebuk kapal. Kalau rasa payah sangat pergilah ke bahtera lain yang kamu suka yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi. Pergilah ke kapal DAP, kapal PKR, kalau nak cepat lagi ke Putrajaya pergilah ke bahtera UMNO.

Dalam bahtera PAS, ia menggabungkan pelbagai kepakaran, ada yang bahagian kejuruteraannya, ada bahagian enjinnya, ada bahagian kemudinya dan sebagainya. Inilah PAS yang tidak membezakan kepelbagaian penggerak penggeraknya. Justeru tidak timbul pertembungan antara ulamak dan professional kerana PAS terbuka menerima sesiapa sahaja, asalkan memperjuangkan Islam.

PAS meraikan kepelbagaian pandangan yang dibatasi dengan syarak. Di dalam perlembagaan PAS, meletakkan al Quran, Hadis, Ijmak dan Qias sebagai undang undang tertinggi dalam menentukan sesuatu pendirian. Para ulamak yang pakar dan berkebolehan dalam merujuk kitab kitab ulamak terdahulu, serta kepakaran mereka dalam bidang syariat, dihimpunkan di dalam Majlis Syura Ulamak bagi memandu PAS agar tidak terbabas daripada sempadan syarak.

Kita bukanlah Rasulullah SAW yang mendapat wahyu secara langsung daripada Allah. Kita juga bukanlah Imam Syafie RA, yang pakar dalam segenap ilmu dan kefahaman yang mampu berijtihad. Akan tetapi, kita menggabungkan para ulamak yang menguasai kepelbagaian bidang dalam memutuskan sesuatu ijtihad mengikut kesesuaian zaman.

Contohnya PAS pernah bersidang bersama para ulamak sedunia, manakala wakil PAS yang hadir ketika itu ialah Tuan Guru Presiden, Almarhum Ustaz Harun Taib, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato Mustafa Ali. Iaitu berbincang tentang hubungan dengan Non Muslim, yang mana telah digariskan oleh Islam sebanyak 8 bentuk, antaranya tahaluf, hudnah dan sebagainya, selari dengan keperluan semasa dan penerimaan masyarakat.

Begitu juga pada 1960 dan 1961, ketika itu Dr Zulkifli Mohamad pernah mencadangkan agar mewujudkan keahlian bersekutu kepada non-muslim. Ketika itu masyarakat belum dapat menerima lantas beliau menerima ugutan, kenderaannya ditahan dan sebagainya kerana cetusan beliau ketika itu tidak dipersetujui oleh tok tok guru pondok. Beliau mengambil pendekatan berundur daripada cetusan tersebut bagi meraikan penerimaan masyarakat semasa.

Begitu juga perbezaan antara Imam Haramain al-Juwaini RA dan Imam Mawardi dalam beberapa permasalahan berkaitan non muslim. Imam Haramain menetapkan ijtihadnya berdasarkan realiti setempatnya ialah sekitar Mekah dan Madinah yang mana hampir kesemua penduduknya beragama Islam. Manakala Imam Mawardi yang tinggal di Iraq berhadapan dengan masyarakat majmuk.

Markas Air Kuning, Taiping
25.01.2015

Share on Myspace