Seruan ke Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah yang akan diadakan di Rusila, Terengganu pada 20 hingga 22 Mac depan.

Ujarnya, ijtimak tersebut akan menghimpunkan pimpinan Gerakan Islam dan para ulama daripada pelbagai negara dunia ke arah menyatukan umat dan memperkenalkan Islam kepada seluruh alam.

Menurut beliau, pihaknya telah menjemput pemimpin-pemimpin Gerakan Islam di seluruh dunia dan para ulama untuk menyertai persidangan dan ijtimak antarabangsa tersebut yang antaranya akan menonjolkan isu selamatkan Baitulmaqdis.

“Kita mengajak pemimpin-pemimpin Gerakan Islam dan para ulama yang terlibat dalam menyedarkan umat supaya hadir ke muktamar ini untuk mendengar pandangan dan membuat perbincangan bagi menghasilkan resolusi yang memberi manfaat kepada kita untuk khidmat kepada umat dan agama kita.

“Dalam suasana dunia menghadapi masalah sangat kritikal, masalah politik, sosial dan lain-lain, namun ramai yang melupai Islam adalah wadah yang boleh menyelamatkan mereka. Islam bukan satu ‘agama’ sebagaimana difahami orang Barat.

“Islam adalah satu ajaran yang menyeluruh, merangkumi segala aspek kehidupan manusia bagi menyelesaikan masalah mereka dengan petunjuk daripada Allah SWT,” terangnya di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Katanya, kebangkitan Islam yang berlaku kini menghadapi cabaran di mana musuh Islam sekali-kali tidak memberi peluang kepada umat Islam untuk bangkit semula.

Jelasnya, musuh Islam akan melakukan segala cara untuk menghalang kemajuan umat Islam dan kemunculan semula sebagai pemerintah dan kuasa yang kuat.

Adapun cabaran dalaman ujar Tuan Guru, adalah wujudnya dua faktor dalam diri umat sendiri yang disebut dengan ‘tasyahul’ dan ‘tasyaddud’.

Terang beliau, tasyahul ialah sikap bermudah-mudah terhadap ajaran dan kebangkitan Islam yakni sekadar mengaku sebagai orang Islam tanpa menghayati ajarannya dan tanpa melaksanakan hukum syariat.

“Mereka yang tidak memberi sebarang kesan dan faedah untuk merubah umat khususnya kalangan yang meringan-ringankan perintah agama dan tidak mengambil kira dalaman agama. Golongan tasyaddud pula ialah golongan melampau yang terlalu bersemangat untuk melaksanakan syariat hingga menimbulkan pertembungan dalaman umat sendiri hingga membawa peperangan seperti berlaku sekarang ini.

“Umat Islam berperang sesama sendiri atau menjadi proksi kepada pihak asing dengan menggunakan senjata kuasa besar, duit orang Islam dan tenaga orang Islam membunuh orang Islam dengan mengenepikan isu Palestin, khususnya isu membebaskan Baitulmaqdis.

“Insya-Allah kita tampilkan pimpinan Gerakan Islam dan ulama yang datang dari seluruh pelosok dunia, dari Asia Barat, dari Asia Tenggara Asean rantau kita sendiri, dari benua India, termasuk dari Eropah dan Asia Tengah.

"Kita (juga) berusaha menjemput pimpinan dari Black Muslim Amerika dan pimpinan Islam dari Kanada agar datang menyertai himpunan ini untuk kita mendengar pandangan-pandangan mereka yang dibentangkan dan insya-Allah menambahkan pemikiran kita dengan cara yang subur dan baik,” tutur Tuan Guru meluah harapan. – HARAKAHDAILY 16/2/2015

Dicatat oleh Izwan Abdul Halim

Share on Myspace