Erti wala’ dan kemenangan

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

Firman Allah SWT:

بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا

الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۚ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا

“Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

"Mereka itu ialah orang-orang yang memberi wala' kepada orang-orang kafir dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut orang-orang munafik itu mengharap kekuatan dan kemenangan daripada pertolongan orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemenangan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya).” [An-Nisa':138&139]

Ketika Nabi bersiap menuju ke medan perang Badar, seorang lelaki kafir berjumpa SAW untuk minta izin turut serta dalam peperangan, Nabi bertanya adakah kamu Islam? Dia berkata "tidak". Nabi SAW bersabda "Pergi! Kami tidak perlukan kepada pertolongan orang-orang kafir."

Lelaki itu pun beredar. Tetapi setelah beberapa ketika dia datang lagi meminta izin. Nabi tetap mengulang sabda yang sama sehinggalah dia datang kali ketiga dan Nabi bertanya adakah dia Islam, lalu dia berkata, "Aku masuk Islam sekarang." Baru Nabi izinkannya.

Perang Badar diberikan kemenangan Allah SWT walaupun bilangan yang kecil dan kelengkapan yang sedikit. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur.” [Ali Imran:123]

Selepas pemukaan Kota Mekah pula, rakyat kerajaan Islam bertambah ramai. Apabila puak Thaqif dan Hawazin bersiap untuk memerangi Mekah, Rasulullah SAW mengerahkan seramai mungkin tentera sehingga berjumlah 12,000 orang. Di kalangan itu kebanyakannya muallaf, dan ada yang masih belum Islam.

Kerana bilangan yang tertinggi dalam sejarah peperangan masa itu, timbul cakap-cakap kalangan tentera Islam yang berkata, "Kita tidak akan dikalahkan lagi selepas hari ini." Mereka membandingkan, Badar yang hanya 313 boleh menang, apatah lagi sekarang.

Sampainya mereka di Hunain, mereka telah diserang hendap menyebabkan ramai ketakutan dan panik, lalu melarikan diri. Yang tinggal hanya Rasulullah bersama 100 orang sahabat.

Nabi turun dari baghalnya lalu mara menghadapi musuh dengan gagahnya sambil berkata:

أنا ابن عبد المطلب. أنا نبي لا كاذب

“Aku adalah cucu Abdul Muttalib. Aku Nabi, bukan pendusta.”

Nabi mengambil pasir dengan genggaman tangannya lalu dilempar terhadap musuh. Berlakulah Mukjizat apabila musuh berhenti menyerang serta merta, kerana debu-debu halus masuk ke dalam mata mereka menghalang pandangan. Akhirnya, Allah takdirkan kemenangan ditangan 100 orang beriman ini.

Oleh itu pergantungan sesuatu kemenangan mesti diserahkan kepada Allah SWT semata-mata, jangan mengharapkan kepada manusia atau apa-apa selain-Nya.

Firman Allah SWT:

وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ

“...dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun, dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.” [Al-Taubah:25]HARAKAHDAILY 14/3/2015

Share on Myspace