Jangan salah guna tabungan rakyat

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

 

Pengesahan terhadap dakwaan pembelian plot tanah PRX milik 1MDB oleh Lembaga Tabung Haji menunjukkan Dana Tabung Haji yang melibatkan kepentingan rakyat di institusi itu digunakan untuk menutupi ketirisan yang didakwa berlaku kepada 1MDB.

Cadangan pembelian Plot B.10.15-RT di Tun Razak Exchange oleh anak syarikat Tabung Haji (TH) daripada 1MDB Estate Sdn Bhd dan subsidiarinya KLIFD Sdn Bhd perlu segera diberi perhatian.

Setelah diteliti penjelasan oleh Lembaga Tabung Haji, maka sewajarnya perkara ini harus segera dibawa masuk ke Parlimen untuk dibahaskan demi kepentingan terhadap hak rakyat.

Dalam isu ini, Perdana Menteri sendiri harus menjelaskan kepada semua Ahli Parlimen dan hendaklah membentangkan hasil bedah siasat terperinci terhadap audit kewangan 1MDB.

Kita tidak mahu rakyat tertipu lagi dengan isu 1MDB ini serta terus menanggung beban pelbagai salah urus tadbir kewangan yang pernah berlaku sebelum ini.

Langkah sumbang Tabung Haji dan 1MDB ini bakal mengundang malapetaka besar bagi negara lantaran ketidakpedulian kerajaan terhadap teguran-teguran Jabatan Audit Negara selama ini.

Apatah lagi yang terpalit dalam isu ini ialah anak syarikat Tabung Haji di mana selama ini diyakini rakyat jelata untuk tabungan khas mereka. Amat malang andai institusi ini digunakan oleh pihak kerajaan bagi urusan lain yang bukan menjadi tujuan penubuhan Tabung Haji.

Kita juga kecewa apabila kerajaan juga hingga ke hari ini gagal memberi penjelasan meyakinkan berhubung segala isu yang membelengu 1MDB, termasuk penyelesaian segera terhadapnya. Sebaliknya, condong dilihat menyelamatkan kroni sedangkan pada waktu yang sama sama rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat dan menderita dengan tindakan baru kerajaan yang mengenakan GST kepada semua lapisan rakyat tidak kira miskin dan kaya.

Presiden PAS
9 Mei 2015

HARAKAHDAILY 9/5/2015

Share on Myspace