Henti kezaliman ke atas Gerakan Islam, rakyat Mesir

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

 

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk dengan sekeras-kerasnya kezaliman terbaru yang dilakukan kepada umat Islam di Mesir oleh pihak yang bersekongkol dengan Kudeta Mesir dalam kekejaman yang seakan-akan tiada noktahnya apabila kelmarin Mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman mati kepada lebih 100 orang pejuang Islam, mengetuai senarai ialah Presiden Mesir yang sah Dr Mohammad Morsi.
 
Dr Mohammad Morsi dan 100 orang pemimpin Ikhwan Muslimin yang lain ialah antaranya Mursyidul Am Dr Mohammad Badi', pimpinan kanan Khairat Shatir, Presiden FJP Dr Saad Katatni, Naib Presiden FJP Dr Esom Eryan, pemimpin Ikhwan Dr Mohammed Beltaji dan termasuk ulama dunia Sheikh Dr Yusuf Qardhawi yang menetap di Qatar.

Apakah dosa sebenar mereka ini melainkan dendam kesumat yang ada pada pemimpin kudeta yang gagal meredakan kemarahan rakyat meskipun sudah hampir 2 tahun berlaku rampasan kuasa.
 
Saya menyeru seluruh penyokong dan ahli PAS untuk mengadakan solat hajat di markas dan tempat masing-masing bagi memohon pertolongan Allah SWT dikurniakan bantuan kepada saudara-saudara kita yang ditekan oleh kerajaan Firaun moden hari ini.
 
Kita amat yakin saudara kita di Mesir sama sekali tidak akan tunduk kepada tekanan demi tekanan yang dilakukan sebaliknya istiqamah mereka menjadi senjata ampuh yang lebih tajam dari senjata yang dimiliki oleh musuh yang zalim. - HARAKAHDAILY 18/5/2015

Share on Myspace