Ucapan perbahasan RMK11

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

TERIMA kasih kerana diberi peluang untuk ikut serta dalam perbahasan RMKe-11. Saya hanya ingin menyentuh perkara-perkara dasar, secara detail nya mungkin disentuh oleh rakan-rakan yang lain. Sebelum kita melangkah ke dalam RM Ke-11 yang dibentangkan, sepatutnya muhasabah dilakukan terhadap semua RMK sebelum ini bagi mengambil iktibar bukan sahaja kejayaan yang dicapai, penting juga menyedari ada kelemahan, kesilapan dan kegagalan yang berlaku supaya tidak mengulangi dan penambahbaikan kepada kejayaan yang dicapai.

Muhasabah kepada amanah yang dapat ditunaikan daripada hasil sumber kurnia Allah supaya benar-benar menunaikan syukur nikmat kepada bumi tanah air kita ini atau menjadi mereka yang kufur nikmat sehingga tenggelam tanpa disedari, bukan sahaja duitnya tenggelam, negara dan rakyat pun boleh tenggelam bersama dengan sebab mengulangi kesilapan yang sama sehingga menjadi lebih parah.

Kita punya sumber alam yang kaya-raya dan tenaga manusia pelbagai peringkat dan berbagai-bagai kaum dalam masyarakat majmuk. Setelah mencecah setengah abad mencapai kemerdekaan, sejauh mana kita telah melangkah keluar daripada lingkaran tanah air yang dijajah kepada negara yang sedang membangun yang masih bergantung dengan penjajah. Adakah sudah menjadi negara yang sudah maju sehingga sampai ke batas Wawasan 2020 yang telah ditetapkan?

Segala indeks, statistik dan angka yang dibaca hendaklah berpijak di medan rakyat secara nyata, bukan di atas kertas sahaja. Pendapatan yang tinggi yang tidak saksama dengan kadar inflasi suatu ukuran yang tidak tepat dan menipu diri sendiri. Adakah kita sudah berdikari tanpa bantuan dan tanpa hutang atau masih mengharapkan bantuan daripada pihak lain dan dibebankan hutang yang tidak mampu diatasi sehingga terus mengulangi budaya berhutang khususnya meneruskan muamalah riba yang telah merudumkan ekonomi liberal kapitalisme atau seperti negara bekas sosialis yang mengabdikan rakyat di atas nama membela rakyat tertindas. Tiba-tiba rakyat laksana jentera yang diabdikan, melahirkan kapitalis yang lebih besar dan lebih ganas kerana tidak beriman dan tidak budiman.

Perlu disedari masih ada kadar kemiskinan yang tidak terlepas. Pengangguran yang ditampung dengan pekerja asing, bukan rakyat sendiri bergantung kepada cukai yang dipaksa membebankan seluruh rakyat sehingga melibatkan yang termiskin. Masih ada negeri, daerah, kampung dan pedalaman yang terpinggir daripada kemudahan asas. Ini semua adalah perkara yang wajib dilihat dengan adil dan berterus terang. Hubungan Pantai Timur dan Pantai Barat, hubungan Malaysia Timur dan Malaysia Barat memerlukan kecanggihan yang merapatkan di antara satu sama lain.

Kita melihat masih ketinggalan Lebuh Raya Simpang Pulai ke Gua Musang, ke Terengganu, Lebuh Raya Rompin ke Negeri Sembilan seterusnya lebuh raya ke Timur dan Barat. Begitulah hubungan laut di antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat, hubungan yang lebih kerap bukan sahaja membawa manusia termasuklah membawa hasil yang boleh dicampuradukkan dan mengimbangi di antara satu sama lain.

Membebaskan kemiskinan bukan sekadar boleh berdikari tetapi tidak berpendapatan tinggi yang mampu menjana ekonomi negara. Jangan terus bergantung dengan kerajaan selamalamanya sehingga menjadi budaya yang dipikul selama-lamanya oleh kerajaan. Bermakna masalahnya belum selesai kerana budaya memberi ikan dan bukan memberi mata pancing.

Memberi ikan tidak memberi mata pancing. Bergantung kepada bantuan selama-lamanya tidak boleh berdiri sendiri.

Sering kali mencipta cukai dan mengadakan cukai darurat seperti GST sehingga melibatkan rakyat miskin, menandakan kegagalan mengurus hasil tanpa cukai. Tidak mengemas kini cukai yang telah sedia ada secara bersistematik dan tidak mengurus kewangan dengan amanah, baik, tidak bocor kerana boros atau salah laku. Kalau perkembangan ekonomi maju sudah pasti menjadikan pendapatan negara tidak perlu lagi mengadakan cukai yang baru.

Pergantungan kerajaan kepada GLC bukannya satu cara yang baik yang boleh dilakukan selama-lama kerana menyebabkan terbantutnya kegiatan ekonomi rakyat disebabkan berlakunya persaingan yang tetap memenangkan kerajaan yang dikelilingi kroni dan penyangak. Ibnu Khaldun telah memberi amaran sejak 1000 tahun yang lalu.

Penglibatan kerajaan dalam kegiatan ekonomi boleh membawa keburukan. Campur tangan melampau daripada kerajaan mengikut teori komunis dan sosialis telah menghancurkan negara besar yang menganutnya sehingga terpaksa dilakukan pembaharuan kepada ekonomi bebas yang melahirkan pula tokoh kapitalis daripada pemimpin-pemimpin komunis dan sosialis yang mendukungnya dahulu, yang lebih parah kapitalisnya.

Pencarian bumiputera tidak boleh diukur dengan dicampurkan dengan GLC. Peratusnya dicampur, kita tidak kira hakikat yang sebenar, konsep pertumbuhan berpaksikan rakyat gagal tanpa kejayaan pembangunan modal insan kerana tidak mengikut acuan Allah Tuhan semesta alam, berpaksikan fitrah manusia. Negara Islam awal – tidak berhasil bumi yang banyak, berjaya memanfaatkan bumi dengan acuan Allah.

“Menjadi kelaziman kabilah Quraisy yang tinggal di Mekah, bumi yang kering kontang melakukan perjalanan di musim sejuk dan panas. Mereka hendaklah mengabdikan diri kepada Allah, Tuhan punya Kaabah ini yang memberi makan kepada mereka sehingga tidak lapar dan memberi keamanan kepada mereka sehingga selamat daripada ketakutan”. (Surah Quraisy: Ayat 1 – 4)

Di sini menunjukkan bagaimana mereka menjadikan asas kehidupan mereka ialah beriman dan budiman dan seterusnya mewujudkan ekonomi yang melepaskan diri daripada kelaparan dan mewujudkan suasana politik yang aman dengan kekuatan negara sendiri. Ini asas yang ditunjukkan oleh al-Quran. Di sinilah mengapa Islam meletakkan agenda pembangunan insan adalah kunci kejayaan pembangunan umat dan negara.

Pembangunan insan mengikut fitrahnya, jasad, roh dan akal. Keseluruhan teori ciptaan manusia hanya melihat aspek jasad yang tidak seimbang dengan akal dan dipisahkan daripada roh, menjadikan kebendaan adalah matlamat, bukannya alat bagi memakmurkan bumi. Maka manusia itu tenggelam menjadi hamba kepada kepentingan kebendaan.

Di sinilah sebab keruntuhan tamadun negara yang dikira paling maju dalam lipatan sejarah yang menjadi kenangan sahaja dan mewarisi peninggalan lambang kezaliman terhadap rakyat.

Walaupun hebat bangunan dan kotanya, semua manusianya mati ditelan bumi dan dihumban ke neraka serta dikutuk sejarahnya.

Ibu Khaldun menegaskan bahawa manusia makhluk bertamadun ini masyarakat madani, alinsan madayyun bittab’ie boleh menghasilkan pelbagai pekerjaan dengan hasil daripada dirinya dan sumber kelilingnya.

Contohnya, daripada satu keperluan makanan sahaja bukan sahaja memerlukan pertanian bahkan mewajibkan adanya industri dan perdagangan, pengangkutan dengan segala alat jenteranya yang menumbuhkan peluang pekerjaan yang banyak dan berkembang. Ia sepatutnya boleh memajukan di mana sahaja bumi tempat kita berpijak walaupun tidak ada sumber di dalam perutnya kerana mereka saling memerlukan di antara satu sama lain.

Syaratnya ia diurus dengan bijak dan baik. Jangan ada kebocoran dan penyelewengan serta berlaku ikhlas terhadap negara, bukannya mengampu dan memuji setiap masa. Kerajaan wajib menyediakan penasihat dengan ikhlas, bukan sahaja berilmu, wajib ilmunya beriman dan budiman.

Sekiranya dilaksanakan dengan seimbang dan saksama sudah tentu masalah buang kerja tidak timbul kerana makin banyak rakyat, makin banyak keperluan dan makin banyak pekerjaan. Apabila berlaku krisis ekonomi, berlakunya buang kerja, pengangguran macam disebut tadi mungkin ada tempat yang tidak kena. Sebelum ini kita lebih bergantung kepada sumber kebendaan yang tidak seimbang dengan sumber manusia sehingga kedua-duanya tercicir.

Walaupun kita sudah lama menggunakan sumber bumi yang kaya seperti gas, petroleum, timah, besi, emas, hasil pertanian seperti getah dan kelapa sawit, namun pusingannya tidak berjaya ke tahap yang boleh mencapai matlamat yang disasarkan dalam jarak yang sudah dekat dengan Wawasan 2020.

Tuan Yang di-Pertua, pelaburan asing yang tidak memberi pulangan pemindahan teknologi yang mencapai negara maju kerana pelabur yang bakhil ilmu tanpa meraikan tuan rumah lebih mengundang tenaga asing daripada tenaga tempatan. Peristiwa RMK sebelum ini wajib dijadikan iktibar bagi membuat pembetulan. Kalau tidak kita hanya sekadar menjadi pangkalan ekonomi kepada negara besar selepas kita pernah menjadi pangkalan demi keselamatan kepentingan mereka dan peristiwa zaman penjajah dan dua perang dunia yang lalu yang menunjukkan statistik bagaimana rakyat jajahan lebih 60% menjadi mangsa terbunuh dalam perang, rakyat negara jajah hanya 40% sahaja.

Ini mereka tidak boleh pergunakan. Itu dalam cara peperangan. Cara ekonomi pun sama boleh berlaku kalau kita tidak berwaspada. Lebih parah kalau kita menerima undangan menjadi anggota gagasan yang dijemput sekadar menjadi khadam bagi membolehkan krisis yang dialami mereka tanpa dinafikan. Perhubungan antara negara sangat penting. Batas kita wajib dipelihara sekadar kerjasama bagi faedah bersama bukannya sebelah pihak mereka sahaja. Ini kerana menjadi konsep masyarakat madani yang sebenar untuk menjadikan dunia adalah keluarga besar. Zaman penjajahan hendaklah dimusnahkan.

Warisan zaman penjajahan yang sengaja meminggirkan Pantai Timur dan Malaysia Timur masih belum dihapuskan kerana negeri-negeri yang berada di kawasan ini walaupun kaya sumber buminya tetapi masih miskin rakyatnya, masih terkemudian daripada Pantai Barat, Malaysia Barat. Hentikan permainan politik yang terlalu banyak dan melampau. Jadikan penyelesaian secara tanggungjawab dan holistik dan bukannya kerana musim pilihan raya atau pilihan raya kecil sahaja.

Masalah kemiskinan walaupun tidak tegar pengangguran inflasi yang tidak seimbang dengan pendapatan rakyat mengundang gejala sosial. Oleh kerana itu masalah perlu diatasi dengan sungguh, masalah perumahan, masalah tanah, masalah pembangunan masyarakat sekadar tempat tinggal sahaja tanpa penyusunan secara berjalanan dan berhubung antara satu sama lain.

Infrastruktur yang belum selesai, termasuk kemudahan asas di kawasan pedalaman dan terpencil dan kawasan setinggan masih wujud. Pemantauan, penguasaan dan undang-undang yang tidak ada roh maka tiada kehebatannya menjadikan gejala sosial dan salah laku tidak boleh diatasi, maka lebih jauh untuk dihapuskan bahkan menjadikan masalahnya lebih parah. Di sinilah peranan Syariah Islam wajib diberi dan dilaksanakan. Di sinilah peranan pendidikan Islam wajib diberi tempat yang sewajarnya menjadi roh kepada pembangunan insan dalam segala aspek.

Apabila kita menegaskan apa yang dipunyai Allah itu terbaik, macam ucapan Perdana Menteri dalam pembentangan RMKe-11. Dia baca ayat, [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Allah yang memiliki segala-galanya dan Allah yang terbaik. Apabila sebut itu, maka kita perlu balik kepada acuan Allah. Termasuk acuan pembangunan insan yang diciptanya, wajiblah merangkumi fitrah naluri yang mempunyai jasad, roh dan akal bagi kehidupan individu keluarga dan masyarakat.

Allah telah membuktikan kejayaan tamadun Islam yang di ciplak secara tidak sempurna oleh tamadun barat yang dibanggakan terkini dan sedang menuju kemusnahan kerana tidak ada roh hasil gabungan secara holistik ibadah yang melahirkan tanggungjawab dan ikhlas, ekonomi yang menjamin kehidupan kualiti adil yang mewujudkan keamanan dan keselamatan bermula dengan ilmu yang melahirkan iman, budiman, ilmuwan dan pahlawan telah menjadikan kepimpinan dunia selama 13 abad. Dengan ilmu wahyu dan ilmu duniawi yang diambil dari timur dan barat mencipta tamadun Islam yang unggul adapun kejatuhan ummahnya adalah kerana meninggalkan acuan yang asal. Maka kita wajib kembali kepada acuan yang asal.

Tuan Yang di-Pertua, adapun memperbanyakkan tenaga manusia di bumi kita sendiri tanpa pergantungan luar, maka peranan bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu adalah sangat penting. Bahasa asing digunakan untuk menimba ilmu daripada mana-mana negara asing yang mempunyai kepakaran. Menterjemahkan ilmu ke dalam bahasa kebangsaan memberi kemudahan dan lebih cepat melahirkan ilmuwan pelbagai lapangan dalam negara. Bergantung kepada bahasa asing selama-lamanya dalam pendidikan yang ada pada hari ini dengan acuan yang tidak sempurna akan terus meramaikan graduan pusat serenti yang berkali-kali ganda daripada graduan universiti.

Ini perlu diperbetulkan Tuan Yang di-Pertua. Kita melihat Jepun yang musnah dalam perang dunia yang kedua bangkit dengan bahasa Jepun, Korea dengan bahasa Korea, China dengan bahasa Cina, German dengan bahasa German, tamadun Islam dengan bahasa Arab. Tanpa dinafikan peranan bahasa asing untuk menambahkan ilmu Tuan Yang di-Pertua. Seterusnya saya ingin menarik perhatian kepada persengketaan antarabangsa. Isu serantau yang berkait dengan kemanusiaan sangat penting kerana memberi kesan ekonomi kepada negara kita. Isu yang terkini adalah isu pelarian Rohingya, bukan kerana agama sematamata tetapi kerana kemanusiaan. Kita pernah menangani isu pendatang Vietnam dalam tahun 70-an yang banyak melanggar Pantai Timur walaupun penduduk Pantai Timur adalah penganutpenganut agama Islam. Dari Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor ramai penganut Islam.

Akan tetapi pada masa itu kita boleh menerima pendatang Vietnam yang bukan Islam kerana roh Islam yang masih ada dalam jiwa orang Islam yang diajar.

“Jika sekiranya orang Musyrikin yang lari dizalimi di negeri mereka minta perlindungan, bagi perlindungan dan mendengarkan kalam Allah dan hantar ke tempat yang aman.” (Surah at-Taubah: Ayat 6)

 Ini ayat Quran di mana ayat Quran ini diambil oleh Piagam Geneva diambil oleh undang-undang antarabangsa tidak boleh menzalimi pelarian dan kita melihat bagaimana amalan kita terhadap pelarian Vietnam tahun 70-an memberi kesan yang sangat baik dalam hubungan di antara kita dan Vietnam.

Sehingga hari ini bagaimana nelayan-nelayan kita yang hanyut di laut Vietnam yang tersalah masuk sempadan tidak dirompak, ditolong dan dibantu, bukannya dirompak, bukannya diperlakukan. Ini adalah hasil kerana layanan yang baik dan ini memberi impak kepada kehidupan masyarakat yang membantu ekonomi negara kita. Begitu juga kita perlu mempelajari daripada peristiwa yang berlaku pada hari ini jangan berulang peristiwa Perang Dunia Kedua apabila negara jajahan dilagakan antara satu sama lain.

Peristiwa kelahiran ISIS di Asia Barat, tidak lain dan tidak bukan adalah permainan kuasakuasa besar dunia untuk melagakan di antara orang Islam sesama orang Islam di atas nama mazhab, di atas nama kaum, di atas nama pelbagai sebab ekonomi dan lain-lain dan merebut kawasan-kawasan ekonomi yang mereka diberitakan oleh artikel-artikel yang disiarkan dalam Internet bagaimana antologi-antologi barat meletakkan golongan pelampau di kawasan-kawasan ini dengan mencetuskan isu-isu mazhab dan isu kaum supaya menimbulkan ketegangan yang boleh mencetuskan peperangan sehingga penduduk rantau itu berperang secara proxy, secara wakil kepada kuasa-kausa besar yang lebih memberi keuntungan kepada syarikat-syarikat senjata dan memberi keuntungan kepada syarikat-syarikat minyak yang menaikkan harga minyak.

Hal seperti ini perlu kita jauhkan daripada tanah air kita supaya tidak mengulangi kesilapan perang dunia yang mengorbankan rakyat tanah jajahan. Hal ini adalah iktibar yang sangat besar bagi menjayakan RMKe-11. Walaupun ia adalah perkara keamanan perkara keselamatan namun ia sangat berkait dengan kegiatan hidup rakyat. Itulah pandangan yang dapat saya beri Tuan Yang di-Pertua. Sekian terima kasih.

Video Ucapan Ahli Parlimen Marang di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2015

Share on Myspace