Mempertahankan kerajaan yang dibina

| .

 

KEPIMPINAN Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sesungguhnya menyedari bahawa iklim kerjasama yang dibina dalam Pakatan Rakyat pada waktu ini adalah pada tahap yang paling mencabar dan berdepan dengan perbezaan prinsip yang memerlukan penyelesaian yang adil bagi memenuhi aspirasi seluruh rakyat yang mahukan perubahan.

Bagi PAS, muafakat asal yang dibina adalah kebersamaan dalam perkara yang dipersetujui dan menjadi kepentingan bersama, manakala dalam masa yang sama mengiktiraf kewujudan perbezaan pandangan dan prinsip perjuangan parti masing-masing dalam kalangan parti dalam Pakatan Rakyat (PR).

Pendirian PAS terhadap kerjasama dalam PR adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS yang baharu sahaja berlangsung. Antaranya dinyatakan dengan jelas, bahawa “PAS akan terus dan tetap melaksanakan Tahaluf Siyasi bersama Pakatan Rakyat, selagi mana ianya tidak bercanggah dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah”; dan juga nyata termaktub dalam Perlembagan PAS [Fasal 7(1)] bahawa hukum tertinggi dalam perlembagaan PAS ialah al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ ulama dan Qiyas.

Ingin saya pertegaskan bahawa, kerjasama PAS dengan komponen dalam PR di Selangor adalah dalam kerangka untuk mempertahankan kerajaan yang dibina bersama melalui kepercayaan rakyat.

Sehubungan dengan itu juga, PAS Pusat telah pun memberikan arahan kepada YB Datuk Iskandar Abdul Samad selaku Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan (Exco) untuk mengarahkan seluruh Ahli Dewan Undangan PAS Negeri Selangor supaya terus bersama dengan YAB Datuk Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali bagi meneruskan khidmat kepada rakyat dan seterusnya mengekalkan kedudukan kerajaan yang memerintah Selangor pada waktu ini. - HARAKAHDAILY 24/6/2015

Share on Myspace