Memaknai istiqamah dalam perjuangan

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.” (al-An‘aam: 153)

Pergantungan Kepada Allah

Istiqamah merupakan konsep sangat penting kepada umat Islam, khususnya kepada perjuangan Islam yang didukung oleh golongan terpilih oleh Allah SWT untuk memimpin ummat. Betapa perlunya istiqamah ini sehingga umat Islam diperintah supaya berdoa pada tiap-tiap rakaat solat, Ihdinassiratalmustaqim.

Allah SWT menafsirkan sendiri di dalam banyak ayat-Nya berkenaan dengan istiqamah, iaitulah supaya teguh dan tetap di atas jalan yang betul dan ditetapkan oleh-Nya dan diajar pula secara huraian oleh Nabi Muhammad SAW. Istiqamah boleh dihasilkan iaitulah yang pertama dan terpenting; manusia mesti bergantung dengan Allah Taala, berdoa pada tiap-tiap rakaat solat dan pada setiap masa. Jangan merasa diri sudah pandai, bijak dan kuat.

Iblis adalah makhluk yang menganggap dirinya bijak dan sememangnya bijak, tetapi dengan sebab sombongnya dan tidak bergantung kepada Allah Taala akhirnya menjadi sesat. Allah telah menunjukkan kepada kalangan umat manusia betapa mereka boleh terpesong dengan mudah daripada jalan Allah. Bukan sahaja golongan jahil, termasuk juga golongan yang sangat tahu. Oleh itu, manusia mesti bergantung secara khusyuk kepada Allah Taala dengan penuh keimanan dan keikhlasan pada tiap-tiap rakaat.

Contoh dan Teladan

Allah menyuruh mengambil contoh as-sirat al-mustaqim, istiqamah itu daripada kalangan yang menegakkannya dan juga dari kalangan menyeleweng. Siratallazi naanamta alaihim ghairil maghdu bialaihim waladdallin. Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat ke atas mereka, bukan jalan orang yang dimurkai ke atas mereka dan bukan jalan orang-orang sesat.

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).” (an-Nisa’: 69)
 
Orang-orang yang Allah beri nikmat kepada mereka terdiri daripada kalangan:
i. Nabi-nabi alihimussolatu wassalam
ii. Siddiqin, yakni orang-orang yang percaya dengan benar dan ikhlas
iii. Syuhada’, orang-orang yang telah membuktikan dengan mati syahid di medan perjuangan, dengan tidak undur dan berganjak sehingga akhir hayat.
iv. Solihin, orang-orang soleh yang dapat dinilai dan dilihat wujud dalam masyarakat.

Itulah kalangan istiqamah yang wajib menjadi contoh dan teladan kepada umat manusia.

Mengikuti Secara Benar

Istiqamah juga dihasilkan dengan ilmu, pengetahuan dan kefahaman. Meningkatkan ilmu dan kefahaman dengan mengkaji ajaran Islam secara betul dari sumber yang benar dengan penuh keikhlasan.

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (al-Ankabut: 69)

Nabi Muhammad SAW telah menafsirkan cara perjuangan Islam yang betul dan wajib kepada kumpulan Islam melangsungkan perjuangan Islam selepas wafatnya Baginda mengikut landasan yang diatur dan ditetapkan. Akan ada yang terpelenting daripada jalan perjuangan kerana tidak menghayati perkara ini.

Satu-satunya perjuangan yang di dalamnya ada istiqamah hanyalah perjuangan Islam. Perjuangan komunis, sosialis, kapitalis, nasionalis, sekular dan perjuangan agama lain, tidak ada istiqamah. Di sinilah keistimewaan yang wajib dihayati dan dijalani dengan sepenuhnya.

Asas Perjuangan

Konsep istiqamah pertama adalah dalam perkara yang teguh dan tetap, tidak berganjak dan tidak berubah sehingga hari kiamat iaitulah aqidah dan matlamat perjuangan. Perkara ini tidak boleh diubah sekali-kali. Aqidah perjuangan ialah keimanan kepada Allah, keimanan kepada benarnya Islam ini dan segala sumbernya, Malaikat, Rasul, Kitab dan matlamat sehingga hari akhirat. Matlamat di dunia mendaulat syariat Allah SWT untuk menunaikan ibadah, amanah dan khilafah.

Kedua, perkara yang murunah yakni fleksibel dan anjal iaitulah pendekatan. Pendekatan strategi disampaikan dengan cara bijaksana mengikut kemampuan masyarakat. Khatibinass ‘ala qadri uqulihim iaitu bercakap dengan manusia mengikut kadar akal fikirannya.  

Perlu disedari bahawa mesej perjuangan Islam sangat besar. Mesej perjuangan Islam bukan untuk satu kaum, bukan untuk satu umat, bukan untu orang Islam sahaja, tetapi untuk seluruh manusia. Allah wajibkan risalah rahmat kepada seluruh manusia ini disampaikan, sama ada yang Islam dan bukan Islam. Nabi Muhammad SAW telah mengambil pendekatan yang kukuh di dalam menghayati perkara uslub, strategi atau pendekatan ini.

Pendekatan pertama adalah menguatkan saf umat Islam sendiri atau kumpulan Islam sendiri. Allah berfirman dalam surah As-Soff, ayat 4:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan tersusun kukuh..”

Seumpama bangunan didirikan daripada batu-bata yang diatur tersusun dan diiikat dengan sekuat-kuatnya. Tiap-tiap batu bata ada peranan dan tugas masing-masing. Menjalin hubungan yang erat antara satu sama lain. Teguh di dalam aqidah dan dasar, nas qat‘iyat, halal dan haram, sempadan yang dibolehkan dan tidak dibolehkan serta segala ketetapan agama.

Hukum dan Kekuasaan

Dibenarkan berijtihad dalam perkara yang tidak ada nas walaupun tidak ada peribadi seperti Nabi SAW, bahkan tidak ada setahap khulafa’ ar-rasyidin, tidak ada sampai ke peringkat ulama-ulama dan para imam mujtahid. Namun dapat mewujudkan kepimpinan secara jamaie’ atau secara kolektif.

Maka PAS mengadakan Majlis Syura Ulamak yang berperanan menghayati dan melaksanakan hukum tertinggi dan menjadi aqidah dalam PAS iaitu al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias supaya perjuangan PAS tidak menyeleweng sekali-kali.

Walaupun pendaftar pertubuhan mewajibkan PAS menghayati demokrasi di dalam organisasi parti, tetapi ruh parti tetap ditegak di atas aqidah Islam. Mana-mana keputusan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, keputusan PAS Negeri, Kawasan dan Cawangan, serta sesiapa sahaja di dalam PAS, tidak boleh mengatasi hukum tertinggi itu.

Majlis Syura Ulamak dipilih daripada kalangan ulama ahli PAS yang iltizam dan istiqamah dengan perjuangan, mampu menafsirkan hukum tertinggi dalam PAS dalam bahasa al-Quran, memiliki sifat-sifat adil, bukan berlandaskan kepada teokrasi. Berbeza daripada fahaman-fahaman yang meletakkan paderi dan sami dengan menghalalkan perkara haram dan mengharamkan perkara halal.

Majlis Syura Ulamak sebagaimana ulama mujtahidin, sebagaimana Nabi Muhammad SAW, tidak boleh membatalkan keputusan Allah SWT. Ini perkara aqidah yang sangat penting iaitu wajib menyatukan ahli-ahli PAS dalam kalangan pendokong perjuangan Islam. Sebarang pertelingkahan hendaklah dirujuk pada sumber asasi.

“…Jika sekiranya kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara, hendaklah kembali kepada Allah dan Rasul…” (an-Nisa’: 59)

Kerangka Ijtihad PAS

Al-Quran dan hadis sumber hukum tertinggi, adapun ijmak ulama sebagai tambahannya dan qias yang kuat berpandukan al-Quran dan hadis. Para ulama tidak boleh mengatasi sumber asasi ini. Mereka boleh berijtihad dalam perkara cabang, tetapi yang menjadi khilaf para ulama, mereka boleh memilih mana-mana pendapat sesuai munasabah dengan realiti masyarakat. Kadang-kadang memberi pandangan yang tidak selari dengan Mazhab Syafie dan menjadi pandangan sebahagian besar umat Islam di Malaysia ini. Ahli-ahli PAS mesti patuh pada pandangan ini.

Sebagai satu contoh ialah hukum yang berkait dengan ihya ul-mawaat, meneroka tanah bila memerintah Kelantan dan Terengganu, Majlis Syura Ulamak PAS memakai Mazhab Hanafi. Dalam melaksanakan hukuman hudud untuk orang bukan Islam, diberi pilihan sama ada mereka memilih undang-undang Islam atau undang-undang mereka sendiri. Dalam pindaan yang terakhir dikenakan hukuman kepada orang Islam sahaja, kita biarkan orang bukan Islam kerana kita memakai kaedah Maqasid Syariah dalam Usulul Fiqah; Yurfaul daruru biqadaril imkaan iaitu ditolak kemudaratan mengikut kemampuan dan bidang kuasa yang ada pada kita.

Walaupun dalam PAS ada ulama yang mengaji satu mazhab sahaja, mereka mesti memahami bahawa di dalam menghayati politik, PAS menghadapi cabaran-cabaran berubah dan berbeza dengan zaman ulama mazhab pada masa masing-masing.

Seterusnya dalam perkara taktik dan strategi diizinkan mengambil pendekatan masing-masing dengan cara yang munasabah. Apabila berbeza pendapat, hendaklah menghormati hujah yang paling kuat. Hujah tidak kuat dicatit kerana ada hujah yang tidak kuat hari ini, menjadi kuat satu hari nanti. Ada hujah yang tidak diterima, jangan merajuk, jangan keluar dari saf perjuangan. Ini makna istiqamah yang mesti kita fahami.

Akur Keputusan Jamaah

Nabi kita Muhammad SAW berjaya menyatukan kalangan Muhajirin dan Ansar. Menyatukan para Sahabat yang faham dan tidak faham. Mereka akur dengan keputusan jamaah walaupun itu bukan pendapatnya. Allah Taala mengajar Nabi Muhammad SAW mematuhi keputusan mesyuarat walaupun Baginda tidak bersetuju dengan keputusan itu pada awalnya dan menerima pukulan dalam Perang Uhud. Ramai yang tewas, Allah Taala menyuruh Nabi Muhammad SAW terus menghormati keputusan mesyuarat. Menerima keputusan jamaah walaupun keputusan itu mengalahkan pandangan diri.

Kadang-kadang ada kalangan orang yang tidak terima hakikat pandangan dia ditolak, menyebabkan tidak istiqamah di dalam perjuangan, terpelenting daripada perjuangan, lari daripada perjuangan. Itu sama-sama dalam jamaah, belum lagi pendekatan dengan masyarakat umum khususnya dalam perkara yang berkait dengan orang-orang bukan Islam. Masalah tahaluf persefahaman, taawun, istia’nah meminta bantuan dan dalam masalah-masalah lain yang memerlukan banyak perkara tidak fahami umum. Memerlukan diberi faham kepada mereka ini, sudah tentu yang tidak faham akan terpelenting.

Hubungan Berlandas Prinsip

Melihat cara Nabi Muhammad SAW mengadakan tahaluf, persefahaman dengan orang bukan Islam pada masa lemah dan ketika kuat, semasa belum ada negara dan tidak ada negara. Contohnya semasa lemah di Makkatul Mukarramah ketika Nabi SAW menghadapi tekanan orang-orang musyrikin. Baginda mengambil amalan orang-orang jahiliyyah yang memberi kekuatan kepada Islam.

Antaranya amalan taasub kekeluargaan ataupun amalan jiwar perlindungan diberi seorang samseng yang berbangga apabila dia melindungi seorang lemah dan tidak ada sesiapa berani ganggu. Ini adat jahiliyyah melindungi keluarga sama ada salah ataupun betul. Melindungi seseorang yang minta perlindungan sama ada betul ataupun salah kerana tidak berdaya.

Nabi Muhammad SAW menyebut dua tahaluf yang berlaku di zaman jahiliyyah. Pertama halful fudul dan yang kedua halful mutayyabin. Halful fudul ialah perjanjian yang disaksikan oleh Nabi SAW bersama dengan bapa saudaranya bagi membantu seorang mangsa kezaliman, seorang peniaga datang ke Makkah. Duitnya tidak dibayar oleh pemimpin Makkah, Al-As bin Wail. Lalu orang yang dizalimi ini melaungkan rayuan berhampiran Kaabah “Tidak malukah mereka yang ada di Makkah ini melakukan kezaliman?”.

Tidak ada sesiapa menolong orang kena zalim ini, lalu Bani Hashim dan Bani Mutalib keluarga Nabi SAW berpakat dengan beberapa qabilah di kalangan keluarga yang jauh bagi membela. Mencari Al-As bin Wail yang telah melakukan kezaliman dengan satu tahaluf persefahaman di rumah Abdullah bin Jud’an kerana membela seorang dizalimi. Nabi Muhammad SAW mengakui dan mengiktiraf persefahaman ini “Sekiranya di bawa semasa Islam, nescaya aku menyertainya”. Iaitulah persefahaman untuk menentang kezaliman, walaupun di zaman jahiliyyah, dengan orang jahiliyyah dengan orang bukan Islam, tetapi Nabi terima.

Kedua halful mutayyabin, apabila Bani Hashim dan beberapa qabilah-qabilah dalam kalangan keluarga Nabi SAW mengajak beberapa qabilah yang bersefahaman dengannya untuk merampas kuasa bendera perang. Kuasa siqayah memberi minum air zam-zam kepada golongan jemaah haji. Kuasa memberi diyafah kepada tetamu yang datang di Makkah, kuasa yang lebih di mana selama ini mereka telah membahagikan bidang-bidang tertentu mengikut qabilah masing-masing.

Tetapi Bani Mutalib dan beberapa qabilah lain yang bersama dengannya mahu merampas bidang yang lebih banyak. Lalu mereka mengadakan persefahaman yang dikenali dengan al-mutayyabin dengan makna disapu bauan harum pada tangan. Mereka meletakkan bekas air bauan di dalam Kaabah, semua pemimpin qabilah yang bersepakat ini mencelup tangan ke dalam bekas bauan itu dan melumurkan di Kaabah. Mengatakan kesetiaan mereka untuk merampas beberapa kuasa yang ada pada qabilah-qabilah lain.

Akhirnya mereka dapat rampas kuasa, Nabi tidak mengiktiraf tahaluf ini kerana tahaluf ini berdasar kepada kezaliman. Itu tahaluf yang berlaku pada zaman jahiliyyah. Apabila Nabi membawa Islam di Makkatul Mukarramah, Nabi telah mengambil peluang bertahaluf dengan Bani Hashim dan Bani Mutalib untuk melindunginya di atas semangat kekeluargaan. Baginda memanggil keluarganya dalam kalangan Bani Hashim dan Bani Mutalib diketuai Abu Talib bapa saudaranya, untuk memberi perlindungan kepada Nabi dan sahabat-sahabatnya. Abu Talib mengadakan perhimpunan di kalangan keluarganya Bani Hashim dan Bani Mutalib menyatakan kesediaan mereka untuk melindungi Nabi SAW di atas semangat kekeluargaan.

Tegas Pertahan Prinsip

Tetapi apabila bertembung dengan aqidah, beberapa orang pemimpin Quraisy menemui Abu Talib supaya menasihati anak saudaranya jangan berdakwah dan tidak membawa ajaran Islam yang bercanggah dengan agama nenek moyang. Perkara yang dibawa ini menyebabkan keadaan tidak stabil di Makkah, disuruh agar nasihat anak saudara Abu Talib. Lalu Abu Talib memanggil Nabi SAW memberitahu hasrat pemimpin-pemimpin Makkah supaya Baginda berhenti berdakwah. Apabila Abu Talib menawarkan suatu perkara yang bercanggah dengan aqidah perjuangan dan matlamat perjuangan, maka Nabi tidak bertolak ansur dalam perkara ini.

“Demi Allah, sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan Islam ini dan aku mati kerananya, aku tidak akan berhenti.”

Lalu Nabi menangis kerana merasakan Abu Talib sudah merungkai persefahaman untuk memberi perlindungan. Tiba-tiba Abu Talib memanggil Nabi mengatakan dia akan terus memberi perlindungan kepada Nabi dan keluarganya yang Islam dan bukan Islam. Menunjukkan bahawa di dalam perkara aqidah tidak ada tolak ansur. Dalam perkara syariat yang menjadi aqidah tidak ada tolak ansur dalam persefahaman kita dengan orang bukan Islam.

Di sini pendekatan tahaluf PAS dengan DAP, dalam konteks politik Malaysia. PAS bertahaluf di atas dasar membetulkan demokrasi yang adil, bertahaluf di atas dasar menentang ISA. PAS memahami ideologi berbeza dan aqidah perjuangan berbeza. Apabila tahun 2001, DAP meminta PAS membatal matlamat untuk menegakkan negara Islam, PAS tidak berganjak. Ini sudah melanggar tahaluf siyasi. Terkini DAP meminta PAS batalkan syariat di Kelantan, negeri yang PAS perintah. Ini bercanggah dengan aqidah perjuangan PAS menyebabkan PAS tidak boleh tolak ansur dalam fahaman politik.

Maka ahli mesti faham antara pendekatan dan aqidah perjuangan. Ada antara ahli yang menyamakan pendekatan dan aqidah perjuangan, menjadi celaru, sayang Pakatan Rakyat atas nama pendekatan lebih dari aqidah perjuangan. Ini satu sikap yang salah dan mesti difahami. Inilah pertembungan dalam parti mutakhir ini kerana tidak memahami di antara konsep pendekatan dengan dasar dan matlamat perjuangan yang perlu dibezakan antara satu sama lain.

Pengajaran Gerakan Islam

Hari ini kelihatan beberapa gerakan Islam di peringkat antarabangsa, di negara lain mengalami masalah sama kerana tekanan kuasa-kuasa Barat yang ingin menghalang muncul negara Islam semula dan dianggap sebagai satu cabaran kepada mereka. Mereka tidak mahu mengizinkan wujud negara Islam dalam dunia ini. Mereka menganggap jika wujud negara Islam akan kembali Islam menjadi kuasa besar dunia. Khilafah Uthmaniah, Khilafah Abbasiyah, khilafah di zaman dahulu mereka tidak mahu sekali-kali wujud semula. Kerana itu mereka mencadangkan Parti Islam sekular. Parti Islam yang tidak mempunyai matlamat untuk menegakkan negara Islam. Parti Islam yang tidak mempunyai matlamat untuk melaksanakan syariat.

Di Turki, Erdogan diminta mengadakan perjanjian dihadapan tentera dan menandatangani perjanjian sekiranya Parti AK menang tidak akan menegakkan negara Islam, tidak akan melaksanakan syariat. Maka, menanglah Parti AK di Turki dengan mendapat dokongan kumpulan Islam dan kumpulan sekular. Kumpulan Islam menyokong kerana dia berasal dari kumpulan Islam Erbakan. Kumpulan bukan Islam menyokong kerana dia membawa aliran sekular.

Kemenangan besar, kemenangan sementara waktu yang menguntungkan parti, tetapi tidak meletakkan Islam di atas asas kukuh. Sehingga hari ini, Turki di bawah AK tidak dapat memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel. Tidak diizinkan untuk melaksanakan syariah, tidak dibenarkan untuk melangsungkan perjuangan menghidupkan gagasan Islam sebagai satu kuasa baru. Hanya dibenar dalam keadaan tergantung mengadakan hubungan dengan Eropah, diizinkan untuk mewujudkan demokrasi yang membenarkan dakwah, tetapi tidak membenarkan negara Islam ditegakkan.

Banyak parti-parti Islam merasakan ini pendekatan yang betul. Masing-masing menubuhkan parti keadilan di negara masing-masing. Di Indonesia ditubuhkan Parti Keadilan Sejahtera, di  Morocco ditubuhkan parti keadilan, di Mesir juga ditubuhkan parti keadilan kerana menganggap uslub ini memberi kejayaan kepada perjuangan. Hal macam ini perlu kita fahami betul-betul, hayati dari sumber al-Quranul Karim dan sunnah Nabi Muhammad SAW.  

Pemimpin-pemimpin ada betul dan salah ijtihadnya, adapun al-Quran mesti betul, adapun hadis Nabi dipelihara oleh Allah SWT. Setiap pandangan yang diberikan oleh sesiapa sahaja boleh diterima dan ditolak kecuali menepati al-Quran dan menepati hadis-hadis Rasulullah SAW. Hal macam ini perlu dihayati dan ditangani betul-betul supaya terus beristiqamah di atas landasan yang tepat dan diredhai oleh Allah SAW.

Seterusnya mencapai kemenangan sebenar yang dijanjikan oleh Allah, bukan kemenangan sekadar sementara waktu sahaja. – HARAKAHDAILY 31/7/2015

*Dipetik daripada pembentangan pada Tamrin Kepimpinan PAS Negeri Terengganu. Susun atur huruf dan suntingan oleh Wartawan Harakah, Izwan Abdul Halim

Share on Myspace