Menjana istiqamah

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

Firman Allah SWT:
مَا كَانَ اللَّهُ لِيَذَرَ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى مَا أَنْتُمْ عَلَيْهِ حَتَّى يَمِيزَ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُطْلِعَكُمْ عَلَى الْغَيْبِ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَجْتَبِي مِنْ رُسُلِهِ مَنْ يَشَاءُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَإِنْ تُؤْمِنُوا وَتَتَّقُوا فَلَكُمْ أَجْرٌ عَظِيم
ٌ (179) آل عمران

"Allah tidak sekali-kali membiarkan orang-orang yang beriman itu di atas kedudukan  yang ada selama-lamanya(tanpa ujian penapisan), sehingga Allah mendedahkan perbezaan di antara yang buruk  dikeluarkan daripada yang baik.  Allah tidak menampakkan kamu perkara yang ghaib, tetapi Allah memilih sesiapa yang Dia kehendaki di kalangan para Rasulnya (dengan pendedahan tersebut) . Maka beriman (percayalah) kepada Allah dan para Rasulnya. Dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka Allah kurniakan kamu ganjaran yang sangat besar". (Surah Ali-Imran: 179)

Sebab nuzul (turun) ayat-ayat ini bersempena peristiwa Uhud yang berlaku di bulan Syawwal tahun ketiga hijrah. Apabila Rasulullah SAW bermusyawarah dengan para sahabat RA setelah mengetahui kedatangan musuh daripada musyrikin Makkah, mereka sudah berada di Uhud 6 Syawwal tahun ketiga hijrah, bala tentera yang besar jumlahnya 3,000 orang, bersenjata lengkap untuk menyerang Madinah.

Dalam mesyuarat itu Rasulullah SAW mencadangkan supaya bertahan di Madinah, menunggu musuh datang menyerang, di mana pihak Islam boleh bertempur di lorong dan berbentengkan bangunan. Cadangan ini disokong oleh Abdullah bin Ubai pemimpin munafiq dengan niat yang jahat, memudahkannya menyembunyikan diri.

Cadangan kedua pula daripada kalangan para sahabat, supaya keluar menyerang musuh di luar daripada kota Madinah, ke tempat mereka sedang berkhemah berhampiran bukit Uhud. Langkah ini lebih strategik dan menyelamatkan kota Madinah yang menjadi benteng terakhir. Cadangan ini disokong kuat oleh Saidina Hamzah RA dan lain-lain, khususya para sahabat yang tidak sempat ke Badar.

Akhirnya Rasulullah SAW memilih cadangan kedua, iaitu keluar menentang musuh yang sudah berada di Uhud. Apabila melihat Rasulullah SAW memakai pakaian perang  untuk keluar, kalangan yang membawa cadangan ingin menarik balik cadangan mereka, kerana sangat bersimpati kepada Rasulullah SAW terhadap cadangannya, serta tidak mahu mengecewakan kalangan munafik. Tiba-tiba Rasulullah SAW menegaskan bahawa sifat seseorang Rasul itu tegas dengan keputusan masyuaratnya.

Dalam perjalanan ke Uhud pula Abdullah bin Ubai menarik pengikutnya berundur dengan alasan cadangan yang disokongnya dalam mesyuarat telah ditolak dan dikecewakan. Dia berjaya manarik satu pertiga anggota yang berjumlah hanya seribu orang, menjadikan bakinya 700 anggota.  Berbanding dengan musuh yang lebih besar berjumlah 3,000 anggota. Dalam keadaan ini juga Rasulullah SAW menolak pasukan tentera kaum Yahudi Madinah rakan tahaluf yang datang untuk memberi bantuan, hanya menerima Yahudi yang beriman sahaja.

Apabila sampai di Uhud, Rasulullah SAW mengatur kedudukan tentera Islam secara terperinci dengan kedudukan masing-masing. Sebahagiannya berada di markas operasi, bersama Rasulullah SAW,  sebahagian lagi ialah pasukan pemanah, ditugaskan berada di atas puncak anak bukit, mengawal dan menjadi pelindung daripada serangan yang mungkin datang daripada belakang, mereka diberi arahan tidak dibenarkan meninggalkan tempat dalam semua keadaan. Adapun sebahagian yang lain menyerang musuh yang besar jumlahnya.

Pada awal peperangan tentera Islam mencapai kemenangan, sehingga musuh berundur meninggalkan banyak harta yang dibawa untuk menjadi semangat kepada mereka. Apabila pasukan pengawal anak bukit meninggalkan kedudukan mereka, tanpa peduli kepada arahan Rasulullah SAW kerana ingin memungut  harta yang ditinggalkan musuh. Maka, datanglah kemalangan yang tidak berbau, tentera berkuda  musuh mengambil kesempatan menyerang daripada belakang, menjadikan markas besar terdedah diserang hebat, tentera musuh yang melarikan diri berpatah balik menyerang balas, menjadikan tentera Islam dan Rasulullah SAW yang berada di markas operasi dalam keadaan kritikal, terdedah kepada serangan dan kepungan musuh.

Walaupun Rasulullah SAW berjaya mengambil langkah berundur dan mengambil kedudukan bertahan ke bukit Uhud  berjaya menyelamatkan keadaan, sehingga musuh tidak berani meneruskan serangan bahkan mereka berundur pulang ke Makkah dalam ketakutan.

Namun, ramai kalangan sahabat gugur syahid sehingga 70 para sahabat radiallahuanhum termasuk Saidina Hamzah RA, bapa saudara kesayangan Baginda. Ramai yang mendapat luka, termasuk Rasulullah SAW patah giginya yang mulia, darah berlumuran pada wajahnya, menjadikan semua mereka dalam kesedihan, maka Allah mewahyukan ayat-ayat tersebut di atas tadi.

Allah menurunkan wahyu firman di atas, menegaskan bahawa peristiwa itu ditetapkan-Nya sendiri, dalam ilmu dan kebijaksanaan ketuhanan-Nya, yang Maha Suci daripada segala sifat kekurangan. Allah mengkehendaki berlakunya Istiqamah kepada perjuangan Islam yang dijanjikan kemenangan. Islam yang ditegakkan itu wajib berlaku adil terhadap semua, membawa rahmat Allah kepada seluruh alam. Kemenangan yang tidak sama dengan ciptaan manusia  yang lemah. Layak diberi Allah hanya kepada mereka yang beristiqamah dengan iman, berilmu dan budiman dengan ikhlas hati. Iman dan Ikhlas hati adalah perkara ghaib yang tersirat diluar kemampuan pandangan manusia dan hanya nyata dalam ilmu Allah.

Maka, berlakulah penapisannya  dengan tarbiyyah secara langsung daripada Allah, bagi menjana istiqamah dan menyingkirkan kalangan yang tidak istiqamah dan tidak ikhlas. Tegasnya, Allah menyingkirkan kalangan munafiq dengan mereka menolak keputusan mesyuarat kerana cadangan mereka ditolak, atau merasakan Islam tidak menang kerana menolak cadangan mereka dan tidak menerima bantuan Yahudi. Ketewasan juga berlaku kerana adanya kalangan yang lemah iman kerana mengejar habuan sebelum kemenangan sehingga meninggalkan kawalan tanpa peduli kepada arahan Rasulullah SAW yang memimpin mereka.

Namun, ada kalangan beriman yang insaf dan bertaubat. Allah SWT berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَلَّوْا مِنْكُمْ يَوْمَ الْتَقَى الْجَمْعَانِ إِنَّمَا اسْتَزَلَّهُمُ الشَّيْطَانُ بِبَعْضِ مَا كَسَبُوا وَلَقَدْ عَفَا اللَّهُ عَنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ
(155) آل عمران

"Sesungguhnya mereka yang berpaling meninggalkan kamu pada hari (Uhud) apabila kamu menghadapi bertembungnya dua kumpulan (Islam dan musuhnya), sesungguhnya mereka telah diselewengkan oleh syaitan dengan sebab sebahagian daripada apa yang telah mereka usaha bersalah laku. Sesungguhnya Allah mengampunkan mereka dan Allah itu Maha pengampun dan Maha berlembut terhadap hambanya". (Surah Ali-Imran: 155)

Berlakunya tidak Istiqamah kerana tidak beriman atau tidak ikhlas atau jasad dan rohnya tidak berakhlak. Perkara roh dan hati hanya berada dalam ilmu Allah, ada juga yang menzahirkan kesalahannya, dan ada yang tidak terzahir sifat buruknya, Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Ada kalangan yang beristighfar kembali ke pangkal jalan dan ada yang berdegil sehingga menemui ajalnya.

Al-Quran adalah petunjuk sepanjang jalan dan zaman. Fahamilah Al-Quran di hadapan guru yang mursyid, jangan bergurukan "facebook" yang tiada mursyid atau sepertinya. - HARAKAHDAILY 21/8/2015

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
06 Zulkaedah 1436H / 21 Ogos 2015M

Share on Myspace