Kemerdekaan Islam Kemerdekaan Hakiki

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

 

PERUTUSAN KEMERDEKAAN KALI KE-58 PRESIDEN PAS

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT atas  nikmat kemerdekaan negara kita yang kita kecapi sejak 58 tahun yang lalu. Marilah kita semua hayati dan penuhi kemerdekaan ini dengan pengertian kemerdekaan sebenar menurut kaca mata Islam yang bukanlah hanya kemenangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah semata-mata.

Erti Sebenar Kemerdekaan Islam

Kemenangan perjuangan Islam yang dipimpin Baginda Nabi dikenali sebagai "Al-Fath" iaitu pembukaan. Pembukaan pembebasan Kota Mekah dari kegelapan jahiliyah menggambarkan satu contoh sebuah kemerdekaan sebenar Islam. Sesuai dengan satu ungkapan yang cukup terkenal oleh seorang Pahlawan Islam iaitu Rubaei Bin Amir apabila ditanya kepada oleh Rustum, Panglima Perang Parsi. Jawab Rubaei: “Sesungguhnya kami adalah kaum yang diutuskan oleh Allah untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada menyembah yang Maha Pencipta. Daripada kesempitan dunia kepada keluasan Islam, daripada kekeliruan agama agama kepada keadilan Islam”.

Nilai Kemerdekaan Kita Hari ini

Malaysia merdeka setelah dijajah sejak awal kurun ke-16 selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511. Kemudian bersilih ganti dengan Belanda, British, Jepun dan  British semula sehingga hampir sahaja ummat kita kehilangan identiti sebenar. Bermula di zaman British dan Belanda, Tanah Melayu dan Nusantara disusun untuk memenuhi kepentingan politik, ekonomi dan agama empayar mereka. Dengan penduduk asal di kalangan Melayu, penjajah mula membawa pekerja pekerja luar dari India dan China. Penduduk dari India dibawa untuk bekerja di estet-estet getah manakala orang-orang dari Tanah Besar Cina dibawa untuk sektor perlombongan.

Peninggalan penjajahan  ini telah menjadikan demografi negara kita masyarakat majmuk yang kompleks. Di hujung era penjajahan, berlaku kebangkitan rakyat di seluruh dunia untuk keluar daripada cengkaman penjajah barat. Perjuangan kemerdekaan negara diisi oleh rantaian perjuangan yang panjang dipelopori oleh golongan ulama seawal zaman penjajahan yang kemudiannya dikongsi bersama oleh semua kaum di Tanah Melayu. PAS sangat menghargai pengorbanan pejuang pejuang kemerdekaan negara, justeru kita sebagai golongan pewaris perlu mengisi kemerdekaan ini sebaik mungkin supaya pengorbanan mereka tidak disiakan.

PAS meyakini dengan sedalam dalamnya bahawa Islam sahajalah yang akan dapat menyatukan dan memerdekakan seluruh rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dalam erti kata sebenar kemerdekaan. Pembentukan kemerdekaan Islam seperti ini dibuktikan oleh Nabi Muhammad SAW yang memimpin Negara Islam Madinah. Sejak terdirinya Madinah, cahaya Islam telah menerangi seluruh alam sehingga tempiasnya bersinar menyuluh kegelapan Eropah yang tenggelam dalam kezaliman feudalisme dan gereja. Namun, malang sekali cahaya Islam itu semakin ditinggalkan ummat Islam, sehingga barat pula mengambil kesempatan menjajah tanah tanah ummat Islam.

Kemerdekaan Islam, Kemerdekaan Hakiki

PAS meyakini bahawa Islam sahajalah yang dapat memerdekakan seluruh ummat manusia khususnya di Malaysia kepada kemerdekaan hakiki. Islam yang merdeka ini bukan sahaja akan dinikmati oleh Islam, tetapi akan juga melimpahi rahmatnya kepada penganut penganut agama lain. Lihat sahaja ketika pembukaan Kota Mesir dan Palestin Di zaman Saidina Umar, Orang orang bukan Islam menerima keamanan dan kemerdekaan di bawah Islam dengan nilai kebebasan yang tak pernah mereka kecapi ketika berada di bawah Rom Timur atau Rom Barat. Kebaikan yang dapat daripada futuhat Islam akan membawa segala kebaikan dan keadilan kepada semua masyarakat dan kaum.

Akhirnya, pada hari kita menyambut kemerdekaan kali ke-58 ini, marilah bersama-sama PAS untuk kita membina negara dengan kemerdekaan sebenar. Kemerdekaan yang menyeluruh yang mendapat bimbingan Pencipta seluruh alam yang menjadikan Islam sebagai penyelesaian kepada seluruh kehidupan manusia.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
15 Zulkaedah 1436H / 30 Ogos 2015 - HARAKAHDAILY 30/8/2015

Share on Myspace