Malaysia majmuk dan kepimpinan Muslim

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

APABILA wafatnya Rasulullah SAW, para sahabat RA bermesyuarat di medan Thaqifah Bani Sa’eidah bagi memilih pengganti Rasulullah SAW untuk memimpin ummat dan negara yang telah diasas dan dibina di Kota Suci Madinah Munawwarah. Ini menunjukkan Islam bukan hanya sekadar dakwah, ibadat dan akhirat, bahkan penegasan betapa pentingnya urusan politik negara, sehingga sebahagian besar pemimpin para sahabat tidak berada ditempat pengebumian jasad Rasulullah SAW yang mulia itu.

Tiga kumpulan ummat Islam mengemukakan pandangan dan calon masing-masing. Kalangan Ansar daripada kabilah Aus dan Khazraj yang berasal dari Madinah, menegaskan bahawa kalangan merekalah sepatutnya menjadi ketua negara, kerana mereka adalah penduduk asal tempat yang menjadi pusat negara dan penglibatan mereka menegakkan Islam dengan bai’ah dan berjuang bersama Rasulullah SAW. Mereka mencalonkan Sa’ad bin ‘Ubadah RA pemimpin Ansar.

Adapun kalangan keluarga Rasulullah SAW yang dinamakan Ahli Al-Bait menegaskan supaya dipilih daripada kalangan mereka, lalu mereka mencalonkan Ali bin Abi Talib RA, menantu Rasulullah SAW dan sepupu Baginda. Kalangan ini juga disokong oleh sebahagian para sahabat, di antara mereka ialah Zubair bin ‘Awwam dan Tolhah bin ‘Ubaidillah RA.

Sebahagian besar kalangan Muhajirin pula mencalonkan daripada kalangan mereka dan dipilih daripada kabilah Quraisy. Hujah mereka adalah yang terawal bersama Islam dan menegakkannya bersama Rasulullah SAW dan berhujahkan hadis Rasulullah SAW yang bersabda:

الْأَئِمَّة مِنْ قُرَيْش مَا إِذَا حَكَمُوا فَعَدَلُوا " الْحَدِيث  

"Para pemimpin itu daripada kalangan Quraisy  selagi mereka memerintah berlaku adil."

Langkah pemilihan ini menunjukkan Islam mendahului demokrasi moden sejak beberapa abad, memperkenalkan sistem pemerintahan yang melibatkan rakyat, dengan asas agama yang sangat kukuh. Nyata betapa pengajian orentalis juga mempengaruhi demokrasi moden.

Akhirnya sebahagian besar para sahabat memilih Abu Bakar RA menjadi Ketua Negara bergelar Khalifah, beliau dipilih daripada kalangan muhajirin dan Quraisy. Langkah yang diambil selepas wafatnya Rasulullah SAW sehingga hukum syariat Islam dalam urusan politik pemerintahan negara yang menjadi perbincangan yang dicatit dalam kitab-kitab Tafsir Al-Quran, Aqidah, Feqah dan Tasawuf,  merupakan jurusan-jurusan ilmu Islam yang asasi.

Walaupun aspek ini lebih dekat dengan ilmu Feqah yang dicabut daripadanya ilmu Siyasah Syar’iyyah atau Ahkam Sultoniyyah. Namun, masalahnya tetap berkaitan dengan Nas Al-Quran  dan Hadis. Kalangan Syiah meletakkannya dalam perkara Aqidah menyebabkan dibincang juga oleh mazhab Ahli Sunnah dalam kitab Aqidah, seperti Imam Al Ghazali RA meletakkan bab Imamah (kepimpinan negara) dalam kitab Aqidah karangannya (الاقتصاد في الاعتقاد). Perkara ini juga berkait dengan ilmu akhlak yang menjadi perbincangan ilmu Tasawwuf. Namun kesemua ajaran Islam tetap berkaitan diantara satu sama lain laksana mata rantai yang tidak boleh dipisahkan.

ISLAM AQIDAH NEGARA

Para sahabat RA secara Ijmak meneruskan kewajipan bernegara yang berdasarkan aqidah dan dasar Islam, meneruskan segala arahan Al-Quran dan sunnah yang di amal, yang tersurat dan tersirat daripadanya sehingga melahirkan Ijtihad (kajian ilmiah dalam perkara yang tidak ada nas).

Negara yang berteraskan aqidah beribadah (ketundukan kepada Allah) dan adanya perhitungan pahala dan dosa selepas meninggal dunia dalam kewajipan menegakkan keadilan terhadap semua dan rahmat terhadap semua, yang disimpulkan kepada konsep negara berkebajikan dengan makna yang luas, bukan sahaja dalam aspek kemasyarakatan dan ekonomi, membolehkan Islam memerintah masyarakat majmuk.

Firman Allah:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

"Dan kalau sekiranya Allah tidak menolak manusia itu berlawanan di antara kumpulan yang memperjuangkan Islam menghadapi penentangnya, nescaya dibinasakanlah rumah-rumah ibadat penganut agama Yahudi, gereja-gereja penganut Nasrani (Kristian), sembahyang-sembahyang dan Masjid penganut Islam yang disebut didalamnya nama Allah. Demi sesungguhnya Allah tetap menolong sesiapa yang berjuang menegakkan agamaNya. Sesungghnya Allah itu maha kuat lagi maha perkasa." (Surah Al-Hajj, ayat 40)

Menegaskan bahawa kerajaan Islam yang sebenar mampu memerintah masyarakat majmuk di atas ajaran agama Islam yang boleh mengawal semangat fanatik kaum dan agama daripada semangat tanpa ilmu dan kebijaksanaan yang menimbulkan ketegangan diantara kaum dan agama.

KONSEP KEPIMPINAN KAUM MUSLIMIN YANG TERBESAR

Pemilihan kabilah Quraisy yang berpegang dengan Islam kerana jumlahnya yang terbesar dan kedudukannya yang terkuat. Para ulamak Islam  menerima kaum yang silih berganti memimpin negara, berdasarkan konsep tersebut dalam pemilihan Khalifah yang pertama (Abu Bakar RA) dan Khulafa Rasyidin selepasnya (sila lihat Muqadimah: Ibnu Khaldun dan Itmam Al-Wafa: Muhammad Al-Khadri).

Jawatan Khalifah (Ketua Negara) dalam sejarah Islam bergilir kaum, dipilih daripada kalangan kaum yang terkuat dan majoriti umat yang berpegang teguh dengan Islam, berpandukan juga firman Allah:

وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ

"Dan jika sekiranya kamu berpaling (daripada menegakkan Islam dan syariatnya), nescaya Allah menukarkan kaum yang lain daripada kamu, kemudian mereka tidak saperti kamu." (Surah Muhammad, ayat 38)

Kenyataan sejarah kegemilangan Islam membuktikan mukjizat Al-Quran wujudnya berbagai bangsa penganut Islam yang beriman, berilmu dan budiman memimpin negara besar masyarakat majmuk dengan sistem dan hukum yang adil dan menegakkan tamdun dunia yang berjaya. Kepimpinan bertukar daripada bangsa Arab, kepada Kurdis, Turki dan lain lain.

Dalam masa yang sama pemerintahan Islam juga melibatkan kalangan bukan Islam berbagai bangsa berada dalam kabinet Wazarah Tanfiz (kementerian yang tidak berkait dengan perkara dasar) dan Idarah (pengurusan) mengikut kepakaran dan kedudukan mereka yang munasabah.

MALAYSIA WAJIB BERPEMIMPIN ISLAM MELAYU

Islam telah bertapak di Malaysia secara berdaulat, sehingga keseluruhan kaum Melayu dan sebahagian besar penduduk asal menganut Islam dan menjadi Melayu Muslim. Kedatangan penjajah barat telah mengubah landskap negara menjadi masyarakat  bersama kaum-kaum  yang dipaksa datang sehingga menjadi majmuk. Namun Islam tidak boleh dihapuskan walaupun negaranya mengikut konsep Islam sepenuhnya dilemahkan oleh penjajah. Namun penganut Islam tetap menjadi kumpulan majoriti rakyat berbilang kaum dan agama.

Berasaskan pelaksanaan Islam yang tersebut, daripada ajaran Islam dan sejarahnya, maka wajib ditegakkan pemerintahanya dengan cara yang betul, bersama kepimpinan negara beragama Islam daripada bangsa Melayu. Dalam masa yang sama wajib berlaku adil terhadap masyarakat majmuk berbagai agama dan kaum dan melibatkan mereka dalam urusan politik pemerintahan dan kehidupan bermasyarakat seperti ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Hanya Islam yang mempunyai roh perhitungan beribadat kepada Allah dalam aspek pemerintahan dan adanya perhitungan dosa dan pahala terhadap segala tindakan kerajaan, dapat memimpin masyarakat majmuk dengan adil dan berkebajikan terhadap semua.

Adapun ideologi dan teori yang memisahkan ajaran agama daripada politik, ekonomi dan segala pengurusan bermasyarakat, tidak mampu mengawal fanatik dan cauvinisma yang tetap akan merumitkan lagi masalah yang telah sedia ada, bahkan boleh menambahkan kerumitan atau mengundang masalah baru. Kenyataan ini bukan kerana taksub kepada Islam atau kaum bangsa, tetapi melalui hakikat yang wujud dalam ajaran Islam dan perbezaannya dengan ideologi-ideologi lain.

Al-Quran memaparkan segala sistem pemerintahan dunia sejak Nabi Adam tanpa mengira sama ada sistem Ketua Negara secara Malakiah (beraja mengikut warisan) atau Khilafah (mengikut pemilihan). Nabi Daud dan Muhammad SAW secara Khilafah, manakala Nabi Sulaiman AS dan Zukarnain yang adil adalah mengikut system Malakiyyah (beraja), semuanya diiktiraf oleh Allah. Yang diharamkan dan dikutuk ialah pemerintah yang zalim berkuku besi yang menyalah gunakan kuasa, memperhambakan rakyat dan tidak amanah terhadap rakyat dan harta yang menjadi isi negara.

Maka kewajipan kita ialah mengislahkan keadaan dengan melakukan tajdid bagi menghapus peninggalan penjajah dan adat  yang negatif dan menerima segala kebijaksanaan berpandukan petunjuk Islam dengan menafsirkan Perlembagaan yang ada mengikut kebijaksanaan sendiri, tanpa pengaruh warisan penjajah.

Firman Allah:

يَا عِبَادِ فَاتَّقُونِ * وَالَّذِينَ اجْتَنَبُوا الطَّاغُوتَ أَنْ يَعْبُدُوهَا وَأَنَابُوا إِلَى اللَّهِ لَهُمُ الْبُشْرَى فَبَشِّرْ عِبَادِ * الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ *

"Wahai hamba-hambaKu!  Bertaqwalah ! Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada pelampau supaya memperhambakan diri kepada pelampau itu, (sepatutnya) mereka kembali kepada memperhambakan diri kepada Allah sahaja. Bagi mereka berita gembira (kebaikan dunia dan akhirat). Maka sampaikan berita gembira kepada hamba-hambaKu, apabila mereka mendengar kata-kata, nescaya mereka mengikut yang terbaik. Merekalah orang yang mendapat petunjuk Allah  dan merekalah orang berakal fikiran (yang bijak)." (Surah Az-Zumar, ayat 16-18)

Sabda Rasulullah SAW juga menafsirkannya, merujuk kepada kitab Sunan Ibnu Majah:

الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا.

"Ungkapan kata yang bijaksana itu laksana barang tercicir kepunyaan orang yang beriman, maka dimana sahaja didapatinya, maka dialah yang paling berhak mengambilnya."

Maka Islam menegakkan tamadunnya dengan menimba semua ilmu yang berfaedah daripada semua sumber, bukan sahaja ilmu wahyu daripada Al-Quran dan kebijaksanaan Rasulullah SAW bahkan ilmu dan pengalaman yang bijaksana daripada semua kaum dan negara saperti Rom, Parsi, Mesir, China, India dan lain-lain, bahkan Islam menolak segala yang mungkar dan zalim walau pun daripada kalangan bangsa arab yang dilahirkan di Tanah Suci Makkah dan Madinah. Maka masyarakat majmuk adalah ruang mesej Islam yang bersifat sejagat.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

23 Zulhijjah 1436H / 07 Oktober 2015

Share on Myspace