Iktibar fathu Mekah

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

 

Kejayaan Islam di zaman keemasan bersama Rasulullah SAW membebaskan tanah airnya Mekah adalah di antara Qudwah Hasanah (contoh terbaik yang wajib diikuti) oleh penganut Islam kerana termasuk dalam firman Allah:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

"Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah contoh teladan terbaik menjadi ikutan kepada sesiapa  yang penuh harapan kepada janji Allah yang diyakini dan  sentiasa berharap kepada Allah dan Hari Akhirat, serta sentiasa ingatkan Allah sebanyak-banyaknya)." (Surah Al-Ahzab, ayat 21)

Perjuangan Rasul akhir zaman bagi menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat. Sangat berbeza dengan perjuangan kemerdekaan bangsa yang hanya membebaskan tanahairnya daripada penjajah asing, semata-mata di atas semangat kebangsaan dan kenegerian tanpa halatuju wawasan yang jauh, atau revulosi menggulingkan kerajaan yang dianggap zalim hanya sekadar dendam kesumat, selepasnya melakukan kezaliman pula.

Bukan pula bermakna Rasulullah SAW tidak patriotik. Sebenarnya Baginda SAW dan semua para Rasul AS menyayangi tanah air dan kaumnya lebih daripada mereka yang lain, kerana Al-Quran melaporkan semua para Rasul AS menggunakan perkataan, ”Ya Qaumi" (Wahai kaum bangsaku yang tersayang). Semua mereka bersedih terhadap kaum dan tanah air yang dibinasakan dan beristighfar sehingga Allah melarang beristighfar terhadap mereka yang tidak percayakan Allah. Perjuangannya semata-mata menyelamatkan manusia bersama Islam, bukan kerana jawatan dan harta kekayaan, sehingga menolak tawaran menjadi raja atau pemimpin paling besar dengan tawaran harta yang sebanyak-banyaknya, juga mengekalkan raja yang menerima Islam dan bertaubat.

Rasulullah SAW bersabar menghadapi kezaliman kaum bangsa dan keluarganya sendiri tanpa menjemput kuasa besar Parsi dan Rom supaya menawan Mekah. Setelah berjaya menegakkan negara yang kuat selepas berhijrah bersama para sahabat yang setia di kalangan Muhajirin daripada Mekah dan kalangan Ansar penduduk Madinah yang berbai’ah dan setia kerana memahami maksud Bai’ah iaitu hubungan dengan Allah. Sehingga mematahkan semua serangan musuh, lalu pulang ke Mekah kerana sangat merinduinya dan menunaikan Umrah yang tidak harus dihalang mengikut agama dan adat. Tiba-tiba dihalang sehingga hampir mencetuskan peperangan. Sebaliknya apabila diajak beruding untuk berdamai, terus menerima dengan sikap yang sangat terbuka, walaupun dengan syarat perjanjian pada zahirnya menguntungkan pihak lawan . Di antaranya, "Sesiapa yang melarikan diri di kalangan yang berhijrah ke Mekah tidak boleh dipulangkan, sebaliknya mana-mana kalangan Mekah yang berhijrah ke Madinah hendaklah dihantar pulang semula ke Mekah.”

Perdamaian hendaklah diutamakan dalam konsep perjuangan Islam, kerana perintah Allah:

وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ * وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ * وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

"Dan jika sekiranya mereka itu (musuh) mahukan perdamaian maka terimalah perdamaian dengannya serta bertawakkal kepada Allah. Sesungguhnya  Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Dan jika sekiranya mereka hendak menipumu, maka cukuplah Allah menjadi penulung (yang bertawakkal kepadanya). Dialah yang mendukungmu bersama dengan orang-orang yang beriman dan menjinakkan dikalangan hati-hati mereka. Kalau Engkau belanjakan seluruh harta yang ada dibumi ini nescaya Engkau tidak mampu menjinakkan hati-hati mereka, tetapi Allah sahaja yang boleh menjinakkan kalangan mereka. Sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Anfal, ayat 63)

Penerimaan Rasullah SAW dengan tegas terhadap perjanjian ini dengan mencari keredaan Allah tanpa peduli terhadap keadaan para sahabatnya yang bersifat manusia yang tetap sayangkan Allah dan Rasul SAW namun tetap ada kelemahan kemanusiaan yang memerlukan hidayah Allah dan kebijaksanaan Rabbani Rasulnya SAW menunjukkan natijah akhirnya menjadi sebab untuk bertindak terhadap pemimpin Mekah yang melanggar perjanjian Hudaibiyah tersebut.

Bala tentera Islam yang besar jumlahnya berlipat kali ganda daripada sebelumnya, kerana jumlah yang lebih besar datang menganut Islam dan bersama jihad ketika damai. Apabila Mekah ditawan tanpa tentangan yang besar kerana pemimpin utamanya Abu Sufian RA ditawan dan memeluk Islam. Perintah berkurung diisytiharkan supaya tidak menghalang tentera yang masuk ke Mekah berduyun-duyun. Sebaik sahaja perintah berkurung selesai, penduduk Mekah datang berkumpul di halaman Ka’abah. Rasulullah SAW menyampaikan ucapan  kepada mereka:

"Wahai kamu semua! Sesunggunya Allah menghapuskan kalangan kamu keangkuhan dan kesombongan jahiliyyah, kebanggaan dengan nenek moyang. Semua kamu daripada Adam, dan Adam itulah juga daripada tanah. Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

"Wahai Manusia ! sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang  perempuan (Hawa), berbangsa-bangsa dan bersuku kaum supaya bertaaruf (bermasyarakat Madani). Sesungguhnya paling mulia kalangan kamu disisi Allah yang paling bertaqwa. Sesugguhnya Allah itu Maha Mengetahui berkenaan diri kamu dan Maha mengetahui juga berkenaan urusan kamu." (Surah Al-Hujurat, ayat 13)

Seterusnya Rasulullah SAW bersabda, "Adakah kamu tahu apakah tindakanku terhadap kamu?" Mereka menjawab, "Engkaulah sebaik-baik orang di kalangan keluarga dan kaum." Sabda Rasulullah SAW lagi, "Aku ucapkan kepada kamu apa yang diucapkan oleh Nabi Yusuf terhadap saudara-saudaranya", sepertimana yang disebut menerusi Surah Yusuf, ayat 92:

قَالَ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُمْ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

"Tidak ada apa-apa tindakan atau hukuman atau celaan terhadap kamu pada hari ini. Mudah mudahan Allah mengampunkan kamu. Dialah Tuhan Maha Pengampun lagi Maha Penyayang)."

Seterusnya Rasulullah S.A.W. menegaskan, ”Pergilah! Kamu semua dibebaskan”. Hanya seramai sembilan orang ada riwayatnya dua belas orang sahaja, disenarai hitamkan, supaya diambil tindakan walaupun bernaung dikelambu Ka’abah kerana dikira penjenayah besar. Namun sebahagian besarnya diampunkan, di antaranya Wahsyi yang membunuh Hamzah (bapa saudara Rasulullah SAW) dalam perang Uhud, Habbar bin Al-Aswad yang menghalang Zainab RA puteri Rasulullah SAW sehingga terjatuh daripada kenderaannya dan berlaku keguguran janin dalam kandungan, Ikrimah anak Abu Jahal musuh paling kejam, Abdullah bin Abi Sarah penulis wahyu yang murtad dan lain-lain.

Bandingkan Fathu Mekah dengan Revulosi Perancis, England, Amerika, China dan lain-lain. Betapa berlakunya balas dendam yang tidak dapat dikawal, dan tindakan yang memakan korban yang tidak terkira jumlahnya. Apabila Rasulullah SAW melihat mayat Hamzah RA yang amat disayangi gugur syahid dalam peperangan Uhud, di mana jasadnya dikelar dan dicincang dengan kejam, maka datanglah sifat kelemahan manusia kedalam diri untuk membalas dendam lebih daripadanya. Maka Allah menurunkan firmanNya:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ * وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُمْ بِهِ وَلَئِنْ صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِلصَّابِرِينَ * وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِمَّا يَمْكُرُونَ * إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ

"Serulah ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang terbaik, dan berdebatlah dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang lebih mengetahui sesiapa yang paling sesat daripada jalannya dan lebih mengetahui sesiapa yang layak mendapat hidayah. Dan jika kamu membalas maka balaslah dengan hukuman yang setimpal saperti dilakukan terhadap kamu. Dan jika kamu bersabar (sehingga memaafkan) maka itulah yang terbaik bagi orag-orang yang bersifat sabar. Dan (wahai Muhammad) bersabarlah, dan tiadalah sabarmu itu malainkan  bersama Allah. (Wahai Muhammad) jangan bersedih, di atas (kejahatan mereka). Dan merasa sempit dengan sebab tipu daya mereka. Sebenarnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa dan berbuat kebaikan." (Surah An-Nahl, ayat 128)

Inilah sikap yang ditunjukkan ketika Fathu Mekah. Inilah keimanan penganut Islam yang sebenar berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Di antaranya dinyatakan firman Allah:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ * وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ * وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ * وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

"Dan siapakah lagi yang lebih baik kata-katanya lebih daripada orang yang berdakwah kepada Allah (petunjuknya), serta mengerjakan amal yang soleh, seraya berkata: ”Sebenarnya saya dari kalangan orang-orang  Islam (berterus terang). Sebenarnya tidak sama (kalau dbandingkan) di antara kebaikan dan kejahatan. Tolaklah kejahatan dengan berbuat yang lebih baik, nescaya berlakulah hubungan baik dengan orang yang pernah bermusuh dengan mu itu, tiba-tiba bertukar menjadi rakan paling berkasih sayang. Tidaklah dapat menerima sikap ini melainkan oleh orang-orang yang sebenarnya bersifat sabar dan tidaklah boleh menerimanya malainkan oleh orang yang mendapat bahagian ganjaran paling besar daripada Allah. Dan (ingatlah) apabila syaitan membisikkan terhadap sesuatu bisikan (Yang sudah pasti buruknya). Maka mintalah perlindungan daripada Allah. Sesungguhya Dia Maha mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah Fussilat, ayat 36)

Menunjukkan bahawa Fathu Mekah adalah mesej rahmat Allah kepada seluruh manusia mengikut acuan Allah yang sangat berbeza dengan acuan manusia. Bumi Mekah di zaman itu tidak seperti Putrajaya yang ramai peminatnya. Makkah adalah bumi kering yang tiada hasil galian berharta, tiada air, tiada pertanian, sumber industri dan lain-lain sumber kemewahan. Hanya petunjuk Allah supaya permulaan segalanya ialah pembangunan insan mengikut fitrahnya yang sebenar.

Untuk memahami lebih terperinci sila rujuk kepada buku-buku Sirah Nabawiyyah dan Tafsir ayat tersebut di atas, jangan gunakan akal tanpa panduan ilmu petunjuk Allah, kerana Allah berfirrman:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

"Jangan bercakap (termasuk menulis, mengikut dan sebagainya) apa-apa yang kamu tidak ada pengetahuan berkenaannya. (Ingatlah) sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan dan akal (yang membuat keputusan)  semuanya akan disoal berkenaanya (pada Hari Qiamat kelak." (Surah Al-Isra', ayat 36)

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

24 Muharram 1437H / 05 November 2015M - HARAKAHDAILY 5/11/2015

Share on Myspace