Pandangan awal TPPA: PAS bantah pendirian kerajaan Umno BN

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

 

 

KEBIMBANGAN Parti Islam Se-Malaysia (PAS) terhadap musibah ekonomi yang bakal melanda negara dengan perjanjian TPPA sekarang semakin menjadi kenyataan.

Malah perbandingan saya bahawa TPPA adalah penjajahan baru dengan topeng ekonomi global yang 'berlandaskan' undang-undang telah terbukti benar setelah meneliti bab mukadimah teks TPPA yang mula disiarkan dalam laman web MITI, yang dengan jelas menyebut bahawa TPPA adalah manifestasi daripada hak dan rasa tanggungjawab negara-negara anggota terhadap intipati Perjanjian Marrakesh yang telah menjadi asas kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). 

Agenda sebenar TPPA juga kita dapat fahami secara tersirat menerusi penelitian kandungan temubual Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mengenai kepentingan TPPA kepada ekonomi Amerika Syarikat.

Dalam bulan Ogos 2010 apabila mula digerakan rundingan TPPA ini, saya telah pun membuat kenyataan bahawa TPPA amat berisiko kepada Malaysia kerana ianya akan mendedahkan Malaysia kepada mekanisma dan kesan WTO secara langsung dalam tempoh segera.

Malah saya telah menyarankan agar kerajaan terlebih dahulu mengambil kesempatan sepenuhnya dari pakatan ekonomi serantau yang sedia ada seperti AFTA yang lebih mesra dan berorientasikan Asia, dan mengembangkan kerjasama ekonomi negara umat Islam melalui D8. Saranan sama telah saya tegaskan sekali lagi semasa membahaskan Bajet 2016 yang lalu.

Semua maklumat awal ini sudah cukup untuk meyakinkan Malaysia bahawa TPPA adalah penjajahan yang telah kembali dan akan meragut kedaulatan ekonomi negara.

Rakyat Malaysia seharusnya sedar bahawa masyarakat kapitalis barat pun juga dengan lantang menolak WTO kerana ianya hanya menguntungkan pihak pemodal dan terus menzalimi rakyat atas nama globalisasi.

Malah gerakan global seperti protes 1999 di Seattle, Amerika Syarikat dan Gerakan Occupy Wall Street 2011 di New York, Amerika Syarikat adalah manifestasi bantahan masyarakat dunia terhadap WTO. Malah bekas menteri MITI, Tan Sri Rafidah Aziz dalam banyak ucapannya dahulu menegaskan bahawa Malaysia tidak seharusnya dipaksa menerima WTO selagi mana Malaysia belum bersedia.

PAS sekali lagi dengan tegas menyatakan bantahan dan menolak TPPA demi masa depan dan kesejahteraan rakyat dan negara. Buat masa ini pasukan penyelidik dan pakar-pakar PAS sedang meneliti dengan terperinci teks penuh dan annexTPPA.

Insya Allah suatu laporan penuh akan dikeluarkan tidak lama lagi dan akan didedahkan sebagai maklumat umum kepada rakyat. - HARAKAHDAILY 8/11/2015

Share on Myspace