Bajet 2016: Menyusahkan rakyat, menyenangkan kerajaan

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

PENDAHULUAN

PAS telah meneliti Bajet 2016 seperti yang telah dibentang oleh YAB Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di Dewan Rakyat pada 23 Oktober 2015 baru-baru ini. Berikutan dengan itu, sebuah jawatankuasa terdiri dari kalangan pakar yang mempunyai kepelbagaian latar belakang telah dibentuk oleh Lajnah Ekonomi dan Pengurusan Harta PAS serta Pusat Penyelidikan PAS (PPP) untuk meneliti kandungan bajet tersebut.

Penelitian PAS terhadap bajet tersebut adalah dengan objektif paling utama, iaitu untuk memastikan agar perancangan dalam bajet tersebut tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam seterusnya kepentingan rakyat diberi keutamaan dalam kesemua aspek.

PAS juga meletakkan objektif penelitian bajet tersebut dengan hasrat agar dapat memberi cadangan dan penambahbaikan yang difikirkan perlu, khasnya dalam konteks membawa kesejahteraan serta mengurangkan bebanan rakyat.

Ke arah mencapai hasrat tersebut, PAS telah menyediakan sebuah dokumen bagi menjelaskan cadangan-cadangan PAS secara lebih spesifik berteraskan kepada prinsip-prinsip yang digariskan oleh Islam. Dokumen ini akan diserahkan kepada Kerajaan Malaysia dalam tempoh terdekat dan akan disebarkan kepada umum selepas itu.

PAS berharap agar pihak kerajaan dapat memberi perhatian yang sewajarnya kepada cadangan-cadangan ini, serta memberi pertimbangan secara professional demi kepentingan negara dan rakyat.

Kenyataan Media ini bertujuan memberi makluman awal, secara ringkas kepada pihak media berkaitan maklum balas PAS terhadap bajet 2016.

PRINSIP-PRINSIP ISLAM BERKAITAN BELANJAWAN NEGARA

Dalam menguruskan ekonomi termasuk berkaitan belanjawan oleh sesebuah pemerintah, PAS ingin menegaskan beberapa prinsip-prinsip penting yang dilihat tidak dijadikan panduan di dalam menyediakan belanjawan negara kali ini:
1. Harta negara tidak boleh berlegar dalam kalangan golongan kaya sahaja
Prinsip ini jelas dinaskan di dalam al-Quran al-Karim pada ayat 7 surah al-Hasyr yang bermaksud:
(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.

2. Cukai diambil daripada lebihan golongan kaya untuk diagihkan kepada golongan miskin
Prinsip ini adalah berdalilkan kepada sabda Rasulullah SAW kepada Muaz Bin Jabal r.a. ketika baginda menghantarnya sebagai Gabenor di Yaman. Sabda Baginda SAW:
Beritahulah kepada mereka (penduduk Yaman) bahawa Allah telah mewajibkan mereka membayar zakat (cukai Islam) pada harta-harta mereka, ia diambil daripada golongan kaya mereka untuk diagihkan kepada golongan miskin mereka. (Riwayat al-Bukhari).

3. Golongan fakir dan miskin adalah dua sasaran utama sistem ekonomi islam
Prinsip ini adalah berdalilkan ayat al-Quran surah al-Taubah ayat 60 di samping hadith di atas.

MAKLUM BALAS PAS SECARA UMUM TERHADAP BAJET 2016

Secara keseluruhannya PAS melihat kandungan Bajet 2016 ini merangkumi kesemua elemen penting bagi pembangunan negara. PAS memperakui terdapat beberapa elemen bajet yang mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Walau bagaimanapun, PAS melihat terdapat ketidakpatuhan kepada Prinsip Syariat Islam yang agak ketara terutamanya dalam pelaksanaan GST yang telah mengenakan cukai kepada golongan faqir dan miskin, justeru bajet ini dilihat sebagai “bajet menyenangkan kerajaan tetapi menyusahkan rakyat”.

PAS juga mendapati wujud sekurang-kurangnya dua aspek besar pengurusan ekonomi negara yang sebenarnya boleh ditangani secara lebih berkesan, iaitu aspek Kejatuhan Nilai Ringgit, dan aspek Kos Sara Hidup Rakyat.

RINGKASAN CADANGAN-CADANGAN BALAS PAS TERHADAP BAJET 2016

Bagi tujuan mengelakkan perlanggaran prinsip-prinsip syariat Islam di dalam Bajet 2016, PAS sebagai sebuah parti Islam yang bertanggungjawab, mengusulkan cadangan-cadangan penyelesaian kepada tiga masalah utama yang dikemukakan oleh Bajet 2016 seperti berikut:

1. Penyelesaian kepada masalah kejatuhan harga petroleum dan kesilapan Kerajaan Malaysia bergantung kepada GST sebagai sumber alternatif pendapatan negara.
Cukai Atas Simpanan Syarikat dan Korporat (Tax on Saving)
Cukai Perdagangan Saham Di Bursa Saham Malaysia (Tax On Share Trading)

2. Penyelesaian kepada masalah kejatuhan matawang ringgit dan kesannya kepada perbelanjaaan negara dan rakyat.

Penggantian Import (Import Substitution) untuk Tempoh Terhad
Penelitian Semula Kontrak Kerajaan (Value Enginering)

3. Penyelesaian kepada masalah kenaikan kos hidup rakyat, iaitu secara lebih khusus kemelut berkaitan pemilikan rumah yang dihadapi oleh sebahagian besar masyarakat.
Pemberian Elaun Kos Sara Hidup (COLA) oleh Majikan Swasta
Projek ‘Mampu Memiliki Rumah’ (Affordable Home Ownership)

Butiran lebih terperinci pelaksanaan cadangan-cadangan ini terdapat dalam dokumen yang akan diserahkan kepada Kerajaan Malaysia dan diumumkan kemudiannya kepada rakyat.
 
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Share on Myspace