Melaksanakan peta baru yang dilakar

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

Rantau Asia Barat terus bergolak. Memang sejak berabad, Asia Barat telah menjadi medan pertarungan semua kuasa besar di setiap zaman. Ini kerana kedudukannya yang menyambung tiga benua besar dalam peta dunia. Kedudukan geografinya pula menjadi laluan hubungan antarabangsa dalam segala aspek. Terutamanya di zaman terkini, khususnya di dalam aspek ekonomi yang dijadikan laksana Tuhan Syirik yang dipuja selain Allah. Ekonomi itu sangat  bergantung kepada sumber tenaga yang terpenting iaitu petroleum, uranium dan segala bahan mentah  yang laksana nyawa kehidupan manusia.

Rantau ini pernah menjadi medan perang di zaman dahulu sehingga kini, dan salah satu medan dua perang dunia di zaman moden ini. Di mana ia menjadi rebutan semua kuasa besar di zamannya, sehingga tidak terkira mangsa korban dan kemusnahan yang diakibatkan oleh pergolakan tersebut.

Allah telah menentukan disini menjadi pengkalan pertama dan akhirnya kerasulan utusanNya, sehinggalah Rasul Akhir zaman Muhammad S.A.W. Hanya di zaman Islam menjadi negara Kuasa Besar menjadikan rantau ini selamat kepada dunia seluruhnya. Hujah ini bukan kerana fanatik agama, bahkan inilah hakikat Islam membawa rahmat kepada seluruh alam. Islam berjaya memimpin masyarakat majmuk di rantau ini bermula dalam negaranya dan hubungan antara negara serta berbagai bangsa dan agama. Walaupun wujud berbagai mazhab dalam diri umat Islam sendiri.  Ada yang istiqamah dan ada yang sesat terkeluar daripada agama kerana batal aqidahnya. Para ulama yang bijaksana menyelesaikan masalah secara ilmu dengan mencapai kejayaan walaupun  ramai yang jahil dan buta huruf.

Islam juga menerima adanya penganut agama lain yang diberi kebebasan beramal dengan ajaran agama masing-masing , serta  hak yang adil untuk bersama dalam Negara Islam. Di sinilah Al-Quran menegaskan mengapa Islam terpaksa terlibat dalam peperangan terlebih dahulu:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ (40 ). الحج.

(Dan kalaulah Allah tidak menjadikan manusia itu bertarungan diantara satu sama lain , nescaya dibinasakanlah rumah-rumah ibadat penganut yahudi, gareja-gereja penganut nasrani, tempat-tempat sembahyang dan masijid-masjid yang disebut didalamnya nama Allah. Demi sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong agama Nya. Sesungguhya Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa).

Islam berjaya mengalahkan kuasa besar di zaman keemasannya sehingga memimpin dunia. Maka berlakulah kebebasan yang adil, temasuk bersama dari kalangan agama bukan Islam dan  berbagai kaum dalam masyarakat majmuk. Semua ini berlaku ketika Syariat Islam dilaksanakan secara menyeluruh, sehingga Negara Islam berjaya  menegakkan tamadun ilmu dan teknologi bersumberkan petunjuk Islam.

Islam mengumpulkan semua ilmu bermafaat daripada tamadun umat terdahulu dan zamannya daripada timur dan barat dengan dimasukkan roh Islam daripada ilmu wahyu, yang berjaya memandu kemajuan sains dan teknologi. Konsepnya, Islam membuka pintu ilmu dan kebijaksanaan yang datang daripada semua penjuru dunia, ketika para ilmuan dan pemikir menjadi mangsa kezaliman pihak berkuasa yang mengongkong perkembangan ilmu.

Islam telah berjaya meluaskan wilayahnya sehingga ke Jalan Sutera di Asia Tengah, Asia Tenggara, sebahagian Eropah dan Afrika. Kedatangan Islam diterima sebagai penyelamat bukan sebagai penjajah. Ketibaan Islam disebut Futuhat (pembebasan) bukannya Isti’amar(penjajahan).

Adapun kedatangan penjajah selepasnya, menakluk secara memperhambakan rakyat dan merompak  hasil bumi negeri yang dijajah. Penjajah datang  mengambil peluang daripada kelalaian umat Islam sehingga meninggalkan ajaran Islam kerana lama berkuasa.

Ketahanan umat Islam beberapa abad kerana silih ganti kaum yang menganut Islam beramal dengan ajaran Islam. Firman Allah kepada kaum arab yang memimpin Islam pada awalnya:

وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ (38) محمد.

(Dan jika kamu berpaling (daripada menegakkan Islam) nescaya Allah menukarkan kaum yang lain daripada kamu (yang menegakkan Islam)  kemudian mereka tidak saperti kamu).

Maka kepimpinan bertukar bangsa yang menganut Islam, berilmu dan beramalkan ajaran Islam. Apabila kaum Turki yang memimpin kerajaan Osmaniyyah terakhir sudah lemah kerana meninggalkan Islam, bangsa—bangsa lain yang menganut Islam juga lemah, menyebabkan satu demi satu jatuh ditakluk penjajah yang bersifat menakluk semata-mata dengan konsep penaklukan (Kolonialisma/Imperialisma). Mereka bukan sahaja merompak hasil bumi dan mengabdikan rakyat, bahkan mereka mengambil  bersama ilmu duniawi daripada tamdun Islam tanpa roh dan akhlak atau memotong Islamnya. Laksana menyembelih leher yang memisahkan kepala daripada jasadnya.

Negara penjajah itu mencapai kekuatan teknologi, sehinggalah mereka berjaya menjatuhkan kerajaan Islam Osmaniyah dengan menggunakan tenaga dalaman umat Islam  sendiri. Melalui perbezaan mazhab, kaum dalam kalangan umat Islam dan kemudiannya melakar peta sempadan negeri–negeri yang berbeza.

Semangat kebangsaan setiap bangsa diapi-apikan, sehingga bangsa Arab, Parsi, India, Afghan, Melayu, Afrika menganggap Turki adalah penjajah. Diambil kesempatan juga daripada kelemahan kerajaan Turki mengurus negara yang luas wilayahnya. Semangat fanatik mazhab diantara Sunni dan Syiah yang menguasai Iran, Syiah Zaidiyyah yang menguasai Yaman, Khawarij Ibadzi yang menguasi Oman. Dalam satu mazhab Aqidah Sunni di antara Salafi (Wahabi) yang menguasai Tengah Semenanjung arab berlainan mazhab dengan Asya’irah dan Maturidyyah yang menjadi akidah di walayah lain. Di samping itu, mazhab dalam masalah hukum Syara’ (Feqah) juga dilagakan. Sehinggalah tenaga umat Islam boleh digunakan bagi membantu kuasa besar dalam pertarungan yang mencetuskan perang dunia pertama dan kedua.

Asia Barat, Utara Afrika dan Asia Tenggara menjadi medan perang paling besar diantara negara-negara kuasa besar. Dalam perang dunia pertama melibatkan kerajaan Osmaniyyah yang bergabung dengan Jerman dan perang dunia kedua pula dengan gabungan yang lain. Menurut kajian terkini bahawa sebahagian besar bala tentera yang dikorbankan adalah umat yang dijajah khususnya umat Islam.

Selepasnya diberi kemerdekaan kepada negeri-negeri bekas jajahan barat dan yang berada dibawah kerajaan Osmaniyyah. Pembahagian mengikut peta yang diatur oleh kuasa besar penjajah itu dengan berketuakan khadam yang berkhidmat kepada mereka ditempat masing-masing. Pembahagian diatur bersama jaminan mempertahankan takhta dan kerusi masing-masing, disertakan hubungan kerjasama ekonomi yang menyumbang kemajuan ekonomi negara kuasa besar yang ada itu. Bersama kemajuan terhad dan sumber kewangan dengan sistemnya yang menjamin kesenangan diri masing-masing tanpa memangkinkan kemajuan rakyat.

Terkini berlaku kebangkitan dan kesedaran Islam. Dalam keadaan yang sama berlaku krisis dalam sistem barat sehingga melanda umat, khususnya dalam aspek ekonomi yang menjadi berhala yang disembah. Maka berlakulah langkah baru menyekat kebangkitan Islam tanpa mengira apa salurannya, demokrasi atau revolusi, tanpa peduli mazhab Sunni atau Syiah, termasuk Islam sekular yang berbagai ideologi. Semuanya dibelasah  atau dilagakan secara pecah dan perintah sehinggalah berperang secara proksi, menjadi wakil kepada mana-mana kuasa timur dan barat.

Kemungkinan peta baru dilakarkan semula. Maka tidak mustahil semua pihak yang terlibat dalam krisis dalaman Asia Barat terkini secara langsung atau tidak adalah membantu pihak musuh mengadakan peta baru. Israel tetap diselamatkan, negara-negara kelilingnya terus berperang dengan senjata terkini daripada semua kuasa besar dibayar dengan duit arab, membunuh sesama sendiri.

Mengapa jadi begini? Semua bangsa yang ada telah wujud sejak beberapa ribu tahun, mazhabnya juga sejak lebih seribu tahun. Mengapa Islam boleh menyatukan semuanya secara agama dan kemanusiaan, tetapi tidak mampu disatukan hari ini? Jawapannya ada pada Sabda Rasulullah S.A.W. ketika berkhutbah di Mina apabila menunaikan Haji Wada’ (Selamat tinggal):

ألا فلا ترجعوا بعدي ضلالاً يضرب بعضكم رقاب بعض           

الرحيق المختوم (ص: 455 ).

(Ingatlah!, Janganlah kamu menyeleweng selepasku (wafat), sehingga kalangan kamu memancung leher sesama kamu). Petikan dari Rahiqul Makhtum, Syeikh Sofiyurrahman Mubarakfuri.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

04 Disember 2015/ 22 Safar 1437H - HARAKAHDAILY 4/12/2015

Share on Myspace