Tegak sunnah Rasulullah SAW sepanjang hayat

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan terhadap Rasulullah SAW. Sebagai seorang yang mencintai dan mengasihi baginda, tentu sekali kita sentiasa terkenang akan sirah atau lakaran-lakaran pengorbanan Rasulullah SAW sehingga kita semua dapat menerima cahaya keislaman, hidayah dari Allah bagi mengecapi nikmat iman dan Islam yang sangat berharga.

Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita menunaikan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung silih berganti hingga ke hari ini?

Wajib bersama kita hayati firman Allah SWT yang termaktub di dalam Al-Quran:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ.

"Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)." [Surah Saba’: ayat 28]

Baginda Rasulullah SAW telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna, melalui adanya Al-Quran serta Sunnah Rasulullah SAW.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan Maulidur Rasul kali ini  dengan menguatkan iltizam. Bersama kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan atau perbarisan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah SAW dengan mengamalkan serta menegakkan segala suruhan baginda, meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci oleh Baginda.

Rasulullah SAW meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskannya. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah SAW walaupun dia menyambut kelahiran Baginda SAW saban tahun.

Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah SAW hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah SAW, seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul di dalam segala aspek pentadbirannya.

Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah SAW dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1437H.

BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
12 Rabiul Awwal 1437 / 24 Disember 2015 - HARAKAHDAILY 24/12/2015

Share on Myspace