Menyimbah petrol membunuh diri (langkah selamatkan Israel)

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

Ketika Dunia Islam dan umatnya bersemangat menerima berita Intifadhah rakyat Palestin yang gagah berani menghadapi keganasan Zionis Israel yang melampau, kerana negaranya yang haram itu dilindungi negara besar berkuasa veto, dibekalkan segala jenis senjata, menggunakan pengaruhnya terhadap media yang tidak adil, monopoli ekonomi dan pengaruh politiknya.

Namun sejarah tidak boleh dipadamkan, betapa golongan pelampau Yahudi itu merompak, meroboh rumah kediaman dan menghalau rakyat Palestin. Terkini lebih melampau lagi, apabila melaksanakan usaha membina Haikal Sulaiman (Kuil Yahudi) di atas runtuhan Masjid Al-Aqsa yang dirancang untuk diroboh, ke arah menakluk dunia dengan menegakkan semula Kerajaan Nabi Sulaiman AS yang sudah tamat risalah kenabiannya, namun dijadikan impian.

Mangsa paling malang ialah penduduk asal Palestin, mengikut konsep asal ketetapan Allah sejak  zaman Nabi Ibrahim AS yang menganut Islam mengikut kenyataan Allah SWT. Al-Quran menegaskan:

ما كانَ إِبْراهِيمُ يَهودِيًّا ولا نَصْرانِيًّا وَلكِنْ كانَ حَنِيفا مُسْلِمًا وَمَا كانَ مِنَ المُشْرِكِينَ إِنَّ أَوْلىَ النَّاسِ بِإبراهِيمَ لَلّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهذا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاللهُ وَلِيُّ المُؤمِنِين

"Tidaklah Ibrahim itu seorang Yahudi dan Nasrani (Kristian) tetapi sebenarnya dia seorang muslim (menganut Islam ) dan dia juga bukan seorang musyrikin. Sebenarnya, yang lebih utama bersama Ibrahim ialah mereka yang mengikutnya dan Nabi ini (Muhammad SAW) dan orang-orang yang beriman. Dan Allah menjadi Wali kepada orang-orang yang beriman." (Surah Ali-Imran, ayat 67-68)

Tegasnya bumi Palestin diamanahkan kepada penganut Islam yang sebenar, dan mereka bersikap terbuka terhadap semua panganut agama-agama lain yang berkunjung memuja bumi Palestin tanpa halangan mengikut acara agama masing-masing.

Polisi Islam yang terbuka dilaksanakan di Palestin, sejak dibebaskan di zaman Khalifah Umar Al-Khattab RA daripada penjajah Rom Ortodoks yang menyekat penganut bukan Kristian dan Kristian yang tidak semazhab dengan mereka.

Begitu juga dilakukan oleh tentera Salib yang pernah menakluknya, sehinggalah dibebaskan oleh Sultan Salahuddun Al-Ayubi, maka dibuka semula kepada penganut agama-agama yang mengunjunginya termasuk Yahudi.

Bahkan kerajaan Uthmaniyyah memberi perlindungan kepada kaum Yahudi yang dibunuh dan dihalau daripada Andalus, menunjukkan Islam mengatasi kebangsaan.

Malangnya barat dan timur bukan Islam tidak menilai budi dan jasa Islam dan tamadunnya, mereka boleh mengiktiraf penaklukan tentera salib yang bermandi darah dan melangkah timbunan mayat, dan menolak Sultan Salahuddin yang adil dan pemaaf terhadap  musuh dan melupai sikap terbuka Khilafah Uthmaniyyah.

Kini bumi Palestin dijajah pula oleh Zionis Yahudi selepas Perang Dunia Kedua, dengan lesen merompak dan membunuh oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kuasa veto Kuasa-Kuasa Besar yang menjadi anggota tetapnya.

Terkini dilaksanakan perancangan merampas Masjid Al-Aqsa dan meyahudikan bandar sucinya. Mutakhirnya satu usul dibawa ke Kaniset (Parlimen Israel) undang-undang bagi menutup masjid-masjid bermula dengan membatalkan kegiatannya termasuk khutbah dan pengajian di-atas nama menentang keganasan.

Rasulullah SAW telah berjanji dengan sabdanya; “akan muncul satu kumpulan manusia yang bangkit menegakkan kebenaran, mereka tidak mampu ditundukkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka sehingga Allah menentukan kemenangan kepada mereka." Para sahabat RA bertanya; "siapakah kumpulan itu wahai Rasulullah?" Jawabnya; "mereka ialah penduduk Bait Al-Maqdis dan sekitar Bait Al-Maqdis." ((Riwayat Imam Ahmad)

Sejarah merakamkan apabila Negara Haram Israel  diisytiharkan mengikut jadual perjanjian Sykes-Picot, berikutnya ditubuhkan negara-negara arab yang dibahagikan kepada pemimpin yang  menyokong kuasa besar menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah di atas semangat masing-masing. Sama ada nasionalisme Arab atau Sunnah Wahabi Salafi yang menentang Sunni yang tidak semazhab termasuk Turki Uthmaniyyah, begitu juga  Shah, Iran bermazhab Syiah dan Raja Yaman bermazhab Zaidiyyah.

Maka kini kalangan negara itu manyambut hari kebangsaan masing-masing kerana berjaya menghalau Turki Uthmaniyyah yang dianggap penjajah dengan sokongan Kuasa Besar Timur dan Barat yang dianggap sahabat karib, berbeza dengan hari kebangsaan kita di sini kerana bersempana keluarnya penjajah British dan Belanda.

Di tengah kegembiraan mendapat takhta dan kuasa dengan perlindungan pengkalan tentera negara besar yang bertapak di negeri masing-masing sehingga hari ini, tiba-tiba Negara Israel diisytiharkan tahun 1948 secara haram dan ganas.

Kumpulan Islam dan beberapa kumpulan nasionalis bangkit berperang menentang penubuhan Negara Israel di masa itu di atas nama Islam tanpa mengira bangsa dan mazhab, melaksanakan hasil pertemuan bersejarah di antara Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh di awal abad yang lalu dan di antara Imam Hasan Al-Banna dan Imam Khumaini yang masih muda ditahun 1938.

Hasilnya tercetus kesedaran menentang penubuhan Negara Israel, walaupun hilangnya Khilafah, namun kebangkitan ini dikecewakan oleh negara arab dan Islam yang bersekongkol dengan kuasa besar.

Banyak pemimpin menentang penubuhan Israel ditahan di negeri masing-masing kerana bersama perjuangan Palastin bahkan ada yang dibunuh, seperti Hasan Al-Banna daripada gerakan Ikhwan Muslimin Mesir (1949) dan Nawwab Safawi daripada gerakan Fidayyan Islam di Iran (1955) dan lain-lain, namun perjuangan Palastin gagal dipadamkan walaunpun memakan zaman beberapa dekad dan bersenjatakan batu dan tangan.

Kini kita berada dalam era kebangkitan Islam yang sangat dibimbangi oleh semua kuasa besar dunia yang terus bermusuh terhadap Islam yang mendaulatkan negara, bersamanya berlaku Intifadah di Palestin yang gagal dipadamkan.

Revolusi Islam di Iran yang tidak dijangka, kejayaan Mujahidin Afghanistan menghalau Tentera Soviet, serta kemaraan parti berteraskan Islam di beberapa negara yang agak bebas.

Kuasa Besar yang semuanya bersekongkol menubuhkan Negara haram Israel tidak senang dengan semua perubahan kepada Islam tanpa mengira mazhabnya, termasuk yang bersikap menentang Israel tanpa mengira ideologinya.

Maka Barat mengisytiharkan Order Baru Dunia dan Globalisasi merempuh sempadan selepas gagalnya blok Komunis dan Sosialis dengan berkecainya Negara Besar Soviet setelah kalah di Afghanistan, serta muncul semula cahaya Islam.

Islam tetap menjadi sasaran, maka diisytiharkan isu Islamofobia, namun, Negara Islam yang telah merdeka daripada kuasa penjajah masih meneruskan agenda penjajah selepas kemerdekaan mengikut agenda Islamofobianya. Maka masalah dalaman tanahair umat Islam gagal diatasi, namun Islam juga disalahkan.

Islam telah berjaya memerintah masyarakat majmuk dengan aman lebih daripada seribu tahun. Pemerintah yang adil dan penyelesaian perbezaan mazhab dengan ilmu dan kebijaksanaan oleh para ulama telah berjaya menyatukan umat.

Mazhab Salaf dan Khalaf sudah wujud dalam aspek aqidah, juga Mazhab Fiqh Sunni, Syiah dan Khawarij kerana politik dalaman umat juga sudah lama bertapak, di samping Tareqat Sufi berbagai nama. Kezaliman dan krisis dalaman umat diselesaikan di atas konsep kesatuan umat, dengan sabar dan ilmu tanpa campur tangan asing.

Pihak kuasa besar di zaman kini tiba-tiba berjaya melagakan umat Islam dengan mencetuskan peperangan secara wakalah (proksi) dengan mengambil peluang daripada pemerintahan kuku besi yang zalim di negeri-negeri yang menindas dengan perlindungan mereka juga, dengan mengumpan golongan yang menentang kerajaan termasuk bantuan senjata bagi melahirkan kalangan pelampau di atas nama Islam dan jihad tanpa feqah dan siyasah syariyyah.

Sebenarnya, supaya menimbulkan kekacauan di atas nama Jihad atau Demokrasi atau hak rakyat yang adil dalam masa yang sama mempertahankan kerajaan yang sah. Ucapannya sangat baik tetapi tujuannya sangat jahat terhadap Islam dan penganutnya yang sebenar. 

Kini apa yang berlaku di Mesir, Syria, Yaman, Arab Saudi, Bahrain dan lain-lain, hukuman terhadap beberapa yang dituduh, termasuk tokoh-tokoh  ulamak dan rakyat tanpa mengira mazhabnya, masih ramai lagi dalam penjara.

Adalah agenda musuh Islam, menggunakan slogan yang zahirnya benar dan manis, tetapi niat yang salah dan jahat, tujuannya yang sebenar ialah  menyelamatkan Israel dan pengaruh kuasa besar yang bertapak di rantau itu, dengan menggalakkan isu yang kecil dibakar menjadi api fitnah yang besar. Tujuannya laksana mencurah petrol ke atas api fitnah yang sengaja di-wujudkan.

Saya tetap berpegang dengan Mazhab Ahli Al-Sunni Wa Al Jamaah dengan keimanan, ilmu dan keyakinan, namun kita diajar tidak mudah mentakfirkan dan menyesatkan mana-mana ahli kiblat yang satu yang berlainan mazhab, walau pun qaulnya terlalu lemah dan ditolak oleh Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, namun dasar dan rukunnya masih bersamaan.

Majmak Fiqh OIC di Jeddah dan Majmak Buhus Al-Azhar Mesir telah menyenaraikan lapan Mazhab dan beberapa yang lain adalah golongan Ahli Al-Qiblah, sehingga semuanya datang ke-Makkah tanpa halangan. Majmak Buhus Islamiyyah di Mesir mengeluarkan Enseklopedia Fiqh lapan mazhab Ahli Al-Qiblah. Maka sangat malang kalau fatwanya terkini mengikut arus kuasa besar Timur dan Barat yang mempermainkan para ulama kita, kerana dipergunakan oleh kerajaan yang bertawakal kepada perlindungan Nato bukannya pertolongan Allah.

Saya menyaksikan dalam hidup saya di negara arab, bagaimana para Jamaah haji bermazhab Syiah daripada Iran, Lubnan, Yamen dan yang lain,  di zaman Shah berkuasa di Iran, ketika berhubungan diplomatik yang kukuh dengan negara Israel, di masa itu Iran yang penuh dengan pelacuran, judi, arak dan segala maksiat yang bebas juga bagi jiran arabnya, para jamaah hajinya pula bersembahyang berasingan tanpa mengikut Imam Masjid Makkah dan Madinah, betapa ulama di masa itu tetap menerima Zaidiyyah dan Imamiyyah, Wahabiyyah dan tidak Wahabiyyah adalah kalangan umat Islam.

Tetapi selepas Revolusi yang dipimpin oleh Imam Khumaini kerana mazhabnya Syiah, bersikap berani terus memutuskan hubungan dengan Negara Israel dan mengisytiharkannya negara haram, negaranya mengharamkan segala kelucahan, sehingga pelancung wanita barat diwajibkan berpakaian sopan, judi, arak dan pelacurannya dimusnahkan, perkara yang tidak khilaf daripada semua mazhab. 

Para jamaah hajinya diarahkan sembahyang bersama satu imam sahaja, tiba-tiba fatwa-fatwa mengikut arahan kenyataan Bush, Obama dan John Kerry, mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, di arah supaya sunni menyerang  syiah habis-habisan dan syiah menyerang sunni, atau sesama mazhab kerana berbeza kebangsaannya, tanpa hujah ilmu yang bijak dengan meletakkan semuanya dalam satu bakul.

Isu Takfir dan menyesat dalam satu umat menjadi sumbu fitnah. Tanpa dinafikan adanya kelakuan murtad di kalangan umat, tetapi Islam menyelesaikannya secara keluarga dalam satu umat dan ilmu dengan konsep menyelamat aqidah secara bijak, termasuk yang murtad kerana kejahilan sendiri dan tipu daya musuh.

Lebih malang lagi berdakwah mazhab dalam satu umat, apabila dihidupkan paksaan sunnah mazhab Wahabi di kalangan sunni yang lain atau  bertempur syiah dan sunni dalam satu umat, padahal kita tidak diizinkan memaksa orang bukan Islam menganut Islam, tidak dibenarkan memusnahkan gereja dan membunuh paderi dan sami, kerana konsep tiada paksaan dalam agama, mengapa berperang kerana mazhab dan kaum?

Saatnya pula, intifadah di-Palestin menentang  pelampau Yahudi sedang bermaharaja gila meroboh rumah rakyat Palastin untuk penempatan Yahudi dan melaksanakan perancangan meroboh Masjid Aqsa bagi diganti dengan Haikal Sulaman (Kuil Besar Yahudi). Negara-negara jiran yang menepuk dada semangat arabnya terus mengecewakan Palastin dan masih banyak berhubungan secara langsung atau berselindung dengan Negara Israel (diplomatik, perdagangan, pelancongan dan yang lain) Bakhil menderma kepada Palestin, pengecut menghadapi Zionis, melakukan pula  dengan harta kekayaanya, perkara yang diberi amaran oleh Rasulullah SAW; “kamu akan menyaksikan mereka yang berkaki ayam, bertelanjang, dahulunya papa kedana, gembala-gembala unta dan kambing, tiba-tiba berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi." Ditambah bangunan tinggi dan budaya barat.

Percayalah bahawa Israel dan sekutunya tetap berperang dengan sesiapa sahaja yang tidak mengiktirafnya tanpa mengira mazhab Sunni atau Syiah dan Wahabiyyah atau Asyairah/Maturidiyyah tanpa mengira ideologi kanan atau kiri. Mereka akan mengekalkan Negara Islam dan Parti Islam tanpa cita-cita pelaksanaan Islamnya dan berpolisi mengiktiraf Israel atau bermujamalah dengannya.

Perkara-perkara yang menakjubkan ialah negara serantau khususnya negara-negara Arab sedang menggali kubur sendiri mengikut pelan yang dilakar dan diatur oleh kuasa bekas penjajah, menghidup atau menyuburkan semula krisis mazhab, kaum, kabilah dan ideologi asing. Tujuannya, menubuhkan negara baru mengikut pecahan mazhab Sunni dan Syiah, Arab, Kurdis dan Turkuman, mengikut pengaruh Timur dan Barat tanpa Islamnya.

Bersedia membina gagasan ketenteraan untuk berperang sesama sendiri bukannya menghadapi ancaman Israel dan sebaliknya menguatkan kuasa besar dengan sumber tenaga kurnia Allah dengan wang sekadar jaminan negara yang dianggap berkuasa besar, menjaga harta dan takhta tanpa jati diri bersama Islam. Bahkan sebarang perubahan kepada Islam dikira ancaman dan bahaya, maka Arab Spring tidak berbuah masak atau dicantas putiknya sebelum masak, pesertanya dibunuh, diburu, disumbat kedalam penjara.

Sepatutnya mereka bersatu di atas perkara yang sama, dalam perkara rukun agama, politik dan ekonomi yang tidak berbeza. Adapun dalam perkara yang berbeza berbincang secara ilmu di kalangan ahlinya dengan adab-adab ikhtilaf  yang menyatukan umat walau pun adanya perbezaan di antara satu sama lain. Segala-galanya boleh dilakukan apabila kembali kepada Islam. Sangat tidak patut menerima jaminan Naib Presiden Amerika Syarikat John Baiden bahawa Amerika akan membatu Turki dan Arab bagi menentang Syiah.

Khalifah Umar Al-Khattab RA pernah menegaskan:

"Kita adalah Umat yang diperkasakan oleh Allah bersama Islam, sekiranya kita mencari kekuatan dengan cara yang lain daripada Islam nescaya kita dihukum oleh Allah menjadi hina."

Sepatutnya OIC berperanan membina kekuatan Islam serantau dan sedunia dan para ulamanya menyatukan umat dengan ilmu dan hujjah yang adil yang kaya bersama Islam  yang sumber asasinya tetap dipelihara Allah.

Tegakkan Islam yang menyatukan bangsa dan umat semuanya selamat, tetap tidak selamat dengan menegakkan semangat kebangsaan atau mazhab dan ideologi tanpa Islamnya menghilangkan jati diri bangsa dan memusnahkannya.

Maka sepatutnya Arab, Iran dan Turki bersatu bersama Islam menjadi barisan hadapan kepada seluruh umat Islam, menghadapi Israel dan semua kuasa besar di belakangnya. Malangnya dilagakan untuk menghancur diri sendiri, sehingga perjuangan Palestin dibiarkan bersendirian.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
13 Jamadil Awal 1437H / 22 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 22/2/2016

Share on Myspace