Bahasa jiwa bangsa dan DLP

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

 

BAHASA JIWA BANGSA DAN DLP (DUAL LANGUAGE PROGRAMME / PROGRAM DWIBAHASA)

Allah SWT menjelaskan firman-Nya menerusi Al-Quran:

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْعَالِ:للعالمِينَ

"Dan sebahagian daripada ayat-ayatNya (dalil ketuhanan Allah dan kuasaNya) ialah mencipta langit dan bumi, dan menjadikan kamu berbagai bahasa dan warna. Sesungguhnya itu semua menjadi tanda-tanda (dalil- dalil) bagi semua orang-orang yang mengetahui)." (Surah Ar-Rum, ayat 22)

Dalil ini menunjukkan juga betapa pentingnya kedudukan bahasa kepada setiap bangsa, sehingga disenaraikan bersama warna kulitnya yang bersebati dengan jasad.

Peranan bahasa pula untuk berhubung di antara satu sama lain dan memberi ilmu kepada semua serta mendapat ilmu daripada semua pihak dengan mudah. Bahasa termasuk juga sebagai kurniaan Allah kepada setiap bangsa yang digunakan dalam segenap lapangannya melalui lisan dan tulisan. Rasulullah SAW bersabda:

وإن من البيان لسحرا

"Sebahagian daripada bahasa yang disampaikan dengan baik itu boleh menarik laksana sihir."

Sehingga ada ulamak yang berkata, "Inilah satu-satunya ilmu sihir yang halal."

Kajian yang panjang dan mendalam dilaksanakan oleh UNESCO, bahawa bahasa ibunda masing-masing adalah paling berjaya dalam pelajaran dan pendidikan sesuatu bangsa dan umat. Adapun menimba ilmu daripada bangsa lain memerlukan bahasa asing daripada berbagai kalangan kaum yang dipilih kerana ilmunya. Menggayakan berbagai ilmu kepada sesuatu bangsa pula diterjemahkan ke dalam bahasa ibundanya supaya dapat memberi ilmu kepada seramai-ramainya dalam kalangan bangsa itu.

Tamadun Islam terbukti, bukan dengan cara seluruh umat Islam mempelajari bahasa asing, hanya beberapa orang sahaja yang dipilih oleh Rasulullah SAW dan para Khalifah selepasnya mempelajari bahasa asing untuk mengambil ilmu yang bermanfaat daripada berbagai bangsa yang bertamadun di seluruh dunia walaupun tidak berasas kepada hidayah, tetapi diambil ilmu bermanfaat sahaja. Seterusnya, menterjemahkan ilmu itu ke dalam bahasa Arab, bahasa rasmi umat Islam berpandukan hidayah Allah daripada Al-Quran dan Sunnah yang menjadi mukjizat ilmu.

Begitulah juga tamadun barat menciplak tamadun Islam dalam aspek sains dan teknologi sahaja, bukan dengan semua mereka mempelajari bahasa arab, hanya segelintir sahaja yang mempelajari bahasa Arab. Tamadun barat tanpa hidayah itu, menjadikannya tidak beriman dan budiman,  hanya mencapai kemajuan sementara waktu sekadar sains dan teknologinya, maka tamadunnya terbatas  dan sedang merudum membakar diri sendiri pada hari ini.

Semua perkara bersejarah ini wajib menjadi iktibar kepada umat Islam khususnya. Tegasnya kejatuhan umat Islam dan hilang tamadunnya kerana meninggalkan ajaran Islam. Ada pun merudumnya tamadun terdahulu dan barat terkini, kerana duniawinya tanpa mengambil Islamnya. Kerana Islam adalah "Ad-Din" yang merangkumi agama dan semua aspek  kehidupan duniawi, bukan sahaja agama daripada takrif yang sempit.

Semua bangsa yang menganut Islam selepas bangsa arab berjaya memimpin dunia Islam dan tamadunnya dengan bergantung kepada bahasa ibunda masing-masing yang berteraskan Islam sehingga menggunakan bahasa mereka bertulisankan huruf bahasa Al-Quran yang di tambah dengan huruf bunyi bahasanya, seperti bahasa Parsi, Turki dan Urdu. Termasuk bahasa melayu bertulisan huruf Al-Quran, sehingga mencipta tamadun melayu Islam dengan bahasa Melayu yang digunakan oleh rantau Asia Tenggara yang berjumlah  lebih daripada tiga ratus juta pada hari ini.

Dunia kini menyaksikan  kebangkitan bangsa saperti Jerman dan Jepun yang kalah teruk dalam perang dunia, China, Korea, Perancis dan lain-lain negara yang mencapai tahap negara maju, adalah melalui pendidikan awal dan tinggi dalam negaranya dengan bahasanya sendiri. Bahasa asing hanya untuk melanjutkan pelajaran di berbagai negara lain.

Semua negara yang mengekalkan bahasa penjajahnya, bermula daripada pemimpin sehinggalah peminta sedekah di jalanan bercakap bahasa Inggeris, negaranya terus mundur terkebelakang menjadi pengekor, dan bangsanya kehilangan jati diri.

Ibnu Khaldun menegaskan dalam Muqaddimahnya:

أن المغلوب مولع أبداً بالاقتداء بالغالب            
مقدمة ابن خلدون ص: 73، بترقيم الشاملة آليا

"Bangsa yang lemah dikalahkan (dijajah) seringkali selama-lamanya tergoda atau terpengaruh   kepada  yang mengalahkannya (penjajah) yang dianggap lebih kuat."

Menyebabkan bangsa itu kehilangan jati diri atau hilang jiwa bangsanya, menghina dirinya, menjadikannya terus terkebelakang mengikut penjajahnya daripada politik, ekonomi sehinggalah kebudayaannya. Paling ramai terpengaruh dengan perkara-perkara yang melemahkannya yang diatur oleh penjajah itu. Penjajah pula tidak mengizinkan sekali-kali bangsa dan negara jajahannya maju sepertinya.

Apa yang diusahakan oleh para pejuang kemerdekaan Malaysia, khusunya kalangan bangsa Melayu daripada semua kalangan dan fahaman, termasuk bukan melayu yang diterima menjadi anggota masyarakat majmuk, sehingga berjaya meletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Fasal 3 (Islam adalah agama persekutuan dan hak kepada penganut agama lain), serta Fasal 152 (Bahasa Melayu  menjadi Bahasa Kebangsaan dan hak bahasa ibunda berbagai kaum). Sepatutnya, dipanjangkan bagi mengisi kemerdekaan dengan Islam yang sempurna dan bahasa kebangsaan menjadi bahasa negara sebenarnya, bahasa ilmu, pentadbiran dan kehakiman, tetapi malangnya dihentikan dan dipesongkan.

Kegagalan Malaysia menjadi negara maju, setelah lebih setengah abad mencapai kemerdekaan, dengan hasil bumi yang melimpah ruah dan tenaga manusia Melayu dan berbagai kaum, adalah kerana gagal membangun manusianya melalui sistem pendidikan dan pelajaran  dengan bahasa rakyatnya, seterusnya menjadikannya gagal mengurus hasil bumi yang melimpah ruah. Sehingga para pemimpin dan rakyatnya tidak ada jati diri, malu beramal Islam  yang sempurna dan malu menggunakan bahasa kebangsaannya yang rasmi dalam tanah airnya sendiri.

Sedangkan pemimpin negara lain, ada yang boleh berbahasa lebih daripada tiga, atau empat bahasa tersohor di dunia, tetap menggunakan bahasa ibundanya sehingga di persada antarabangsa dan menjadikan bahasa ibundanya bahasa ilmu untuk rakyatnya, temasuk perlembagaan dan undang-undang negara, serta pentadbirannya dan perjanjian dengan pihak lain berasaskan bahasanya sendiri, menjadi tempat pergantungan melawan pengaruh luar yang boleh menghakiskan jati diri bangsanya.

Generasi awal pemimpin negara berusaha mengisi kemerdekaan dengan bahasa kebangsaan sehingga menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka, mengadakan Universiti Kebangsaan, bagi susulan kepada sistem pendidikan kebangsaan dan melangkah supaya seluruh pentadbiran dan kehakiman dengan bahasa kebangsaan, adalah usaha terpuji bagi mengambalikan umat kepada jati diri sepenuhnya.

Tiba-tiba generasi pelapisnya berpusing kebelakang sehingga mencelupkan bahasanya dengan bahasa Inggeris  yang tebal, sehinggalah  menghilangkan peranan bahasa kebangsaan, dihakiskan dalam penggunaan bahasa sendiri daripada dalam keluarga dan masyarakat, sehinggalah di jalan raya dan perniagaan, jangkaanya menjadi maju seperti England dan Amerika, tiba-tiba lebih mudah menjadi pak turutnya di belakang bukannya diberi kemajuannya.

Tidak dinafikan perlunya mempelajari bahasa asing daripada bangsa-bangsa yang lebih maju sebanyak-banyaknya, tetapi bukannya mengerah seluruh rakyat, kerana hanya segelintir sahaja yang berjaya menguasai bahasa ilmunya, yang paling besarnya sekadar mendapat bahasa untuk diri walaupun laksana rujuk yang bercampur berbagai sebutannya, hanya  mampu bagi membuka media baru langit terbuka tanpa sempadan untuk mengambil ilmu pengetahuan perosak agama, akhlak dan jati diri kerana tenggelam dalam lautan manusia yang sudah parah tercemarnya.
 
Maka bajet besar untuk DLP laksana mencurah garam ke dalam laut tercemar itu , di mana mangsanya ialah beberapa generasi yang tenggelam ke dalamnya kerana melahirkan bangsanya yang tidak berjiwa, cerdiknya  yang tidak boleh ditumpang dan bodohnya hilang perhitungan.

Menjadikan didikan rakyat seramai mungkin kalau tidak seluruhnya, wajib menuntut ilmu dengan bahasa ibundanya sendiri. Islam yang mewajibkan fardu ain ke atas tiap-tiap penganutnya lelaki dan perempuan mempelajari solat yang ditunaikan dengan bahasa arab, namun belajarnya tetap dengan bahasa melayu, termasuk ibadat puasa dan akhlak mulia yang tidak bercakap juga dipelajari dengan bahasa melayu, mahu menunaikan haji ke Makkah kursusnya dalam bahasa Melayu.

Bagaimana mahu melahirkan ilmuan sains dan teknologi seramai-ramainya dalam kalangan bangsa dengan bahasa asing? Maka terang lagi bersuluh, bahawa agenda DLP adalah angkara penasihat yang berilmu salah dan menyesatkan rakyat dan merosakkan negara. Asal tujuan mempelajari bahasa asing supaya cerdik meningkatkan ilmu dan jangan ditipu, tetapi salah langkahnya menjadikannya ramai yang tertipu dan ditipu.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
14 Jamadil Akhir 1437H / 23 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 23/3/2016

Share on Myspace