Islam memerintah bukan diperintah

DATUK SERI TUN GURU ABDUL HADI AWANG | .

MARILAH kita bersyukur kepada Allah SWT yang telah meletakkan kita di dalam kumpulan Islam, ummah di dalam ummah, ‘ummah ittibaah’, umat yang menyambung perjuangan Nabi SAW, yang disebut oleh Allah SWT:

“Hendaklah ada di kalangan kamu (kalangan orang beriman itu) satu ummah (satu kumpulan, satu jemaah  ataupun satu parti) yang berdakwah kepada ‘al-khair’ (kepada kebajikan), yang menyuruh kepada baik dan mencegah kemungkaran. Mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan dunia dan akhirat.” (al-Baqarah: 103)

Dan melaksanakan agenda penerangan merupakan satu aspek dalam dakwah yang tidak dipisahkan dalam politik, mestilah tidak terkeluar daripada tajuk perjuangan kita. Kebajikan yang bermakna seluruh ajaran Islam.

Ramai kalangan apabila kita mengemukakan slogan dalam pilihan raya yang lalu ‘Negara Berkebajikan’ menyamakan dengan ‘Welfare State’, Negara Kebajikan mengikut takrif sekular. Dalam aspek yang sempit, sekolah kebajikan masyarakat yang difahami oleh umum, padahal kebajikan yang dimaksudkan seluruh ajaran Islam. Kebajikan kita dengan Allah SWT, dengan diri manusia, keluarga masyarakat, sehingga menegakkan negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT.

Merupakan tajuk yang menjadi sempadan yang tidak boleh kita melampaui atau meninggalkannya sekali-kali. Dalam semua kerjasama kita dengan pihak lain, kita tidak boleh meninggalkan asas sempadan yang sangat kukuh ini, iaitulah Islam dengan makna menyeluruh yang wajib kita tegakkan, menyambung perjuangan Nabi SAW membawa risalah untuk seluruh manusia.

Memang kita berada pada zaman tidak ada Nabi dan Rasul selepas Muhammad SAW, tetapi mesej dan risalahnya tidak mati dengan wafatnya (baginda). Yang menyambungnya adalah kumpulan Islam, di Malaysia ini kitalah kumpulan yang ditubuhkan, sejak berkurun kedatangan Islam walaupun namanya berlainan merupakan mata rantai yang tidak putus sejak kedatangan awal Islam di sini.

Islam yang datang ke tanah air kita Islam yang memerintah bukan Islam yang diperintah, Islam yang berdaulah bukan Islam yang dijajah. Penjajah yang mengubah keadaan, tanggung jawab kita ialah mengembalikan semula Islam ke tempatnya yang asal. Yang kedua tujuan kita menyampaikan Islam kepada seluruh manusia, ‘rahmatan lil alamin’. Maka wujudnya masyarakat majmuk di Malaysia ini tidak menjadi masalah kepada Parti Islam Se-Malaysia, PAS.

Walaupun dipaksa oleh penjajah British, walaupun menentang syarat kemerdekaan, memberi kerakyatan pada awalnya, namun pemimpin-pemimpin PAS bersama menuntut kemerdekaan. Dan bersama membetulkan Perlembagaan, meletakkan Islam sebagai agama negara walaupun berbeza berbagai penafsiran kita dengan pihak yang lain. Namun kita telah berjaya meletakkan Islam dalam Perlembagaan Negara.

Hari ini kita terus berjuang dengan menerima realiti yang ada. Menerima masyarakat majmuk, seluruh manusia adalah ummah dakwah dalam lingkungan rahmat Allah yang mesti diberi semua. Perjuangan kita adil untuk semua, maka tanggung jawab penerangan kita manghadapi masyarakat majmuk ini berdakwah kepada seluruh manusia, Islam dan bukan Islam. Berdakwah kepada orang Islam sendiri, mengahadapi orang Islam yang jahil agama dan menghadapi orang bukan Islam yang tak tahu langsung tentang Islam.

Sehingga kini kita telah berjaya memecah atau menembusi tembok yang memisahkan kita dengan orang bukan Islam. Apabila kita telah berjaya menarik kumpulan bukan Islam dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS walaupun jumlahnya tidak besar, tetapi memberi makna yang sangat besar untuk membuka pintu kita menjengah menyampaikan risalah Islam ini.

Islam sebagai ‘ad-deen’ bukan hanya ‘religion’, kalau orang bukan Islam boleh menerima ideologi komunis, sosialis, liberal, kapitalis di mana pengasas dan pendokongnya bukan berbangsa mereka dan agama mereka, mengapa mereka tidak boleh menerima cara hidup Islam, politik Islam dan pemerintahan Islam.

Saya percaya kerajaan kita di Kelantan sehingga kini pemerintahan kita dalam tempoh yang terhad di beberapa negeri, telah memberi isyarat yang baik dari segi kepada kalangan bukan Islam dalam. Saya percaya sekiranya  kita mendapat demokrasi  yang benar, memberi keizinan kepada media sudah tentu kita mencapai kejayaan yang sangat besar.

Kita terpaksa menghadapi pilihan raya yang tempang yang tidak sama rata padangnya. Dan pada yang sama kita menghadapi orang Islam sendiri yang jauh ketinggalan daripada agama.

PAS melibatkan diri di dalam arena politik hanya mendapat satu kerusi dalam pilihan raya yang pertama 1959. Satu kerusi dengan dokongan NGO Islam telah berjaya meletakkan Islam dalam Perlembagaan.

Pilihan raya yang pertama selepas merdeka tahun 1959, kita berjaya menawan Terengganu kemudian menawan Kelantan. Senjata yang digunakan pada masa itu adalah hudud. Lama dah cerita hudud ni jadi senjata, padahal Islam adalah agama menyeluruh ekonomi, politik, pentadbiran dan lain-lain.

Kita telah menunjukkan kerajaan yang bersih, kejatuhan di Terengganu tahun 1961, kejatuhan kita di Kelantan tahun 1979 bukan kerana rasuah bukan kerana salah laku, tetapi kerana demokrasi yang tidak betul.

Isu hudud makin meningkat kalau PAS memerintah ramai akan kudung akan cacat, pada masa itu kita menghadapi dengan penuh sabar. Tentangannya bukan daripada orang bukan Islam, orang Islam yang menghina syariat Islam yang menjejaskan akidah mereka. Maka ditimbulkan fitnah takfir, kafir mengkafir dah masa itu. Kita menyedari bahawa orang Islam kerana kejahilan mereka masih ada kemanisan iman di dalam diri mereka, sebagaimana yang dinyatakan Nabi SAW:

“Tiga perkara yang barang siapa ada salah satu (daripada tiga perkara ini), menandakan kemanisan iman ada dalam diri. Yang pertama mengasihi Allah dan Rasul lebih dari yang lain. Yang kedua mengasihi kepada seseorang kerana Allah, (kasih seseorang kerana Allah bukan sebab-sebab duniawi). Yang ketiga benci kepada kekufuran seperti dicampakkan dalam api neraka.”  (Hadis sahih riwayat Imam Bukhari dan ulama-ulama’ hadis yang lain)

Kita menjadi betapa sayangya orang Islam kepada agama mereka walaupun mereka menghentam Islam. Hasil kesabaran ini kita berjaya menimbulkan kebangkitan Islam khususnya dalam tahun 70-an. Apabila timbulnya keadaan yang tenang selepas 13 Mei, PAS dapat menyusup di dalam kerajaan mengemukakan kefahaman agenda-agenda kefahaman Islam.

Kebangkitan Islam yang mencetuskan pertembungan di dalam kerajaan di masa itu, di kalangan orang Melayu yang beragama Islam, ada yang terima Islam dan ada yang masih liar dengan Islam. Memaksa kita keluar dari kerajaan tahun 79.

Kita meneruskan perjalanan, kita menyedari betapa ada orang kita yang tidak faham dalam percaturan politik ini, menubuhkan parti-parti dalam perjalanan kita, serpihan parti Islah, parti Imam, parti Berjasa, parti Hamim.

PAN hari ini baru sahaja, sudah ada parti-parti ini. Serpihan itu hilang ditelan oleh gelombang perjalanan perjuangan politik, silap. PAS dapat meneruskan perjalanannya dengan istiqamah, ahlinya makin hari makin banyak, makin ramai. PAS menjadi parti yang dihormati di dalam negara dan diluar negara kerana PAS istiqamah.

Insya-Allah kita akan tunjukkan satu eksesais yang baik dalam isu Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Eksesais bagaimana kita berpolitik, kita boleh bercatur politik dengan pihak lain, jangan main-main dengan pihak kita. Menang kalah perkara lain, pasang surut dalam perjuangan itu biasa, kita yakin bahawa kita makin maju insya-Allah.

Sebaik eksesais untuk pilihan raya yang akan datang, yang lebih memberi pelauang kepada parti kita insya-Allah untuk menunaikan tanggung jawab menyelamatkan negara dan ummat semuanya, Islam adalah penyelamat kepada Malaysia dan rakyat masyarakat majmuk.  

Tanggung jawab Lajnah Penerangan sangat penting untuk melaksanakan ‘hikmah kebijaksaan’ sebagaimana yang diajar oleh Al-Quran “bilhikmati wal mauizatil hasaanah” (an-Nahl: 125). Yang diajar oleh Nabi kita Muhammad SAW. Yang diajar oleh generasi awal Islam.

Bila Islam masuk ke mana-mana negeri, Islam berjaya menarik orang kepada Islam, sama ada mereka masuk Islam ataupun mereka tidak melawan dengan Islam, mereka redha di bawah pemerintahan Islam.

Inilah tanggung jawab kita dan kita tidak boleh ubah-ubah perjalanan kita ini kerana nak meraikan orang lain, tidak. Kita boleh meraikan oran lain, di sana ada tempat kita kena rai, ada tempat kita kena tahu faham apa dia istiqamah dalam perjuangan ini.

Mudah-mudahan seminar penerangan ini memberi satu pulangan yang sangat baik, natijah yang diberkati oleh Allah SAW. Dan saya akhiri dengan sabda Nabi SAW, “Siru ala barakatillah” teruskan perjalanan mendapat berkat daripada Allah SAW. – HARAKAHDAILY 24/5/2016

(Transkrip Ucapan Presiden PAS di Seminar Khas Penerangan di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 22 Mei 2016 ini disunting oleh Wartawan Harakah, Izwan Abdul Halim)

Share on Myspace