Perutusan Ramadhan 1437 Presiden PAS

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

 

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu dan barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” - (HR al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

Alhamdulillah, marilah kita panjatkan syukur kepada Allah SWT kerana memberi kita peluang untuk sekali lagi menikmati tarbiah Ramadhan pada tahun ini. Sesungguhnya Ramadhan adalah satu kurniaan yang sangat besar kepada umat Islam, bulan yang menjanjikan seribu rahmat buat seluruh umat Islam yang beriman. Semoga Ramadhan tahun menjadi Ramadhan terbaik dan di akhir tarbiah Ramadhan kali ini kita akan berjaya menjadi muslim yang benar-benar bertaqwa.

Pada kesempatan tarbiah Ramadhan kali ini, marilah kita beriltizam untuk membina jati diri muslim yang teguh dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Hanya dengan jati diri muslim yang teguh insya Allah kita akan mampu membina keluarga, masyarakat dan negara yang sejahtera, bebas daripada segala masalah yang melanda masyarakat dan negara kita hari ini dengan berpandukan petunjuk al Quran dan sunnah Nabi SAW,  sebagaimana firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَان

Ertinya: “Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. [al-Baqarah 2:185]

Tarbiah Ramadhan bukan sekadar bulan mujahadah untuk membebaskan diri umat Islam daripada belenggu dan kongkongan hawa nafsu dan syaitan, bahkan lebih dari itu, Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan sejarah panjang perjuangan umat Islam. Ramadhan adalah bulan yang sangat istimewa kerana di dalamnya tercatat sejarah hebat perjuangan Islam, bermula dengan kemenangan di medan Badar, persiapan menentang pasukan Ahzab, pembukaan Kota Mekah, deretan kemenangan di medan Al-Qadisiah, Amuriah, Ain Jalut hinggalah kepada perang 6 hari Arab Israel.

Oleh itu, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan Tarbiah Ramadhan kali ini untuk bermujahadah dan berjuang sepenuh daya untuk mengembalikan kegemilangan Islam dan umatnya di Malaysia yang tercinta ini.

“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”

ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS
1 Ramadhan 1437 / 6 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 6/6/2016

Share on Myspace