Kumpulan yang tidak boleh dikecewakan

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

Sabda Rasulullah SAW:

لَا تزَالُ مِنْ أُمَّتِي طائفةٌ قَائِمَةٌ بِأَمْرِ اللَّهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ وَلَا مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ  .(البخاري ومسلم)

"Masih ada kalangan umatku, kalangan yang bangkit menegakkan perintah Allah, mereka tidak dimudaratkan oleh orang yang mengecewakan mereka dan orang yang menentang mereka, sehingga datangnya keputusan Allah, mereka terus juga dalam keadaan begitu." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Beginilah janji Rasulullah SAW betapa perjuangan Islam yang tidak mati dengan wafatnya Baginda sehingga akhir zaman, sama ada mencapai kemenangan dunia berkuasa memerintah atau belum lagi.

Allah menunjukkan kisah daripada Al-Quran betapa Nabi Nuh AS yang berdakwah memakan masa lebih sembilan ratus tahun, hanya berhasil mengumpulkan pengikut yang sangat kecil jumlahnya, sehingga dikatakan tidak sampai seratus orang, hanya dimuatkan dalam bahtera yang terhad penumpangnya, apabila mewarisi kemenangan yang dijanji Allah ketika tiba masanya.

Ada pun Nabi Musa dan Harun AS pula wafat dalam perjalanan ke bumi yang dijanjikan Allah dapat menegakkan ajaran Taurah, mereka wafat ketika dikecewakan oleh kaumnya yang tidak mahu berjihad, sehingga tidak sempat menyaksikan negara besar yang dipimpin oleh Nabi Daud dan Sulaiman AS setelah ia melalui beberapa abad lamanya.

Allah membawa kisah-kisah umat terdahulu di dalam Al-Quran yang menjadi petunjuk di sepanjang zaman. Maka Rasulullah SAW menegaskan bahawa di zaman mutakhir yang tidak ada lagi rasul, maka adanya kumpulan di kalangan umatnya yang menyambung perjuangan yang tidak boleh dipadamkan cahayanya walaupun dikecewakan oleh manusia yang ramai atau ditentang oleh musuh paling zalim.

Apa yang terpenting bagi pendukung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ialah bahawa mereka mewarisi perjuangan ini, dan terus beristiqamah bersama Islam yang ditegaskan menjadi aqidah perjuangan, dasar dan matlamatnya.

Keputusan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar jangan sekali-kali mengecewakan ahli PAS, walaupun mereka dikecewakan oleh majoriti pengundi yang tidak memberi kemenangan dari segi pilihan raya itu kepada PAS. Apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW bahawa kalangan yang mewarisinya dalam menegakkan Islam akan dikecewakan adalah dalil kenabian yang benar-benar berlaku selepas wafatnya Baginda dan menjadikan kita lebih yakin kepada perjuangan ini.

Walaupun Allah Maha berkuasa boleh memenangkan perjuangan Islam yang sebenar dalam sekelip mata dengan firman-Nya sahaja, tetapi Allah menetapkan bahawa fitrahnya sangat memakan masa dan melibatkan pengorbanan harta dan jiwa raga kerana Allah mahukan kemenangan dari pendukungnya yang mempunyai niat yang sangat murni, sehinggalah murni juga pengisiannya selepas kemenangan itu.

Maka Allah menegaskan:

مَّا كَانَ ٱللَّهُ لِيَذَرَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ عَلَىٰ مَآ أَنتُمۡ عَلَيۡهِ حَتَّىٰ يَمِيزَ ٱلۡخَبِيثَ مِنَ ٱلطَّيِّبِۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُطۡلِعَكُمۡ عَلَى ٱلۡغَيۡبِ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَجۡتَبِي مِن رُّسُلِهِۦ مَن يَشَآءُۖ فَ‍َٔامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦۚ وَإِن تُؤۡمِنُواْ وَتَتَّقُواْ فَلَكُمۡ أَجۡرٌ عَظِيمٞ

"Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada sekarang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Dia tetap menguji kamu) sehingga Dia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman) dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang ghaib akan tetapi Allah memilih dari RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang ghaib).
Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-RasulNya dan jika kamu beriman dan bertakwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar." (Surah Ali-Imran: Ayat 179)

Inilah rahsia dan hikmat di sebalik perjuangan yang panjang tanpa diketahui hujungnya melainkan mencapai keredhaan Allah, kemenangannya yang memakan masa dan pengorbanan di mana pahalanya tidak dapat dilihat dengan mata dan pancaindera.

Allah menegaskan lagi menerusi Al-Quran:

وَمَا كَانَ لِنَفۡسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ كِتَٰبٗا مُّؤَجَّلٗاۗ وَمَن يُرِدۡ ثَوَابَ ٱلدُّنۡيَا نُؤۡتِهِۦ مِنۡهَا وَمَن يُرِدۡ ثَوَابَ ٱلۡأٓخِرَةِ نُؤۡتِهِۦ مِنۡهَاۚ وَسَنَجۡزِي ٱلشَّٰكِرِينَ

"Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah) dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur. Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berjuang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh) dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengasihi orang-orang yang sabar." (Surah Ali-Imran, ayat 145-146)

"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
15 Ramadhan 1437 / 20 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 20/6/2016

Share on Myspace