Perutusan Presiden PAS sempena Hari Kemerdekaan 2016

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Firman Allah SWT (maksudnya): “Dan Kami tidak mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui” (Surah Saba’: ayat 28)

Alhamdulillah, marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat kemerdekaan yang kita kecapi untuk tahun ke-59 pada tahun ini. Sambutan kemerdekaan kali ini disambut dengan pelbagai rencah warna suka duka yang melanda negara kita dan dunia keseluruhannya.

Negara kita telah melalui tempoh penjajahan yang panjang selama hampir 450 tahun di bawah pelbagai kuasa penjajah sehingga terbentuknya Malaysia pada 1963. Sepanjang tempoh ini telah menyaksikan kebangkitan pelbagai golongan rakyat menentang penjajah terutamanya ulamak.

Perjuangan tokoh-tokoh ulamak hebat mewarnai perjuangan seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, Dr Zulkifli Mohamad dan ramai lagi. Marilah kita bugarkan kembali semangat perjuangan mereka untuk mengisi kemerdekaan negara dengan acuan Islam yang menyelamatkan. 

59 tahun adalah satu tempoh kemerdekaan yang panjang dan cukup untuk membangunkan sebuah negara yang maju dan disegani. Namun realitinya hari ini, negara dihambat dengan pelbagai masalah yang mencengkam rakyat seperti kos sara hidup yang membebankan, ekonomi yang lemah, keselamatan, perpaduan kaum yang semakin rapuh dan berbagai masalah lain.

Maka, pada kesempatan ini PAS ingin menawarkan penyelesaian Islam yang telah terbukti memberikan keadilan dan keamanan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama di sepanjang sejarah Tamadun Islam yang memerintah sebahagian besar dunia selama ribuan tahun.  

Sempena sambutan kemerdekaan negara kali ini, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama PAS dan keadilan Islam di atas semangat ukhuwwah ke arah membina Malaysia yang lebih baik dengan petunjuk dari Allah Tuhan sekalian alam.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS
27 Zulkaedah 1437 / 30 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 30/8/2016

Share on Myspace