Ustaz Hashim Jasin: Mursyid Am keempat

HARAKAHDAILY | .

 

Saya ucapkan selamat bertugas kepada Ustaz Hashim Jasin kerana pelantikan beliau memegang jawatan Mursyid Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), bagi memenuhi keperkasaan kepimpinan ulama’ demi melaksanakan hasrat tertinggi daripada Perlembagaan PAS bahawa Islam adalah tertinggi berasaskan Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’, Qias dan lain-lain. Mengepalai kumpulan ulama’ dan ilmuan duniawi segala lapangannya bagi memungkinkan nas dilaksanakan dengan betul dan istiqamah dengan kemampuan berijtihad dalam perkara terkini berpaksikan kesyumulan Islam.  

Beliau adalah mata rantai yang masih bersambung dengan angkatan generasi awal yang menubuhkan PAS tahun 1951. Abangnya Al-Marhum Ustaz Ibrahim Yasin, pensyarah Pengajian Islam UKM merupakan salah seorang calon PAS dalam PRU 1959.
 
Ustaz Hashim adalah salah seorang daripada kumpulan Pelajar Asia Tenggara daripada Malaysia bersama Al-Marhum Ustaz Hasan Syukri mendapat biasiswa daripada Iraq pada masa Presiden Abdul Salam Arif yang memerintah kerajaan campuran bersama kumpulan Islam. PAS yang diberi tawaran menugaskan Al-Marhum Haji Yusof Rawa, Mursyid Am Pertama memilih pelajar daripada Malaysia. Ustaz Hashim bersama Ustaz Hasan dimasukkan dalam pilihannya. Kebetulan pula dalam kumpulan pelajar daripada Indonesia ialah Al-Marhum Abdul Rahman Wahid (Gusdor), bekas Presiden Indonesia.
 
Paling menarik pula ialah Ustaz Hashim berpeluang mendapat pendidikan dan tarbiyah daripada Al-Marhum Dr Abdul Karim Zaidan, salah seorang ulama besar, pemimpin Harakah Islamiyah daripada Iraq yang banyak menghasilkan buku-buku Islam dalam segala lapangannya. Saya sempat bertemu dengan Al-Marhum Dr Abdul Karim Zaidan di Yaman yang sentiasa ingatkan anak-anak didikannya di Malaysia di antaranya Ustaz Hashim Jasin.

Ustaz Hashim diberi tugas di bawah Al-Marhum Datuk Asri, Presiden PAS yang memegang jawatan menteri yang menubuhkan Felda bagi melakukan pengisian Islam ketika PAS bersama Kerajaan Campuran 1973 dan BN 1974. Ustaz Hashim terus beristiqamah menjadi mata rantai PAS yang tidak pernah terputus sehingga memberi sepenuh masa khususnya kebangkitan PAS di Perlis dan utara.

Ustaz Hashim menjadi ahli Majlis Syura sejak mula ditubuhkan, maka telah ditentukan sepatutnya oleh Majis Syura secara ijma’ supaya mengambil tugas yang terpenting ini bagi meneruskan perjalanan PAS agar sentiasa beristiqamah di atas dasar, pendekatan dan mencapai matlamat dunia dan akhirat bersama hidayah dan ilmu yang disertakan amalan pernuh berkat.
    
Saya doakan kesihatan beliau, kekuatan dan usia panjang bersama amal soleh yang berterusan khususnya daripada ilmu beliau yang sangat bermanfaat.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
10 Muharam 1438 / 11 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 11/10/2016

Share on Myspace