Pembangkang yang menasihat

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

 

Pembangkang Yang Menasihat
Membudayakan Politik Matang Dan Sejahtera

Al-Quran menjadi perlembagaan hidup dan Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. merupakan ikutan cara beramal mengikut petunjuk Allah dan bagaimana cara pelaksanaan Al-Quran yang mulia.

Risalah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) wajib dihayati semuanya berasaskan kepada dasar tertinggi dalam Perlembagaan PAS termasuk pendekatan selaku pembangkang sehinggalah menjadi kerajaan berkonsepkan dakwah dan mengajak seluruh manusia kepada memperhambakan diri hanya kepada Allah sahaja yang membawa rahmat kepada seluruh alam dan adil terhadap semua.

Allah berfirman:

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ (سورة النحل: 125)

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah An-Nahl: 125)

Apabila Khalifah Al-Maamun yang telah memesongkan aqidah umat Islam kerana ketelanjurannya menterjemahkan karya falsafah asing ke dalam bahasa Arab, sehingga mempengaruhi umat ke dalam mazhab aqidah yang sesat, seorang ulama menasihatinya dengan bahasa yang keras, lalu baginda menjawab:

“Sesungguhnya Allah memerintah Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S., orang yang lebih baik daripada kamu supaya memberi nasihat kepada orang yang lebih zalim dan lebih jahat daripada aku iaitu Fira’un dengan adab dan bahasa yang lebih baik.”

Lalu membaca firman Allah mengesahkan kisah zaman terdahulu:

 ٱذۡهَبَآ إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ إِنَّهُۥ طَغَى (43) فَقُولَا لَهُۥ قَوۡلٗا لَّيِّنٗا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوۡ يَخۡشَىٰ (44) سورة طه

“Pergilah kamu berdua (wahai Musa dan Harun) kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas (paling melampau zalimnya). Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut.” (Surah Taha: 43 - 44)

Allah juga menceritakan kisah Lukmanul Hakim iaitu seorang hamba Allah yang soleh sehingga dinamakan surah dalam Al-Quran, ketika beliau menasihati anaknya supaya berakhlak mulia dalam semua perkara, termasuk dalam perkara mencegah kemungkaran:

وَٱقۡصِدۡ فِي مَشۡيِكَ وَٱغۡضُضۡ مِن صَوۡتِكَۚ إِنَّ أَنكَرَ ٱلۡأَصۡوَٰتِ لَصَوۡتُ ٱلۡحَمِيرِ (سورة لقمان:١٩ )

“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Surah Lukman: 19)

Dalam tindak tanduk kelakuan dan amalan manusia; makhluk yang wajib ada kelemahannya pasti bercampur aduk di antara benar dan salah, baik dan buruk, adil dan zalim. Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ menerima kebaikan semua pihak dan menolak keburukan semua pihak walaupun oleh musuhnya. Di sini memerlukan amalan nasihat dan kritikan berpandukan konsep petunjuk Allah sebagaimana yang disebut di atas.

Apabila melaksanakan dengan cara yang betul boleh melembutkan dan menginsafkan pihak yang dinasihati apabila melihat dua wajah berbeza dan dilakukan perbandingan di antara benar dan salah, baik dan buruk. Firman Allah:

وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ (33)  وَلَا تَسۡتَوِي ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ  (34) وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٖ (35) سورة فصلت.

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

“Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.” (Surah Fussilat: 33-35)

Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Al-Nu’man bin Basyir R.A. bahawa Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ telah bersabda:

مثل القائم في حدود الله والواقع فيها كمثل قوم استهموا على سفينة فصار بعضهم أعلاها وبعضهم أسفلها ، فكان الذين في أسفلها إذااستقوا من الماء مروا على من فوقهم ، فقالوا : لو أنا خرقنا فينصيبنا خرقا ولم نؤذ من فوقنا . فإن تركوهم وما أرادوا هلكوا جميعا، وإن أخذوا على أيديهم نجوا ونجوا جميعا " رواه البخاري . "

“Bandingan orang yang bangun menunaikan kewajipan mengikut sempadan Allah dan orang yang terjatuh di luar sempadan (kerana melakukan kemungkaran) laksana satu kumpulan yang berada di atas sebuah kapal. Setengahnya berada dilapisan teratas, dan sebahagian lagi berada di bawah. Tiba-tiba orang yang berada di bawah meminta air yang memastikan mereka melangkah orang yang berada di atas. Lalu mereka berkata: “Alangkah baiknya kalau kita tebukkan sahaja kapal ini, tanpa bersibuk dengan orang yang berada di atas. Kalau dibiarkan mengikut kehendak ini nescaya semuanya tenggelam, kalau dipegang tangannya (melarang) supaya jangan menebuk nescaya semuanya selamat.”

Seterusnya Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ menghuraikan peringkat kemampuan melaksanakan kewajipan mencegah kemungkaran dengan bersabda:

من رأى منكم منكرا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان (رواه مسلم )

“Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat perkara mungkar hendaklah mencegahnya dengan tangan. Sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya (menasihat) dan sekiranya tidak mampu merasa benci dengan hatinya.”

Hadis ini bermaksud mengikut peringkat kedudukan pihak yang berkuasa, berilmu dan bijak dan yang lemah.

Berada dalam sebuah negara dan tanah air laksana berada dalam satu bahtera bersama dengan adanya berbagai-bagai perangai dan tingkah laku, lebih-lebih lagi kalau masyarakatnya majmuk. Maka janganlah bahteranya ditenggelamkan, negara dan masyarakat dihuruharakan.
 
Adalah menjadi kewajipan ke atas sesiapa yang menjadi pemimpin menunaikan amanah sebenar-benarnya supaya sentiasa berpandukan ajaran Islam.

Kepada semua ahli PAS termasuk para pemimpin khususnya yang menjadi Ahli Parlimen dan Adun supaya beristiqamah dengan cara Islam yang berpijak di atas landasannya dan jangan berlagak seperti keldai yang bertempik atau anjing gila yang menyalak dan menerkam mangsanya.

Kewajipan kami ialah mengajak seluruh manusia dalam masyarakat majmuk supaya melakukan perubahan kepada Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh alam dan adil terhadap semua.
 
Kini, PAS masih menjadi pembangkang dan tidak berhasrat menyertai BN kerana perbezaan dasar dan pendekatan serta masih banyak perkara yang tidak memuaskan. PAS menjadi pembangkang yang istiqamah dengan dasar Islam, konsep dan pendekatannya dalam ruang lingkup konsep yang dinyatakan oleh firman Allah:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢ المائدة.

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah Al-Maidah: 2)

Perbahasan bajet adalah medan paling mencabar, menjadikan pihak PAS menyertai perbahasan dalam perkara bercampur aduk di antara perkara baik yang menjadi keperluan seluruh rakyat yang wajib diteruskan seperti kemudahan asas dan umum, gaji-gaji jentera kerajaan dan keselamatan serta keamanan negara yang wajib disokong, dan di sana pula ada salah laku dan kebocoran yang wajib ditegur, dicegah dan dibangkang dengan melakukan nasihat melalui lisan kepada pihak yang berkuasa dengan berakhlak dan bersopan santun.

Begitulah juga di lapangan rakyat termasuk berdemonstrasi dan melakukan protes secara berakhlak walaupun bencikan kerajaan atau mana-mana pihak kerana kemungkarannya, bukan atas sebab peribadi batang tubuh seseorang, bangsa atau kaumnya. Lebih-lebih lagi berkaitan dengan hak kebebasan beragama mestilah dipandu dengan sempadan Islam.  

PAS wajib menilai manfaat dan mudarat mengikut Siyasah Syar’iyyah, Maqasid Syari’ah dan Fiqh Aulawiyyat secara amali di medan perjuangan, bukan sekadar berteori dalam kertas kerja, menjadi pengecut dan pahlawan papan kunci (keyboard warrior) yang bergoyang kaki menulis apa sahaja sehingga laksana burung kakak tua yang berkata-kata tanpa akal dan ilmu.
 
Adalah salah bertempur dengan jentera kerajaan seperti polis, tentera dan pegawai yang tidak terlibat dengan dasar, sedangkan peruntukan gaji mereka wajib diluluskan. Begitu juga rakyat awam yang kurang arif politik dan ekonomi seperti peniaga dan pemandu teksi yang kehidupan mereka susah walaupun berada di tengah ibu kota negara, dan ada kalangan yang lebih terhimpit hidup mereka seperti petani dan nelayan di kampung dan kawasan pedalaman. Pendapatan mereka wajib dirancang dan dilaksanakan dengan bijak dan jujur. Peruntukan mereka wajib diluluskan.

Begitu juga dengan anak-anak muda yang penuh bersemangat belajar, berjuang dan mencari peluang pekerjaan, maka peruntukan untuk mereka wajib diluluskan. Namun semua kesilapan, kebocoran dan salah laku yang wajib dikritik, dinasihat dan dibangkang dengan cara yang betul.   
 
PAS berpengalaman lebih lama menjadi pembangkang daripada semua parti, ada pendukungnya yang dibunuh, ditahan, dibuang daerah, dipecat, dilempar, dirampas haknya dan lain-lain. Namun, PAS tetap menjadi pembangkang dengan cara amalannya berpandukan Al-Quran, petunjuk Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ dan pengikut setianya sepanjang zaman.

PAS bersedia menjadi laksana lilin yang dibakar hangus demi memberi cahaya kepada masyarakat. Allah berfirman kepada Rasul-Nya yang sangat marah terhadap musuh yang membunuh bapa saudaranya Hamzah R.A. dan para sahabat tersayang:

وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّٰبِرِينَ ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ ١٢٧  إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ ١٢٨ النحل.

“Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.”

“Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.”

“Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah An-Nahl: 126-128)

Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ dan para sahabatnya memilih cara yang terbaik mengikut firman Allah yang disebut di atas, ketika kalah dan menang, sehingga kemenangan dalam peristiwa “Fathu Makkah” telah melaksanakan pengampunan beramai-ramai termasuk sebahagian besar mereka yang disenaraikan penyangak dan penjenayah besar. Kerana Baginda صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ beriman kepada sifat yang wajib bagi Allah, keampunan-Nya mendahului murka-Nya, serta rahmat mendahului azab, sehingga berlaku adil tehadap musuh dan memberi kemaafan ketika menang. Maka perbezaannya laksana langit dan bumi jika dibandingkan dengan kemenangan Revolusi Perancis, England, Amerika, Soviet Union dan China yang mengorbankan jutaan manusia.
 
Bukan contoh kami untuk menjadi pembangkang sebagaimana di negara-negara Barat; seperti Amerika, Eropah, di negara Timur; seperti Korea dan Taiwan dan tidak juga seperti di Amerika Latin, termasuklah cara masyarakat Arab di zaman jahiliyah. Namun, kita wajib juga menerima yang baik daripada semua pihak sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang, mengikut petunjuk Islam dengan istiqamah dan mengikut arahan Allah kepada Rasulnya صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ dengan firman-Nya:

فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣ هود

“(Oleh itu) maka hendaklah engkau (wahai Muhammad) beristiqamah (sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul) sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.”

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Surah Hud: 112-113)

Pendirian kami mahukan kerajaan yang bersih dengan cara yang bersih ke arah menegakkan dan memimpin kerajaan yang bersih, atau menolong kerajaan yang bersih, atau terus bersabar menjadi pembangkang yang menasihat dengan baik dan tidak jahat. Kami berwawasan dunia sehingga akhirat.    

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
24 Muharam 1438 / 25 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 25/10/2016

Share on Myspace