30
Tue, May

PASCA muktamar PAS kali ke-63 menyaksikan keseronokan dan kerisauan ahli berbicara tentang kepimpinan PAS, pelbagai ulasan telah dibuat dan dibicarakan secara terbuka tentang kepimpinan, termasuk AJK lantikan. Begitu juga dengan kepimpinan di peringkat Perhubungan PAS negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan, semuanya diartikulasi, dibedah serta diberi markah oleh ahli-ahli jamaah mahupun pencandu politik. Di zaman siber dengan maklumat di hujung jari ini seperti menyembunyikan anak gajah dalam tudung saji mengkuang, segalanya terdedah dengan hanya beberapa hitungan detik. Dalam PAS, jauh berbeda budaya memilih pemimpin dengan parti-parti politik konvensional yang lain, ingin menonjolkan diri sebagai pemimpin maka sebelum langkah sembah akan terguling disepak ahli dan perwakilan. Ahli-ahli benci dengan budaya melobi dan berkempen serta dilihat bernafsu untuk memegang kuasa. Menjadi pemimpin jamaah Islam ini bermakna menggalang amanah yang cukup berat. Amanah kepimpinan yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan sang Pencipta, maka pimpinan PAS di semua peringkat wajib bercermin dan menilai diri.

Menurut Mustafa Masyhur dalam bukunya ‘Jalan Dakwah Antara Qiyadah dan Jundiyyah’, kepimpinan dalam jama’ah Islam, natijahnya besar dan amanahnya berat oleh kerana beberapa sebab yang akan kita sebut setengahnya darinya. Menjadi kemestian kepada setiap individu dan pemimpin untuk sama-sama merasakan natijah yang besar serta amanahnya yang berat itu untuk menghasilkan kerjasama dalam memikul bebanan tersebut secara bersama.

Natijah yang besar disebabkan luasnya bidang kerja berserta berbagai cabangnya, kerana Islam adalah agama yang menyeluruh serta sempurna. Islam menyusun semua urusan hidup bagi individu, masyarakat dan negara serta dituntut supaya kita melaksanakannya dalam seluruh bidang hidup kita.

Tanggungjawab pemimpin besar dan berat disebabkan beratnya matlamat dan tujuan yang kita berusaha ke arahnya. Allah adalah sebagai matlamat, agama Allah di muka bumi adalah tujuan (dengan mendirikan kerajaan Islam yang sejagat yang diketuai oleh Khalifah). Amanah kepimpinan berat kerana luasnya medan kerja yang terus bertambah sehingga hampir merangkumi seluruh keluasan dunia.    

Tanggungjawab pemimpin besar kerana besarnya jumlah bilangan orang yang termasuk ke dalam tanggungjawabnya. Apatah lagi dengan kemasukan mereka yang terus bertambah dalam berbagai peringkat. Begitu juga dengan mereka yang telah sampai kepadanya dakwah dan berhajat kepada penyediaan, serta merta yang tidak sampai kepadanya dakwah hendaklah dilaksanakan supaya dakwah mesti disampaikan kepada mereka.

Amanah kepimpinan berat kerana tanggungjawab pemimpin mengarahkan setiap anggota jama’ah dan memudahkan punca-punca kerja dan hasilnya dalam bidang dakwah untuk mereka. Pemimpin bertanggungjawab mengenai cara pengambilan faedah yang baik dari semua keupayaan tersebut untuk amal Islami.

Amanah kepimpinan berat kerana besarnya natijah yang akan menyusul hasil pencapaian tujuan yang diusahakan oleh jama’ah. Kebaikan yang akan dicapai oleh kerana penetapan agama Allah tersangatlah besar di mana (dengan izin Allah) jangkauan ufuknya akan merangkumi sejagat dan jangkauan masanya akan meliputi genarasi manusia yang akan datang.

Amanah kepimpinan dalam jama’ah begitu berat dan besar oleh kerana banyaknya permasalahan dunia Islam yang mendesak dan saling berkaitan serta setiap permasalahan memerlukan kepada usaha dan jihad, memerlukan sumbangan dan pengorbanan. Tidak mungkin boleh diabaikan mana-mana masalah. Apa sahaja bantuan yang boleh mestilah diberikan iaitu dalam suasana keupayaan kita yang terbatas – kerana kita masih lagi menyeru ke arah kewujudan sebuah negara Islam – dan dalam keadaan harakah terdedah kepada tekanan, pemulauan serta tipu daya.

Amanah kepimpinan dalam jama’ah kita berat kerana orang Islam di medan sedang memerhatikan jama’ah kita sebagai tempat diletakkan cita-cita yang diharapkan untuk menyelamatkan mereka terhadap apa yang dialami dari suasana yang amat buruk, serta apa yang dialami, seperti pencabulan dan pembunuhan. Menjadi kewajipan ke atas jama’ah Islam dalam menyumbangkan segala daya usaha untuk menjadikannya berada di tahap kepercayaan yang diserahkan kepadanya dan dapat menghasilkan cita-cita yang diharapkan itu.

Amanah kepimpinan berat dan besar kerana panjangnya jalan dakwah di samping banyak halangan, banyak tempat kegelinciran serta liku-liku. Keadaan ini menuntut kebijaksanaan pemimpi untuk mengawal barisan dan menyebarkan semangat kesabaran serta membentuk jiwa yang tahan, pemimpin harus mampu membangkit semangat dan keazaman pengikut untuk melepasi halangan-halangan dan mengawal diri dari bahaya-bahaya yang menghalangi, serta juga perkara yang diperlukan untuk tujuan ini, seperti tarbiyyah, penyedaran yang berterusan, kesejahteraan barisan, dan istiqamah dalam fikiran.

Berdasarkan huraian yang dipetik daripada maestro gerakan Ikhwanul Muslimin ini maka semua peringkat pimpinan wajar untuk membetulkan jurus serta tapak langkah sembah. Ini penting agar gerakan Islam ini terpelihara daripada fitnah, berdaya saing untuk melangkah di medan operasi. PAS dengan nuansa politik dakwah,memerlukan pimpinan yang mendekatkan diri dengan Allah, menyintai masjid, tidak membina jarak dengan pengikut serta mengerah seluruh kudrat untuk perjuangan. Ahli-ahli jamaah diorientasikan oleh kepimpinan, maka kepimpinan yang bertaqwa akan melahirkan denai perjuangan yang menepati manhaj Rabbani. Jom kita bercermin! - HARAKAHDAILY 18/5/2017

Penulis ialah AJK Lujnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat.

DALAM kalangan masyarakat hari ini menganggap dakwah sebagai tanggungjawap yang digalas oleh seseorang yang bergelar ustaz. Dakwah dilihat sebagai “lambang Islam” yang hanya layak bagi golongan berjubah dan berkopiah, manakala bagi mereka yang bukan bergelar ustaz dikecualikan daripada kerja-kerja dakwah.
       
Namun begitu, tanggapan itu meleset daripada erti sebenar dakwah. Konsep dakwah boleh ditafsirkan sebagai sebuah program lengkap yang merangkumi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup supaya mendapat hidayah dan panduan daripada Allah. Seseorang pendakwah perlu memiliki beberapa kriteria dan ciri-ciri yang boleh menarik sasaran pendakwah.
       
Pertama, menyampaikan dengan hikmah (kebijaksanaan). Firman Allah SWT maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (surah An-Nahl, 16: 125).

Perkara asas yang perlu dimiliki bagi seorang pendakwah adalah dengan menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Apabila kita menyeru manusia, menegur atau menasihati mereka, kita perlu ada persediaan dan persiapan ilmu. Jangan menegur manusia tanpa persiapan dan terus menghukum “Perbuatan kamu ini salah, cara berwuduk kamu salah”. Manusia akan bertanya mengapa salah. Jika kita memberi jawapan ustaz kita mengatakan salah, orang yang ditegur juga mempunyai ustaz, ustaznya mengajar begitu. Sebab itu perlu adanya persediaan ilmu, setidak-tidaknya perlu memiliki beberapa fakta dan dalil yang difahami, dan dapat berhujah menggunakan alasan-alasan tersebut. Janganlah pula berhujah secara semberono.

Kedua, mempunyai kemahiran. Kemahiran ialah kecekapan dan kebijaksanaan dalam melakukan sesuatu. Kemahiran perlu disandarkan dengan ilmu pengetahuan supaya dapat mengawal dan menyusun strategi untuk menyebarkan dakwah. Kadangkala seseorang yang memiliki ilmu yang tinggi tetapi tidak mampu menyampaikan mesej dengan cara yang berkesan, seterusnya akan menyebabkan sasaran dakwah tidak sampai pada target yang sepatutnya. Antara kemahiran yang diperlukan bagi seorang pendakwah adalah kemahiran berhujah, pengucapan awam, menulis, bersosial, psikologi, interaksi dan komunikasi.

Ketiga, menggunakan pemikiran kontemporari. Seorang pendakwah mesti melihat kepada situasi sekeliling dan keadaan semasa. Dia harus mengambil kira kepelbagaian sikap, perangai dan jiwa sasaran dakwah. Maka sudah pasti cara pendekatan yang berbeza mengikut target sasaran. Selain itu, hindari cara berfikir yang mudah menghukum orang lain. Permulaan dakwah seharusnya dengan tindakan yang bijak. Satu persatu masalah perlu dianalisis dan ditafsir dengan pemikiran yang segar. Tidak bersifat menghukum tetapi mencari penyelesaian.

Terakhir, menasihati sebagai seorang kawan rapat. Sisi pandangan sindir atau serong kepada sasaran dakwah adalah satu “langkah sumbang” yang perlu dielakkan bagi setiap pendakwah. Cara melihat sebegini akan mempengaruhi cara pendekatan pendakwah dalam menyampaikan mesej kepada kumpulan sasaran. Akhirnya mereka lari dan menimbulkan ketengangan antara kedua-dua pihak. Oleh itu, seorang pendakwah perlu menggunakan pendekatan yang boleh memberi ruang yang selesa kepada mereka untuk meluahkan tanpa malu dan segan. Kesannya, mereka akan menjadikan pendakwah tersebut sebagai teman rapat yang boleh dipercayai dan senang diajak berbincang.
       
Tuntasnya, tugas pendakwah bukan dilihat dari pemakaiannya sahaja tetapi dilihat melalui kriteria dan personaliti yang disebutkan di atas. Usaha ini bukanlah tertumpu kepada golongan ustaz dan ustazah sahaja, akan tetapi masyarakat sekeliling juga turut mengambil bahagian dalam melaksanakannya. Kemenangan dalam peperangan bergantung kepada strategi yang diatur, begitu juga dengan berdakwah. Sekiranya tindakan lebih pantas daripada berfikir, maka usaha itu bagaikan mencurah air ke daun keladi. – HARAKAHDAILY 6/4/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

SERAMAI 50 penduduk bukan Islam turut menerima bantuan daripada wakil rakyat sempena bulan Ramadan sekarang.

Mereka termasuk dalam kalangan 550 armalah dan orang miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Bharu menerima bantuan tersebut hari ini.

Bantuan itu disampaikan Adun Wakaf Bharu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Che Abdullah yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, kerajaan negeri tidak melupakan tanggungjawab bagi memastikan penduduk miskin terbela.

“Bantuan juga diberi kepada penduduk bukan Islam yang terdiri daripada golongan rakyat miskin,” katanya pada program penyampaian bantuan itu di Masjid Mukim Kampung Delima, Wakaf Bharu.

Beliau juga mengingatkan orang Islam sentiasa berjimat cermat ketika berbelanja pada bulan Ramadan sekarang bagi mengelakkan pembaziran.

Menurutnya apabila penghayatan Islam diamal secara menyeluruh pembaziran tidak akan berlaku. - HARAKAHDAILY 29/5/2017

HIDUP manusia akan lengkap dan aman sekiranya menjadikan al Quran sebagai panduan, kata Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Ini kerana kata beliau segala panduan kehidupan dalam semua aspek terkandung dalam al Quran.

“Lebih-lebih lagi di bulan Ramadan sekarang umat Islam hendaklah mengejar ganjaran pahala yang disediakan Allah SWT pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” katanya ketika merasmikan Madinah Ramadan, di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV di Kota Bharu, malam tadi.

Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyudin Hassan dan wakil-wakil rakyat.

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana anak jati Kelantan turut diundang mengimami solat sunat tarawih di Madinah Ramadan tahun ini.

"Pembaharuan yang dibuat MPKB-BRI diharap membuahkan hasil yang baik.

"Siapa tidak bangga apabila anak Kelantan, Dr Lokman Ibrahim pensyarah dari USIM turut mengimamkan solat tarawih di sini,” katanya.

Dr Lokman pakar dalam bidang qiraat diundang sebagai imam solat tarawih selama tiga malam bermula 1 Ramadan lepas. - HARAKAHDAILY 29/5/2017

PERBADANAN Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKINK (KSKK PKINK) dengan kerjasama lapan Badan Bukan Kerajaan (NGO) menziarahi penghuni anak-anak di Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Hanan Kelab Balkis.
 
Rombongan yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK,  Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail bermula jam 7.45 pagi di rumah kebajikan itu semalam.
 
Antaranya NGO terlibat, Masjid As-Salam, KRT Taman Bakti Mesra, Misi Kembara Dakwah (MKD), ThirdForce Kota Bharu, Rumah Mahabbah Kota Bharu, Jurugambar Prihatin,  Komuniti FreeMarket Kota Bharu dan Pelita Wanis TNB Kelantan.
 
Selain menyampaikan sumbangan Sosial Korporat (CSR), majlis itu juga bagi meraikan anak-anak yatim itu dengan menjamu selera dengan menyambut Ramadan.
 
Wan Zawawi ketika berucap pada majlis itu berkata, pihaknya telah membaik pulih sejumlah 1,000 buah rumah tahun lalu.
 
“Perkara itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dan hari ini kita bersama Kelab  Balkis untuk membantu mereka,”ujarnya.
 
Menurutnya, majlis itu juga menandakan permulaan kerjasama antara PKINK dan Kelab Balkis.
 
Menurutnya, PKINK akan membantu Kelab Balkis dari segi kewangan serta mencadangkan pada pihaknya yang lain sekiranya berminat.
 
Sempena Ramadan ini juga PKINK turut menyumbang buah kurma dan akan turut mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak yatim Kelab Balkis di Perdana Resort.
 
Jelasnya, untuk memberi peluang anak yatim merasai suasana berbuka puasa di resort tersebut.
 
Turut hadir pada majlis itu Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Nik Kamil Amirah Ab Rahman, Pengurus Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan, Ahmad Nazri Ismail dan Pengurus Kelab Balkis, Mohd Hilmi Abdul Rahman.
 
Dalam perkembangan sama, turut diadakan penyampaian sumbangan kepada Kelab Balkis oleh PKINK dan NGO yang telibat.
 
Kelab Balkis merupakan penempatan anak yatim dan juga merupakan sebuah Pusat Pendidikan, bimbingan, latihan dan kebajikan Islam yang memberi perkhidmatan khusus di dalam pengajian Al-Quran yang telah beroperasi sejak 1989 lagi.
 
Ia dibangunkan hasil bantuan pihak tertentu dan juga sumbangan orang ramai yang kini diurus oleh Pengurusnya, Ustaz Hilmi Abdul Rahman.
 
Hilmi mengucapkan terima kasih kepada semua rakan NGO dan PKINK yang bersedia membantu pihaknya.
 
Ketika mengisahkan penubuhan rumah kebajikan itu, beliau tidak mampu menahan sebak apabila mengenangkan kesusahan ayah dan ibunya menubuhkan kelab itu untuk membantu masyarakat.
 
Orang ramai yang ingin maklumat lanjut boleh menghubungi Pengurus Kelab Balkis, Mohd Hilmi Abdul Rahman di talian 013-935 7726. – HARAKAHDAILY 27/5/2017

YatimBal 3

YatimBal 2

MALAM 1 Ramadan di Kota Bharu seumpama menjelang sambutan raya, apabila kenderaan bertali arus ke pusat bandar.

Tempat tumpuan di Madinah Ramadan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV dan Masjid Muhammadi. Khemah besar di Madinah Ramadan penuh dengan kehadiran orang ramai.

Lengkap dengan landskap kolam takungan air dan pokok kurma serta bungaan menceriakan lagi Madinah Ramadan sebagai lokasi tarikan pelancong sempena Ramadan di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mamood berkata, pihaknya turut bercadang menempatkan unta di lokasi itu.

"Landskap taman di Madinah Ramadan akan dipindahkan ke Bulatan Tuan Padang selepas ini sebagai lokasi kekal," katanya pada slot tazkirah di Madinah Ramadan malam tadi.

Sebelum itu solat tarawih diimamkan pensyarah Universiti Malaya, Dr Lokman Ibrahim, yang juga pakar bidang qiraat.

Kelainan Madinah Ramadan kali ini di mana akan menghimpunkan pakar-pakar dan qari yang berasal dari Kelantan.

Selain itu turut diadakan Daurah al-Quran yang bermula jam 8.30 am sehingga Zohor setiap hari di lokasi tarawih tersebut.

Lebih 100 peserta mendaftar menyertai daurah tersebut bagi mendalami bacaan al-Quran dan kupasan ayat-ayat yang dibaca.

Abdul Fattah juga berkata  kerajaan negeri akan menganjur program bersahur bersama anak muda di Madinah Ramadan.

"Anak-anak muda akan berkonvoi dengan motosikal dari masjid-masjid tertentu dan mereka akan bersahur di Madinah Ramadan," ujarnya.

Beliau juga memberitahu pihaknya akan memberi kupon kepada orang ramai yang membuang sampah dalam kuantiti tertentu di tong yang disediakan.

Kupon tersebut boleh ditukar di kedai Dua Ringgit, ia sebagai kempen untuk menjadikan Kelantan bersih.

Hadir sama malam tadi anggota parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Yang Dipetua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Datuk Mohd Zamri Ismail.

Solat tarawih juga diimamkan Sheikh Yasin Sharkawi dari Mesir. Program qiamulail pula bermula jam 3 pagi. – HARAKAHDAILY 27/5/2017

Qaryah 2

BIARPUN lebih dua tahun Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tiada, namun kisah hidupnya tetap menarik perhatian orang ramai.

Hari ini sebuah lagi buku mengenai kisah hidup bekas menteri besar itu dilancarkan.

Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Datuk menyifatkan buku terbaru tulisan Habibul Izzah Ahmad bertajuk 'Tok Guru, Sebuah Catatan Perjalanan Spiritual' membantu mengenali Tok Guru Nik Abdul Aziz secara lebih dekat.

Beliau berkata, walaupun tokoh berkenaan sudah tiada, tetapi hasil yang dilakukan penulis buku biografi awal tok guru itu patut dihargai.

Menurutnya, buku setebal 236 muka surat itu merekodkan pengalamannya bersama tokoh ulama berkenaan mengenai amalan mantan menteri besar untuk diikuti semua lapisan masyarakat.

"Buku ini membantu kita untuk mengenali siapa Tok Guru Nik Abdul Aziz, banyak benda yang menjadi teladan dalam buku ini dan ia satu perkara yang patut kita hargai.

"Kandungan buku ini merangkumi semua aspek kehidupan daripada kekeluargaan, perubatan dan sebagainya yang disampaikan dalam bentuk kreatif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan buku berkenaan selepas menyampaikan tazkirah mingguan di Medan Ilmu Jalan Dato' Pati, Kota Bharu.

Buku itu dijual di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri di Jalan Dato Pati pada harga RM35 hari ini sahaja, harga sebenar RM40.

Walaupun ia merupakan pengalaman peribadi Habibul Izzah, bagaimana seorang ulama menyantuni beliau secara tidak langsung menerusi perbualan, perbincangan dan kata-kata hikmah.

Menurutnya, semua kaedah berkenaan dilakukan dalam tempoh masa panjang bermula dengan kerja penyelidikan serta penulisan semula buku biografi awal tok guru.

Buku tersebut merupakan hasil tesisnya di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya sehingga beliau ditawarkan bertugas sebagai Penolong Pengarah R&D di Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG).

Setahun berada di IPTG, bermula 1 Disember 2013 hingga 30 Disember 2014 memberi kesan sangat besar terhadap beliau sebagai seorang yang sedang mencari sesuatu dalam hidupnya. - HARAKAHDAILY 26/5/2017

ZIARAH Mahabbah Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) kepada Datin Khadijah Haji Salleh, isteri Allahyarham Tuan Guru Dr Haron Din di Bandar Baru Bangi.

Rombongan diketuai oleh Ketua DMPM, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Norhafiza Fadzil (penolong setiausaha), Kartini Ahmad (setiausaha politik), Nuri Muhammad (Briged Muslimat) dan Khadijah Mahmud (As-Sabiqat).

Ustazah Nuridah menyampaikan Anugerah Istiqamah yang diberikan oleh PAS Pusat kepada Datin Khadijah sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-63, baru-baru ini.

Rombongan turut berpeluang mendengar terus detik-detik terakhir ketika Allahyarham Tuan Guru Dr Haron Din menghembuskan nafas yang terakhir sehinggalah pengkebumian Allahyarham di San Francisco tahun lalu, diceritakan oleh Ustazah Salwa, anak sulung Allahyarham.

Pertemuan berlangsung dengan penuh mesra sambil dijamu dengan roti jala dan kari ayam ala utara yang lazat.

Pada akhir pertemuan, rombongan bergambar dengan Datin Khadijah dan Ustazah Salwa sebagai tanda kenang-kenangan.

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dan Dewan Pemuda PAS Kelantan telah menyerahkan satu memorandum mengenai kepincangan dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku 1 Tahun 2017 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan diterima oleh Ketua Jabatan Komunikasi Korporat SPR, Mohd Sabri Abdullah.

DPPM diwakili naib ketua, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari Pemuda dan pengarah pilihan raya, Nurul Islam Mohamed Yusoff. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan diwakili oleh Ustaz Mohamad Kamal Mohamad (setiausaha) dan Ustaz Razuan Awang Hamad.

Antara isu yang dibangkitkan adalah perpindahan pengundi dari kawasan BN menang besar ke kawasan calon PAS menang sedikit.

Turut diadukan adalah perpindahan pengundi yang didaftarkan atas lot tanah kosong yang tiada kediaman. Selain itu, terdapat juga pengundi yang dipindah masuk ke Dun Bukit Panau tetapi bermastautin di kawasan lain.

Pihak Dewan Pemuda PAS mendesak SPR untuk menggantung semua pindahan masuk pengundi sehingga satu siasatan terperinci dilakukan. Juga pihak SPR didesak untuk mengembalikan pembekalan CD RDPT kepada parti politik. Pemuda PAS memberikan 48 jam untuk SPR mengambil tindakan keatas memorandum ini.

PERSIAPAN Madinah Ramadan, lokasi solat tarawih di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV sedang rancak dijalankan bagi mengamit kedatangan sehingga 6,000 pengunjung setiap malam.

Jurucakap Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) Ustaz Wan Mohamad Sharafi Wan Mustafa berkata, landskap yang bertemakan tanah Arab lengkap pokok kurma dan unta sedang disiapkan.

Manakala persiapan khemah utama sehingga kini 95 peratus siap.

"Persiapan dari segi pembinaan khemah sudah bermula seminggu lalu, dan sekarang sudah siap 95 peratus, kita bersedia memulakan pada Jumaat atau Sabtu ini.

"Kini pekerja sedang bertungkus-lumus menyiapkan bahagian dalaman mahu pun luaran," katanya ketika ditemui di Kota Bharu petang ini.

Madinah Ramadan kali ini menampilkan sedikit kelainan berbanding tahun-tahun lalu iaitu program daurah al-Quran.

Menurutnya, pendaftaran kini melebihi 100 dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat yang diadakan dalam konsep tiga dalam satu.

"Setiap peserta akan membaca al-Quran secara beramai-ramai di bawah pimpinan qari yang dijemput sepanjang bulan Ramadan, satu hari satu juzuk.

"Selain itu, mereka juga dapat mempelajari al-Quran dengan terjemahan serta tafsir yang disampaikan ulama yang kita jemput khas," katanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2017

Madinah Ramadan a

DI Pos Belatim kawasan seluas 1,743 ekar direzab kerajaan negeri sebagai lot penempatan dan kawasan bercucuk tanam untuk masyarakat Orang Asli.

Manakala di Pos Dakoh seluas 974 ekar juga rezab untuk lot kediaman dan kawasan bercucuk tanam masyarakat terbabit.

Usaha itu secara jelas menggambarkan kesungguhan kerajaan negeri membantu masyarakat Orang Asli yang tinggal di pedalaman Kelantan.

Dan sebahagian lagi berhampiran Pos Belatim dilulus kepada Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat (PPLR) untuk membangun ladang kelapa sawit.

Jumlah keluasan yang dilulus untuk masyarakat Orang Asli di Pos Belatim merupakan 44 peratus daripada keluasan 4,000 tanah kerajaan di situ.

Khairil HazmieKetua Pegawai Operasi Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Mohd Khairil Hazmie Yusof berkata seluas 2,257 ekar dilulus kepada agensi itu di Pos Belatim.

“Kerajaan negeri merezabkan kawasan khusus kepada masyarakat Orang Asli untuk membina penempatan dan kawasan bercucuk tanam,” katanya di Kota Bharu.

Menurutnya kawasan tersebut sekarang di peringkat proses pewartaan oleh kerajaan negeri.

Oleh itu tidak berbangkit masyarakat Orang Asli dipinggirkan di Kelantan seperti didakwa pihak tertentu. – HARAKAHDAILY 25/5/2017

SELANGOR tetap utuh dan PAS tetap teguh di negeri itu menghormati mandat rakyat bersama-sama kepemimpinan negeri yang telah dilantik selepas pilihan raya umum (PRU) lalu.

"PAS Pusat mengekalkan kedudukan status quo semua, ketiga-tiga Pengerusi Jawatankuasa Negeri Selangor (Exco) yang telah dilantik," kata Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Katanya, PAS Pusat telah menetap bahawa Exco tetap dalam kerajaan negeri.

"Sebab kenapa kita hendak berada dalam kerajaan, bukan sebab jawatan tetapi adalah kerana kita mahu kestabilan negeri Selangor ini terjamin dan kita melihat kita perlu menjaga kepentingan rakyat,” jelasnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Makan Malam Dana PRU14 Anjuran Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Jabi, Setiu semalam.

Hadir sama ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim yang juga Pengarah MTD Jabi dan Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor itu lagi, beliau tahu ada pihak yang mahu PAS keluar dari kerajaan negeri.

“Mereka mahu kita keluar sebab mereka mahu ambil tempat kita. Saya nak menegaskan di sini, kita telah diberi mandat oleh rakyat negeri Selangor untuk tiga parti (memerintah), jadi tiga parti inilah yang mentadbir negeri Selangor, bukan parti-parti lain atau parti yang baharu ditubuhkan selepas 2013,” tegasnya.

Oleh itu, jelas beliau, PAS bertegas demi menghormati mandat daripada rakyat.

“Amanah yang diletakkan kepada kami itu tidak harus dikhianati,” tegas Iskandar lagi.

Justeru, katanya PAS akan terus memberikan khidmat termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta jawatankuasa-jawatankuasa penduduk di seluruh negeri itu.

Tambahnya, keputusan yang diambil oleh PAS Pusat adalah keputusan yang terbaik kerana sekiranya PAS keluar dari kerajaan akan terdapat ‘lompang’ sebanyak 5,500 orang jentera pentadbiran negeri.

“Sudah tentu akan berlaku keadaan ‘huru hara’, jadi bermakna keputusan mengekalkan ‘status quo’ adalah yang terbaik," katanya.