Tahniah bahagia sekalian warga Assabiqun

Kolumnis
Typography

TAHNIAH yang tidak terhingga kepada sekalian warga Assabiqun justeru dilimpahi Allah SWT usia berada dalam bulan Ramadan baik sehari atau sepenuhnya dan demikian beroleh rahmat melaksanakan ibadat yang Dia kehendaki seadanya.

Bukan sekalian jasawan PAS yang layak menjadi warga Assabiqun yang mencapai usia 60 tahun dan menjelang 60 tahun sempat berada dalam bulan barakah Ramadan tahun ini, tetapi anda dikira bahagia berada sekali lagi dalam bulan itu dan berpeluang memenuhi tuntutannya.

Bagi yang sempat sehari dua saja sudah boleh bersyukur kerana itu rahmat dari-Nya dan dalam tempoh terhad itu dapat memenuhi tuntuan Ramadan itu, maka moga-moga ia diterima Allah, tentulah ganjarannya seperi puasa sebulan penuh, lengkap dengan rahmat penuh buat sepuluh hari pertama, rahmat pengampunan sepuluh hari kedua serta bebas dari api neraka bagi sepuluh hari terakhirnya, moga-moga termasuk rahmat Lailatul Qadar.

Bagi yang dapat menjalani sebulan penuh dan dengan izin-Nya dapa menyambut Aidilfitri moga-moga beroleh semua yang dijanjikan dalam bulan mulia itu. Moga-moga juga ia bukan Ramadan yang terakhir untuk semua.

Bagi yang tidak upaya menjalani ibadat yang dikehendaki justeru uzurnya, berada dalam bulan itu lagi sudah boleh bersyukur, tentu ada anugerah tertentu untuk semua atas barakah bulan itu.

Ramadan ini dan Aidilfitri ini adalah kali kedua saya dan sidang pimpinan Assabiqun berkhidmat dan menjadi khadam kepada para jasawan sekalian. Mungkin tidak banyak yang sudah diberi justeru kekurangan dan keupayaan yang terhad sebagai keadaan kami juga warga Assabiqun seperti yang lain.

Kami bukan orang terbaik untuk memimpin Assabiqun, tetapi kesempatan diberi amanah, ia satu peluang berharga menyambung khidmat kepada jamaah dan berbuat sesuatu kepda para jasawan yang amat berjasa kepada parti. Tentunya warga Assabiqun tidak menuntut sesuatu yang besar, tetapi mahukan perhatian bahawa masing-masing disantuni dan sentiasa didekati supaya tidak terasa tertinggal dalam perkembangan jamaah.

Assabiqun mempunyai rancangan yang banyak dan cita-cita setinggi awan. Yang layak bersama Assabiqun mencecah satu pertiga dari anggota parti yang sejuta bagi yang berusia 60. Jika dicampur dengan yang 55 tahun ke atas yang kepayaan mula terhad, bilangannya bertambah ramai. Ada juga jasawan yan di bawah 50 tahun justeru uzur dan kemalangan tidak dapat meneruskan khidmat bahkan memerlukan perhatian. Mereka juga tidak patut jadi orang yang terbiar.

Mereka dikatakan ramai tetapi dicari tidak jumpa. Rupanya nama mereka tersimpan dalam senarai ahli di kawsan-kawasan. Moga-moga setiap PAS kawasan dapat membekalkan senarai orang lama itu ke pejabat Assabiqun supaya mereka dapat dijejaki.

Assabiqun tidak dapat dekati mereka kerana idak dijumpai. Assabiqun tidak wajar tunggu mereka mencari Assabiqun. Assabiqun mesti mencari mereka.

Sekarang kita sudah tahu di mana kumpulan itu. Mereka ada di kawasan-kawasan. Semua kawasan serahkan senarai mereka dengan tidak bertangguh lagi.

Jika Assabiqun dapat diperkasa, insya-Allah ia boleh menyekat aliran para jasawan meninggalkan parti dan boleh dijadikan mekanisma mengembalikan yang tercicir itu ke pangkuan jamaah. Membawa kembali itu adalah kerja yang susah tetapi kita jangan berputus asa. Putus asa bukan watak orang Islam.

Sidang Assabiqun adalah tempat terbaik mengumpulkan sekalian yang berjasa.

Moga-moga barakat Ramadan yang mulia itu dan dengan sambutan Syawal, Assabiqun disambut bahagia oleh semua. – HARAKAHDAILY 7/6/2019