Orang awam mula bertanjak

Kolumnis
Typography

PADA hari terbuka Aidilfitri Khairy Jamaluddin di kawasan parlimennya di Rembau hampir tiga bulan lalu dilihat MP itu dengan gayanya yang amat tampan sedondong sut merah dengan bertanjak merah juga.
       
Merah menjehang itu warna rasmi pakaian Umno sekarang. Seolah-olah tidak sah orang Umno dan pemimpin tidak berpakaian merah pada hari tertentu baik pakaian Melayu lengkap atau kemeja atau baju korporat.
       
Terutama pada mesyuaratnya di bahagian-bahagian terutama perhimpunan-perhimpunan nasionalnya, termasuk juga perayaan hari terbuka.
      
Biasanya bersongkok baldu hitam, pakaian kepala umum bagi Indonesia dan Melayu Malaysia.
      
Di zaman orang awam mula bertanjak ini YB KJ menarik perhatian lengkap bertanjak merah. Mungkin tidak hairan selepas Umno kalah ini bertanjak merah seperti KJ itu jadi tiruan kebanyakan Umno.
      
Bertanjak bagi para duli bertanjak adalah pakaian pada hari-hari tertentu. Sekalian kerabat dan pembesar bertanjak belaka tetapi tidaklah merah seperti Khairy pakai hari terbukanya.
      
Bertanjak itu adalah simbol kebesaran Melayu para raja dan kerabat sejak Melayu itu ada, tetapi tanjak merah seperti KJ guna dan kemudian diguna pula Umno tentulah melambangkan pekat darah Melayu Umno itu.
      
Tetapi yang bertanjakkan itu bukan Umno sangat. Orang awam biasa menjadi pakaian Melayu dan bertanjak seolah fesyen sekarang baik dalam upacara jua.
      
Muktamar Dewan Pemuda PAS yang terakhir di Kelantan sekalian Exco bertanjak. Mereka itu bersongkok pun jarang. Biasanya berkopiah putih dan sebahagiannya berserban. Tapi sedondong pemimpin bertanjak dalam perasmian muktamar. Tahun ini berulang lagi di Kuantan. Bukan sekadar Exco Dewan Pemuda dan petugas muktamarnya bertanjak, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang merasmikannya lengkap berpakaian songket dan tanjak sekali.
      
Saya tiba lewat pada perasmian, dari jauh saya terlihat di skrin seorang seperti raja berucap. Saya sangka ada raja bertitah dalam muktamar PAS. Bila dekat rupanya Tuan Ibrahim sebagai perasmi ditetap dan tentunya disediakan oleh panitia Muktamar Pemuda. Bila saya di tempat di baris depan sekalian pemimpinnya di pentas dan para bentaranya bertanjak belaka.
       
Komen di hati saya, Raja-Raja Melayu pun tidak bertanjak setiap kali mesyuarat Majlis Raja-Raja, bahkan ada yang sentiasa beruniform panglima tentera, tiba-tiba Pemuda PAS pula tinggalkan kopiah ketayap berpakaian lengkap macam raja pula.
      
Sepanjang muktamar sudahlah bentara bertanjak, ada juga sepanjang tiga hari itu perwakilan bertanjak.
     
Sebelumnya anak saya pun ada lebih dari sepasang pakaian bertanjak. Bila ada saudara mara kahwin dia pun bertanjak macam raja-raja lagaknya.
      
Dia adalah imam besar sebuah universiti awam. Solat Hari Raya Aidilfitri tiga bulan dulu dia mengimamkan solat dan berkhutbah sekali lengkap dengan pakaian kebesaran Melayu dan bertanjak sekali.
      
Cuma saya belum dengar dia naik mimbar berjubah dan bertanjak. Tetapi ia trend yang mungkin masa depan.
      
Demikianlah dunia kita, raja yang rasminya bertanjak jarang bertanjak, orang awam pula, yang tiada setitik pun darah raja di badannya, mula bertanjak di tempat-tempat awam.
     
Bila KJ yang jadi ikon setengah anak muda bertanjak di majlis harirayanya, mudah jadi tiruan generasi depan. – HARAKAHDAILY 13/8/2019