AMAT terharu dan setinggi syukur apabila cucu Halimah, 6 tahun yang kedua ibu bapanya maut kemalangan motosikal di Lebuhraya Persekutan pergi ke syurga.
      
Halimah Haji Isa sepupu saya bersama suaminya, Zakaria berangkat ke Tanah Suci kurang 24 jam selepas anak dan menantunya dikebumikan sekitar dua minggu lalu.
      
Tragedi pasangan itu saya tulis di ruang ini sebelum ini.
      
Sehari selepas pengkebumian akhbar melapor anak perempuan pasangan yang belum bersekolah dan tidak tahu apa-apa erti kematian dan jadi yatim piatu, dikatakan berkata kepada saudaranya, ayah bondanya pergi ke syurga. Kanak-kanak itu sebelum itu pernah kematian datuk saudara. Dia menangkap kata di acara mengafannya arwah pergi ke syurga. Ia antara doa orang yang menziarahi mayat.
      
Apabila kanak-kanak itu menyaksikan ayah bondanya dikafankan, padanya mereka diselimut setelah sejak dimandikan.
      
Masa itu kanak-kanak itu menyebut kepada orang-orang yang terdekatnya, bahawa mereka pergi ke syurga.
     
Jika kanak-kanak itu mumayiz, dia tahu akan erti doa, maka dikira sebagai doanya kepada ibu bapanya. Doa orang yang belum ada catatan dipercayai dimakbulkan. Tetapi apabila kanak-kanak itu yang tidak mengerti apa tenang alam ghaib, boleh dipercayai dia diilham Allah tentang kebahagiaan ibu bapanya di alam akhirat, dan moga-moga bila syurga dibuka pintunya anak sulung Halimah dan isterinya melangkah ke alam syurga sebaik dan selepas saja baginda Rasulullah SAW masuk ke syurga. Amin!
      
Moga-moga kanak-kanak itu, cucu Halimah, telah menyebutkan tentang keuntungan anak dan menantu Halimah itu di alam ukhrawi.
      
Moga-moga bahagialah Halimah, sepupu saya itu dan suaminya beroleh anak dan menantu yang menjadi ahli syurga. Dan mereka sabar denan ujian besar menjelang jadi tetamu Allah dan mengerjakan haji. Moga-moga dengan ujuan itu mereka beroleh haji mabrur.
     
Saya amat mengenali sepancur saya itu satu kalimah pada orang Perak yang bererti sepupu bagi mereka yang bapanya adik beradik. Bagi kepercayaan orang Perak tidak digalakkan kahwin sesama sepancur. Sekalipun kahwinnya sah, tetapi pengamatan dari segi kesihatan, darah sepancur adalah lebih pekat dari darah darah sama sepupu, maka ia boleh melahirkan zuriat ada kelemahannya.
      
Mungkin masyarakat Cina lebih peka. Mereka melarang kahwin sesama sebaka, seperti Ong tidak boleh kahwin dengan baka Ong dan Lim mengelak dari kahwin sesama Lim.
     
Walaupun saya tidak ada pengetahuan tidak eloknya kahwin sepancur, tetapi cenderung dengan pandangan biologi dan Islam melarang kahwin adik beradik.
      
Halimah dari kecil saya ketahui dia peramah. Sentiasa senyum dengan sesiapa jua dalam suasana apa pun. Bercakap lemah lembut, gerak geripun lemah lembut bagi yang orang kata pijak semut pun tidak mati.
      
Setelah bekerja dan berumah tangga dia berjauhan dengan ibu bapa. Bapanya tiada penyaki tetapi usia tuanya tidak upaya mengurus keperluan isteri. Bonda Halimah berpenyakit bergantung semua perkara kepada pembantu rumah. Itulah suasana  kebanyakan warga emas Malaysia termaasuk Islam.
      
Halimah setiap minggu dan cuti akan balik menunaikan tanggungjawabnya kepada ibu dan bapanya. Suami dan anak-anaknya akan bersamanya.
      
Pada saya sepancur saya berhati dan beradab mulia. Boleh dianggap sebagai tanda ahli syurga. Tuhan saja yang tahu. Tapi kita boleh mengagak orang yang baik berakhir dengan kebaikan. Apa lagi bila cucunya kata yang bondanya pergi ke syurga. Bertuah Halimah dapat jadi ibu mertua kepada orang yang diharap jadi ahli syurga. – HARAKAHDAILY 8/8/2019

BERIKUT tumbangnya institusi Khalifah Islam Turki terus memudar atau melenyapkan konsep ulil amri, satu sistem ketua negara/ketua kerajaan yang penting dalam politik dunia Islam.
      
Islam merakamkan institusi ulil amri itu adalah pemusatan kesetiaan Islam selepas Allah dan Rasul-Nya. Meskipun kesetiaan umat kepada ulil amri tidak mutlak seperti beriman kepada Allah dan Rasul, tetapi kepatuhan kepada ulil amri adalah penting dalam sistem pemerintahan Islam.
      
Hukuman tertinggi dalam Islam ialah Allah dan Rasul sedang perintah dan keputusan ulil amri sah pada sisi agama bergantung kepada kepatuhannya kepada kepada Allah dan Rasul. Sepanjang sejarah pemerintahan khalifah yang menjadi model pada pemerintahan Islam ialah tindakan dan keputusan yang diambil oleh Khalifah ar-Rasyidin yang empat: Abu Bakar As-Siddiq, Umar al-Khatab, Othman Affan dan Ali Abu Talib. Ada ulama memasukkan sama Umar Abdul Aziz.
      
Yang lain bergantung tepat dan tidaknya di sisi Islam. Maka pentadbiran mereka tidak jadi rujukan mutlak. Namun keputusan khalifah dan raja di bawah pmerintahan khalifah wajar dipatuhi oleh rakyat sekalipun pemerintahannya  tidak adil seperti yang Islam mahu.
      
Apapun pilihan Islam ialah mahukan ulil amri yang adil. Jika khalifah termasuk dalam maksud ulil amri, tindakan Khalifah ar-Rasyidin tidak ditakwil, lain-lain ulil amri boleh ditakwil.
      
Justeru sistem ulil amri itu disebut selepas Allah dan Rasul, maka ulil amri itu suatu yang patut ada dalam dunia Islam. Soal konsesp itu pudar setelah penjajahan barat berkuasa di dunia dan lenyap setelah sitem khalifah hapus, tetapi ia adalah satu mutiara yang ada dalam Islam, maka wajar Islam memelihara kemuliaannya.
      
Apakah dalam pemakaian sistem raja berlembagaan dan dunia demokrasi, raja yang bukan ketua kerajaan sesuai konsep ulil amri dipraktikkan?
     
Sekalipun ada pemisahan kuasa antara ketua negara dan ketua kerajaan dalam wilayah mengamalkan raja perlembagaan, kekayaan pengetahuan dan ilmu yang ada di sisi Islam ada cara ia boleh diurus, ulil amri boleh dimartabat dalam pemakaian raja berperlembagaan sama seperti demokrasi releven dalam pentadbiran Islam atau Islam dapat menjadikan demokrasi sempurna dan indah.
      
Jika ulil amri dapat ditoleren dalam pemerintahan raja berperlembagaan, maka umat Islam wajar memartabatkannya sebagai satu institusi berdaulat selepas kita beriman kepada Allah dan Rasul.
      
Dalam dunia yang rakyat adalah berdaulat umat Islam mahu pemerintahan beraja yang mengikut kehendak ulil amri. Raja yang ulil amri dekat kepada Allah dan Rasul-Nya, dan ulil amri itu jauh ia dari gejala kezaliman dan perkara negatif.
        
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang baru dimahkotakan sebagai Yang di-Pertuan Agong dengan sikap yang mendekati rakyat, baginda selesa dengan rakyat dan rakyat selesa dengan baginda, boleh membangun diri sebagai ulil amri yang boleh memelihara kedaulatan Islam.
      
Ditambah pula dengan penampilan Raja Permaisuri Agong, nampaknya berjaya menjadi wanita yang diperlukan oleh seorang raja yang ulil amri. Baginda tampil dengan masyarakat Malaysia sebagai seorang yang beradab Islam, nescaya dapat membantu Yang di-Pertuan Agong menjadi seorang raja yang dikehendaki oleh Islam.

Agong memerlukun sokongan semua bagi menjadi raja yang dikehendaki Islam. Dengan sokongan Permaisuri Agong yang bersahaja itu, Agong tidak terhalang untuk menghidupkan keluarga Islam dalam istana kerana Permaisuri sudah tahu apa yang wajar seorang wanita diraja Islam.
      
Semua ini mudah bagi masa depan Malaysia memuliakan rajanya sebagai ulil amri dalam satu sistem Islam yang sempurna. – HARAKAHDAILY 7/8/2019

SAYA ajak penyokong Sidang Assabiqun di Kawasan PAS Pandan petang 21 Julai lalu berlumba-lumba  mencari barakah dan pahala dengan menyokong dan menghidupkan Sidang Assabiqun yang PAS tubuhkan tiga tahun lalu bagi jasawannya yang berusia 55 tahun ke atas dan tidak upaya lagi cergas dalam medan siyasah – politik Islam.
      
Sidang Assabiqun ini adalah kelab bagi para aktivis PAS yang berjasa di berbagai lapisan justeru usia dan uzur tua tidak upaya lagi memimpin dan cergas dalam politik sedang politik Islam itu tempoh bersaranya apabila tiba ajal.
      
Maka apa hendak buat bagi menghidupkan jamaah Islam sementara menungngu mati? Bersekutulah dengan Sidang Assabiqun, beramal apa yang patut sambil mengingatkan mati. Bagi yang beriman mengingat mati adalah berpahala. Menyumbang apa yang patut bagi menguatkan semangat seolah-olah tidak akan mati selama-lamanya. Jangan tidak menyumbang dan tidak buat apa-apa, yang demikian itu bererti sudah mati sebelum mati.
       
Tiga tahun terakhir ini pemimpin PAS memberi dua anugerah kepada penyokong PAS. Pertama mempelopori penyatuan ummah, menggerakan PAS dan Umno supaya berdua. Kedua memberi Sidang Assabiqun bagi jasawan yang mencecah usia 55 tahun.
       
Siapa yang memberi nama Assabiqun itu? Tuan Guru Presiden Haji Abdul Hadi Awang di Sungai Besi, Bandar Tun Razak, serentak pada malam pemilihan Tuan Guru Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am PAS yang baru.
     
Kelab jasawan itu sudah ada lama dikenali Kelab Veteran PAS. Ia bukan kalimah membawa apa-apa motivasi pada Islam. Tidak dipastikan ada barakah dan motivasi.
     
Lalu ia dijemakan semula sebagai Sidang Assabiqun. Dari mana nama itu diambil? Ia adalah panggilan kepada golongan yang awal yang mula-mula menerima Islam di zaman Rasulullah SAW dulu iaitu Assabiqun al-awwalun.
      
Ia dirakamkan pada surah At-Taubah ayat 100 yang bermaksud: Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dan orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang mengikut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta ia menyediakan untuk mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar.
     
Tidak diketahui selepas itu ada sidang memakai nama Assabiqun di dunia. Mungkin PAS yang pertama.
      
Assabiqun al-awwalun itu adalah nama besar dan berjasa besar kepada Islam, moga-moga memakai nama Assabiqun itu kita mendapat barakah daripadanya dan setiap yang barakah itu berpahala. Maka bagi mendapat barakah dan pahala itu mari semuanya beramai-ramai menyertai dan menyokongnya.
      
Jadikan ia satu institusi yang penting dalam Islam dan mampu menjana PAS sebagai parti masa depan.
      
Hari tua bagi yang bersia 55 tahun ke atas adalah masa yang penting untuk memungut sebanyak-banyak pahala. Biar setiap minit sehingga hari mati semua beroleh sebanyak-banyak pahala.
      
Mari kita rebut barakah dari memuliakan kalimah Assabiqun dan al-awwalun itu. Mari kita rebut barakah dari bakti setiap muhajirin dan setiap ahli Ansar yang menyambut Nabi di Madinah. Kita mahu menumpang pahala setiap yang mengikut jejak Assabiqun. Kita mahu diredhai Allah dan kita pula meredhai-Nya.
      
Moga-moga mendapat ganjaran syurga seperti mereka dan kekal. Kita mahu minum, berenang dan menyelam di sungai-sungai yang disediakan. Siapa tidak mahu dengan kemenangan besar Assabiqun itu?
     
Bersama Assabiqunlah sejak di dunia! – HARAKAHDAILY 4/8/2019

AMAT tersentuh hati membaca rintihan Pak BJ Habibie, mantan Presiden ketiga Indonesia yang di hari-hari tuanya kesepian menduda di kediaman mewahnya tetapi bertemankan oleh seorang yang sudi bersamanya.
      
Isterinya sudah lama mendahului. Ada anak tiga masing-masing punya kerjaya penting boleh dikira berada, tetapi berjauhan baik dalam negeri dan luar negeri. Acap juga dikunjungi anak cucu tetapi rasa terasing. Tentu kesunyian itu terubat jika senstiasa dikelilingi anak cucu.
      
subkySaya tidak setuanya, hujung Julai ini genap kurang setahun 80 tahun. Jika saya nanti mencapai usianya sekarang mungkin saya juga merasai seperti rintihannya.
       
Sebelum jadi Presiden pun beliau sentiasa riang di tengah masyarakat sebagai orang yang rapat dengan Presiden Suharto dan sebelumnya sebagai seorang  karyawan jurutera yang  menguasai ilmu teknologi membuat kapal terbang di Jerman.
       
Baginya jika ada pilihan menuntut ilmu sekarang dia memilih menguasai ilmu agama kerana ilmu itu lebih berguna buat dirinya terutama di hari tua ini. Cemerlang ilmu teknologi kapalterbang tidak sama  dengan kecemerlangan ilmu agama.
      
Sekalipun kejuruteraan dan teknologi itu amat penting bagi manusia, tetapi ilmu agama pilihan umat dan manusia.
      
Andaian saya jika penguasaan kejuruteraan dan teknologinya dapat disempurnakan dengan menguasai ilmu agama, nescaya beliau tidak merasai sunyi menduda dan tidak dikelilingi anak dan cucu. Ilmu agama itu akan menemani seseorang hatta di ambang ajalnya. Ahli agama itu akan penuh masa bersama masyarakat.
      
Bapa saya ada pengetahuan bertukang kayu. Bila mencecah usia 80-an, tidak berupaya memahat dan mengetam papan. Kurang 12 jam sebelum ajal masih menyampaikan kuliah Maghrib di masjid. Apak tidak mampu menunggang motosikal ke masjid, tetapi semua surau dan masjid menjemputnya di rumah.
      
Masa petang anak sibuk kerja, cucu sibuk main. Ayahanda tidak keseorangan, seorang warga emas 60-an setiap petang datang menadah kitab belajar nahu Arab. Sekalipun yang belajar itu seorang dia tetap menyampaikan ilmunya.
      
Presiden Habibie bercakap betul jika beliau ada peluang belajar lagi, pilihannya ialah ilmu agama. Dengan tradisi pak kiyai yang tidak selesa duduk saja, menyampai ilmu lebih selesa dari tidur. Kadang-kadang pak kiyai rasa tidak senang dengan cucu sekeliling pinggang kerana ia mengganggunya menyampai ilmu kepada murid-muridnya.
     
Imam Nawawi seorang imam besar Mazhab Syafie justeru sibuknya menuntut ilmu dan menyampaikan ilmu hingga tidak sempat mendirikan rumah tangga.
       
Pak Habibie bukanlah tidak pernah mendapat pendidikan agama. Beliau adalah intelektual Islam di tengah masyarakat Indonesia  dan sebelum menjadi Presiden adalah pemimpin gerakan ICMI, sebuah badan dakwah penting masyarakat elit Jakarta.
      
Tetapi latarbelakang sebagai jurutera dan teknologi  lebih menonjol dari penguasaan agamanya.
      
Sebagai orang  tua yang banyak pengalaman dan berpandangan jauh, sunyi yang dirasanya itu mungkin satu persepsi betapa umat Islam itu mesti mengutama dan menguasai ilmu agama dulu sebelum meneroka lain-lain cabang ilmu.
      
Semua ilmu adalah penting, tetapi umat Islam wajar alim dulu dan kemudian menguasai dunia  teknokrat dan dan lain-lain.

Rintihannya tadi bukanlah justeru dia ketinggalan dalam hidup sebagai umat Islam tetapi terasa rugi tidak setara Hamka dan ulama dan kiyai besar Indonesia yang lain. – HARAKAHDAILY 31/7/2019

PASANGAN yang maut motosikal di Lebuhraya Persekutan Kuala Lumpur-Klang, pagi Selasa 23 Julai, Muhammad Hamidi Zakaria dan Nur Syuhadah Zaini adalah anak sepupu saya yang lihat semasa kecilnya 30 tahun lalu.
      
Bonda Hamidi, Halimah Haji Isa adalah sepupu saya yang sepanjang hidupnya padasaya adalah seorang yang amat penyabar, sentiasa senyum, bercakap lembut dan tidak banyak  cakap.
      
Dia dan suaminya, Zakaria dipilih Allah menjadi tetamu-Nya tahun ini dijadualkan terbang petang Rabu. Mengerjakan haji memang banyak ujiannya. Halimah yang penyabar itu diuji Allah sebelum berangkat ke Mekah apabila anaknya dan menantunya maut eksiden di tempat kejadian Selasa pagi kira-kira 30 jam sebelum berlepas.
      
Ujian pertama anak menantu kesayangan pergi dulu secara tragis, suatu yang tidak diingini oleh mana-mana ibu bapa, mereka rela dan memilih mati dulu dari anak, bukan anak mati dulu dari ibu dan bapa.
      
Anak dan menantu dijadualkan menghhantar mereka ke lapangan terbang, sebaliknya mereka pula mengiringi anak dan menantu ke tanah perkuburan.
      
Ujian kedua, dua cucu perempuan yang baru yatim piatu berusia dua dan enam tahun terpaksa ditinggalkan di bawah jagaan besan. Dalam pilu seperti dua cucu kanak-kanak sebagai ganti anak yang pergi, elok jangan berpisah dari mereka. Demi ketaatan kepada Allah, Islam dan ibadat kepada-Nya keutamaan haji yang sudah dijadualkan didahulukan, tidak wajar ditunda, kerana mereka sudah berangkat dari rumah dan kejadian itu berlaku sedang mereka dalam perjalanan.
      
Demi Allah Nabi Ibrahim sedia korbankan anak tunggalnya seperti Dia kehendaki, meninggalkan cucu yang dijangka selamat di bawah jagaan besan jadi perkara kecil.
      
Zakaria dalam sedu sedan memberitahu saya, dia dan isterinya, sekitar tiga hari dalam transit di Kuala Lumpur itu dapat bersama anak menantu dan cucunya sepanjang di hotel dan sempat bermalam di rumah mereka.
      
Mereka amat senang dan redha dengan anugerah Allah dalam hubungan akhir dengan anak menantu itu sekalipun pahit dengan tragedi itu.
      
Kebanyakan jamaah menempuh saat merindui Allah dan Kaabah dalam dalam pengalaman pertama sebagai tetamu Allah. Tidak dapat dibayangkan gembiranya, penuh tempuan kepada ibadat itu.
    
Sepupu saya iu tentunya teruja antara menyintai hendak mengadap Allah dan menghadapi masa 30 jam terakhir pengurusan dan pengebumian kedua-dua arwah itu.
      
Kita pilu simpati dengan ujian jenazah anak menantu dipostmortem. Kejadian pukul 8.30 pagi. Lepas Asar baru juru bedah mengurusnya. Banyak yang mereka amati dan pastikan tenang segala yang bersangkutan yang dikehendaki oleh peraturan.
      
Mana masa untuk menghubungi semua keluarga di Perak dan sekalian yang ada di Lembah Klang.  Orang tidak ada pengalaman dan pengetahuan  tentang mayat di tangan juru bedah, tidak tahu masa yang perlu ditunggu. Sekejapkah, seawal yang boleh. Tidak tahu dekat  senja baru diurus.
      
Sekalian para simpatisan menunggu di Masjid Seksyen 11 Shah Alam untuk menziarah jenazah dan mengaman ibu bapa jenazah. Tetapi mereka terpaksa menunggu di hospital dan si simpatisan menunggu di masjid dari Zohot, Asar, Maghrib hingga selepas Isyak baru disolatkan.
    
Tengah malam baru usai pengkebumian.
      
Moga-moga semua ujian di Tanah Suci semuanya kecil, kerana ujian terbesar berlaku sehari sebelum berangkat. Tragedi itu moga-moga mengkhusyuk semua ibadat sehingga pulang. Amin. – HARAKAHDAILY 27/7/2019
    

SEMUANYA, atau majoriti umat/Negara Islam sekarang ini kata China tindas etnik Uighur tuan bumi wilayah Xinjiang, satu-satunya wilayah Islam di tanah Besar China.
      
Kalau ada yang kata China layan seadilnya umat Islam Uighur ia sama seperti Amerika yang buat tidak tahu Israel/Yahudi  tindas Palestin. Jika ada orang Islam kata, Palestin tidak dikejami Yahudi ia adalah seperti yang Islam diberitahu betapa Yahudi tidak redha sesiapa tidak jadi Yahudi.
       
Cuma kekejaman China Islam  Uighur tidak disebut dalam kitab suci, tetapi penindasan Firaun terhadap penganut agama tauhid banyak disebut.
      
Maka saya payah percaya ada menteri Melayu beragama Islam yang diajak ke China ketika China dituding jadi macam Yahudi terhadap Islam Uighur kata pemerintahan China tak buat apa-apa kepada mereka.
       
Kita faham diplomasi PM Mahathir yang berusaha jadi orang baik China berkata elok tentang China bila China beri beliau jadi pemimpin pertama Asia memuji China atas projek laluan jalan sutera merentas Asia-Eropah dalam sidang kemuncak dunia di Beijing atas subjek itu. Islam dan dunia tidak rugi apa jika China suka dengan diplomasi Mahathir itu.
       
Tetapi umat Islam dunia, khususnya di Xinjiang menangis air mata darah bila menteri Islam Malaysia kata China melayan mereka seadilnya.
      
Saya tidak tahu apakah menteri itu kata begitu keluar dari lidah dan dua bibirnya atau ia keluar dari gusi gigi palsunya?
      
Saya suka menyantuni menteri-menteri kita terutama yang Islam. Tetapi saya payah menyenangi pandangannya itu.
      
Telah tertanam di hati saya betapa komunis itu kaya dengan propagandanya. PAS istiqamah  memperjuangkan pemerintahan berasaskan al-Quran dan Sunnah di Malaysia. Kedutaan Soviet Union di Kuala Lumpur pernah mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa Soviet Union juga mahu menegakkan pentadbiran berasaskan Quran dan hadis di wilayahnya.
      
Sampai mati saya tidak percaya akan propaganda komunis itu. Meskipun China sudah beramal lebih kapitalisma dari komunismanya, otak penguasa pemerintahan tebal propaganda komunismanya kerana ia belum keluar dari sarang komunisnya dan komunis itu anti semua agama apa lagilah Islam.
      
Saya baru berusia 30-an ketika mengikuti Tun Razak menormalisasikan hubungan diplomasi China-Malaysia pertengan tahun 70-an. Orang Malaysia dalam  rombongan itu yang jakun dengan propaganda wilayah tembok besi China yang ikonnya masih Mao Zedung berlumba-lumba ziarah masjid di Beijing.
       
Menteri termasuk Mohamad Rahmat dan lain-lain puas hati dibawa melihat masjid di Beijing dan dapat taklimat dari pemandunya. Mereka balik dengan persepsi ada kebebasan beragama dalam tembok wilayah anti agama.
      
Saya tidak ikut mereka dan berminat dalam program yang dibenarkan pentadbiran komunis China itu. Bagi saya ia tidak terlepas dari gula-gula propaganda komunis dan saya tidak mahu jadi penyebar yang terpesona dengan propagandanya. Mengelaknya lebih baik dari termakan popagandanya.
       
Saya bimbang menteri Melayu yang diajak ke Beijing itu sudah tercelup dalam mandian propaganda murah hingga dalam diplomasi dunia seantero mengira Islam Uighur ditindas rejim kukus besi, terhegeh-hegeh kata ia tidak tekan mereka.
      
Kalau rusa masuk kampung ia sesat. Jika Beijing ajak Xinjiang jangan hantar yang macam rusa. Hantar menteri luar yang banyak tahu tentang banyak perkara yang tidak diberitahu.
     
Laporan tentang Uighur menteri adalah bunyi dari celah gigi palsu. Gigi palsu demi kemudahan makan bukan untuk dimakan. – HARAKAHDAILY 20/7/2019

SAYUGIA kita, PAS sebagai pembangkang adalah bersama penduduk dunia seluruhnya menganugerah dan ucapan selamat hari jadi ke-94 10 Julai lalu.
      
Didoakan sihat, kesihatan yang terkawal, diberi kekuatan bagi meneruskan pentadbiran negara, moga-moga memulihkan segala yang tempang sesegera mungkin dalam tempoh penggal dan usia lanjut yang Allah anugerah itu.
      
Tiada Perdana Menteri pilihan rakyat berusia 90-an melainkan dari Malaysia saja dan itu pun sekarang dan Malaysia pun mungkin tidak dapat mengulangi pengalaman dan sejarah itu dalam berapa tahun akan datang.
      
Bukan kita saja, bahkan tiada dunia demokrasi ada Perdana Menteri seusia itu. 80-an payah. Perdana Menterinya itu tidak sekadar menghadirkan diri saja, bahkan menghidupkannya dengan aneka wawasan.
      
Jika boleh biar dia jadi Perdana Menteri sehingga usia 100 tahun, biar tercatat dalam sejarah dunia betapa Perdana Menteri yang mencapai usia 100 tahun hanya dari Malaysia. Kita tidak banyak sejarah gemilang, biar PM 100 tahun jadi kegembiraan kita.
      
Inipun satu anugerah Allah kepada kita. Kita sayugia syukur dengan pemberian-Nya itu dan sebagai orang Islam kita pohonkan dilimpah hidayat sempurna, moga-moga pimpinannya membawa rahmat dan kemakmuran.
       
Gagasan Penyatuan Ummah (GPU) yang merangkumi PAS dan Umno, setuju dia terus jadi PM hingga tamat penggal, bukan sementara. Jika jadi PM hingga usia 100 tahun tiada masalah. Biar sejarah PM 100 tahun datang dari negara kita.
      
Tetapi untuk sampai ke usia itu kita terpaksa tunggu enam tahun lagi, sedang PRU15 dijangka dua tiga tahun lagi. Demi demokarasi GPU tidak sedia tunggu enam tahun, lainlah jika SPR lanjutkan tempoh PRU15 hingga tahun 2025.
     
Sekalipun sentimen sejarah demi negara adalah menarik, GPU boleh bersabar hingga  tempoh penggal yang ada sekarang saja. Jika penggal yang ada ini dipendekkan, Gagasan Penyatuan Ummah mengalu-alukan.
      
Bagi wawasan Gagasan Penyatuan Ummah, lagi panjang tempoh kerajaan PH, lagi banyak kerosakan negara dan kemusnahan umat. Membenar dia menghabiskan penggalnya ialah bagi mengelakkan kemusnahan yang lebih banyak. Buruk juga tetapi buruk yang tidak maksimum.
      
Ada tanda-tanda kesabaran PAS disukai Bersatu, parti Dr. Mahathir. Tan Sri Muhyiddin Yassin mewawaskan Dr. Mahathir bukan PM sepenggal, bahkan untuk beberapa penggal, hingga usia lewat 100 tahun.
      
Dari sudut sejarahnya ia boleh ditoleransi tetapi dari sudut demokrasi dan keburukannya, PAS tidak boleh terima. Penggal yang normal ini saja sudah banyak bobroknya. Jika lebih dari satu penggal lebih pula bobroknya. Jika mahu dilanjutkan lebih dari satu penggal ia mesti berlawan dulu dalam PRU. Tiada laluan mudah.
     
PAS, Umno sabar PM menamatkan penggalnya, bukan pilihan yang terbaik, tetapi ia tidak mahu demokrasi yang berbilang PM dalam satu penggal. Indahnya kerajaan PH ialah anti rasuahnya saja. Keadilan, perkauman, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain hapak dan haprak belaka.
      
PAS tidak tahu apa yang ia boleh dapat dengan menyokong Mahathir terus jadi PM. Untuk join PH, ikut loghat bahasa Ustaz Fadzil Noor ia tidak buloq. Mahathir jadi PM semula bukan atas sokongannya.
Dia naik kali ini atas sokongan Kit Siang.
      
Bila dia hendak dibuang, PAS tidak mengundi membuangnya. PAS mahu dia terus jadi PM pada usia 95, 96 dan 97 dengan izin Allah. PAS harap kesihatannya yang elok. Itulah doa harijadinya yang ke-94. – HARAKAHDAILY 17/7/2019

CIKGU Hussin Ismail yang mengetuai Yayasan Amal Malaysia sekurang-kurangnya menjalankan dua sekolah tahfiz yang dikendalikan oleh anak-anaknya  sendiri di Lembah Klang.
       
Dia hendak menganjurkan sebuah lagi di Gombak.
       
Katanya, seorang guru mengendalikan tidak lebih dari sepuluh orang.
       
Dia tidak mengajar. Yang mengajar anak-anaknya dan orang lain.
       
Programnya, murid-muridnya boleh khatam dalam masa setahun. Sudah dibuktikannya, sekitar 70 peratus muridnya tamat dalam masa setahun. Yang tidak hafiz setahun akan hafiz beberapa bulan kemudian, tetapi kebanyakannya tamat mengikut jadual.
      
Seorang anaknya pernah saya hantar ke Turki. Dia berjaya hafaz dalam lingkungan dua tahun. Anaknya itu melanjut pelajaran ke Mesir dan kini mengurus sekolahnya.
      
Di bawah kelolaan anaknya inilah kira-kira tujuh dari sepuluh yang dididiknya khatam dalam masa setahun.
      
Saya rasa tidak percaya. Tapi saya percaya dia bercakap betul pada saya.
      
Saya tahu ada murid tahfiz di sana sini berjaya hafaz dalam masa setahun atau kurang. Tetapi di sana satu dan di sini satu.
      
Untuk lebih dari separuh murid sekelas hafaz dalam masa setahun boleh dikira ajaib. Bukan mustahil.
       
Macam mana Cikgu Hussin boleh lakukan?
       
Katanya, murid-muridnya penuh masa menghafaz di asrama. Mereka tidak dibenarkan pulang ke rumah kecuali beberapa hari tertentu seperti raya.
      
Inilah yang dilakukan di Pakistan dan beberapa negeri atas angin.
      
Mungkin terlalu ketat untuk murid-murid itu. Mungkin ia paksaan yang keras, tetapi ia bukan satu deraan. Dalam masa setahun yang begitu kebanyakan hafal Quran. Ada yang dilapor murung atau sakit jiwa atas disiplin yang ketat itu. Hasilnya anak-anak itu yang otak dan dadanya penuh dengan ayat Quran.
      
Ke mana mereka hendak dihantar, mereka boleh menyambung pelajaran. Katakanlah anak-anak itu  masuk ke situ usia 12 tahun. Setahun kemudian dia hafiz. Masuk sekolah menengah rendah mana pun mereka diterima dan boleh ikut pelajaran yang ada di situ.
      
Saya ada anak yang tidak pernah ke sekolah menengah. Lepas UPSR dia belajar tahfiz. Tamat tiga tahun kemudian dia masuk peperiksaaan SPM ambil Bahasa Melayu saja. Dengan lulus itu dia jadi imam di sebuah masjid universiti. Seorang lagi sekolah rendah pun tak lulus. Setelah tamat pengajiannya di luar negeri, dia tidak ambil peperiksaan untuk layak bekerja dengan Kerajaan Malaysia.
        
Tetapi setiap kali anak pegawai Wisma Putra mengadakan motivasi pengajian agama, mereka yang mudah berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dari Bahasa Melayu, maka dialah mereka panggil.
       
Sekarang ada skim di depan murid boleh hafiz setahun. Wajarlah kementerian mendekati dan mengkaji kaedah pengajarannya supaya lebih ramai anak yang belum baligh hafaz Quran dan lulusannya boleh diprogramkan untuk menjadi ahli ilmu duniawi dan ukhrawi.
     
Bila Quran sudah masuk ke dada dan kepala anak, semua pelajaran jadi senang bagi mereka. Jika kerajaan peka dengan sekolah Hussin Ismail ini, tidak sukar Malaysia ada ulama dekat martabat Imam Bukhari dan Imam Ghazali.
      
Imam Syafie hafiz sebelum 10 tahun dan jadi mufti ketika 11 tahun. Tidak mahukah Malaysia yang belum 15 tahun mahir Quran dan hadis?
      
Hussin Ismail sudah memulakannya. – HARAKAHDAILY 14/7/2019
     

Foto hiasan.

ORANG bukan sekadar mengadu kepada polis. Kepada penulis pun mereka mengadu.

Telah mengadu pengguna kepada saya, pasar raya yang baru seminggu beroperasi di depan Masjid Bilal bin Rabah, Taman Koperasi Polis Fasa Satu, Kuala Lumpur dikatakan menjual arak.

Saya sampaikan kesangsian itu kepada wakil masjid supaya ia disiasat.

Jamaah yang mendengar berkongsi kesangsian dan berkata, syarikat pasar itu dikatakan milik DAP yang banyak rangkaiannya di Kuala Lumpur.

Jamaah itu mungkin ada maklumat tentang penjualan arak itu. Saya tidak ada maklumat dan saya kurang upaya untuk membuat penyiasatan.

Pasar kepunyaan orang Cina itu menggaji kebanyakannya orang Melayu.

Perniagaan itu memberi peluang pekerjaan kepada orang Islam. Ada baiknya perhubungan kaum yang amat ditekankan oleh negra. Dari satu segi syarikat bukan Islam, Cina berbudi dengan orang di kawasan penduduk Islam dan di depan masjid pula. Boleh makmur Islam olehnya.

Tetapi penjualan arak haram di sisi Islam. Ia adalah produk yang Allah laknat. Yang dilaknat bukan sekadar yang mencekiknya, semua yang terlibat dilaknat belaka – dari menyediakan bahan arak, mengilang, menjual, membekal botol, pengedar, pelayan dan juru jual pikul dosa laknat.

Amat sayang gadis-gadis Melayu yang tidak berdosa, dapat pekerjaan di kedai menjual arak pula, menjadi orang berdosa.

Wajarlah masyarakat seluruhnya, Rukun Tetanga, masjid dan lain-lain peka dan mengingatkan supaya arak jangan dijual. Rukun Tetangga dan masjid mesti menyiasat betulkah yang disangsikan itu? Ia adalah bagi membebaskan penduduk Islam Taman Koperasi Polis selamat dari laknat dan dosa. Jika betul ada arak dijual, semuanya membiarkan saja, juru jual kena dosa laknat, penduduk kena dosa laknat dan ahli masjid, imam dan bilal terpalit laknat sama.

Maka setiap masyarakat pengguna kena siasat kebimbangan itu supaya peniaga tidak jadi mangsa fitnah. Ia telah mengeluarkan modal besar. Tidak selesalah hubungan peniaga dan pengguna tidak harmoni.

Tiada yang dapat dibuat jika betul arak dijual dekat masjid itu. Tiada larangan di luar Kelantan dan Terengganu premis perniagaan bukan Islam menjual arak. Yang dikatakan Negara Islam Malaysia tidak melarang arak dijual dan diedar asalkan jangan memandu.

Apa orang masjid boleh buat, jika arak dijual, minta peniaga cari untung dari perniagaan lain, jangan cari untung dari arak. Rayu ia keluarkan arak, kalau tidak ia dicampakkan ke laut Selat Melaka, lambakkan semua di rumah peniaga untuk mereka minum hingga pecah perut.

Penjulan arak tidak salah dari undang-undang. Ia tiada peduli Islam, tiada menjaga harmoni kaum dan boleh dikira bebal orang Islam.

Jika boleh pasar itu timbangkan rayuan mengeluarkan arak dari raknya.

Jika ia tidak dengar, apa hendak buat? Tiada apa yang boleh dibuat melainkan berdoa moga-moga Allah tutup perniagaannya. Adakah Allah redha sekadar membantah dalam hati?

Yang kata ia perniagaan DAP, tiada larangan bagi siapa berniaga termasuk DAP. Jika ia taja perbankan Islam, takaful dan buka travel agensi mengendali umrah tiada larangan. Tiada salah DAP Perak buka pasar raya depan masjid dan DAP Selangor anjur korban murah/umrah murah.

Yang pengguna Koperasi Polis mahu jangan jual arak tepi masjid! Jika DAP boleh bida MAS tanpa penerbangan arak, orang Melayu nescaya kasih pada DAP. Pasar tanpa arak kecil bagi DAP. Tapi Malaysia tanpa arak, tanpa rasuah? – HARAKAHDAILY 12/7/2019

KITA sekarang menunggu ibu mana yang akan dinobatkan sebagai Ibu Mithali 2019 nanti.

Biasanya ibu mithali setiap tahun sebelum ini ialah ibu yang beranak ramai dan sekaliannya berkelulusan tinggi dan berkerjaya baik di tengah masyrakat kita yang merdeka.

Dan ibu-ibu yang rata-rata anak-anaknya beroleh 10A1 atau 9A1 dalam peperiksaan sijil pelajaran. Mula-mula pujian diberi kepada ibu yang anak dapat 10A1 dan 9A1. Dengan kemajuan sistem pendidikan sekarang murid-murid yang berjaya demikan sudah ramai dan terdapat di semua sekolah, maka dicari pula ibu yang beberapa anaknya dapat semua A.

60 tahan dulu ibu saudara saya, seorang ibu tunggal menyara sekolah enam anaknya dengan menoreh getah dan membekalkan kuih ke sekolah. Keenam-enam anaknya dari guru dan yang bongsu guru sekolah Inggeris. Orang lain yang ramai anak jadi kerjaya di berbagai bidang. Ibu saudra saya anaknya guru belaka. Masa itu belum ada hadiah ibu mithali.

Adik saya ada tiga anak perempuan saja. Seorang jadi pelajar terbaik seluruh Malaysia keluaran Maktab Sains Mara dan dua lagi dapat keputusan terbaik dari Maktab Tengku Khursiah. Seorang lulus ekonomi dari Unversiti Cambridge, dua lagi lulus England juga. Seorang peguam dan satu lagi dotkor pakar bedah gigi. Jika dia ada anak lagi tidak tahu apa pula kelulusan.

Saya tidak tahu bagaimaan dia mengasuh anaknya. Yang saya tahu, setiap pagi dia beri anaknya makan tujuh biji kismis. Kerana dia ada tiga anak saja, tidak terpilih jadi ibu mithali.

Baru-baru ini saya terbaca seorang ibu muda menjaga dua anak masih kecil, penuh masa menjaga ibu dan bapa mertua yang uzur diisytiharkan ibu mithali tahun lalu.

Biasanya kita mencari ibu mithali dari yang anak-anaknya lulus cemerlang bidang akademik. Jangan terlepas pandang ibu yang melahirkan ramai ulama. Bonda Brigadier Najmi Haji Ahmad, Adun Kedah sekarang. Saya tidak pasti ibunya masih di Baling. Setahu saya dia ada empat anak laki-laki semuanya ulama lulus Mesir iaitu Ustaz Zawawi, Datuk Nakhaie, almarhum Ustaz Suhaimi dan Brigadier Najmi.

Saya tidak pasti mereka ada adik beradik laki-laki lagi dari ibu yang sama. Bukan ramai ibu yang semua anak laki-lakinya jadi ulama. Orang patut mencari ibu tua bagi mengetahui bagaimana dia mendidik anaknya semua jadi ulama. Tidak bolehkah ibu ini dicalonkan ibu mithali?

Begitu juga Senator Nuridah Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS. Kerana anaknya ramai saya tidak ingat bilangannya. Semua anaknya sekolah agama dan mengaji al-Quran. Sekurang-kurang empat yang tertua sudah hafiz, jadi imam tarawih di mana berada. Mungkin anak-anakyang lain akan hafaz 30 juz satu demi satu.

Dia sibuk berpolitik tidak banyak masa dengan anak-anak. Banyak bermalam di luar. Bagaimana dia mendidik anak-anaknya hafaz Quran. Dia mentadbir sekolah agama pula di ibu kota.

Ibu yang ramai anak hafaz Quran bukan sekadar layak dicalonkan ibu mitahli, bahkan tokoh Maal Hijrah pun layak.

Di zaman Nabi seorang ibu tabah anaknya gugur syahid. Kemudian seorang lagi anaknya syahid. Dia menangis. Dia menangis atas syahid anaknya yang terbaru. Orang bertanya adakah dia sedih anaknya semua syahid? Jawabnya, dia menangis kerana tiada lagi anak laki-laki bakal syahid.

Inilah ibu mithali sejati. Kita menunggu ibu-ibu menangis kerana tiada lagi anaknya boleh hafaz Quran. – HARAKAHDAILY 9/7/2019

SETINGGI-tinggi tahniah buat PAS Pahang pimpinan pesuruhjayanya, YB Ustaz Rosli Jabar atas kejayaan menganjurkan Mukktamar Tahunan PAS ke-65 selama seminggu selepas seminggu Hari Raya Aidilfitri.

Pengalaman pertama Pahang menjadi tuan rumah, nampaknya tidak kurang kejayaannya dibandingkan dengan negeri-negeri maju PAS yang sudah beberapa kali menjadi tuan rumah seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Dengan keupayaannya itu menjadikan Pahang muncul sebagai negeri PAS yang membangun yang dipercayai sepuluh tahun akan datang boleh mencapai status negeri maju PAS selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Berkat taawun-tahaluf siyasi berdua PAS dan Umno yang rancak menjalar sekarang beberapa negeri seperti Perak, Selangor dan Johor akan berada di belakang Pahang sebagi wilayah membangun manakala wilayah ketiga seperti Wilayah, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak akan mara di belakang Perak dan Selangor.

Moga-moga 20 tahun dari sekarang tiada lagi negeri PAS yang mundur.

Pahang membuat persiapan bekerja penuh masa lebih dari tiga bulan. Muktamar itu tiga hari dari 21 hingga 23 Jun. Tetapi ia sudah berada dalam suasana muktamar sejak 15 Jun apabila Dewan Muslimat melangsungkan sidangnya di Gambang, lebih 20 kilometer dari Kuantan. Dari 18 dan 19 Jun Dewan Pemuda pula bersidang di situ. Diikuti Muktamar Dewan Ulamak pula pada 20 Jun di Wisma Belia di pinggir Indera Mahkota.

Pahang menawar diri sejak sebelum PRU14. Ia bertungkus lumus menyiapkan dewan di pinggir Temerloh. Dewan itu siap tetapi dengan kemajuan PAS yang ada, ia tidak dapat menampung keperluan muktamar.

Berikut pembentukan Kerajaan PAS Terengganu pasca PRU14, muktamar ke-64 dipindahkan ke Gong Badak, Terengganu.

Demi muktamar ke-65, Pahang diminta bersedia. Prasarana yang diperlukan oleh muktamar tidak tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Dalam serba kekurangan itu bagaimana Pahang hendak menganjurkan muktamar?

Ditakdirkan Allah perbincangan berdua PAS dan Umno berjalan rancak, Umno Pahang mengizinkan kerajaan negerinya, satu dari dua kerajaan negeri BN yang selamat memberi semua kemudahan yang diperlukan oleh PAS. Stadium Tertutup Sukpa di Indera Mahkota yang boleh menampung perwakilan hampir seribu dan pemerhati beribu-ribu boleh dimanfaatkan percuma.

Kerajaan tempatan mengizinkan sekitar kota muktamar itu dihijau dengan bendera PAS. PAS diberi tempoh yang selesa membersih kehijauan itu. Menteri Besar Pahang yang menganjurkan makan malam kepada pemimpin dan ketua-ketua perwakilan ketika berucap menyebut jika boleh agak lebih indah jika jalan-jalan dalam masa muktamar itu dihiasi berselang-selang antara bendera PAS dan bendera Umno.

Mereka bekerja tiga bulan membuat persiapan. Beribu anggota Unit Amal, Briged Nisa dan petugas keselamatan didatangkan dari seluruh negara. Mereka bertugas penuh masa siang malam, hujan dan panas sebagaimana setianya pasukan keselamatan negara atas perintah komandernya. Sukarelawan beruniform PAS itu patuh kepada PAS sebagaimana patuhnya polis dan askar.

Mereka jaga dan iring pemimpin ke mana saja. Saya boleh ke bilik air sendiri. Mereka iring saya hingga ke pintu bilik air. Tunggu dan pastikan saya balik ke pentas muktamar dengan selamat.

Pesuruhjaya YB Rosli Jabar penuh masa berbulan-bulan menyelia dan memantau persiapan. Katanya, selain kemudahan dari kerajaan negeri, hampir sejuta mereka berbelanja.

Di mana PAS dapat duit? RM90 juta yang dikatakan dari 1MDB tiada dalam 41 senarai SPRM dapat duit itu. Tentu ia dari khairat penyokong PAS Pahang. Syabas! Syabas! Syabas! – HARAKAHDAILY 6/7/2019

DEMI besarnya harapan PAS kepada Sidang Assabiqun, ucapan dasar Presiden sebagai imam jamaah harakah siasah Islamiah parti menyebut sebaris di hujung perenggan 95:

“...Proses pemindahan ilmu dan pengalaman juga akan lebih berkualiti dengan penglibatan jasawan Assabiqun PAS sebagai mantor dalam Akademi Latihan PAS ini.”

Akademi ini adalah produk baru jamaah yang bakal dibentuk bagi menghubungi semua institusi latihan PAS bagi memperkasa bidang kepimpinan, pengurusan organisasi, pengurusan media, pembinaan imej dan pengucapan awam di semua peringkat.

Bahkan Setiausaha Agung, Dato’ Takiyuddin Hassan dalam pesannya kepada anggota Sidang Assabiqun Pusat betapa sumbangan warga Assabiqun amat penting mempengaruhi para pengundi untuk bersama PAS.

Harapan tinggi ini adalah justeru pengalaman luas para jasawan PAS yang berusia 55 tahun ke atas yang prnah cergas satu masa dulu, tetapi kini tidak aktif kerana usia dan kesihatan, nescaya dapat menyumbang dan menyuntik semangat dan daya juang generasi baru.

Bagi menyambut saranan parti itu, maka orang lama dan awalun yang setengahnya tersimpan dalam sejarah wajar diajak ke depan semula dengan bantuan sekalian aktivis yang sedang berfungsi. Pengalaman masing-masing hanya diperolehi dengan membawa mereka ke tengah sesuai dengan keupayaannya.

Kerana mereka tersimpan lama, terbiar dan ada yang perlu dicari. Bilangannya dipercayai ramai tetapi payah dijumpai. Kebanyakannya tersimpan dalam senarai keahlian di kawasan dan cawangan. Rata-rata 30 hinga 40 muncul di kawasan-kawasan. Bilangan meraka adalah lebih ramai. Sekadar seramai itu, tidak memadai untuk keperluan PRU15 yang amat penting sekrang. Semaksimumnya perlu dibawa kembali supaya sumbangan meraka tidak dibazir.

Dan Jabatan Piihan raya semua peringkat dapat memandu apa yang boleh sumbang secara berkesan.

Demi mengisi Akademi Latihan PAS dan bantuannya dalam pilihan raya, saya sebutkan dalam ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke-65 di Kuantan perlu setiap Pesuruhjaya PAS negeri yang dilantik dalam sesi yang baru memastikan semua kawasan di bawahnya mengeluarkan semua nama yang berusia 55 tahun ke atas dalam senarai simpanannya, serahkan kepada pegawai Assabiqun di Pejabat Agung.

Setiap ahli Dewan Pemuda sedia jadi anak angkat kpada setiap Assabiqun. Anak angkat ini akan mengesan di mana mereka yang bakal menjadi bapa angkatnya. Anak angkat ini wajar memantau degan mengunjunginya sekurang-kurang dua kali sebulan. Dengan demikian mereka rasa dihargai dan tidak terbiar lagi.

Pesuruhjaya pastikan kawasan menyerahkan semua nama orang lama dan orang berjasa itu. Saya sudah minta lama, belum ada yang tiba. Maka pesuruhjaya arah kawasan penuhi arahan itu supaya mereka dapat menjadi anggota Assabiqun ssebelum meninggal dunia. Kawasan jangan biarkan mereka mati sebelum menjadi anggota Assabiqun.

Saya juga menyeru dalam muktamar itu agar sekalian pesuruhjaya membantu Sidang Assabiqun negeri-negeri menganjurkan Seminar Sejarah PAS di negeri masing-masing antara sekarang dan tiga bulan akan datang.

Seminar Sejarah PAS anjuran bersama KUIZM dan Assabiqun empat bulan lalu mendapat sambutan besar. PAS negeri-negeeri minta ia dibawa ke negeri-negeri supaya lebih ramai ahli parti dan rakyat umum tahu sejarah PAS.

Ia diakhiri dengan ceramah penyatuan ummah malamnya bersama Assabiqun dan Kelab Veteran Umno.

Pesuruhjaya pastikan ada Sidang Assabiqun di setiap kawasan agar mereka dapat diraikan dalam seminar sejarah di negeri masing-masing.

Ini adalah antara program Assabiqun bagi mengisi saranan ucapan dasar imam dalam Muktamar Tahunan PAS ke-65 bersejarah di Indera Mahkota, Kuantan. - HARAKAHDAILY 29/6/2019