Badai politik: Siapa pejuang, munafik dan musuh Islam

Pimpinan
Typography

SUASANA pemerintahan Kerajaan PH telah memberi tamparan hebat kepada kedaulatan Islam di Malaysia.

Sebuah negara yang menempatkan Islam sebagai agama Persekutuan telah tergugat walaupun ia tercatat kemas dalam sebuah Perlembangaan yang kita junjung bersama.

Perlembagaan merupakan asas yang kuat menjadikan rakyat Malaysia hidup secara aman dan saling hormat menghormati, biarpun terdapat pelbagai bangsa dan agama.

Hari ini seluruh lapisan masyarakat sedang menyaksikan watak sebenar para pelakon di pentas politik negara.

Malah keadaan ini juga telah menyedarkan masyarakat siapakah pejuang, munafik dan musuh kepada Islam.

Kita melihat bagaimana suasana politik fitnah sebelum PRU14 telah mengelirukan banyak pihak termasuk di kalangan agamawan, cendiakawan serta masyarakat biasa telah tertipu dengan lakonan ahli politik negara.

Peringatan buat semua rakyat Malaysia, kenalilah pejuang Islam sebenar dengan menghayati

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (Al-Maidah: 54)

PAS terus istiqamah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan bagi menghadapi musuh Islam, tanpa rasa gerun berdepan dengan mereka.

PAS sentiasa bersifat matang dalam membina hubungan dengan mana-mana kumpulan dan individu tanpa dendam serta mengaplikasikan pendekatan sejahtera dalam menentukan keputusan politiknya.

Keterbukaan PAS Perlis dalam menyantuni perbezaan bersama Mufti Perlis perlu dijadikan model yang baik bagi membina kesatuan umat Islam.

PAS Perlis menyeru seluruh lapisan masyarakat Islam untuk bersatu dalam satu saf mempertahankan kedaulatan Islam dan perpaduan ummah. Seluruh agamawan seharusnya bekerja untuk kembalikan kesatuan umat, ketepikan perbezaan yang bersifat khilafiah.

Kelemahan pemimpin Islam dalam parti-parti komponen PH dalam mempertahankan asas-asas penting Perlembagaan Malaysia sangatlah membimbangkan masyarakat Islam pada hari ini.

Pecah belah dalam kalangan pemimpin Islam daripada PH telah membuka peluang besar kepada musuh Islam menyerang Islam tanpa henti.

Tindakan pemimpin kerajaan PH meletakkan kepentingan diri sebagai keutamaan telah menggugatkan keamanan dan kesejahteraan umat Islam di Malaysia.

Sikap berpeluk tubuh seperti munafik membiarkan Islam diserang dalam perang Uhud adalah tindakan tidak bertanggungjawab pemimpin Islam dalam PH.

Amanah menjaga agama dan bangsa yang telah diberikan oleh rakyat haruslah ditunaikan.

Bersatulah wahai pemimpin-pemimpin Islam demi agama dan bangsa yang tercinta tanpa mengira kepentingan parti dan fahaman politik sempit semata-mata.

PAS istiqmah memberi kerjasama kepada semua pihak tanpa rasis terhadap mana-mana bangsa, fahaman politik dan agama.

Inilah ajaran yang diperintahkan oleh Islam dan qudwah yang telah dimodelkan oleh Baginda Muhammad S.A.W.

Namun, sifat terbuka PAS dengan mana-mana fahaman dan agama terikat dengan prinsip saling hormati menghormati dalam bermuamalah.

PAS bersikap tegas terhadap mereka yang memusuhi Islam, dan bersikap matang dengan mereka yang menghormati prinsip-prinsip Islam dan perlembagaan negara.

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah. Kerana nanti mereka akan memaki Allah dengan melampaui batasan pengetahuan.” (maksud Surah Al-An’am: 108)

PAS menyeru untuk seluruh rakyat Malaysia kembali membina perpaduan dengan menghormati hak masing-masing yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Marilah kita semua bersikap matang dan sejahtera dalam menentukan hubungan antara agama, bangsa dan fahaman politik kerana ia bakal menentukan masa depan negara kita. – HARAKAHDAILY 19/8/2019

Penulis merupakan Ketua Penerangan PAS Negeri Perlis.