19
Sat, Aug

Konflik Palestin-Israel: Penyelesaian dua negara bukan 'The Last Resort'

Pimpinan
Typography

SAYA membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Negara, YB Dato' Sri Anifah Aman yang mewakili negara ke 'Open-Ended Extraordinary Meeting of the OIC Executive Committee' pada 1 Ogos 2017 yang diadakan di Istanbul, Turki. Mesyuarat tersebut adalah tindakan susulan terhadap sekatan tentera Zionis yang menghalang umat Islam beribadah di Masjid Al-Aqsa bermula 14 Julai yang lalu.

takiri3Dalam kenyataan tersebut, pihak kementerian menegaskan dalam perenggan terakhir sebagai berikut: "In conclusion, Malaysia would like to reaffirm our resolute support to seek a just, comprehensive and durable solution to the realization of the two-state solution with an independent state of Palestine, based on the pre-1967 and with East Jurusalem as its capital."

Sebagai konklusinya, Malaysia menegaskan sokongan kepada penyelesaian yang adil, menyeluruh dan bersifat jangka panjang dengan menerima penyelesaian dua negara dengan negara Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka, berdasarkan kepada (sempadan) sebelum 1967 dan Jurusalem Timur sebagai ibu negara.

Saya kira kenyataan tersebut terdapat kekeliruan. Pengiktirafan terhadap sempadan sebelum tahun 1967 - setepatnya sebelum 4 Jun 1967 - yang turut dikenali sebagai 'The Green Line', bukanlah bermakna mengiktiraf negara haram Israel atau "penyelesaian dua negara" seperti yang diwar-warkan. "Penyelesaian dua negara" adalah suatu kenyataan secara tidak langsung mengiktiraf negara haram Israel.

Sebaliknya, pengiktirafan terhadap sempadan sebelum tahun 1967 sepertimana yang ditegaskan juga oleh HAMAS membawa maksud menguasai semula beberapa bandar utama termasuklah Bandar Lama Timur Jurusalem, Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Malah, HAMAS turut menegaskan bahawa mereka menolak untuk mengiktiraf negara haram Israel, pendirian yang turut dipertahankan oleh PAS.

Saya ingin mengulangi gesaan supaya pihak kementerian memperbetul kenyataan tersebut serta lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan melibatkan konflik di Asia Barat terutamanya Israel-Palestin. Ini kerana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kementerian sekaligus mewakili keseluruhan rakyat Malaysia khususnya umat Islam. Tambahan lagi, saya berpandangan kerajaan Malaysia perlu tegas untuk mengeluarkan kenyataan tidak mengiktiraf negara haram Israel kerana itu pendirian utama umat Islam sejak sekian lama.

Konflik panjang Israel-Palestin bukanlah konflik di atas nama agama (Islam dan Judaism), tetapi permusuhan utama adalah melibatkan gerakan Zionism yang diasaskan pada 29 Ogos 1897 di Basel oleh Theodor Herzl. Mereka meletakkan matlamat menguasai bumi umat Islam bagi menubuhkan 'The Greater Israel'. Perjuangan mereka disokong Amerika Syarikat dan kini usaha mereka tertumpu ke arah menubuhkan 'The New Middle East', suatu projek 'creative destruction' terhadap pemetaan umat Islam di Asia Barat seterusnya mengulangi ala-ala Perjanjian Sykes-Pikot pada 1916.

"Sejahtera Bersama Islam"

YB DATO' DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
04 Ogos 2017 | 11 Zulkaedah 1438 - HARAKAHDAILY 4/8/2017