FIRMAN Allah Taala di dalam surah al-Baqarah ayat 49 bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Kami selamatkan kamu dari (Firaun) dan pengikut-pengikutnya; mereka menimpakan kepadamu keseksaan yang seberat-beratnya, mereka menyembelih anak-anak kamu yang laki-laki dan membiarkan hidup anak-anak kamu yang perempuan. Dan pada yang demikian itu terdapat cubaan-cubaan yang besar dari Tuhanmu."

zulkiflismailFiraun mengasaskan politik penghapusan etnik bagi mengekalkan kekuasaannya. Demi mengekalkan kekuasaannya di satu peringkat Firaun telah membunuh seluruh bayi-bayi lelaki Bani Isra'il sehingga keturunan Bani Isra'il hampir terhapus sepenuhnya. Politik Firaun ini dipanggil dalam bahasa moden sebagai Politik Pogrom. Iaitu usaha mengekalkan kuasa melalui pembunuhan terancang terhadap kumpulan etnik atau agama yang dimusuhi.

Dalam sejarah moden, politik ini antara lainnya dilakukan terhadap etnik Yahudi di Rusia dan umat Islam di Bosnia dan Kosova. Hari ini ia dilakukan terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar. Islam menentang politik zalim seperti ini dan mengambil tanggungjawab melindungi manusia dari politikus dan kerajaan yang mengamalkannya. Kerana kejinya perbuatan Firaun itu ia dilaknat oleh Allah dan diazab dengan sekeras-kerasnya. Tubuhnya dikekalkan untuk menjadi tatapan manusia sebagai peringatan tentang nasib para penzalim yang mengamalkan dasar politik seperti itu.

Ia adalah ajaran politik songsang yang telah diperingatkan oleh Islam mendahului seluruh ahli-ahli politik yang jujur. Ia adalah ajaran politik yang bertentangan sepenuhnya dengan nilai-nilai kemanusiaan. Ia tiada kaitan dengan mana-mana ajaran agama yang menjunjung nilai-nilai moral yang mulia. Seluruh umat manusia dari pelbagai latar belakang agama wajib memerangi ahli-ahli politik pogrom yang sebenarnya sedang melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.

Justeru itu, Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka menyeru kepada seluruh ulamak dan asatizah dari pelbagai latar belakang kumpulan dan pemuka-pemuka pelbagai agama dalam negara ini serta rakyat seluruhnya agar membantu umat Islam Rohingya dan menyuarakan penolakan mereka dengan setegas-tegasnya terhadap kerajaan Myanmar dan politik pogrom atau politik Firaun yang mereka amalkan.

Sehubungan itu, satu program munajat kemuncak insya Allah akan dilaksanakan pada tarikh 28 Oktober 2017 (Sabtu) di Dewan Muallim Tuan Guru Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, Melaka.

Seluruh umat Islam dijemput hadir.

USTAZ ZULKIFLI ISMAIL MUHAMMAD
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka

LANGIT benderang dengan sengatan matahari Zulhijjah menikam ubun-ubun kepala kami, dua anak kampung yang ditugaskan untuk menjayakan misi dakwah dan korban di tanah Afrika. 40 tahun lampau aku tak terfikir kaki aku akan melangkah dan menderap tanah kunta kinte ini dengan gambaran kemiskinan dan kemelaratan paling terbawah dalam papan carta dunia.

Kunta kinte adalah kisah perhambaan yang sadis, Hollywood berjaya menanam dalam benak kita anak-anak Asia bahawa perhambaan adalah sebahagian kerja barat untuk mentamadunkan manusia. "The white man burden" adalah lesen penjajahan dan perhambaan bagi kuasa imperialis Barat dalam abad 18, 19 dan awal abad ke-20. Afrika menjadi buruan penjajah Barat serta pemerdagangan manusia, eksploitasi alam rimba serta usaha membaptiskan pengikut baru Kristian.

Kali ini penulis berpeluang menyertai misi ke Republik Chad, salah sebuah negara di Afrika yang mempunyai penduduk Islam sekitar 75 peratus daripada keseluruhan populasi. Berbeda dengan pengalaman di negara Sudan, Chad kelihatan lebih terpuruk dan mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi. Sudan yang pernah dijajah oleh British, berlatarbelakangkan negara yang tak serik dengan peperangan, menghambat British dengan bergaya. Namun perang juga meletus antara Wilayah Utara dan Selatan Sudan akibat disulut api peperangan oleh kuasa kuffar akibat perebutan "emas hitam". Republik Chad pula menjadi negara miskin semula jadi akibat kekurangan hasil bumi dan kadar buta huruf yang tinggi sehingga mencatatkan negara keempat paling miskin dalam dunia.

Tim misi kali ini, penulis bersama Ustaz Ahmad Rashdan yang juga mantan Pengerusi Muslim Care Jordan. Kami tiba di kota Ndjamena, ibu negara Chad setelah berbelah jam membelah angkasa. Rasa penat sirna apabila melihat dan memijak tanah Afrika, kami disambut oleh Yusuf Koukou yang juga alumni Universiti Utara Malaysia. Muslim Care telah memulakan projek membina masjid di Kanem, jauh di kawasan pedalaman Chad yang mengambil masa lapan jam perjalanan darat. Haji Zakaria, Setiausaha Agong Muslim Care yang juga seorang arkitek yang piawai telah merekacipta plan masjid yang akan menjadi pusat dakwah di negara yang sangat subur dengan dakwah itu. Masjid dengan dana awam, sumbangan wakaf rakyat Malaysia dijangka siap sepenuhnya pada awal 2018. Segalanya bergantung dengan dana yang mencukupi daripada publik. Negara miskin ini masih lagi di kawasan pedalaman dengan corak masjid abad ketujuh masihi, berdinding tanah liat, beratap ranting kayu serta sangat dhaif.

cd2Di kawasan pedalaman negara ini seperti juga kebanyakan negara Afrika yang lain, bekalan air bersih adalah masalah utama. Air yang kotor adalah penyumbang kepada pelbagai penyakit, begitu juga dengan sistem pelupusan najis yang sangat mundur. Tidak pelik jika kanak-kanak dengan visualisasi lalat menghurungi kepala dengan mata yang berair adalah wajah tipikal Afrika yang sakit. Muslim Care dalam misi ini akan membina enam buah projek tubewell, iaitu projek telaga air bersih untuk kegunaan penduduk tempatan.

Pengalaman penulis dalam misi dakwah dan kebajikan di Afrika amat tertarik dengan kesungguhan umat Islam mempelajari al-Quran. Maahad tahfiz ada di mana-mana walaupun dhaif, bahkan berlantaikan tanah merah serta pelajar-pelajar yang kurang gizi melantunkan ayat cinta Ilahi dengan penuh khusyuk. Di kawasan pedalaman Chad, pelajar-pelajar kelas al Quran menggunakan papan kayu yang ditulis dengan ayat-ayat al Quran. Kemiskinan tidak menghalang mereka bersungguh-sungguh menghafal al Quran. Menatap wajah mereka memancing rasa rindu pada keindahan generasi awal al Quran yang dibina oleh ar Rasul SAW, seolah kanak-kanak berkulit hitam dengan rambut kerinting ini adalah jelmaan Saidina Bilal ar Rabah. Kami mengagihkan naskah-naskah al Quran dengan jumlah ribuan unit kepada pelajar-pelajar maahad di kawasan pedalaman Chad, semuanya hasil sumbangan wakaf al Quran rakyat Malaysia yang cakna saudara akidah mereka.

Program kemuncak dalam misi kebajikan kali ini ialah program korban dan akikah di sekitar Melleah, Kaneem. Sebanyak 559 ekor kambing telah berjaya disembelih dan nikmati oleh 40 buah kampung. Rakyat Chad yang miskin kelihatan sangat teruja dengan acara korban, di mana NGO tempatan turut membantu kami mengagihkan kambing untuk disembelih. Kami solat raya di padang bagi mengikuti sunnah ar Rasul SAW, bertakbir raya dan mengikuti khutbah raya yang ringkas daripada seorang sheikh tempatan yang kelihatannya sangat dihormati para warga. Negara yang keempat paling miskin di dunia ini kelihatan begitu dhaif sekali terutama bidang kesihatan dan pendidikan. Mereka melepaskan kami pulang dengan harapan masih ada kunjungan di masa akan datang daripada rakyat Malaysia. - HARAKAHDAILY 6/9/2017

BERDIRI sudah negara kita Malaysia yang tercinta ini selama 60 tahun dengan berpemerintahan oleh bangsa kita sendiri. Dalam pelbagai pembangunan diadakan serta kemajuan dicapai, disebaliknya masih lagi terdapat sisi tamadun dan kehidupan warga yang terjajah oleh tindakan kita sendiri. Kita membelengu dan membiarkan dibelengu oleh keasingan pelbagai idealogi yang saling mewujudkan pertembungan dan ketidaksejahteraan.

Natijahnya, kita mengalami penindasan halus oleh ketidakadilan dalam pelbagai urusan hidup, berbelanja besar menangani pelbagai kebejatan, serta kepincangan yang tidak berkesudahan. Di mana-mana bahagian negeri dalam Malaysia ini, adanya golongan terpinggir biar tidak mampu mengecapi segala kemewahan yang tampak di depan mata. Ada dihalau usir secara terhormat merempat dari perteduhannya sendiri. Malah, ada diambil haknya secara terancang pada perolehan yang penat lelah diusahakannya.

Kerana enam dekad ini kita menghambakan diri kepada sistem manusia yang penuh penyelewengan atau setidak-tidaknya penuh kepentingan. Hanya mereka yang berkuasa menggungguli, memanipulasi dan memeras segala kepunyaan hingga menjadikan diri angkuh serta mengkesampingkan tanggungjawab. Menjadilah rakyat yang sedia majmuk bercerai berai, berkasta dan saling tidak mempedulikan lantaran bebanan pelbagai, lalu memenuhi hidup sekadar keperluan berehat, berpakaian dan lapar dahaga.

Walhal Allah SWT Pencipta manusia menjadikan kita secara merdeka dengan segala kelebihan yang hanya diperintahkan mengabdikan diri semata kepada-Nya. Pembebasan inilah perjuangan yang dituntut ke atas kita sebagaimana tergambar dari kata-kata Panglima Islam Parsi, Rub’ie bin ‘Amir: “Allah mengutuskan kami untuk membebaskan dunia perhambaan sesama manusia kepada pengabdian terhadap Allah. Dari kesempitan dunia kepada kelapangan akhirat. Dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam."

Jelas di situ, segala kerencaman yang merengsakan seluruh jiwa, jasad dan pemikiran hanya dapat dimartabatkan dengan kembali kepada kesyumulan Islam sebagai sistem hidup sempurna dan sejahtera di dunia serta akhirat. Hakikatnya, diri yang ikhlas tidak akan menafikan bahawa kemasyarakatan dan pentadbiran tanah berdaulat ini pernah menjulang Islam. Bahkan setelah ia dimerdekakan lebih separuh abad dahulu, Islam menjadi agama bagi Persekutuan Malaysia yang menggabungkan 14 negeri dengan agama lain bebas diamalkan.

Namun, pelbagai persaingan tidak matang selama ini telah menjebak dan mengikis jati diri, kecintaan dan kasih sayang sebenar kita kepada negara ini serta sesama bangsa. Oleh itu, atas kealpaan lalu, marilah kita insafi untuk tonggak negara iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan, Raja-raja yang diberikan hak dalam Perlembagaan, Bahasa Melayu sebagai bahasa negara, Tanah Rizab Melayu dan menghormati hak bangsa serta penganut agama lain, terus dipertahankan demi keharmonian hidup bersama.

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
31 Ogos 2017 | 9 Zulhijjah 1438 – HARAKAHDAILY 31/8/2017

MALAYSIA mencapai hari kemerdekaannya yang ke-60 pada 31 Ogos 2017 ini dengan membawa tema kebangsaan “Negaraku Sehati Sejiwa”. Detik ini sangat bermakna buat seluruh warga Malaysia tidak mengira bangsa dan agama dalam kita mengecapi nikmat kebebasan yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Hari ini, kita diberi peluang menghirup udara kebebasan yang didambakan oleh semua insan. Negara yang mahu dibangunkan selepas fasa kemerdekaan bukanlah suatu perkara yang mudah. Jasa,bakti dan pengorbanan menjadi bayaran yang tidak ternilai demi membangun generasi selepas merdeka.

Islam menggariskan tatasusila dan adab-adab dalam meraikan rasa kebebasan dan keselamatan. Hari Kemerdekaan diwujudkan untuk memanifestasi rasa syukur atas nikmat kebebasan dan menghargai pengorbanan generasi terdahulu. Sambutan kemerdekaan lebih bermakna dengan mengekalkan nilai kesopanan dan penuh rasa kesyukuran di samping semangat mencintai negara.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah melaksanakan solat hajat perdana dan program bermanfaat agar Hari Merdeka bukanlah hanya pada sambutan yang meriah tetapi mendidik rakyat agar lebih dekat dengan Tuhan atas pemberian nikmat ini. Disamping itu, marilah kita berdoa untuk kemerdekaan di negara-negara umat Islam seluruh dunia agar keamanan dapat dikecapi oleh mereka.

Justeru itu,Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-60 buat seluruh anak Malaysia sama ada yang berada di Malaysia atau jauh di perantauan. Sematlah sikap yang harmoni dan menjaga imej baik negara selaras tuntutan syariat Islam tanpa mencemarkan nilai dan adab-adab murni.
 
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
31 Ogos 2017
9 Zulhijjah 1438 H – HARAKAHDAILY 31/8/2017

SUNGAI Mekong mengalir lesu dengan sejuta rahsia yang digengam erat, dasarnya adalah kelodak jiwa manusia yang bersengketa. Sungai ini memuarai bandar Pnomp Penh yang sentiasa sibuk dengan manusia, bertali arus dengan motorsikal buruk yang menampung manusia berjejeran di jalanan, sesak dengan debu-debu jalan yang menyakitkan mata, juga memeritkan halkum. Kota ini menjadi saksi mata kekejaman rejim Pol Pot menyembelih umat Islam sehingga mencecah jutaan manusia, kegilaan rejim komunis ini telah membekaskan perit yang tajam serta api dendam yang sentiasa dibumbui sepanjang hayat kepada mangsa.

Saya dengan mata yang meliar dan dengan hati yang jengkel merasai curiga yang bersarang pada hati, manusia di sini cukup prejudis kepada Muslim. Malik, teman saya, berpesan agar berpenampilan 'biasa-biasa', maksudnya bukan dengan pakaian 'muslim beragama' yang boleh menjebak kami dengan imej 'pengganas' juga bukan dengan gaya bergengsi seperti usahawan kelas kakap yang akan mengundang keberahian penjenayah yang berkemahiran tinggi di negara antara termiskin dunia ini. "Jaga-jaga beg duit dan barang Ustaz," pesan Malik setiap kali, anak muda ini mempunyai tahap kesiagaan yang tinggi, beliau pernah belajar di Selatan Thai.

Negara ini kadar jenayahnya cukup tinggi seakan Amerika Latin, senjata api masih didagang dengan bebas maka rompakan bersenjata agak lumayan menjadi bahan berita. "Wah, ngeri juga, ala-ala bandar koboi ni..." saya cuba berlucu sendirian, teringat cerita koboi yang merompak bank dalam filem Hollywood.

Malik sentiasa bercerita tentang ketenangan Kemboja atau Kampuchea yang sentiasa dikocak dengan berita jenayah, samun senjata api, rogol, pembunuhan dan korupsi gotong-royong. Tidak pelik kerana papan iklan gergasi di kota kumuh itu sering bersaing dengan iklan jenama arak, diselang dengan iklan rokok yang pelbagai. Menjadi pemimpin di sini memerlukan wang yang banyak untuk membiayai pengikut dan pengawal bersenjata. Kota kumuh ini dilatari dengan perempuan jalanan yang menjual 'sekangkang peha' untuk menyuap mulut. Cuma mungkin tidak sehebat kota Bangkok yang menjadikan pelacuran sebagai sumber pendapatan negara. Namun kecenderungannya sama, warga Barat sentiasa memenuhi kota ini dengan beg sandang, berkumpulan dan kelihatan agak comot berdebu.

RIDUANKali pertama saya sampai ke negara ini ialah pada tahun 2002, setelah menyimpan keinginan yang lama untuk melihat sendiri kesan pembantaian rejim Pol Pat dalam dekad 70-an. Semasa zaman kecil saya di Terengganu, muslim Kemboja berjualan kain kampung ke kampung, termasuk menjual buaian daripada plastik. Mereka sangat rajin membanting tulang empat kerat sehinggalah akhirnya menjadi kaya di 'suvarnabhumi' atau bumi emas ini.

Dalam dekad 80-an pula, saat Terengganu digemparkan dengan penemuan emas di Lubuk Mandi, Marang, sebahagian daripada mereka sama-sama melahap rezeki emas di Lubuk Mandi, Terengganu, memerah keringat bersimbah air mata. Hasilnya, muncullah komuniti masyarakat Kemboja Muslim yang berjaya di Terengganu, Kelantan dan lain-lain tempat. Saat orang tempatan leka berlabun di kedai kopi, mereka menyusur lorong ke lorong, rumah ke rumah di taman perumahan kelas menengah dan kos rendah menawarkan pakaian dan pelbagai barangan untuk dibeli. Anak-anak Muslim Kemboja ini tidak sedikit pula yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading dan meraih sekeping kertas harga diri, contohnya Ustazah Aminah (Ketua Muslimat Hulu Selangor). "No pain no gain", "kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya", kata guru saya, bersurah tentang kerajinan.

Ketika tayar pesawat tambang murah mendarat di lapangan terbang antarabangsa Pnomh Penh, hati saya terasa terusik kerana Allah telah memakbulkan doa untuk memijak kembali bumi bersejarah ini yang hampir sembilan tahun saya tak sambangi. Negara ini pernah berperang dengan Siam dalam tempoh yang lama. Malik memeluk saya di pintu keluar lapangan terbang, wajahnya secerah mentari pagi, tanpa ketayap dan jubah lusuh yang lazim dipakai jika berada di Malaysia.

"Ni musim panas ustaz, cuaca berdebu...sebelum ni banjir," cerita Malik tanpa disuruh apabila saya menutup hidung cuba menahan debu-debu jalan yang menerpa wajah di luar bandar baru Pnonh Penh.

Kenderaan sewaan kami berdesut di jalan, hon yang dibingitkan sesuka hati semakin merimaskan namun ianya hiburan sang pemandu.

Pelbagai manfaat dapat ditebarkan kepada masyarakat muslim Kemboja dengan program korban perdana ini, di antaranya ialah:

1. Menyemarakkan gerakan dakwah di sana kerana Kemboja memerlukan kepada pemurnian semula kefahaman agama. Mereka dalam tempoh yang panjang hidup dalam dasar pemencilan agama yang dibuat oleh rejim komunis. Daging korban selain daripada diagihkan terus pada golongan fakir miskin, juga digunakan untuk majlis merasmikan masjid atau untuk program dakwah.

2. Memberikan masyarakat Muslim Kemboja, sumber protein yang berkesan. Mereka terpuruk dalam lingkaran ganas kemiskinan yang berakar hampir seabad yang lalu. Pemencilan terhadap masyarakat Muslim minoriti Kemboja.

Daging korban dan lembu yang disembelih telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat. Golongan susah sangat teruja, kadang-kadang mereka datang beratus kilometer dengan van 'pick up' untuk mengambil daging korban, bahkan mereka datang sehari lebih awal sebelum majlis korban diadakan. Ustaz Fauzi Husain, yang ditugaskan menyembelih daging korban sebelum ini sentiasa bercerita tentang kesungguhan golongan susah ini mendapatkan daging korban.

Mereka melahap senikmatnya daging gulai yang dimasak kepada mereka, saya mempunyai kenangan kolektif yang cukup syahdu apabila melihat orang miskin Kemboja makan. Pinggan mereka tidak tersisa, mereka menghirup mangkuk kuah gulai dengan penuh nikmat, makan dengan penuh ceria. Teringat juga dalam satu majlis pembahagian beras kepada fakir miskin, beberapa orang kanak-kanak mengutip beras yang tumpah, mereka tidak membiarkan beras tumpah kerana menghargai pemberian dan bersyukur dengan rezeki dari Allah. Berbeza dengan sikap kita di Malaysia yang sentiasa membazir makanan dan berlebihan makan.

Saya yakin sesungguh hati, Islam akan semakin terpancar di Kemboja melalui misi-misi bantuan ini, pelbagai pihak telah tampil menyampaikan bantuan sama ada jangka panjang atau jangka pendek. Contohnya membina masjid, sekolah-sekolah agama, membantu para asatizah, melaksanakan korban dan akikah perdana, menebarkan al-Quran dan kitab-kitab agama, membina telaga dan pelbagai cara yang ditunjukkan untuk menterjemahkan rasa kebersamaan merentasi sempadan geografi. "Sempadan kita orang beriman ialah sempadan akidah," kata Sayyid Qutb. - HARAKAHDAILY 30/8/2017

PERTUBUHAN Pendukung dan Pencipta [email protected] Ustaz mengecam keganasan terbaru di Myanmar apabila tentera Kerajaan Myanmar bertindak membunuh lebih 40 orang etnik Rohingya di kawasan Maungdaw, Buthidaung dan Rathedaung.  

norazliKeganasan terbaru ini membuktikan bahawa Kerajaan Junta Myanmar tidak serius mengatasi masalah etnik Rohingya yang selama ini disuarakan dan juga diambil perhatian oleh pihak antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri.

Masyarakat etnik Rohingya yang diburu dan dibunuh kini bertebaran melarikan diri memohon pertolongan keselamatan dan bantuan, namun dunia masih juga menyepi terhadap Junta Myanmar yang tidak berperikemanusiaan.

Oleh itu, Geng Ustaz mendesak Kerajaan Malaysia, Asean dan seluruh rakyat Malaysia bangkit bersama membela dan memperjuangkan hak kebebasan dan menyelesaikan krisis kemanusiaan yang sedang dialami oleh umat Islam etnik Rohingya ini.

Kami juga menyeru agar umat Islam beramai-ramai untuk turun bersama ke Himpunan Solidariti Rohingya pada 30 Ogos 2017 pada jam 11.00 pagi di Kedutaan Myanmar Kuala Lumpur.

Keprihatinan anda adalah simbol keimanan dan kasih sayang serta cinta sesama umat Islam.

"Sejahtera Bersama Islam"

Ustaz Norazli Musa
Presiden Pertubuhan Pendukung dan Pencinta [email protected] USTAZ
28 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 28/8/2017

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) terus mempertahankan gesaan supaya pihak Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Tragedi Memali yang berlaku pada 19 November 1985.

Walau bagaimanapun PAS merasakan kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor tentang siapa yang perlu dipanggil untuk memberikan keterangan kepada RCI nanti adalah suatu yang para matang. Sepatutnya sebagai bekas Pegawai Tertinggi Polis beliau tidak perlu mempamerkan sikap cuba campurtangan dalam urusan RCI yang merupakan satu suruhanjaya bebas yang berfungsi mencari keadilan atas daasr 'without fear or favour'.

Berikut adalah teks penuh kenyataan media tersebut:

nyata

PAS cadang tubuh RCI untuk isu Memali. Belum apa-apa lagi, kenapa ada pihak yang melatah? RCI belum tubuh, pelbagai andaian telah dibuat. Suruhanjaya Siasatan Diraja ini bukan agen siasatan kaki lima yang membuat keputusan dan pendedahan sebelum siasat. Isu Memali bukan gosip dalam Melodi.

PAS sedia beri kerjasama penuh kepada pihak Suruhanjaya Siasatan Diraja apabila dibentuk kelak.

Justeru itu, PAS tekan soal telus dan adil tahap tinggi dengan mendesak pasukan penyiasat yang bebas dan berintegriti tinggi. Bukan gengster jadi penyiasat.

Kalaupun mahu pertahankan "tuan", agak-agaklah. Jangan takut berdepan dengan kebenaran lantaran kebenaran pasti akan tegak. Hanya lambat atau cepat.

PILIHAN Raya Umum ke-14 semakin dekat. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Parti-parti politik sudah pun bersiap siaga dan kerusi-kerusi yang akan ditandingi sudah pun ditanda dan hanya menunggu masanya butang ditekan oleh Perdana Menteri Malaysia.

Negeri Kelantan sebagaimana biasa adalah tumpuan. Ini kerana Kelantan adalah negeri yang paling lama diperintah oleh parti pembangkang dalam sejarah negara. Barisan Nasional yang memerintah negara semenjak kemerdekaan lagi telah berhabisan cara untuk mengambil alih negeri Kelantan daripada PAS. Tetapi PAS kekal bertahan.

Kini umur pemerintahan PAS di Kelantan telah pun menjangkau 27 tahun. Seorang diplomat barat yang menyatakan hasrat untuk membawa pelaburan di Kelantan beberapa hari lepas menyatakan jika sebuah parti pembangkang berjaya mengekalkan kerajaannya dengan begitu lama, ia memberi erti bahawa mereka memiliki sesuatu yang luar biasa sehingga rakyat terus memilih mereka walaupun dikepung begitu lama oleh pemerintahan di Putrajaya.

Siapa pun akan membenarkan pernyataan diplomat itu. PAS Kelantan memiliki kekuatan yang tidak pun tersembunyi di mata rakyat. Ia kekuatan yang tidak dimiliki oleh Umno BN, tetapi amat diperlukan oleh negara. Rakyat Kelantan mengetahuinya dengan baik lalu mereka terus memberi undi majoriti untuk PAS menerajui Kelantan.

Akhirnya Kelantan memikat hati rakyat Malaysia. Setelah beberapa lama, beberapa negeri lain jatuh ke tangan parti pembangkang. Jasa besar Kelantan waktu itu adalah sebagai pembina keyakinan di hati rakyat bahawa parti pembangkang juga mampu memerintah negeri-negeri, bahkan dengan lebih baik berbanding Umno BN. Ya, ia terbukti di 5 negeri yang sedang atau pernah diperintah oleh pembangkang sebelum ini.

Itu jasa besar Kelantan. Ia membina keyakinan rakyat Malaysia untuk berani berubah. Kemudian ia mengajar rakyat Malaysia untuk terus bersabar membina perubahan yang diimpikan. Yang pertama dan yang kedua, kedua-keduanya adalah sama penting.

Pada PRU11 tahun 2004, Kelantan hampir tewas mengejut. Tetapi separuh rakyat Kelantan terus bertahan dan berjaya memberikan majoriti tipis kepada PAS untuk terus kekal memerintah. Ia adalah jelas kesan daripada kejayaan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi mencipta faktor 'wow' bagi membina kembali Malaysia yang hampir ranap oleh kekejaman rejim Tun Mahathir. Rakyat terpukau dengan janji Perdana Menteri baru yang digelar 'Mr Clean' pada masa itu.

Kelantan bangkit kembali membina keyakinan rakyat. Dengan berkuburnya janji-janji manis Pak Lah, rakyat mula sedar bahawa PAS telah ditanggapi secara salah. PAS bergerak perlahan bukan kerana ia gagal untuk laju. PAS hakikatnya dipaksa untuk menyerah diri dengan kekalahan pada zaman Tun Mahathir. PAS dan rakyat Kelantan dijerut sehingga sukar bernafas. Kesannya nyata, Kelantan tidak selaju Kuala Lumpur.

Tetapi perlahan itulah yang menjadi keselamatan dan kesejahteraan untuk negeri Kelantan. Laju-laju Tun Mahathir bawa Malaysia, akhirnya masuk longkang. Proton masuk longkang. MAS masuk longkang. Perwaja masuk longkang. Ringgit masuk longkang. Forex masuk longkang. Semua masuk longkang. Malah, ketika Pak Lah datang untuk membantu, Pak Lah pun tersadung masuk longkang juga sambil Tun Mahathir turut sama menendang punggung Pak Lah.

Ketika krisis ekonomi 1998 melanda negara, negeri Kelantan menerima tempias paling minimum. Ekonomi domestik negeri Kelantan kukuh dan banyak membantu rakyat Kelantan untuk bertahan dan bangkit.

Walaupun Pak Lah gagal, tetapi beliau membantu rakyat, termasuk Kelantan untuk mengecapi kebebasan yang tiada pada zaman Tun Mahathir. Dengan kebebasan bermedia baru, rakyat menjadi celik dan mula melihat kelemahan ketara Umno BN yang disembunyikan sejak sekian lama melalui penindasan dan binaan jeriji ketakutan di hati rakyat. Umno BN mewariskan untuk generasi baru dengan sebuah negara Malaysia yang penuh masalah dan tragedi.

Akhirnya PAS Kelantan berjaya bangkit dan membantu kebangkitan negeri-negeri lain pada PRU ke-13. Rakyat sedar PAS harus diberi masa untuk membina Kelantan walaupun perlahan. Perlahan mengurangkan musibah hasil kegelojohan.

Pulau Pinang laju. Tapi Pulau Pinang hari ini telah menempa masalah yang tak pun pernah berlaku di Kelantan. Kelantan dalam perlahannya masih bebas rasuah di kalangan barisan pemimpin politiknya. Bukan mendakwa bersih sepenuhnya, tetapi bebas rasuah adalah tanda besar sebuah pemerintahan yang bersih.

Negeri Selangor juga laju sesuai dengan kekayaannya. Tetapi ia pernah mengalami krisis politik dalaman pembangkang yang teruk kerana berebut nak lebih laju. Semoga ia belajar dan terus selamat daripada bala yang lebih buruk.

Apa yang mesti dipelajari adalah kesabaran menanti perubahan ke arah negara yang lebih baik. Rakyat mesti belajar untuk tidak terpengaruh dengan janji-janji kosong, provokasi, fitnah dan binaan persepsi palsu yang hanya bertujuan memperolehi kuasa tanpa kekuatan untuk membawa perubahan yang diimpikan rakyat.

PAS gagah dengan misi Islam dan syariahnya yang adil. Ia memperolehi mandat pemerintahan dengan janjinya kepada rakyat untuk pelaksanaan Islam dan PAS kekal memerintah di Kelantan di atas janji untuk terus istiqamah dengan Islam dan perlaksanaan syariahnya.

PAS kalah di negeri Terengganu dan Kedah bukan disebabkan kegagalannya mengotakan janji, tetapi disebabkan kesukarannya menghadapi tentangan dan fitnah mereka yang enggan Islam bertapak di persada pemerintahan. Jika PAS gagal di Terengganu dan Kedah, sudah pasti kes-kes rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa para pemimpinnya dibongkar dengan galaknya oleh Putrajaya. Tetapi PAS masuk ke kota pemerintahan dan keluar daripadanya dengan penuh selamat dan integriti.

Malah tiada siapa pun mampu menolak bahawa selepas Umno BN mengambil alih Terengganu dan Kedah, suasana politik di kedua-kedua negeri itu tambah meruncing dan sentiasa di ambang kerapuhan dan kekalahan. PAS Terengganu dan Kedah terus gagah dan bersedia untuk kembali.

nik abduh1Saya menekankan soal keperluan pendidikan politik yang benar dan mampan untuk rakyat. Politik rasional yang diperkenalkan oleh PAS melalui Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) adalah amat perlu dihayati oleh semua. Salah satu kerasionalan adalah kesabaran membina dan menanti perubahan.

Rakyat tentunya menanti perubahan ke arah kesejahteraan dan mengharapkannya berlaku dengan cepat. Tetapi proses perubahan bukanlah berlaku sekelip mata. Ia perlukan kesabaran membina sebagaimana ia perlukan kesabaran menanti. Yang memberi mandat harus sabar menanti dan yang memperolehi mandat harus sabar membina.

Mengapa lambat? Ya, ia samalah sebagaimana anda membina diri anda. Jika anda memaksa-maksa diri anda untuk berubah dan sempurna, anda akan cepat rebah di perjalanan. Jika anda membinanya secara perlahan, berdisiplin dan mengambil kira semua faktor, anda akan berjaya dan akan lebih kekal kejayaannya. Faktor kekuatan jiwa, kemampuan mengurus nafsu, galakan persekitaran serta halangan daripada musuh yang menunggu-nunggu kegagalan anda, itu semua perlu diambil kira dan perlukan kesabaran dan kerasionalan berfikir dan berkeputusan. Ia mengelak anda daripada larian yang berulang-ulang dari tempat yang sama. Anda akan gagal membina dan membawa diri anda ke matlamat yang anda impikan.

Begitulah membina sebuah negeri atau negara. Ia tidak mudah. Faktor kegagalan sentiasa sengit menyaingi faktor kejayaan. Jika pemimpin atau rakyat gagal memahami atau kurang rasional, maka kita akan berhadapan krisis kegagalan yang berulang-ulang.

PAS membawa mesej Islam dalam perjuangan politiknya. Mudahnya, ia sukar. Sukarnya bukan bermula sekarang, bahkan dari zaman nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam sendiri. Sunnah perjuangannya bukan bagai hero larian 100 m. Ia bukan Usain Bolt. Ia adalah larian 10 km atau lebih. Ia bukan perjalanan yang dekat. Ia juga bukan perolehan dan ganjaran yang segera.

Musuh politiknya akan berkata, PAS mempergunakan agama untuk tujuan politiknya. Ia dakwaan yang bohong. Isi dalamnya yang sebenar daripada dakwaan ini adalah kerana mereka sendiri gagal mencernakan Islam dalam diri dan perjuangan mereka. Mereka gagal, lalu mereka marah dan dengki melihat orang lain berjaya. Jika mereka yakin, ayuh mari bersama atau berjuanglah atas nama Islam juga. Benar atau bohong antara kita, Allah akan tentukan. Agama ini milik Allah dan pejuangnya adalah pilihan daripada Allah. Bukan PAS atau sesiapa yang menentukan siapa pejuang Islam pilihannya.

Justeru Kelantan adalah sebuah perjalanan yang sentiasa sukar. Ia terpaksa mengharungi kesengitan perjuangan untuk membawa mesej Islam. Diejek, didengki, difitnah dan dipaksakan kejatuhannya walau dengan cara zalim. Sedikit kesilapan akan dijadikan seperti sebesar gunung dosanya.

Bagaimana anda boleh memahami bahawa jika tanpa kerasionalan berfikir, Kelantan akan kekal bertahan? Ya, 27 tahun, Kelantan berhadapan tentangan yang pelbagai. Tembakan di tempat yang sama dan dari arah yang bersimpang siur.

Ketika pilihan semakin terbuka dengan lemahnya Umno BN di mata dan harapan rakyat, PAS terus berusaha meyakinkan rakyat bahawa PAS dengan agenda Islamnya adalah pilihan terbaik. Ia kejayaan yang akan bertahan lama kerana ia adalah tiang-tiang yang kukuh untuk binaan sebuah negara sejahtera sebagaimana ia adalah tiang-tiang yang kukuh untuk sebuah binaan individu muslim yang berjaya dan unggul. Undilah PAS. - HARAKAHDAILY 20/8/2017

PERTIKAIAN beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) terhadap penjelasan dan pendirian PAS berhubung isu 1MDB rentetan dari pertemuan dan sidang meja bulat khas bersama Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda ternyata disengajakan, serta dilihat masih bersikap mahu mempolemikkan keadaan. Sedangkan kematangan dalam menuju kepada solusi seharusnya diwujudkan agar masalah dapat ditangani.

Pendirian asas dan semasa untuk menyiasat segala skandal serta menggerakkan langkah penyelesaian menerusi pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)  dan pelan penstrukturan; sewajarnya dipersetujui secara terbuka dan lapang dada demi kepentingan negara, tanpa diemosikan oleh sentimen negatif atau bermotif meraih kesempatan politik.

Khairi02PAS sebagaimana juga pihak lain, turut mengakui bahawa 1MDB adalah antara skandal kewangan terbesar negara sebagaimana perkara seumpama yang banyak terjadi dan menjadi liabiliti kepada rakyat dan negara sebelum ini. Bezanya, 1MDB melibatkan pelbagai agensi dan negara serta jumlah dana sangat besar, sehingga menjadi perhatian kritikal seantero dunia.

PAS turut mengambil maklum dan menghormati laporan penyiasatan dari Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, termasuk tindakan-tindakan berkaitan oleh negara asing lainnya, sebagai di bawah bidang kuasa negara berkenaan. Namun, pengadilan dengan undang-undang negara ini mestilah diutamakan sebagai junjungan terhadap kedaulatan yang dimiliki.

Semua proses dan bentuk tindakan undang-undang yang dilakukan demi keadilan dan menyelamatkan wang serta ekonomi negara mestilah didukung. Manakala konflik kepentingan melibatkan pihak yang disiasat oleh kekurangan kuasa oleh BNM, SPRM atau PDRM, diteguhkan dengan gesaan supaya RCI dibentuk dan bukannya mengundang pihak luar atau asing.

Arul Kanda seharusnya diberi peluang untuk berperanan membetulkan kesilapan dan kepincangan 1MDB dan bersikap tidak memihak, sebaliknya adil, jujur serta amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya. Beliau dan pasukannya perlu berusaha menjayakan pelan rasionalisasi memandangkan hutang yang dijamin oleh Kementerian Kewangan Malaysia secara tidak langsung membabitkan kantung kewangan negara.

Kami percaya, usaha dilaksanakan adalah ke arah merungkai kesilapan lalu dari memberi musibah dan kemungkinan lebih buruk, selain kembali untuk bangun semula. Walaupun kami berpuashati dengan penjelasan diberi, namun tetap berpegang kepada prinsip sama bahawa tegas tidak mahu wang mahupun aset negara digunakan lagi bagi menampung operasi mahupun hutang 1MDB.

PAS mahu setiap individu yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan ‘without fear or favour’ dan jika didapati bersalah, dihukum sewajarnya atas perbuatan dilakukan yang sangat memalukan rakyat dan negara. PAS tidak mahu beban 1MDB menjejaskan ekonomi negara dan secara tidak langsung kepada rakyat secara keseluruhannya, apatah lagi di saat ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu.

Kewangan negara perlu utuh untuk menampung perbelanjaan mahupun defisit, demi kelangsungan pertumbuhan negara. Kemelut 1MDB secara tidak langsung menjejaskan kepercayaan pelabur luar kepada negara yang turut memainkan peranan di dalam pertumbuhan ekonomi negara dengan nilai pelaburan cukup besar, di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

PAS mahu kemelut ini diselesaikan segera, setelah bebanan lampau warisan BN yang masih terbeban hingga kini, di mana rakyatlah yang membayar semua hutang tersebut melalui pelbagai instrumen percukaian. Maka, sewajarnya kerajaan dan parti yang korup ini diturunkan dari tampuk pemerintahan, seterusnya dibina masa depan negara lebih gemilang dengan menggantikan sistem berteraskan Islam.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
10 Ogos 2017 | 17 Zulkaedah 1438 - HARAKAHDAILY 10/8/2017

LUJNAH Ekonomi dan Usahawan PAS Pusat (LEU) memandang serius kemerosotan prestasi data-data kewangan semasa negara terutamanya Nisbah Pinjaman Deposit (LDR). Ini adalah berdasarkan data-data analisa yang dikeluarkan oleh penganalisa bank-bank serantau. Sehingga tempoh akhir bulan Mac 2017 LDR untuk kebanyakan bank tempatan adalah melebihi 90% berdasarkan laporan oleh CIMB Investment Bank. Manakala Maybank Kim Eng melaporkan bahawa dalam tahun 2016 purata LDR bank-bank Malaysia adalah 93.5%.

MAZLIPetunjuk di atas adalah indikasi kemerosotan kadar deposit dalam sistem kewangan negara, terutama untuk simpanan tetap. LEU amat bimbang sekiranya trend begini berterusan maka kos deposit bank-bank akan semakin meningkat yang akhirnya akan merencat pertumbuhan ekonomi dan permintaan. Ini harus diatasi dengan segera apa lagi dalam suasana ekonomi dunia dan serantau yang tidak menentu sekarang.

Jesteru itu LEU mendesak kepada kerajaan agar mengambil langkah-langkah drastik dengan segera bagi memperbaiki kadar kecairan dalam sistem kewangan negara. Antara desakan kami adalah seperti berikut:

1.     Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menilai dengan segera kadar faedah semasa. Ini adalah kearah untuk menaikkan kadar faedah pada tahap yang lebih sesuai untuk meningkatkan lagi deposit terutama bagi sektor simpanan tetap. Kali terakhir BNM telah menurunkan kadar asas semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas.

2.     Kerajaan perlu mengkaji dan mempelbagaikan lagi sumber kecairan negara agar pertumbuhan dan permintaan boleh terus disokong dan ditingkatkan. Ini termasuklah insentif cukai yang lebih kondusif kepada rakyat dan menarik balik pelaksanaan GST.

3.     BNM perlu melihat untuk melonggarkan dasar pemberian pinjaman oleh bank-bank ke tahap yang munasabah. Ini tidak secara langsung akan membantu merancakkan lagi pertumbuhan deposit bank-bank di Malaysia.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan PAS
10 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 10/8/2017

SEORANG muslim wajib beradab dan bersopan santun sesama manusia, apatah lagi di hadapan Allah dan rasul-Nya sallaLlahu alaihi wasallam. Baginda diutuskan untuk menyempurnakan adab dan akhlak. Akhlak dan adab sudah pun terbina sejak sekian lama dalam kehidupan manusia. Tinggal lagi adalah penyempurnaannya oleh baginda.

Maka Islam menyanjung tinggi kesempurnaan akhlak. Siapa pun yang mencapai kesempurnaan akhlak pada dirinya melalui usaha dan mujahadah berterusan, maka dia telah memperolehi kejayaan hidup tertinggi dan pastinya akan beroleh ganjaran terbesar di sisi Allah nanti. Ia termaktub kukuh di dalam ayat-ayat al Quran dan sunnah nabawiyah.

Sebahagian kita adalah sebaliknya. Semakin tua semakin tidak berakhlak. Seolah-olah akhlak itu hanya pilihan. Perkara sunat sahaja, bukan kewajiban. Akhlak hanyalah untuk diajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah. Di universiti, semua bebas dengan pilihan masing-masing.

Justeru dengan kefahaman yang salah itu, ramai menjadi samseng dan sombong di hadapan agama sendiri. Bercakap perihal ugama seolah-olah mereka ada lesen untuk mengulas apa sahaja mengikut kehendak dan kefahaman mereka. Apabila lagi bila berhadapan sesama manusia. Mereka hilang adab terhadap terhadap para ulamak dan guru, orang tua dan ketua kaum serta rakan dan taulan.

Walaupun seseorang itu adalah muslim, Allah menolak untuk terus menggelarkannya sebagai seorang yang beriman. Allah menuntut Nabi Muhammad SAW membuat teguran terbuka terhadap arab badwi yang baru memeluk Islam dan berkata, "Kami telah beriman." Hakikatnya mereka hanya muslim dan belum layak menggelar diri sebagai mukmin. "Katakanlah kepada mereka, kamu belum pun beriman. Tetapi ucaplah, kami telah menjadi muslim, manakala iman itu belum lagi masuk (mengukuh) di dalam hati kamu." - (al-Hujurat:14)

Allah menuntut muslim bergerak dengan ilmu dan amal untuk menuju iman. Anda jahil, anda sukar menjadi mukmin. Anda enggan beramal soleh, anda sukar menjadi mukmin. Anda hanyalah seorang muslim. Jika anda mendakwa lebih, Allah menolak anda ke tepi. Anda belum berhak bercakap lebih mengenai Allah dan ugama-Nya. Jangan berlagak sombong di hadapan Allah, rasul-Nya dan ugama-Nya.

Adabnya, anda mesti menuntut ilmu Islam dan anda mesti menambahkan amal soleh dan ketaatan dalam kehidupan. Kedua-duanya akan mengukuhkan iman di dada. Menuntut ilmu dan beramal soleh adalah satu mujahadah. Orang yang menyombong, tidak beradab dan tidak berakhlak di hadapan para guru dan ulamak akan gagal memperolehi ilmu yang bermanfaat dan akan keras jiwanya untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Ia akan kekal sebagai muslim yang belum pun beriman.

Seorang muslim yang enggan berusaha menangga ke tangga iman akan berdepan musibah nifak dan menipu diri sendiri. Syaitan dan segala musuh Allah akan menyerbu ke arahnya untuk memesongkannya daripada ajaran Islam. Tanpa ilmu dan amal, ia hilang kesedaran terhadap tipu daya musuh. Akhirnya dia dihiasi dengan perasaan dan anggapan bahawa dia telah baik Islamnya. Dia merasakan dia setaraf orang-orang yang beriman. Islam dan imannya telah sempurna. Hakikatnya, dia tertipu dan sedang menipu dirinya sendiri. Dia sentiasa di ambang menjadi seorang munafik yang dimurkai Allah.

Bahkan, sebagaimana anda mesti beradab untuk memperolehi ilmu, anda juga perlu beradab dengan ilmu sebaik memperolehinya. Ilmu hakikatnya akan menjadikan kita semakin tunduk dan beradab. Apabila anda menjadi angkuh dengan ilmu dan menggunakannya untuk menunjuk-nunjuk kealiman dan berjidal untuk menonjol diri, anda hakikatnya dibuang daripada dunia sebenar manusia yang dikurniai ilmu dan iman.

Ilmu dan iman membawa kepada taqwa dan syukur. Apabila sebaliknya berlaku, ia adalah kesilapan anda. Anda tidak ikhlas. Ikhlas adalah hubungan dua hala antara anda dan Allah. Di luar anda dilihat sebagai alim yang hebat. Tetapi di dalam dan di laluan sunyi itu, hubungan anda dan Allah adalah rosak dan hancur. Anda tidak ikhlas kepada Allah, lalu Allah menghancurkan hubungan antara-Nya dan anda. Takutilah.

Ia adalah tuntutan terhadap orang yang telah pun beriman. Walaupun telah beriman dan yakin kepada Allah dan ugama-Nya, musuh tetap menyerbu ke arahnya menipu dan memperdaya. Jika ia enggan lagi bermujahadah, ia akan mundur ke belakang lagi dan jatuh ke lembah nifaq dan fasiq. Ia adalah orang-orang yang beriman menuju taqwa.

Berapa banyakkah yang anda ingat ayat seperti ini di dalam al Quran, "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah."? Banyak bukan? Apa maksudnya? Ya, ia adalah seruan Allah kepada orang-orang beriman yang dicintai-Nya agar terus maju menuju Allah tanpa henti. "Maka bertaqwalah kepada Allah seupaya kamu.." Ya, ia adalah seruan kepada mujahadah yang berterusan tanpa henti.

Menuju taqwa dan ikhlas memerlukan adab yang lebih tinggi. Semakin hati khusyuk menghadap Allah di tikar sejadah atau di sejadah kehidupan, semakin akhlak dan adab mewarnai kehidupan dan semakinlah anda berimpian untuk memakainya sebagai hiasan diri. Adab dan akhlak adalah pakaian orang-orang yang bertaqwa, bersyukur dan ikhlas kepada Allah.

Tiada syak lagi bahawa Islam adalah benar ketika ia mewajibkan akhlak dan adab yang mulia ke atas penganutnya. Muslim tanpa adab dan akhlak adalah seperti pokok tanpa daun, bunga dan buah. Ia kosong tanpa manfaat. Ya, manfaatnya adalah batangnya sahaja. Ia perlu ditebang dan dibuang daripada kebun hijau yang menuntut keuntungan dan kejayaan.

Justeru Islam bukanlah dakwaan. Jika mendakwa, ia adalah wajah kepalsuan. Islam adalah mujahadah. Mujahadah dan usaha bersungguh-sungguh itulah yang akan mengurniakan anda dengan gelaran-gelaran yang benar. Ia adalah kurniaan Allah kepada para hamba-Nya yang menuruti arahan dan pengajaran daripada-Nya. Ia adalah satu kelebihan yang nyata untuk para hamba-Nya.

Hari ini kita berhadapan dunia Islam yang penuh penyakit dan kecacatan. Kejahilan melata dan kesombongan dan dakwaan kosong merata-rata.

Apabila anda melihat para ulamak diperlekeh dan ditinggalkan, ia adalah tanda perlecehan terhadap adab dan akhlak. Para ulamak suatu masa dituduh gila, mengarut, melampau dan jahat. Tetapi pada masa yang lain, para ulamak ditukar pula gelaran sebagai orang-orang yang berlagak suci dan memandang kotor kepada semua manusia. Semuanya adalah tanda zahir hilangnya akhlak dan adab yang mulia.

Ia lahir daripada muslim yang enggan belajar dan beramal. Jika dia berilmu, dia enggan memperkayakan dirinya dengan sifat ikhlas dan taqwa. Dia dibelit sifat-sifat buruk di dalam diri akibat keengganannya bermujahadah membina dirinya sendiri dengan mengikuti arahan-arahan dan pengajaran-pengajaran yang benar daripada Allah.

PAS menganjurkan para ahli agar terus belajar dan bermujahadah membina diri dengan kefahaman yang benar terhadap Islam dan mengamalkannya di dalam kehidupan. PAS menuntut ahli dan penyokongnya agar ikhlas berjuang di atas landasan agama yang benar.

Adapun serangan-serangan terhadap PAS dengan gelaran-gelaran yang buruk, maka PAS yakin ia hanyalah sebahagian cabaran yang mesti dilalui. Penawarnya adalah kesabaran dan dakwah yang berterusan ke arah membina umat yang bertaqwa. Semoga Allah memberkati umat Islam seluruhnya menuju kejayaan dunia dan akhirat.