SALAH satu tujuan Allah SWT menciptakan manusia adalah untuk memakmurkan bumi ini. Dalam pengertian Barat, makmur dan kemakmurkan sering kali ditakrifkan sebagai kemajuan ekonomi, pembangunan fizikal dan pencapaian hidup manusia.  Bertolak dari asas ini, hampir seluruh makna kemakmuran manusia disandarkan kepada pencapaian kebendaan, sebagai mana ia didukung oleh ideologi-ideologi moden hari ini, sama ada di sebelah kanan (kapitalis), kiri (sosialis) mahupun campuran.

Islam datang kepada kita dengan prinsip yang sangat jelas. Allah SWT dalam Surah Hud ayat 61 mempertegaskan tujuan penciptaan manusia dengan firman-Nya yang bermaksud, "Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya." Memakmurkan bumi ini telah menjadi tujuan penciptaan manusia, selain beberapa tujuan yang turut disebutkan oleh al-Quran seperti mengabdikan diri kepada Allah, menjadi khalifah, melaksanakan amanah dan menerima ibtila' (ujian).

Persoalan besar yang ada di hadapan kita ialah apakah makna kemakmuran dalam konsep Islam sejajar dengan pengertian kemakmuran yang diungkapkan oleh Barat? Para ulama yang membahaskan makna "isti'mar" atau memakmurkan dalam ayat ini ialah perintah supaya manusia melaksana dan menegakkan segala tanggungjawab yang terbeban ke atas diri mereka, bukan semata-mata mencipta kemajuan metarial dan memacu pertumbuhan ekonomi sahaja. Tanggungjawab adalah aspek yang jauh lebih luas daripada makna kemajuan, kerana kemajuan dalam sudut pandang Barat sangat mengabaikan tanggungjawab, sebaliknya hanya memuja hak-hak mereka sahaja.

Tiga tanggungjawab besar yang digariskan oleh para ulama dalam mengungkap makna memakmurkan ini ialah tanggungjawab diini (agama), ijtimaie (kemasyarakatan) dan insani (kemanusiaan). Islam meletakkan urusan Allah SWT iaitu agama sebagai tanggungjawab yang paling besar mesti ditunaikan oleh manusia. Menegakkan apa sahaja perintah Allah SWT atau disebut sebagai syariat merupakan beban tugas yang menjadi hak Allah SWT ke atas setiap manusia. Kita tidak boleh mengambil mudah terhadap perintah dan larangan agama bermula dari soal ketauhidan dan larangan syirik, sehinggalah kita mentaati segala perintah dan tegahan Allah dengan tujuan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

Konflik yang timbul dalam pengolakan politik hari ini ialah pertembungan di antara melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan seperti membela rakyat tertindas, menuntut keadilan ekonomi dan membendung kezaliman regim dengan kewajipan mereka menegak dan melaksanakan hukum Allah SWT. Ada golongan yang memandang sepi, bahkan menentang perlaksanaan hukum Allah SWT, sebaliknya berjuang keras untuk membela kemanusiaan. Bahkan, di kalangan pendukung aliran liberal hari ini, mereka menolak hukum-hukum Allah SWT yang mereka anggap sebagai tidak rasional, sebaliknya memperjuangkan hak-hak yang sama sekali bercanggah dengan agama seperti menuntut hak untuk berzina dan seks bebas, fenimisme melampau dan hak untuk murtad dan melakukan maksiat, kononnya atas nama hak individu, kebebasan sivil dan kemerdekaan berfikir.

Apakah Islam meminggirkan kemanusian? Tidak! Hak-hak kemanusiaan hanya akan tercapai apabila manusia mematuhi hukum-hukum Tuhan. Telah banyak sistem hidup yang berdiri dalam sejarah manusia, tidak ada satu pun yang terlepas daripada mencabul dan menindas kemanusiaan, melainkan seluruhnya terpalit dengan kezaliman yang dibangunkan di atas runtuhan kezaliman sebelumnya. Melainkan Islam sahaja yang telah membuktikan era ketamadunannya sebagai "zaman emas kemanusiaan." Sektor kemasyarakatan (ijtimaie) yang berdiri bermula dengan sistem keluarga, muamalat, undang-undang hingga kepada kenegaraan menjadi pelindung utama kemanusiaan, apabila pada setiap peringkat kemasyarakatan ini melaksanakan hukum Islam dan setiap manusia mengambil tanggungjawab menegakkannya.

Tanggungjawab yang diseimbangkan dengan hak, kefahaman tentang hak individu yang mesti selaras dengan hak masyarakat, perlaksanaan hak yang menyeluruh meliputi hak individu, hak politik, hak ekonomi, hak sosial dan hak budaya, serta tertegaknya hak Allah ke atas makhluk, telah menjadi tunjang yang memakmurkan kehidupan manusia di dunia dan juga akhirat. Inilah perintah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis sahih Bukhari riwayat Abu Juhaifah Wahab bin Abdullah yang bermaksud, “Sesungguhnya bagi Rabbmu ada hak, bagi dirimu ada hak, dan bagi keluargamu juga ada hak. Maka penuhilah masing-masing hak tersebut.“

Untuk melaksanakan tujuan memakmurkan dunia dengan perlaksanaan tanggungjawab inilah, gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia berjuang untuk menegakkan hukum-hukum Allah SWT. Dan setiap pendukung gerakan Islam mesti menyedari tujuan yang mendasar dalam perjuangan kita, yakni setiap langkah untuk melaksanakan tanggungjawab ini tetap kekal dalam landasan mentaati Allah SWT. – HARAKAHDAILY 5/8/2017

SAYA membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Negara, YB Dato' Sri Anifah Aman yang mewakili negara ke 'Open-Ended Extraordinary Meeting of the OIC Executive Committee' pada 1 Ogos 2017 yang diadakan di Istanbul, Turki. Mesyuarat tersebut adalah tindakan susulan terhadap sekatan tentera Zionis yang menghalang umat Islam beribadah di Masjid Al-Aqsa bermula 14 Julai yang lalu.

takiri3Dalam kenyataan tersebut, pihak kementerian menegaskan dalam perenggan terakhir sebagai berikut: "In conclusion, Malaysia would like to reaffirm our resolute support to seek a just, comprehensive and durable solution to the realization of the two-state solution with an independent state of Palestine, based on the pre-1967 and with East Jurusalem as its capital."

Sebagai konklusinya, Malaysia menegaskan sokongan kepada penyelesaian yang adil, menyeluruh dan bersifat jangka panjang dengan menerima penyelesaian dua negara dengan negara Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka, berdasarkan kepada (sempadan) sebelum 1967 dan Jurusalem Timur sebagai ibu negara.

Saya kira kenyataan tersebut terdapat kekeliruan. Pengiktirafan terhadap sempadan sebelum tahun 1967 - setepatnya sebelum 4 Jun 1967 - yang turut dikenali sebagai 'The Green Line', bukanlah bermakna mengiktiraf negara haram Israel atau "penyelesaian dua negara" seperti yang diwar-warkan. "Penyelesaian dua negara" adalah suatu kenyataan secara tidak langsung mengiktiraf negara haram Israel.

Sebaliknya, pengiktirafan terhadap sempadan sebelum tahun 1967 sepertimana yang ditegaskan juga oleh HAMAS membawa maksud menguasai semula beberapa bandar utama termasuklah Bandar Lama Timur Jurusalem, Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Malah, HAMAS turut menegaskan bahawa mereka menolak untuk mengiktiraf negara haram Israel, pendirian yang turut dipertahankan oleh PAS.

Saya ingin mengulangi gesaan supaya pihak kementerian memperbetul kenyataan tersebut serta lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan melibatkan konflik di Asia Barat terutamanya Israel-Palestin. Ini kerana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kementerian sekaligus mewakili keseluruhan rakyat Malaysia khususnya umat Islam. Tambahan lagi, saya berpandangan kerajaan Malaysia perlu tegas untuk mengeluarkan kenyataan tidak mengiktiraf negara haram Israel kerana itu pendirian utama umat Islam sejak sekian lama.

Konflik panjang Israel-Palestin bukanlah konflik di atas nama agama (Islam dan Judaism), tetapi permusuhan utama adalah melibatkan gerakan Zionism yang diasaskan pada 29 Ogos 1897 di Basel oleh Theodor Herzl. Mereka meletakkan matlamat menguasai bumi umat Islam bagi menubuhkan 'The Greater Israel'. Perjuangan mereka disokong Amerika Syarikat dan kini usaha mereka tertumpu ke arah menubuhkan 'The New Middle East', suatu projek 'creative destruction' terhadap pemetaan umat Islam di Asia Barat seterusnya mengulangi ala-ala Perjanjian Sykes-Pikot pada 1916.

"Sejahtera Bersama Islam"

YB DATO' DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
04 Ogos 2017 | 11 Zulkaedah 1438 - HARAKAHDAILY 4/8/2017

GESAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada 3.7 juta rakyat Malaysia yang belum mendaftar pengundi supaya mendaftar pengundi disambut dengan cadangan oleh Tan Sri Ramon Navaratnam, Pengarah Insttitut Strategi dan Kepimpinan (ASLI). Beliau mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan pendaftaran pengundi secara automatik untuk rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas.

Asas cadangan beliau amat bernas memandangkan sejumlah besar rakyat yang belum daftar pengundi terdiri dari kalangan belia yang berusia 21 tahun ke atas. Mereka ini yang dimaksudkan oleh PM dan dipujuk untuk daftar sebagai pengundi sesegera mungkin. Bagi golongan kebanyakan khususnya anak-anak muda, tidak ada faktor tekanan yang mendesak untuk mereka tampil ke pejabat Surunjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendaftarkan diri sebagai pemilih.

Lebih lagi buat mereka yang tidak peka terhadap politik negara, mendaftar diri sebagai pemilih bukan suatu pilihan untuk mereka lakukan. Bagi mereka, selagi tidak ada paksaan (meskipun wajib) tidak ada sebab untuk mereka bersusah payah menghabiskan masa untuk mendaftarkan diri.

Terlebih lagi dengan kekangan dari parti-parti politik yang dahulunya diberikan kebenaran mendaftarkan pengundi. Sekarang, hanya SPR atau beberapa pihak tertentu sahaja diberikan kebenaran membuka kaunter pendaftaran pemilih. Maka, hanya beberapa tempat sahaja kaunter SPR dibuka dan pada waktu yang sangat terbatas.

Idea memperkenalkan pendaftaran pengundi secara automatik untuk rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas telah lama dicanang oleh parti-parti politik. Bagi PAS sendiri, idea itu bukan baru, ramai pemimpinnya mengemukakan cadangan ini bagi memberi hak kepada kesemua rakyat Malaysia yang telah layak mengundi.

Sekaligus idea ini jika dilaksanakan dapat menyelesaikan masalah anak muda yang tidak daftar mengundi atau sukar daftar mengundi. Tidak timbul nantinya 3.7 juta orang atau lebih selepas ini rakyat Malaysia mengabaikan hak mereka yang utama dalam sebuah negara demokrasi. Paling utama, dengan pelaksanaan sistem ini, akan memudahkan tugas SPR, NGO dan parti politik selain menjimatkan masa, wang ringgit dan tenaga.

Meskipun pandangan ini telah diutarakan banyak pihak dan telah lama diangkat ke peringkat nasional, namun tidak pasti mengapa kerajaan masih teragak-agak mahu melaksanakannya. Sedangkan ramai pihak menyatakan kebaikannya, dari segi rakyat Malaysia mahupun kepada agensi yang terlibat.

Justeru, jika benar PM mahu mengajak 3.7 juta rakyat Malaysia mendaftar sebagai pemilih, beliau perlu bersikap terbuka dan berlapang dada dengan cadangan ini. Laksanakan idea ini sebelum PRU ke-14 agar kesemua mereka itu layak dan boleh turun mengundi. Maksimumkan kemudahan untuk rakyat menunaikan hak mereka, agar tidak ada alasan buat rakyat untuk tidak turun mengundi dalam PRU 14 nanti. – HARAKAHDAILY 3/8/2017

PAS membantah kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Anifah Aman pada Mesyuarat Luar Biasa Terbuka Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkenaan penyelesaian dua negara (two-state solution) sebagai penyelesaian yang paling berdaya maju bagi kedua-dua pihak (Israel dan Palestin).

Sesungguhnya kenyataan ini telah membelakangkan perjuangan dan pengorbanan rakyat Palestin yang selama ini sehingga sekarang belum pernah berhenti berusaha demi membebaskan Palestin dan Masjid Al-Aqsa daripada penjajahan Zionis-Yahudi.

Menegaskan bahawa penyelesaian dua negara sebagai jalan keluar bagi isu ini memperlihatkan bahawa YB Menteri dan Kementerian Luar Negeri atau Kerajaan Malaysia sendiri tidak jelas dengan kedudukan isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa ini menurut perspektif sejarah dan akidah Islam.

Menyokong penyelesaian dua negara ini juga bererti memberikan pengiktirafan tidak langsung kepada kewujudan Israel sedangkan ia adalah sebuah negara haram yang ditubuhkan secara tidak bermaruah melalui pembunuhan, pencabulan hak asasi dan pelanggaran undang-undang.

Oleh itu, PAS mendesak YB Menteri atau Kementerian Luar Negeri menarik semula kenyataan ini dan juga menggesa Kerajaan Malaysia agar menjelaskan pendirian dan sikap rasmi negara berhubung perkara ini.

”Sejahtera Bersama Islam”

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
03 Ogos 2017 | 10 Zulkaedah 1438 - HARAKAHDAILY 3/8/2017

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Wahai manusia! Kami ciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berpuak-puak dan berqabilah supaya kamu mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa (kepada Allah) di kalangan kamu, sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Mahu mendalam pengetahuanNya. (Al-Hujuraat: 13)

Al-Quran adalah kitab petunjuk daripada Allah kepada manusia. Kesemua isi kandungannya tidak lain tidak bukan melainkan untuk memandu manusia ke jalan yang lurus. Apabila Al-Quran menyebut kejahatan dan keburukan satu-satu kaum dan bangsa bukan bertujuan untuk menghinanya tetapi sebagai iktibar supaya manusia lain tidak mengikutnya. Inilah manhaj Al-Quran dalam membina diri manusia supaya berbakti kepada TuhanNya yang mencipta alam ini.  

Kaum dan bangsa yang paling banyak disebut di dalam Al-Quran ialah kaum Yahudi/Banu Israel. Mereka dimuliakan oleh Allah bukan kerana kebanyakan anbiya dari kalangan mereka akan tetapi kerana mereka mengikut petunjuk Allah yang dibawa oleh nabi-nabi mereka. Setelah mereka menyeleweng, mereka dimurkai dan dihina oleh Allah dengan sehina-hinanya. Sebanyak 50 surah disebut di dalam Al-Quran tentang kejahatan mereka. Merekalah kaum yang mempersendakan Allah, membunuh anbiya, melakukan kerosakan, penyebab kepada peperangan dan lain-lain lagi. Tujuan ianya disebut bukan untuk menghina dan merendah-rendahkannya akan tetapi sebagai peringatan dan pengajaran. Jikalau tujuannya kerana zat kaum dan bangsa semata-mata masakan Nabi Muhammad s.a.w mengahwini perempuan daripada Banu Israel dan menerima bangsa Banu Israel memeluk Islam seperti Abdullah bin Salaam dan lain-lain lagi.

Samalah juga permusuhan umat Islam dengan bangsa Yahudi di Israel pada hari ini, bukan kerana mereka berbangsa Yahudi tetapi kerana sikap dan tindakan mereka yang menzalimi, merampas dan menindas rakyat Palestin.     

Jikalau begitu kedudukannya dengan bangsa Yahudi maka samalah juga dengan bangsa dan keturunan lain, semua manusia adalah sama daripada Nabi Adam a.s, yang paling mulia ialah yang paling baik perangainya dengan mengikut panduan Islam. Abu Jahal tetap hina walaupun daripada keturunan Arab. Bilal bin Rabah mulia di sisi Allah walaupun dari keturunan Afrika. Mulianya bangsa Arab kerana mereka berpegang dengan Islam sehingga satu pertiga dunia berada di tangan mereka. Akan tetapi pada hari ini mereka berpecah, berperang sesama sendiri dan berbunuhan antara satu sama lain setelah mereka meninggalkan Islam.

Justeru PAS sebagai sebuah parti Islam sentiasa mengajak semua bangsa dan kaum supaya kembali kepada Islam khususnya bangsa Melayu. Kemulian orang Melayu ialah dengan Islam bukannya dengan zat bangsa Melayu. Inilah beza perjuangan yang berasaskan Islam dan perjuangan yang berasaskan perkauman yang sempit. UMNO yang memperjuangkan kebangsaan Melayu hanya pada kulitnya sahaja bukan pada roh dan jatidirinya. Di mana kedudukan tulisan jawi yang menjadi jatidiri kepada bahasa Melayu setelah ianya dimansuhkan oleh bangsanya sendiri. Dimanakah kedudukan tanah rizab Melayu setelah ianya digadaikan oleh bangsanya sendiri. Dimanakah kedudukan politik Melayu Islam setelah pemimpin-pemimpinnya hanya mementingkan kroni dan orang keliling. Apa yang UMNO lakukan sebelum ini untuk bangsa Melayu yang ketinggalan di Pulau Pinang sehingga hari ini baru hendak berkokok. Negeri-negeri yang majoritinya Melayu tidak ditambahkan kerusi parlimen kerana bimbang akan dimenangi oleh parti seteru yang sebangsa dengannya, dalam masa yang sama menambah kerusi-kerusi di negeri-negeri yang bercampur dengan bangsa dan kaum lain. Tindakan menafikan hak royalti minyak kepada Terengganu dan Kelantan suatu ketika dahulu adalah contoh jelas sifat hipokrit UMNO terhadap negeri-negeri Melayu. Pemimpin UMNO sendiri yang mengakui wujudnya penyakit rasuah kronik dalam diri parti UMNO, dalam masa yang sama menyebarkannya kepada bangsa Melayu demi untuk mendapatkan sokongan. Kita tidak perlu menuding jari terhadap orang lain dengan alasan aku lebih Melayu daripadanya selagimana kita tidak meletakkan Islam sebagai jalan penyelesaian terhadap masalah-masaalah yang berlaku dalam negara pada hari ini.

PAS bukannya parti perkauman tetapi parti yang meletakkan kaum di tempatnya yang adil. Dalam konteks Malaysia, bangsa Melayu Islam mestilah memegang tampuk pemerintahan kerana itulah keadilannya. Negara Jepun yang paling maju meletakkan bangsa Jepun sebagai ketua negara bukannya bangsa Inggeris. Negara Jerman yang paling terkehadapan di benua Eropah meletakkan bangsa Jerman sebagai ketua negara bukannya bangsa Perancis.

PAS bukannya parti yang menentang individu tetapi sebuah parti yang mahukan perubahan dasar dan polisi untuk kepentingan ugama, bangsa dan negara. Rosaknya fikiran bangsa Melayu bukan kerana Tun Mahathir yang didakwa bukan keturunan Melayu, akan tetapi kerana dasar UMNO yang membela Melayu tertentu dan menzalimi Melayu lain kerana berlainan aliran politik dengannya. Walaupun Tun Mahathir telah meninggalkan UMNO, Melayu tetap rosak jika meneruskan agenda-agenda yang salah dan bercanggah dengan Islam.  

PAS menyeru kepada bangsa Melayu supaya kembali kepada Islam sebagai jalan penyelesaian bukan penyelesaian cara UMNO yang menggula-gulakan bangsa Melayu dengan janji-janji manis kebendaan setiap kali tibanya musim pilihan raya. Seruan ini adalah konsisten sejak daripada penubuhan PAS sehinggalah pada hari ini. Masih belum terlambat kepada bangsa Melayu untuk kembali ke pangkal jalan.

“Mara Menuju Cita”

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS
10 Zulkaedah 1438 / 2 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 2/8/2017

BILA bercakap tentang zaman pertembungan keras PAS-Umno, majoriti akan menuding jari dan menyalahkan PAS atas apa yang telah berlaku. Mereka terlupa bahawa di zaman itu pimpinan, ahli dan penyokong PAS adalah mangsa keadaan serta menjadi sasaran tekanan dan tindakan keras lagi zalim Umno yang merasakan diri mereka berkuasa.

Petugas pilihan raya PAS diserang, dipukul dan dicederakan sehingga mengakibatkan seorang terkorban semasa Pilihan raya Kecil Lubuk Merbau. As Syahid Ustaz Ibrahim Libya bersama murid-muridnya diserang oleh pasukan keselamatan bagaikan mereka adalah segerombolan pengganas dalam peristiwa Memali sehingga 14 orang terkorban. Ramai pemimpin PAS yang meringkuk dalam tahanan ISA.

Dr Azman1Diskriminasi kerana perbezaan politik berleluasa dan mereka yang berkuasa menindas yang lemah. Orang kampung yang menyokong PAS dinafikan pelbagai bantuan yang mereka berhak. Baja subsidi padi pun orang PAS tak dapat. Saya tahu sebab ayah saya seorang pesawah. Agihan bantuan seperti zakat dan JKM tak sampai kepada orang PAS sebab JKKK enggan tandatangan borang permohonan. Malah nak sign borang persekolahan anak-anak dengan JKKK juga menjadi satu masalah bagi ibu bapa yang menyokong PAS. Guru-guru yang dicop sebagai penyokong PAS ditukar ke sana ke mari bagaikan bola. Orang PAS di jabatan kerajaan dinafikan naik pangkat walau prestasi mereka jauh lebih baik dari orang Umno.

Media perdana milik Umno/BN menjadi juara politik fitnah dan kebencian yang penuh dengan putar belit. PAS pula tidak diberikan sebarang ruang untuk memberikan penjelasan balas. Ceramah PAS diganggu oleh pemuda tahan lasak Umno. Penceramah dibaling telur busuk, enjin motosikal dibunyikan dengan kuat, jalan untuk ke lokasi ceramah dihalang dan disekat. Pokok kayu diterbalikkan atas jalan menuju ke tempat ceramah. Jambatan dirosakkan serta penceramah diugut dengan kekerasan fizikal. Tak cukup dengan itu, gas pemedih mata dari FRU juga biasa menjadi habuan pengunjung ceramah PAS. Orang-orang lama di Besut masih ingat peristiwa gas pemedih mata ketika ceramah di Kampung Keluang, Besut.

Tindakan tak bertamadun pemuda tahan lasak Umno seperti merosakkan bendera dan poster pilihan raya PAS adalah perkara yang sedia dimaklumi semua.

Imam dan Ustaz-Ustaz PAS yang mengajar di surau-surau ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengajar tanpa tauliah. Sedangkan ketika itu adalah suatu yang mustahil bagi Imam atau Ustaz PAS nak dapat tauliah.

Memang lumrah alam, setiap tindakan keras juga akan mengundang reaksi keras walaupun ahli dan penyokong PAS berada di pihak yang lemah lalu menjadi mangsa. Inilah yang dilupakan oleh majoriti yang ghairah menuding jari menyalahkan PAS atas pertembungan keras yang telah berlaku.

Bila PAS yang selama ini menjadi mangsa penindasan dan kezaliman bersedia untuk melakukan anjakan dari politik penuh kebencian kepada politik matang dan sejahtera, ia menggambarkan jiwa besar yang dimiliki oleh pimpinan, ahli serta penyokong PAS. Kita dizalimi dan kita berlapang dada untuk memaafkan dan mengajak orang yang pernah menzalimi kita untuk bersama mencari kesejahteraan bersama Islam. Inilah kehebatan PAS!

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
31 Julai 2017 - HARAKAHDAILY 31/7/2017

DEWAN Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS) mendoakan agar semua jemaah haji pada tahun ini beroleh haji yang mabrur. Dalam pada itu, DUPNS ada beberapa pesanan.

1. Jangan lupa untuk melapangkan masa membaca al-Quran. Kalau dapat, biar lebih 3 kali khatam al-Quran sepanjang musim haji. Lapangkan masa, bukan mencari masa lapang.

2. Ambil peluang menghafal surah tertentu seperti Surah Yasin, Surah Sajdah dan Surah Al-Kahfi.
Berada di Mekah/ Madinah selama lebih 40 hari merupakan peluang yang terbaik untuk menghafaz ayat-ayat al-Quran.

3. Peruntukkan masa bagi mengulang kaji terjemahan al-Quran dan memohon hidayah dari Allah.  Kalau ada para asatizah, ajak mereka sama-sama mengepalai tadabbur ayat al-Quran.

4. Apabila berpeluang menziarahi tempat-tempat bersejarah seperti Medan Uhud, tapak perang Ahzab, Gua Hira' dan lain-lain, jadikan ziarah itu sebagai medan bagi menghayati kesusahan dan kesungguhan para sahabat dalam memperjuangkan Islam dan menaruh keazaman untuk bersama dalam perjuangan Islam sekembali ke Malaysia.

5. Apabila selesai tahallul umrah dan haji; dan setelah selesai melontar jamrah; berdoa agar selamat dari tipu daya syaitan dan  berazam menjauhi semua amalan jahiliyyah.

Semoga Allah menerima segala amalan kebajikan kita. Mudah-mudahan beroleh haji yang mabrur.

Ustaz Rizuan Rahmat
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

PADA kesempatan ini, saya mewakili seluruh saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan selamat menunaikan ibadat haji kepada semua umat Islam yang dipilih menjadi tetamu Allah.

haji


لَبَّيْكَ اللَّـهُمَّ لَبَّيْكَ , لَبَّيْكَ لاَشَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ , إنَّ الحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالمُلْكَ لاَشَرِيْكَ لَك

Allah Ta’ala memerintahkan dalam Al-Quran:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

“Mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah; Barangsiapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam”. (Al Imran: 9)

Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Ilahi dengan limpahan nikmat, taufik dan hidayah.

Pada kesempatan ini, saya mewakili seluruh saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan selamat menunaikan ibadat haji kepada semua umat Islam yang dipilih menjadi tetamu Allah.

Kami mendoakan agar segala perjalanan ke tanah suci Makkah dipermudahkan, dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang menunaikan amal ibadat serta ambillah peluang dan ruang sepanjang berada di sana untuk bermunajat, memperbanyakkan amalan solat sunat dan melihat kebesaran Maha Pencipta yang terbentang luas. Kutiplah ibrah serta pengalaman bermusafir di sana untuk menjadikan kita sebagai hambaNya yang sentiasa mensyukuri nikmat dan rahmat kasih sayang dariNya serta bersedia untuk berkorban apa saja untuk Allah dan agamaNya.

Peringatan juga kepada seluruh jemaah haji, agar menjaga kesihatan, pemakanan serta ikut arahan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji Malaysia. “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat."

Akhir kata, saya mengucapkan selamat menunaikan Ibadah Haji kepada semua jemaah haji Malaysia khususnya dan seluruh umat Islam yang terpilih menjadi tetamu Allah tahun ini. Semoga mendapat haji yang mabrur, selamat berangkat dan selamat kembali ke tanah air.

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia

ALHAMDULILLAH berlabuh sudah dengan penuh gemilang Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (IAPU) di bumi serambi Makkah, Kelantan Darul Naim yang telah berlangsung pada 20 hingga 22 Julai 2017.

Kami daripada Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh yang terlibat khususnya seluruh saf kepimpinan PAS Pusat, kerajaan negeri Kelantan, Jawatankuasa Induk Kelantan, tenaga Jabatan Amal Malaysia, Briged Muslimat Malaysia serta seluruh ummat Islam dari pelosok negara dan dunia yang hadir sama ada sebagai tetamu, petugas, peserta dan mewakili netizen yang cintakan ilmu dan majlis-majlis ilmu.

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya." (Surah al Maidah ayat 2)

Syabas dan tahniah kepada seluruh tenaga pelaksana di atas penganjuran program-program yang berlangsung di beberapa buah tempat di Kelantan berlangsung dengan penuh jayanya. Kehadiran yang memberangsangkan serta suasana meriah di setiap program mencerminkan setiap intipati program penuh sarat dengan ilmu, penampilan tokoh-tokoh ulamak dunia, para cendiakawan, asatizah serta pimpinan dari segenap dimensi ilmu memberikan lagi impak yang mendorong orang ramai ke Ijtimak di Kelantan baru-baru ini.

“Barangsiapa yang berusaha melapangkan suatu kesusahan kepada seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia, maka Allah akan melapangkannya dari suatu kesusahan di hari kiamat dan barang siapa yang berusaha memberi kemudahan bagi orang yang kesusahan, maka Allah akan memberi kemudahan baginya di dunia dan akhirat. Barang siapa yang berusaha menutupi kejelekan orang Islam, Allah akan menutupi kejelekannya di dunia dan akhirat. Allah selalu membantu hamba-Nya selama hamba itu menolong sesama saudaranya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Semoga segala pengorbanan, penat lelah dan segala dugaan yang menimpa sepanjang sebelum atau semasa program dinilai dan diberi ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. Akhir kalam, setinggi ucapan terima kasih sekali lagi kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam Ijtimak 2017. Teruskan perjuangan, teruskan melangkah memartabatkan ilmu dan menjulang Islam di persada dunia!

Pertahankan Kerajaan Islam Kelantan!
“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
30 Syawal 1438 / 24 Julai 2017 - HARAKAHDAILY 24/7/2017

SEMPENA penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia), saya menyeru kepada umat Islam untuk membaca Qunut Nazilah selama seminggu dalam solat mereka bagi mendoakan kebinasaan ke atas Zionis-Negara Haram Yahudi dan sekutunya; serta bagi mendoakan keamanan dan keselamatan bagi Masjid Al-Aqsa dan rakyat Palestin.

Penutupan dan sekatan ke atas Masjid Al-Aqsa oleh Israel sejak minggu lalu yang berlanjutan sehingga sekarang adalah suatu tindakan yang jelas melanggari undang-undang antarabangsa, bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat dan mencabuli hak kebebasan yang sepatutnya dinikmati oleh setiap orang.

Adalah menjadi hak umat Islam untuk memakmurkan Masjid Al-Aqsa sebagaimana penganut Yahudi membuat upacara keagamaan di dalam synagogue dan penganut Kristian beribadat di dalam gereja dengan aman. Tambah-tambah lagi, Masjid Al-Aqsa dan sekitarnya adalah tapak suci milik umat Islam. Zionis-Negara Haram Yahudi sebenarnya adalah penjajah tanah Palestin yang patut berambus darinya.

”Sejahtera Bersama Islam"

DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Timbalan Pengerusi II
Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat
22 Julai 2017 | 28 Syawal 1438 - HARAKAHDAILY 22/7/2017

NADWAH Ulama yang berlangsung sempena Ijtima Antarabangsa bersambung pada hari kedua dengan pembentangan pertama daripada wakil Jamiat Islami Pakistan, Hafiz Muhammad Idrees. Gerakan Islam yang ditubuhkan oleh Maulana Maududi ini pada tahun 1941 telah mengalami pasang surut perjuangan dengan pelbagai hamparan mehnah dan tribulasi.

Jamiat Islami kini berkembang di lima buah negara Sub Continent, Pakistan mempunyai jumlah keanggotaan paling ramai dan paling tersusun organisasinya berbanding Jamiat Islami Bangladesh, Afghanistan dan lain-lain. Jamiat Islami mempunyai Ittehad ulama yang memayungi ulama daripada pelbagai aliran pemikiran, ini untuk mengelakkan pertembungan yang merugikan ummah dan menjadi bidak papan catur musuh.

Jamiat Islami sangat bergaya dalam menyusun kaderisasi dakwah di kalangan mahasiswa dan kaum pelajar. Cabang mereka ialah Jamiat Islami Thulaba yang mempunyai ratusan ribu kader yang bakal menjadi pimpinan masa hadapan gerakan. Jamiat bergerak dengan cemerlang di lapangan pendidikan dengan mempunyai sekolah beraliran diniah seperti ribuan madrasah yang mereka miliki dan sistem formal/konvensional. Penulis lebih tiga kali ke Pakistan dan menelusuri denyut nadi kesungguhan aktivis Jamiat Islami dalam bidang pendidikan dan tarbiah nizomi. Contohnya di negeri Punjab sahaja mereka mempunyai 500 sekolah milik jamaah.

Dalam bidang pengupayaan dan sosialisasi gerakan, Jamiat Islami mempunyai al-Khidmat Foundation yang bergerak di medan operasi dalam dan luar negara. Menurut Hafiz Muhammad, al Khidmat juga membantu peta luka umat Islam di Syria, Rohingya dan lain-lain negara. Misi membantu umat Islam yang diterjang tsunami, ribut taufan, gempa bumi, banjir dan pelbagai kesukaran hidup. Al khidmat dibantu oleh Pasban, iaitu payung yang menggerakkan anak-anak muda Jamiat Islami. Aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan Jamiat Islami menjadi wahana mendekatkan gerakan ini dengan seluruh strata masyarakat.

Jamiat Islami dalam pendekatan politik juga mempunyai rangkaian pemuafakatan politik yang dikenali sebagai MMA (Muttahida majlis el amal), mereka bergabung dengan beberapa buah parti berorientasikan Islam. Gerakan Islam yang sangat mesra PAS ini mempunyai tokoh-tokoh leluhur kompeten seperti Maulana Maududi, Qazi Husein. Walaupun tekanan rejim, kadang menghantar mereka ke jeriji penjara namun gerakan ini tetap mendapat dukungan massa. Seingat penulis, amat sukar Jamiat Islami gagal  menghadirkan diri ke program besar yang dianjurkan oleh PAS, hubungan yang terbina puluhan tahun ini terus subur dan mekar.

Penulis ialah anggota misi bantuan kemanusian tanpa sempadan.

MENARA Masjid Rusila melantunkan laungan suara yang menggema sehingga beberapa kilometer, berdesakan manusia bertali arus mengunjungi perkampungan ijtimak di Rusila, Terengganu. Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali pertama pada tahun 1988 menjadi kenangan manis semua pendukung gerakan Islam terutama anak-anak muda yang sedang disemangati dengan kebangkitan Islam. Rusila dengan hamparan pantai yang bersih menjadi lokasi perkhemahan yang sangat meriah. Solat berjemaah dilaksanakan dengan saf yang panjang, bermula di mihrab masjid sehinggalah menganjur ke pantai.

Tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa menjadi tetamu PAS yang saat itu datang dari pelbagai negara, antaranya pimpinan Ikhwanul Muslimin seperti Saiful Islam Hasan al Banna, Sheikh Mehdi Akif, Sheikh Rashid Turabi (Kashmir) dan lain-lain tokoh gerakan Islam dari sub continent, Nusantara, Asia Tengah. Menarik juga apabila dua tokoh gerakan Islam dari China dan juga Indonesia apabila pulang ke negara masing-masing telah dipenjarakan.

Tahun 1988 adalah tahun yang sangat dramatik apabila Dewan Pemuda PAS Pusat mengadakan pertemuan makan malam perpaduan ummah dengan serpihan Umno yang akhirnya dikenali sebagai Semangat 46. Pertemuan itu merintis jalan ke arah tahaluf siyasi PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah. Pada tahun yang sama satu operasi tangkapan ISA telah berlaku yang dikenali sebagai Operasi Kenari, lebih 30 orang aktivis Pemuda PAS daripada Perak dan Kedah telah ditahan tanpa bicara termasuk Ustaz Sidek Noor.

Ijtimak Alami berlangsung dalam keadaan rejim umat Islam di seluruh dunia sedang menindas gerakan Islam dan tokoh-tokoh mereka. HAMAS ditekan hebat pada tahun tersebut, apabila gerakan perlawanan itu baru sahaja setahun ditubuhkan oleh Sheikh Ahmad Yasin, Muhamad an Najjar, Sheikh Solah Syahadah dan lain-lain para pejuang. Di Tunisia, parti Islam an Nahdah yang dipimpin oleh Rashid Ghanousi diharamkan oleh rejim Habib Bourgiba sehingga tiga ribu anggota terasnya mendekam dalam penjara, manakala Ghanousi mendapat suaka politik di Eropah.

Di Algeria pula, anak-anak muda yang mendapat tarbiah Islam telah menubuhkan Barisan Penyelamat Islam (FIS) pada tahun 1988, antara tokoh-tokoh utama gerakan Islam negara yang digelar tanah sejuta syuhada ini ialah Dr Abasi Madani, Ir Abdul Kader Hachani, Sheikh Ali Benhaj. FIS dengan pantas menjadi fenomena dengan dukungan kelompok kelas menengah yang mendapat kesedaran Islam dan anak muda, dua tahun selepas ditubuhkan mereka memenangi 90 peratus kerusi majlis perbandaran di seluruh Algeria.

Ikhwanul Muslimin dalam dekad 80-an terus menjadi “beg pukul” rejim Mesir yang diketuai oleh Presiden keempat negara itu, Hosni Mubarak. Tangkapan massa pasca pembunuhan Anwar Sadat pada Oktober 1981 masih berbekas pada tahun 1988. Namun ramai tokoh Ikhwan yang mendapat suaka politik, juga berkhidmat sebagai akademisi di luar Mesir, antaranya Sheikh Said Ramadhan.

Menjadi satu dosa kepada rakyat negara Asia Barat untuk mengganggotai gerakan Islam Ikhwanul Muslimin, bahkan akan dihukum bunuh seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara Syria. Bahkan negara berkiblatkan sosialisme Arabisme itu telah menumpahkan darah seramai 42,000 orang di Hamah pada tahun 1982. Libya juga di bawah Muammar Ghadafi mengenakan sekatan kepada perkembangan Ikhwan, pemenjaraan adalah lumrah, bahkan di Iraq yang juga bernuansa Baath, pembunuhan dan penyiksaan seperti mesin darah yang sentiasa mengintai para amilin. Sheikh Abdul Aziz al Badri, ilmuan Ikhwan di Iraq antaranya telah dipotong lidah dalam penjara.

Tahun 1988 juga ialah tahun yang sengit di medan peperangan Afghanistan yang dijajah oleh rejim komunis Russia semenjak tahun 1979. Pelbagai kelompok mujahidin berjuang di tanah gersang itu termasuk Hizbul Islami, Ittehad Islami, Hizbul Mujahidin dan lain-lain lagi. Isu Afghanistan sangat menggugah nurani umat Islam dalam dekad 80-an, bahkan gerakan perlawanan di sana mendapat sokongan yang kuat daripada Jamiat Islami Pakistan. Dalam ijtimak yang pertama pada tahun 1988, kehadiran delegasi dari Afghanistan begitu menguja akal para khalayak dan isu kebangkitan Islam menjadi tema besar umat Islam. Antara tokoh-tokoh besar yang hadir daripada Afghanistan ialah Gulbudin Hekmatiyar, Prof Burhanuddin Rabbani dan pengiring mereka.

Terlalu banyak isu dan tema umat Islam yang dibincangkan dalam Ijtimak Alami kali pertama, pemidato dan ilmuan Islam yang memukau pesona. Berselingan dengan laungan takbir yang penuh semangat daripada ratusan ribu peserta, program mega ini menyimpulkan ukhuwwah dan menghantar isyarat jelas ke dalam nurani yang paling tersembunyi iaitu “kita semua bersaudara”, wajib bahu membahu membentengi Deenullah ini. Jom kita abnaul harakah beramai-ramai ke Ijtimak Antarabangsa kali ini di Kota Bharu yang sarat dengan pelbagai program, tokoh-tokoh tersohor, memintal tali ukhuwwah serta menjana kesedaran rakyat Kelantan untuk mempertahankan pemerintahan kerajaan Islam ini.

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat.