PERTUBUHAN Pendukung dan Pencipta [email protected] Ustaz mengecam keganasan terbaru di Myanmar apabila tentera Kerajaan Myanmar bertindak membunuh lebih 40 orang etnik Rohingya di kawasan Maungdaw, Buthidaung dan Rathedaung.  

norazliKeganasan terbaru ini membuktikan bahawa Kerajaan Junta Myanmar tidak serius mengatasi masalah etnik Rohingya yang selama ini disuarakan dan juga diambil perhatian oleh pihak antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri.

Masyarakat etnik Rohingya yang diburu dan dibunuh kini bertebaran melarikan diri memohon pertolongan keselamatan dan bantuan, namun dunia masih juga menyepi terhadap Junta Myanmar yang tidak berperikemanusiaan.

Oleh itu, Geng Ustaz mendesak Kerajaan Malaysia, Asean dan seluruh rakyat Malaysia bangkit bersama membela dan memperjuangkan hak kebebasan dan menyelesaikan krisis kemanusiaan yang sedang dialami oleh umat Islam etnik Rohingya ini.

Kami juga menyeru agar umat Islam beramai-ramai untuk turun bersama ke Himpunan Solidariti Rohingya pada 30 Ogos 2017 pada jam 11.00 pagi di Kedutaan Myanmar Kuala Lumpur.

Keprihatinan anda adalah simbol keimanan dan kasih sayang serta cinta sesama umat Islam.

"Sejahtera Bersama Islam"

Ustaz Norazli Musa
Presiden Pertubuhan Pendukung dan Pencinta [email protected] USTAZ
28 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 28/8/2017

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) terus mempertahankan gesaan supaya pihak Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Tragedi Memali yang berlaku pada 19 November 1985.

Walau bagaimanapun PAS merasakan kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor tentang siapa yang perlu dipanggil untuk memberikan keterangan kepada RCI nanti adalah suatu yang para matang. Sepatutnya sebagai bekas Pegawai Tertinggi Polis beliau tidak perlu mempamerkan sikap cuba campurtangan dalam urusan RCI yang merupakan satu suruhanjaya bebas yang berfungsi mencari keadilan atas daasr 'without fear or favour'.

Berikut adalah teks penuh kenyataan media tersebut:

nyata

PAS cadang tubuh RCI untuk isu Memali. Belum apa-apa lagi, kenapa ada pihak yang melatah? RCI belum tubuh, pelbagai andaian telah dibuat. Suruhanjaya Siasatan Diraja ini bukan agen siasatan kaki lima yang membuat keputusan dan pendedahan sebelum siasat. Isu Memali bukan gosip dalam Melodi.

PAS sedia beri kerjasama penuh kepada pihak Suruhanjaya Siasatan Diraja apabila dibentuk kelak.

Justeru itu, PAS tekan soal telus dan adil tahap tinggi dengan mendesak pasukan penyiasat yang bebas dan berintegriti tinggi. Bukan gengster jadi penyiasat.

Kalaupun mahu pertahankan "tuan", agak-agaklah. Jangan takut berdepan dengan kebenaran lantaran kebenaran pasti akan tegak. Hanya lambat atau cepat.

PILIHAN Raya Umum ke-14 semakin dekat. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Parti-parti politik sudah pun bersiap siaga dan kerusi-kerusi yang akan ditandingi sudah pun ditanda dan hanya menunggu masanya butang ditekan oleh Perdana Menteri Malaysia.

Negeri Kelantan sebagaimana biasa adalah tumpuan. Ini kerana Kelantan adalah negeri yang paling lama diperintah oleh parti pembangkang dalam sejarah negara. Barisan Nasional yang memerintah negara semenjak kemerdekaan lagi telah berhabisan cara untuk mengambil alih negeri Kelantan daripada PAS. Tetapi PAS kekal bertahan.

Kini umur pemerintahan PAS di Kelantan telah pun menjangkau 27 tahun. Seorang diplomat barat yang menyatakan hasrat untuk membawa pelaburan di Kelantan beberapa hari lepas menyatakan jika sebuah parti pembangkang berjaya mengekalkan kerajaannya dengan begitu lama, ia memberi erti bahawa mereka memiliki sesuatu yang luar biasa sehingga rakyat terus memilih mereka walaupun dikepung begitu lama oleh pemerintahan di Putrajaya.

Siapa pun akan membenarkan pernyataan diplomat itu. PAS Kelantan memiliki kekuatan yang tidak pun tersembunyi di mata rakyat. Ia kekuatan yang tidak dimiliki oleh Umno BN, tetapi amat diperlukan oleh negara. Rakyat Kelantan mengetahuinya dengan baik lalu mereka terus memberi undi majoriti untuk PAS menerajui Kelantan.

Akhirnya Kelantan memikat hati rakyat Malaysia. Setelah beberapa lama, beberapa negeri lain jatuh ke tangan parti pembangkang. Jasa besar Kelantan waktu itu adalah sebagai pembina keyakinan di hati rakyat bahawa parti pembangkang juga mampu memerintah negeri-negeri, bahkan dengan lebih baik berbanding Umno BN. Ya, ia terbukti di 5 negeri yang sedang atau pernah diperintah oleh pembangkang sebelum ini.

Itu jasa besar Kelantan. Ia membina keyakinan rakyat Malaysia untuk berani berubah. Kemudian ia mengajar rakyat Malaysia untuk terus bersabar membina perubahan yang diimpikan. Yang pertama dan yang kedua, kedua-keduanya adalah sama penting.

Pada PRU11 tahun 2004, Kelantan hampir tewas mengejut. Tetapi separuh rakyat Kelantan terus bertahan dan berjaya memberikan majoriti tipis kepada PAS untuk terus kekal memerintah. Ia adalah jelas kesan daripada kejayaan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi mencipta faktor 'wow' bagi membina kembali Malaysia yang hampir ranap oleh kekejaman rejim Tun Mahathir. Rakyat terpukau dengan janji Perdana Menteri baru yang digelar 'Mr Clean' pada masa itu.

Kelantan bangkit kembali membina keyakinan rakyat. Dengan berkuburnya janji-janji manis Pak Lah, rakyat mula sedar bahawa PAS telah ditanggapi secara salah. PAS bergerak perlahan bukan kerana ia gagal untuk laju. PAS hakikatnya dipaksa untuk menyerah diri dengan kekalahan pada zaman Tun Mahathir. PAS dan rakyat Kelantan dijerut sehingga sukar bernafas. Kesannya nyata, Kelantan tidak selaju Kuala Lumpur.

Tetapi perlahan itulah yang menjadi keselamatan dan kesejahteraan untuk negeri Kelantan. Laju-laju Tun Mahathir bawa Malaysia, akhirnya masuk longkang. Proton masuk longkang. MAS masuk longkang. Perwaja masuk longkang. Ringgit masuk longkang. Forex masuk longkang. Semua masuk longkang. Malah, ketika Pak Lah datang untuk membantu, Pak Lah pun tersadung masuk longkang juga sambil Tun Mahathir turut sama menendang punggung Pak Lah.

Ketika krisis ekonomi 1998 melanda negara, negeri Kelantan menerima tempias paling minimum. Ekonomi domestik negeri Kelantan kukuh dan banyak membantu rakyat Kelantan untuk bertahan dan bangkit.

Walaupun Pak Lah gagal, tetapi beliau membantu rakyat, termasuk Kelantan untuk mengecapi kebebasan yang tiada pada zaman Tun Mahathir. Dengan kebebasan bermedia baru, rakyat menjadi celik dan mula melihat kelemahan ketara Umno BN yang disembunyikan sejak sekian lama melalui penindasan dan binaan jeriji ketakutan di hati rakyat. Umno BN mewariskan untuk generasi baru dengan sebuah negara Malaysia yang penuh masalah dan tragedi.

Akhirnya PAS Kelantan berjaya bangkit dan membantu kebangkitan negeri-negeri lain pada PRU ke-13. Rakyat sedar PAS harus diberi masa untuk membina Kelantan walaupun perlahan. Perlahan mengurangkan musibah hasil kegelojohan.

Pulau Pinang laju. Tapi Pulau Pinang hari ini telah menempa masalah yang tak pun pernah berlaku di Kelantan. Kelantan dalam perlahannya masih bebas rasuah di kalangan barisan pemimpin politiknya. Bukan mendakwa bersih sepenuhnya, tetapi bebas rasuah adalah tanda besar sebuah pemerintahan yang bersih.

Negeri Selangor juga laju sesuai dengan kekayaannya. Tetapi ia pernah mengalami krisis politik dalaman pembangkang yang teruk kerana berebut nak lebih laju. Semoga ia belajar dan terus selamat daripada bala yang lebih buruk.

Apa yang mesti dipelajari adalah kesabaran menanti perubahan ke arah negara yang lebih baik. Rakyat mesti belajar untuk tidak terpengaruh dengan janji-janji kosong, provokasi, fitnah dan binaan persepsi palsu yang hanya bertujuan memperolehi kuasa tanpa kekuatan untuk membawa perubahan yang diimpikan rakyat.

PAS gagah dengan misi Islam dan syariahnya yang adil. Ia memperolehi mandat pemerintahan dengan janjinya kepada rakyat untuk pelaksanaan Islam dan PAS kekal memerintah di Kelantan di atas janji untuk terus istiqamah dengan Islam dan perlaksanaan syariahnya.

PAS kalah di negeri Terengganu dan Kedah bukan disebabkan kegagalannya mengotakan janji, tetapi disebabkan kesukarannya menghadapi tentangan dan fitnah mereka yang enggan Islam bertapak di persada pemerintahan. Jika PAS gagal di Terengganu dan Kedah, sudah pasti kes-kes rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa para pemimpinnya dibongkar dengan galaknya oleh Putrajaya. Tetapi PAS masuk ke kota pemerintahan dan keluar daripadanya dengan penuh selamat dan integriti.

Malah tiada siapa pun mampu menolak bahawa selepas Umno BN mengambil alih Terengganu dan Kedah, suasana politik di kedua-kedua negeri itu tambah meruncing dan sentiasa di ambang kerapuhan dan kekalahan. PAS Terengganu dan Kedah terus gagah dan bersedia untuk kembali.

nik abduh1Saya menekankan soal keperluan pendidikan politik yang benar dan mampan untuk rakyat. Politik rasional yang diperkenalkan oleh PAS melalui Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) adalah amat perlu dihayati oleh semua. Salah satu kerasionalan adalah kesabaran membina dan menanti perubahan.

Rakyat tentunya menanti perubahan ke arah kesejahteraan dan mengharapkannya berlaku dengan cepat. Tetapi proses perubahan bukanlah berlaku sekelip mata. Ia perlukan kesabaran membina sebagaimana ia perlukan kesabaran menanti. Yang memberi mandat harus sabar menanti dan yang memperolehi mandat harus sabar membina.

Mengapa lambat? Ya, ia samalah sebagaimana anda membina diri anda. Jika anda memaksa-maksa diri anda untuk berubah dan sempurna, anda akan cepat rebah di perjalanan. Jika anda membinanya secara perlahan, berdisiplin dan mengambil kira semua faktor, anda akan berjaya dan akan lebih kekal kejayaannya. Faktor kekuatan jiwa, kemampuan mengurus nafsu, galakan persekitaran serta halangan daripada musuh yang menunggu-nunggu kegagalan anda, itu semua perlu diambil kira dan perlukan kesabaran dan kerasionalan berfikir dan berkeputusan. Ia mengelak anda daripada larian yang berulang-ulang dari tempat yang sama. Anda akan gagal membina dan membawa diri anda ke matlamat yang anda impikan.

Begitulah membina sebuah negeri atau negara. Ia tidak mudah. Faktor kegagalan sentiasa sengit menyaingi faktor kejayaan. Jika pemimpin atau rakyat gagal memahami atau kurang rasional, maka kita akan berhadapan krisis kegagalan yang berulang-ulang.

PAS membawa mesej Islam dalam perjuangan politiknya. Mudahnya, ia sukar. Sukarnya bukan bermula sekarang, bahkan dari zaman nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam sendiri. Sunnah perjuangannya bukan bagai hero larian 100 m. Ia bukan Usain Bolt. Ia adalah larian 10 km atau lebih. Ia bukan perjalanan yang dekat. Ia juga bukan perolehan dan ganjaran yang segera.

Musuh politiknya akan berkata, PAS mempergunakan agama untuk tujuan politiknya. Ia dakwaan yang bohong. Isi dalamnya yang sebenar daripada dakwaan ini adalah kerana mereka sendiri gagal mencernakan Islam dalam diri dan perjuangan mereka. Mereka gagal, lalu mereka marah dan dengki melihat orang lain berjaya. Jika mereka yakin, ayuh mari bersama atau berjuanglah atas nama Islam juga. Benar atau bohong antara kita, Allah akan tentukan. Agama ini milik Allah dan pejuangnya adalah pilihan daripada Allah. Bukan PAS atau sesiapa yang menentukan siapa pejuang Islam pilihannya.

Justeru Kelantan adalah sebuah perjalanan yang sentiasa sukar. Ia terpaksa mengharungi kesengitan perjuangan untuk membawa mesej Islam. Diejek, didengki, difitnah dan dipaksakan kejatuhannya walau dengan cara zalim. Sedikit kesilapan akan dijadikan seperti sebesar gunung dosanya.

Bagaimana anda boleh memahami bahawa jika tanpa kerasionalan berfikir, Kelantan akan kekal bertahan? Ya, 27 tahun, Kelantan berhadapan tentangan yang pelbagai. Tembakan di tempat yang sama dan dari arah yang bersimpang siur.

Ketika pilihan semakin terbuka dengan lemahnya Umno BN di mata dan harapan rakyat, PAS terus berusaha meyakinkan rakyat bahawa PAS dengan agenda Islamnya adalah pilihan terbaik. Ia kejayaan yang akan bertahan lama kerana ia adalah tiang-tiang yang kukuh untuk binaan sebuah negara sejahtera sebagaimana ia adalah tiang-tiang yang kukuh untuk sebuah binaan individu muslim yang berjaya dan unggul. Undilah PAS. - HARAKAHDAILY 20/8/2017

PERTIKAIAN beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) terhadap penjelasan dan pendirian PAS berhubung isu 1MDB rentetan dari pertemuan dan sidang meja bulat khas bersama Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda ternyata disengajakan, serta dilihat masih bersikap mahu mempolemikkan keadaan. Sedangkan kematangan dalam menuju kepada solusi seharusnya diwujudkan agar masalah dapat ditangani.

Pendirian asas dan semasa untuk menyiasat segala skandal serta menggerakkan langkah penyelesaian menerusi pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)  dan pelan penstrukturan; sewajarnya dipersetujui secara terbuka dan lapang dada demi kepentingan negara, tanpa diemosikan oleh sentimen negatif atau bermotif meraih kesempatan politik.

Khairi02PAS sebagaimana juga pihak lain, turut mengakui bahawa 1MDB adalah antara skandal kewangan terbesar negara sebagaimana perkara seumpama yang banyak terjadi dan menjadi liabiliti kepada rakyat dan negara sebelum ini. Bezanya, 1MDB melibatkan pelbagai agensi dan negara serta jumlah dana sangat besar, sehingga menjadi perhatian kritikal seantero dunia.

PAS turut mengambil maklum dan menghormati laporan penyiasatan dari Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, termasuk tindakan-tindakan berkaitan oleh negara asing lainnya, sebagai di bawah bidang kuasa negara berkenaan. Namun, pengadilan dengan undang-undang negara ini mestilah diutamakan sebagai junjungan terhadap kedaulatan yang dimiliki.

Semua proses dan bentuk tindakan undang-undang yang dilakukan demi keadilan dan menyelamatkan wang serta ekonomi negara mestilah didukung. Manakala konflik kepentingan melibatkan pihak yang disiasat oleh kekurangan kuasa oleh BNM, SPRM atau PDRM, diteguhkan dengan gesaan supaya RCI dibentuk dan bukannya mengundang pihak luar atau asing.

Arul Kanda seharusnya diberi peluang untuk berperanan membetulkan kesilapan dan kepincangan 1MDB dan bersikap tidak memihak, sebaliknya adil, jujur serta amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya. Beliau dan pasukannya perlu berusaha menjayakan pelan rasionalisasi memandangkan hutang yang dijamin oleh Kementerian Kewangan Malaysia secara tidak langsung membabitkan kantung kewangan negara.

Kami percaya, usaha dilaksanakan adalah ke arah merungkai kesilapan lalu dari memberi musibah dan kemungkinan lebih buruk, selain kembali untuk bangun semula. Walaupun kami berpuashati dengan penjelasan diberi, namun tetap berpegang kepada prinsip sama bahawa tegas tidak mahu wang mahupun aset negara digunakan lagi bagi menampung operasi mahupun hutang 1MDB.

PAS mahu setiap individu yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan ‘without fear or favour’ dan jika didapati bersalah, dihukum sewajarnya atas perbuatan dilakukan yang sangat memalukan rakyat dan negara. PAS tidak mahu beban 1MDB menjejaskan ekonomi negara dan secara tidak langsung kepada rakyat secara keseluruhannya, apatah lagi di saat ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu.

Kewangan negara perlu utuh untuk menampung perbelanjaan mahupun defisit, demi kelangsungan pertumbuhan negara. Kemelut 1MDB secara tidak langsung menjejaskan kepercayaan pelabur luar kepada negara yang turut memainkan peranan di dalam pertumbuhan ekonomi negara dengan nilai pelaburan cukup besar, di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

PAS mahu kemelut ini diselesaikan segera, setelah bebanan lampau warisan BN yang masih terbeban hingga kini, di mana rakyatlah yang membayar semua hutang tersebut melalui pelbagai instrumen percukaian. Maka, sewajarnya kerajaan dan parti yang korup ini diturunkan dari tampuk pemerintahan, seterusnya dibina masa depan negara lebih gemilang dengan menggantikan sistem berteraskan Islam.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
10 Ogos 2017 | 17 Zulkaedah 1438 - HARAKAHDAILY 10/8/2017

LUJNAH Ekonomi dan Usahawan PAS Pusat (LEU) memandang serius kemerosotan prestasi data-data kewangan semasa negara terutamanya Nisbah Pinjaman Deposit (LDR). Ini adalah berdasarkan data-data analisa yang dikeluarkan oleh penganalisa bank-bank serantau. Sehingga tempoh akhir bulan Mac 2017 LDR untuk kebanyakan bank tempatan adalah melebihi 90% berdasarkan laporan oleh CIMB Investment Bank. Manakala Maybank Kim Eng melaporkan bahawa dalam tahun 2016 purata LDR bank-bank Malaysia adalah 93.5%.

MAZLIPetunjuk di atas adalah indikasi kemerosotan kadar deposit dalam sistem kewangan negara, terutama untuk simpanan tetap. LEU amat bimbang sekiranya trend begini berterusan maka kos deposit bank-bank akan semakin meningkat yang akhirnya akan merencat pertumbuhan ekonomi dan permintaan. Ini harus diatasi dengan segera apa lagi dalam suasana ekonomi dunia dan serantau yang tidak menentu sekarang.

Jesteru itu LEU mendesak kepada kerajaan agar mengambil langkah-langkah drastik dengan segera bagi memperbaiki kadar kecairan dalam sistem kewangan negara. Antara desakan kami adalah seperti berikut:

1.     Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menilai dengan segera kadar faedah semasa. Ini adalah kearah untuk menaikkan kadar faedah pada tahap yang lebih sesuai untuk meningkatkan lagi deposit terutama bagi sektor simpanan tetap. Kali terakhir BNM telah menurunkan kadar asas semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas.

2.     Kerajaan perlu mengkaji dan mempelbagaikan lagi sumber kecairan negara agar pertumbuhan dan permintaan boleh terus disokong dan ditingkatkan. Ini termasuklah insentif cukai yang lebih kondusif kepada rakyat dan menarik balik pelaksanaan GST.

3.     BNM perlu melihat untuk melonggarkan dasar pemberian pinjaman oleh bank-bank ke tahap yang munasabah. Ini tidak secara langsung akan membantu merancakkan lagi pertumbuhan deposit bank-bank di Malaysia.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan PAS
10 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 10/8/2017

SEORANG muslim wajib beradab dan bersopan santun sesama manusia, apatah lagi di hadapan Allah dan rasul-Nya sallaLlahu alaihi wasallam. Baginda diutuskan untuk menyempurnakan adab dan akhlak. Akhlak dan adab sudah pun terbina sejak sekian lama dalam kehidupan manusia. Tinggal lagi adalah penyempurnaannya oleh baginda.

Maka Islam menyanjung tinggi kesempurnaan akhlak. Siapa pun yang mencapai kesempurnaan akhlak pada dirinya melalui usaha dan mujahadah berterusan, maka dia telah memperolehi kejayaan hidup tertinggi dan pastinya akan beroleh ganjaran terbesar di sisi Allah nanti. Ia termaktub kukuh di dalam ayat-ayat al Quran dan sunnah nabawiyah.

Sebahagian kita adalah sebaliknya. Semakin tua semakin tidak berakhlak. Seolah-olah akhlak itu hanya pilihan. Perkara sunat sahaja, bukan kewajiban. Akhlak hanyalah untuk diajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah. Di universiti, semua bebas dengan pilihan masing-masing.

Justeru dengan kefahaman yang salah itu, ramai menjadi samseng dan sombong di hadapan agama sendiri. Bercakap perihal ugama seolah-olah mereka ada lesen untuk mengulas apa sahaja mengikut kehendak dan kefahaman mereka. Apabila lagi bila berhadapan sesama manusia. Mereka hilang adab terhadap terhadap para ulamak dan guru, orang tua dan ketua kaum serta rakan dan taulan.

Walaupun seseorang itu adalah muslim, Allah menolak untuk terus menggelarkannya sebagai seorang yang beriman. Allah menuntut Nabi Muhammad SAW membuat teguran terbuka terhadap arab badwi yang baru memeluk Islam dan berkata, "Kami telah beriman." Hakikatnya mereka hanya muslim dan belum layak menggelar diri sebagai mukmin. "Katakanlah kepada mereka, kamu belum pun beriman. Tetapi ucaplah, kami telah menjadi muslim, manakala iman itu belum lagi masuk (mengukuh) di dalam hati kamu." - (al-Hujurat:14)

Allah menuntut muslim bergerak dengan ilmu dan amal untuk menuju iman. Anda jahil, anda sukar menjadi mukmin. Anda enggan beramal soleh, anda sukar menjadi mukmin. Anda hanyalah seorang muslim. Jika anda mendakwa lebih, Allah menolak anda ke tepi. Anda belum berhak bercakap lebih mengenai Allah dan ugama-Nya. Jangan berlagak sombong di hadapan Allah, rasul-Nya dan ugama-Nya.

Adabnya, anda mesti menuntut ilmu Islam dan anda mesti menambahkan amal soleh dan ketaatan dalam kehidupan. Kedua-duanya akan mengukuhkan iman di dada. Menuntut ilmu dan beramal soleh adalah satu mujahadah. Orang yang menyombong, tidak beradab dan tidak berakhlak di hadapan para guru dan ulamak akan gagal memperolehi ilmu yang bermanfaat dan akan keras jiwanya untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Ia akan kekal sebagai muslim yang belum pun beriman.

Seorang muslim yang enggan berusaha menangga ke tangga iman akan berdepan musibah nifak dan menipu diri sendiri. Syaitan dan segala musuh Allah akan menyerbu ke arahnya untuk memesongkannya daripada ajaran Islam. Tanpa ilmu dan amal, ia hilang kesedaran terhadap tipu daya musuh. Akhirnya dia dihiasi dengan perasaan dan anggapan bahawa dia telah baik Islamnya. Dia merasakan dia setaraf orang-orang yang beriman. Islam dan imannya telah sempurna. Hakikatnya, dia tertipu dan sedang menipu dirinya sendiri. Dia sentiasa di ambang menjadi seorang munafik yang dimurkai Allah.

Bahkan, sebagaimana anda mesti beradab untuk memperolehi ilmu, anda juga perlu beradab dengan ilmu sebaik memperolehinya. Ilmu hakikatnya akan menjadikan kita semakin tunduk dan beradab. Apabila anda menjadi angkuh dengan ilmu dan menggunakannya untuk menunjuk-nunjuk kealiman dan berjidal untuk menonjol diri, anda hakikatnya dibuang daripada dunia sebenar manusia yang dikurniai ilmu dan iman.

Ilmu dan iman membawa kepada taqwa dan syukur. Apabila sebaliknya berlaku, ia adalah kesilapan anda. Anda tidak ikhlas. Ikhlas adalah hubungan dua hala antara anda dan Allah. Di luar anda dilihat sebagai alim yang hebat. Tetapi di dalam dan di laluan sunyi itu, hubungan anda dan Allah adalah rosak dan hancur. Anda tidak ikhlas kepada Allah, lalu Allah menghancurkan hubungan antara-Nya dan anda. Takutilah.

Ia adalah tuntutan terhadap orang yang telah pun beriman. Walaupun telah beriman dan yakin kepada Allah dan ugama-Nya, musuh tetap menyerbu ke arahnya menipu dan memperdaya. Jika ia enggan lagi bermujahadah, ia akan mundur ke belakang lagi dan jatuh ke lembah nifaq dan fasiq. Ia adalah orang-orang yang beriman menuju taqwa.

Berapa banyakkah yang anda ingat ayat seperti ini di dalam al Quran, "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah."? Banyak bukan? Apa maksudnya? Ya, ia adalah seruan Allah kepada orang-orang beriman yang dicintai-Nya agar terus maju menuju Allah tanpa henti. "Maka bertaqwalah kepada Allah seupaya kamu.." Ya, ia adalah seruan kepada mujahadah yang berterusan tanpa henti.

Menuju taqwa dan ikhlas memerlukan adab yang lebih tinggi. Semakin hati khusyuk menghadap Allah di tikar sejadah atau di sejadah kehidupan, semakin akhlak dan adab mewarnai kehidupan dan semakinlah anda berimpian untuk memakainya sebagai hiasan diri. Adab dan akhlak adalah pakaian orang-orang yang bertaqwa, bersyukur dan ikhlas kepada Allah.

Tiada syak lagi bahawa Islam adalah benar ketika ia mewajibkan akhlak dan adab yang mulia ke atas penganutnya. Muslim tanpa adab dan akhlak adalah seperti pokok tanpa daun, bunga dan buah. Ia kosong tanpa manfaat. Ya, manfaatnya adalah batangnya sahaja. Ia perlu ditebang dan dibuang daripada kebun hijau yang menuntut keuntungan dan kejayaan.

Justeru Islam bukanlah dakwaan. Jika mendakwa, ia adalah wajah kepalsuan. Islam adalah mujahadah. Mujahadah dan usaha bersungguh-sungguh itulah yang akan mengurniakan anda dengan gelaran-gelaran yang benar. Ia adalah kurniaan Allah kepada para hamba-Nya yang menuruti arahan dan pengajaran daripada-Nya. Ia adalah satu kelebihan yang nyata untuk para hamba-Nya.

Hari ini kita berhadapan dunia Islam yang penuh penyakit dan kecacatan. Kejahilan melata dan kesombongan dan dakwaan kosong merata-rata.

Apabila anda melihat para ulamak diperlekeh dan ditinggalkan, ia adalah tanda perlecehan terhadap adab dan akhlak. Para ulamak suatu masa dituduh gila, mengarut, melampau dan jahat. Tetapi pada masa yang lain, para ulamak ditukar pula gelaran sebagai orang-orang yang berlagak suci dan memandang kotor kepada semua manusia. Semuanya adalah tanda zahir hilangnya akhlak dan adab yang mulia.

Ia lahir daripada muslim yang enggan belajar dan beramal. Jika dia berilmu, dia enggan memperkayakan dirinya dengan sifat ikhlas dan taqwa. Dia dibelit sifat-sifat buruk di dalam diri akibat keengganannya bermujahadah membina dirinya sendiri dengan mengikuti arahan-arahan dan pengajaran-pengajaran yang benar daripada Allah.

PAS menganjurkan para ahli agar terus belajar dan bermujahadah membina diri dengan kefahaman yang benar terhadap Islam dan mengamalkannya di dalam kehidupan. PAS menuntut ahli dan penyokongnya agar ikhlas berjuang di atas landasan agama yang benar.

Adapun serangan-serangan terhadap PAS dengan gelaran-gelaran yang buruk, maka PAS yakin ia hanyalah sebahagian cabaran yang mesti dilalui. Penawarnya adalah kesabaran dan dakwah yang berterusan ke arah membina umat yang bertaqwa. Semoga Allah memberkati umat Islam seluruhnya menuju kejayaan dunia dan akhirat.

SALAH satu tujuan Allah SWT menciptakan manusia adalah untuk memakmurkan bumi ini. Dalam pengertian Barat, makmur dan kemakmurkan sering kali ditakrifkan sebagai kemajuan ekonomi, pembangunan fizikal dan pencapaian hidup manusia.  Bertolak dari asas ini, hampir seluruh makna kemakmuran manusia disandarkan kepada pencapaian kebendaan, sebagai mana ia didukung oleh ideologi-ideologi moden hari ini, sama ada di sebelah kanan (kapitalis), kiri (sosialis) mahupun campuran.

Islam datang kepada kita dengan prinsip yang sangat jelas. Allah SWT dalam Surah Hud ayat 61 mempertegaskan tujuan penciptaan manusia dengan firman-Nya yang bermaksud, "Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya." Memakmurkan bumi ini telah menjadi tujuan penciptaan manusia, selain beberapa tujuan yang turut disebutkan oleh al-Quran seperti mengabdikan diri kepada Allah, menjadi khalifah, melaksanakan amanah dan menerima ibtila' (ujian).

Persoalan besar yang ada di hadapan kita ialah apakah makna kemakmuran dalam konsep Islam sejajar dengan pengertian kemakmuran yang diungkapkan oleh Barat? Para ulama yang membahaskan makna "isti'mar" atau memakmurkan dalam ayat ini ialah perintah supaya manusia melaksana dan menegakkan segala tanggungjawab yang terbeban ke atas diri mereka, bukan semata-mata mencipta kemajuan metarial dan memacu pertumbuhan ekonomi sahaja. Tanggungjawab adalah aspek yang jauh lebih luas daripada makna kemajuan, kerana kemajuan dalam sudut pandang Barat sangat mengabaikan tanggungjawab, sebaliknya hanya memuja hak-hak mereka sahaja.

Tiga tanggungjawab besar yang digariskan oleh para ulama dalam mengungkap makna memakmurkan ini ialah tanggungjawab diini (agama), ijtimaie (kemasyarakatan) dan insani (kemanusiaan). Islam meletakkan urusan Allah SWT iaitu agama sebagai tanggungjawab yang paling besar mesti ditunaikan oleh manusia. Menegakkan apa sahaja perintah Allah SWT atau disebut sebagai syariat merupakan beban tugas yang menjadi hak Allah SWT ke atas setiap manusia. Kita tidak boleh mengambil mudah terhadap perintah dan larangan agama bermula dari soal ketauhidan dan larangan syirik, sehinggalah kita mentaati segala perintah dan tegahan Allah dengan tujuan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

Konflik yang timbul dalam pengolakan politik hari ini ialah pertembungan di antara melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan seperti membela rakyat tertindas, menuntut keadilan ekonomi dan membendung kezaliman regim dengan kewajipan mereka menegak dan melaksanakan hukum Allah SWT. Ada golongan yang memandang sepi, bahkan menentang perlaksanaan hukum Allah SWT, sebaliknya berjuang keras untuk membela kemanusiaan. Bahkan, di kalangan pendukung aliran liberal hari ini, mereka menolak hukum-hukum Allah SWT yang mereka anggap sebagai tidak rasional, sebaliknya memperjuangkan hak-hak yang sama sekali bercanggah dengan agama seperti menuntut hak untuk berzina dan seks bebas, fenimisme melampau dan hak untuk murtad dan melakukan maksiat, kononnya atas nama hak individu, kebebasan sivil dan kemerdekaan berfikir.

Apakah Islam meminggirkan kemanusian? Tidak! Hak-hak kemanusiaan hanya akan tercapai apabila manusia mematuhi hukum-hukum Tuhan. Telah banyak sistem hidup yang berdiri dalam sejarah manusia, tidak ada satu pun yang terlepas daripada mencabul dan menindas kemanusiaan, melainkan seluruhnya terpalit dengan kezaliman yang dibangunkan di atas runtuhan kezaliman sebelumnya. Melainkan Islam sahaja yang telah membuktikan era ketamadunannya sebagai "zaman emas kemanusiaan." Sektor kemasyarakatan (ijtimaie) yang berdiri bermula dengan sistem keluarga, muamalat, undang-undang hingga kepada kenegaraan menjadi pelindung utama kemanusiaan, apabila pada setiap peringkat kemasyarakatan ini melaksanakan hukum Islam dan setiap manusia mengambil tanggungjawab menegakkannya.

Tanggungjawab yang diseimbangkan dengan hak, kefahaman tentang hak individu yang mesti selaras dengan hak masyarakat, perlaksanaan hak yang menyeluruh meliputi hak individu, hak politik, hak ekonomi, hak sosial dan hak budaya, serta tertegaknya hak Allah ke atas makhluk, telah menjadi tunjang yang memakmurkan kehidupan manusia di dunia dan juga akhirat. Inilah perintah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis sahih Bukhari riwayat Abu Juhaifah Wahab bin Abdullah yang bermaksud, “Sesungguhnya bagi Rabbmu ada hak, bagi dirimu ada hak, dan bagi keluargamu juga ada hak. Maka penuhilah masing-masing hak tersebut.“

Untuk melaksanakan tujuan memakmurkan dunia dengan perlaksanaan tanggungjawab inilah, gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia berjuang untuk menegakkan hukum-hukum Allah SWT. Dan setiap pendukung gerakan Islam mesti menyedari tujuan yang mendasar dalam perjuangan kita, yakni setiap langkah untuk melaksanakan tanggungjawab ini tetap kekal dalam landasan mentaati Allah SWT. – HARAKAHDAILY 5/8/2017

SAYA membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Negara, YB Dato' Sri Anifah Aman yang mewakili negara ke 'Open-Ended Extraordinary Meeting of the OIC Executive Committee' pada 1 Ogos 2017 yang diadakan di Istanbul, Turki. Mesyuarat tersebut adalah tindakan susulan terhadap sekatan tentera Zionis yang menghalang umat Islam beribadah di Masjid Al-Aqsa bermula 14 Julai yang lalu.

takiri3Dalam kenyataan tersebut, pihak kementerian menegaskan dalam perenggan terakhir sebagai berikut: "In conclusion, Malaysia would like to reaffirm our resolute support to seek a just, comprehensive and durable solution to the realization of the two-state solution with an independent state of Palestine, based on the pre-1967 and with East Jurusalem as its capital."

Sebagai konklusinya, Malaysia menegaskan sokongan kepada penyelesaian yang adil, menyeluruh dan bersifat jangka panjang dengan menerima penyelesaian dua negara dengan negara Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka, berdasarkan kepada (sempadan) sebelum 1967 dan Jurusalem Timur sebagai ibu negara.

Saya kira kenyataan tersebut terdapat kekeliruan. Pengiktirafan terhadap sempadan sebelum tahun 1967 - setepatnya sebelum 4 Jun 1967 - yang turut dikenali sebagai 'The Green Line', bukanlah bermakna mengiktiraf negara haram Israel atau "penyelesaian dua negara" seperti yang diwar-warkan. "Penyelesaian dua negara" adalah suatu kenyataan secara tidak langsung mengiktiraf negara haram Israel.

Sebaliknya, pengiktirafan terhadap sempadan sebelum tahun 1967 sepertimana yang ditegaskan juga oleh HAMAS membawa maksud menguasai semula beberapa bandar utama termasuklah Bandar Lama Timur Jurusalem, Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Malah, HAMAS turut menegaskan bahawa mereka menolak untuk mengiktiraf negara haram Israel, pendirian yang turut dipertahankan oleh PAS.

Saya ingin mengulangi gesaan supaya pihak kementerian memperbetul kenyataan tersebut serta lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan melibatkan konflik di Asia Barat terutamanya Israel-Palestin. Ini kerana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kementerian sekaligus mewakili keseluruhan rakyat Malaysia khususnya umat Islam. Tambahan lagi, saya berpandangan kerajaan Malaysia perlu tegas untuk mengeluarkan kenyataan tidak mengiktiraf negara haram Israel kerana itu pendirian utama umat Islam sejak sekian lama.

Konflik panjang Israel-Palestin bukanlah konflik di atas nama agama (Islam dan Judaism), tetapi permusuhan utama adalah melibatkan gerakan Zionism yang diasaskan pada 29 Ogos 1897 di Basel oleh Theodor Herzl. Mereka meletakkan matlamat menguasai bumi umat Islam bagi menubuhkan 'The Greater Israel'. Perjuangan mereka disokong Amerika Syarikat dan kini usaha mereka tertumpu ke arah menubuhkan 'The New Middle East', suatu projek 'creative destruction' terhadap pemetaan umat Islam di Asia Barat seterusnya mengulangi ala-ala Perjanjian Sykes-Pikot pada 1916.

"Sejahtera Bersama Islam"

YB DATO' DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
04 Ogos 2017 | 11 Zulkaedah 1438 - HARAKAHDAILY 4/8/2017

GESAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada 3.7 juta rakyat Malaysia yang belum mendaftar pengundi supaya mendaftar pengundi disambut dengan cadangan oleh Tan Sri Ramon Navaratnam, Pengarah Insttitut Strategi dan Kepimpinan (ASLI). Beliau mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan pendaftaran pengundi secara automatik untuk rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas.

Asas cadangan beliau amat bernas memandangkan sejumlah besar rakyat yang belum daftar pengundi terdiri dari kalangan belia yang berusia 21 tahun ke atas. Mereka ini yang dimaksudkan oleh PM dan dipujuk untuk daftar sebagai pengundi sesegera mungkin. Bagi golongan kebanyakan khususnya anak-anak muda, tidak ada faktor tekanan yang mendesak untuk mereka tampil ke pejabat Surunjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendaftarkan diri sebagai pemilih.

Lebih lagi buat mereka yang tidak peka terhadap politik negara, mendaftar diri sebagai pemilih bukan suatu pilihan untuk mereka lakukan. Bagi mereka, selagi tidak ada paksaan (meskipun wajib) tidak ada sebab untuk mereka bersusah payah menghabiskan masa untuk mendaftarkan diri.

Terlebih lagi dengan kekangan dari parti-parti politik yang dahulunya diberikan kebenaran mendaftarkan pengundi. Sekarang, hanya SPR atau beberapa pihak tertentu sahaja diberikan kebenaran membuka kaunter pendaftaran pemilih. Maka, hanya beberapa tempat sahaja kaunter SPR dibuka dan pada waktu yang sangat terbatas.

Idea memperkenalkan pendaftaran pengundi secara automatik untuk rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas telah lama dicanang oleh parti-parti politik. Bagi PAS sendiri, idea itu bukan baru, ramai pemimpinnya mengemukakan cadangan ini bagi memberi hak kepada kesemua rakyat Malaysia yang telah layak mengundi.

Sekaligus idea ini jika dilaksanakan dapat menyelesaikan masalah anak muda yang tidak daftar mengundi atau sukar daftar mengundi. Tidak timbul nantinya 3.7 juta orang atau lebih selepas ini rakyat Malaysia mengabaikan hak mereka yang utama dalam sebuah negara demokrasi. Paling utama, dengan pelaksanaan sistem ini, akan memudahkan tugas SPR, NGO dan parti politik selain menjimatkan masa, wang ringgit dan tenaga.

Meskipun pandangan ini telah diutarakan banyak pihak dan telah lama diangkat ke peringkat nasional, namun tidak pasti mengapa kerajaan masih teragak-agak mahu melaksanakannya. Sedangkan ramai pihak menyatakan kebaikannya, dari segi rakyat Malaysia mahupun kepada agensi yang terlibat.

Justeru, jika benar PM mahu mengajak 3.7 juta rakyat Malaysia mendaftar sebagai pemilih, beliau perlu bersikap terbuka dan berlapang dada dengan cadangan ini. Laksanakan idea ini sebelum PRU ke-14 agar kesemua mereka itu layak dan boleh turun mengundi. Maksimumkan kemudahan untuk rakyat menunaikan hak mereka, agar tidak ada alasan buat rakyat untuk tidak turun mengundi dalam PRU 14 nanti. – HARAKAHDAILY 3/8/2017

PAS membantah kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Anifah Aman pada Mesyuarat Luar Biasa Terbuka Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkenaan penyelesaian dua negara (two-state solution) sebagai penyelesaian yang paling berdaya maju bagi kedua-dua pihak (Israel dan Palestin).

Sesungguhnya kenyataan ini telah membelakangkan perjuangan dan pengorbanan rakyat Palestin yang selama ini sehingga sekarang belum pernah berhenti berusaha demi membebaskan Palestin dan Masjid Al-Aqsa daripada penjajahan Zionis-Yahudi.

Menegaskan bahawa penyelesaian dua negara sebagai jalan keluar bagi isu ini memperlihatkan bahawa YB Menteri dan Kementerian Luar Negeri atau Kerajaan Malaysia sendiri tidak jelas dengan kedudukan isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa ini menurut perspektif sejarah dan akidah Islam.

Menyokong penyelesaian dua negara ini juga bererti memberikan pengiktirafan tidak langsung kepada kewujudan Israel sedangkan ia adalah sebuah negara haram yang ditubuhkan secara tidak bermaruah melalui pembunuhan, pencabulan hak asasi dan pelanggaran undang-undang.

Oleh itu, PAS mendesak YB Menteri atau Kementerian Luar Negeri menarik semula kenyataan ini dan juga menggesa Kerajaan Malaysia agar menjelaskan pendirian dan sikap rasmi negara berhubung perkara ini.

”Sejahtera Bersama Islam”

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
03 Ogos 2017 | 10 Zulkaedah 1438 - HARAKAHDAILY 3/8/2017

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Wahai manusia! Kami ciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berpuak-puak dan berqabilah supaya kamu mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa (kepada Allah) di kalangan kamu, sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Mahu mendalam pengetahuanNya. (Al-Hujuraat: 13)

Al-Quran adalah kitab petunjuk daripada Allah kepada manusia. Kesemua isi kandungannya tidak lain tidak bukan melainkan untuk memandu manusia ke jalan yang lurus. Apabila Al-Quran menyebut kejahatan dan keburukan satu-satu kaum dan bangsa bukan bertujuan untuk menghinanya tetapi sebagai iktibar supaya manusia lain tidak mengikutnya. Inilah manhaj Al-Quran dalam membina diri manusia supaya berbakti kepada TuhanNya yang mencipta alam ini.  

Kaum dan bangsa yang paling banyak disebut di dalam Al-Quran ialah kaum Yahudi/Banu Israel. Mereka dimuliakan oleh Allah bukan kerana kebanyakan anbiya dari kalangan mereka akan tetapi kerana mereka mengikut petunjuk Allah yang dibawa oleh nabi-nabi mereka. Setelah mereka menyeleweng, mereka dimurkai dan dihina oleh Allah dengan sehina-hinanya. Sebanyak 50 surah disebut di dalam Al-Quran tentang kejahatan mereka. Merekalah kaum yang mempersendakan Allah, membunuh anbiya, melakukan kerosakan, penyebab kepada peperangan dan lain-lain lagi. Tujuan ianya disebut bukan untuk menghina dan merendah-rendahkannya akan tetapi sebagai peringatan dan pengajaran. Jikalau tujuannya kerana zat kaum dan bangsa semata-mata masakan Nabi Muhammad s.a.w mengahwini perempuan daripada Banu Israel dan menerima bangsa Banu Israel memeluk Islam seperti Abdullah bin Salaam dan lain-lain lagi.

Samalah juga permusuhan umat Islam dengan bangsa Yahudi di Israel pada hari ini, bukan kerana mereka berbangsa Yahudi tetapi kerana sikap dan tindakan mereka yang menzalimi, merampas dan menindas rakyat Palestin.     

Jikalau begitu kedudukannya dengan bangsa Yahudi maka samalah juga dengan bangsa dan keturunan lain, semua manusia adalah sama daripada Nabi Adam a.s, yang paling mulia ialah yang paling baik perangainya dengan mengikut panduan Islam. Abu Jahal tetap hina walaupun daripada keturunan Arab. Bilal bin Rabah mulia di sisi Allah walaupun dari keturunan Afrika. Mulianya bangsa Arab kerana mereka berpegang dengan Islam sehingga satu pertiga dunia berada di tangan mereka. Akan tetapi pada hari ini mereka berpecah, berperang sesama sendiri dan berbunuhan antara satu sama lain setelah mereka meninggalkan Islam.

Justeru PAS sebagai sebuah parti Islam sentiasa mengajak semua bangsa dan kaum supaya kembali kepada Islam khususnya bangsa Melayu. Kemulian orang Melayu ialah dengan Islam bukannya dengan zat bangsa Melayu. Inilah beza perjuangan yang berasaskan Islam dan perjuangan yang berasaskan perkauman yang sempit. UMNO yang memperjuangkan kebangsaan Melayu hanya pada kulitnya sahaja bukan pada roh dan jatidirinya. Di mana kedudukan tulisan jawi yang menjadi jatidiri kepada bahasa Melayu setelah ianya dimansuhkan oleh bangsanya sendiri. Dimanakah kedudukan tanah rizab Melayu setelah ianya digadaikan oleh bangsanya sendiri. Dimanakah kedudukan politik Melayu Islam setelah pemimpin-pemimpinnya hanya mementingkan kroni dan orang keliling. Apa yang UMNO lakukan sebelum ini untuk bangsa Melayu yang ketinggalan di Pulau Pinang sehingga hari ini baru hendak berkokok. Negeri-negeri yang majoritinya Melayu tidak ditambahkan kerusi parlimen kerana bimbang akan dimenangi oleh parti seteru yang sebangsa dengannya, dalam masa yang sama menambah kerusi-kerusi di negeri-negeri yang bercampur dengan bangsa dan kaum lain. Tindakan menafikan hak royalti minyak kepada Terengganu dan Kelantan suatu ketika dahulu adalah contoh jelas sifat hipokrit UMNO terhadap negeri-negeri Melayu. Pemimpin UMNO sendiri yang mengakui wujudnya penyakit rasuah kronik dalam diri parti UMNO, dalam masa yang sama menyebarkannya kepada bangsa Melayu demi untuk mendapatkan sokongan. Kita tidak perlu menuding jari terhadap orang lain dengan alasan aku lebih Melayu daripadanya selagimana kita tidak meletakkan Islam sebagai jalan penyelesaian terhadap masalah-masaalah yang berlaku dalam negara pada hari ini.

PAS bukannya parti perkauman tetapi parti yang meletakkan kaum di tempatnya yang adil. Dalam konteks Malaysia, bangsa Melayu Islam mestilah memegang tampuk pemerintahan kerana itulah keadilannya. Negara Jepun yang paling maju meletakkan bangsa Jepun sebagai ketua negara bukannya bangsa Inggeris. Negara Jerman yang paling terkehadapan di benua Eropah meletakkan bangsa Jerman sebagai ketua negara bukannya bangsa Perancis.

PAS bukannya parti yang menentang individu tetapi sebuah parti yang mahukan perubahan dasar dan polisi untuk kepentingan ugama, bangsa dan negara. Rosaknya fikiran bangsa Melayu bukan kerana Tun Mahathir yang didakwa bukan keturunan Melayu, akan tetapi kerana dasar UMNO yang membela Melayu tertentu dan menzalimi Melayu lain kerana berlainan aliran politik dengannya. Walaupun Tun Mahathir telah meninggalkan UMNO, Melayu tetap rosak jika meneruskan agenda-agenda yang salah dan bercanggah dengan Islam.  

PAS menyeru kepada bangsa Melayu supaya kembali kepada Islam sebagai jalan penyelesaian bukan penyelesaian cara UMNO yang menggula-gulakan bangsa Melayu dengan janji-janji manis kebendaan setiap kali tibanya musim pilihan raya. Seruan ini adalah konsisten sejak daripada penubuhan PAS sehinggalah pada hari ini. Masih belum terlambat kepada bangsa Melayu untuk kembali ke pangkal jalan.

“Mara Menuju Cita”

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS
10 Zulkaedah 1438 / 2 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 2/8/2017